20191122 - 3VR7QILIXNAEVAPU7R2LOUAPDY

Parti Buruh (Labour Party) di Britain yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn, telah melancarkan manifesto pilihanraya yang paling radikal untuk parti tersebut sejak tahun 1940-an, dengan janji membawa perubahan transformatif untuk rakyat Britain, termasuk mencabar golongan berkuasa yang mahakaya, menyelamatkan sistem kesihatan daripada penswastaan dan berusaha untuk menangani krisis iklim dengan revolusi industri hijau.

Manifesto Parti Buruh yang bertemakan “Masanya untuk Perubahan Sebenar” (It’s Time for Real Change) ini dilancarkan untuk menghadapi Pilihanraya Umum UK yang akan diadakan pada 12 Disember 2019. Pilihanraya umum awal dipanggil selepas Kerajaan Parti Konservatif yang dipimpin of Boris Johnson gagal mendapat sokongan majoriti dalam Parlimen UK untuk meluluskan persetujuan Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah) yang dibawanya.

Apabila Boris Johnson dan Parti Konservatif cuba menjadikan Brexit sebagai isu utama dalam kempen pilihanraya UK kali ini, Parti Buruh yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn telah cuba mengalihkan perbahasan kepada dasar domestik dan membina alternatif yang berbeza untuk rakyat Britain, dengan mencabar golongan korporat besar yang berkuasa dan berkomitmen untuk menangani krisis iklim yang sedang mengancam survival rakyat sedunia.

Jeremy Corbyn menyifatkan manifesto Parti Buruh ini “manifesto yang penuh dengan dasar popular yang disekat oleh golongan berkuasa untuk generasi”. Manifesto yang lebih radikal berbanding manifesto yang dikemukakan semasa pilihanraya umum 2017 ini, telah mengemukakan idea untuk peningkatan hebat dalam pelaburan awam supaya memperbaiki kehidupan rakyat, dengan dana yang dikutip daripada cukai ke atas korporat dan golongan berpendapatan tertinggi. “Manifesto kami adalah rancangan dalam zaman moden yang paling radikal, penuh harapan, menumpu pada rakyat dan diambilkira kos sepenuhnya.”

20191122 - TELEMMGLPICT000216880437_1_trans_NvBQzQNjv4Bqbp882ZYJlBFxnyQgxUcRsxrNyLJG0HyXpVXN1H1KVWw

Corbyn berkata, “Anda boleh dapatkan rancangan untuk perubahan yang sebenar ini, kerana anda tidak perlukan wang untuk membelinya: anda hanya perlu satu undi.”

“Parti Buruh akan menulis semula peraturan ekonomi, supaya ia berfungsi untuk setiap orang. Kami akan membina semula perkhidmatan awam kita, dengan mengenakan cukai terhadap mereka yang berada di atas untuk membiayai secara baik perkhidmatan yang kita semua bergantung,” begitu tulisnya Corbyn dalam kata pendahuluan Manifesto Pilihanraya Parti Buruh 2019.

“Kami akan melancarkan program pelaburan yang berskala paling besar dalam zaman moden untuk membiayai pekerjaan dan industri masa depan, supaya tiada seorang pun dikekalkan di belakang dan tiada komuniti tertinggal di belakang… Kami akan memulakan Revolusi Industri Hijau untuk menangani darurat iklim dengan mengalihkan kepada tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam landasan keretapi dan kereta elektrik, dan menjadikan perumahan efisien-tenaga, untuk mengurangkan kemiskinan bahan api dan kematian semasa musim sejuk… Kami akan membawa landasan keretapi, pos, air dan tenaga (kembali semula) kepada pemilikan awam untuk menamatkan cekik darah penswastaan yang hebat dan menjimatkan wang anda daripada tambang dan bil. Kami akan menyampaikan jalur lebar gentian-penuh yang percuma kepada setiap orang di setiap rumah di negara kita dengan mewujudkan perkhidmatan awam yang baru, merangsang ekonomi, menyambungkan komuniti dan meletakkan balik wang ke dalam poket anda…”

Dalam isu Brexit, Parti Buruh telah mengatakan bahawa akan membatalkan perjanjian Brexit yang dirundingkan oleh Boris Johnson, merundingkan satu perjanjian baru dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam tempoh 3 bulan, dan kemudiannya membentangkan perjanjian tersebut untuk diputuskan dalam referendum dalam tempoh 6 bulan sekiranya Parti Buruh memerintah. Referedum yang dicadangkan oleh Parti Buruh bukannya bersifat nasihat (advisory) tetapi “terikat secara undang-undang”.

Dalam bidang kesihatan, Parti Buruh menjanjikan peningkatan berbelanjaan purata 4.3% setahun untuk Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS). Corbyn telah bertekad untuk menghentikan penswastaan terhadap NHS dan berjanji untuk tidak sama sekali membenarkan perkhidmatan kesihatan ditawarkan untuk dirampas sektor swasta dalam mana-mana rundingan perdagangan, seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Parti Konservatif. “Kami akan memperluaskan NHS kita untuk menawarkan preskripsi percuma untuk semua orang, dan rawatan pergigian yang percuma, berasaskan prinsip pembentukannya.” NHS ialah sistem kesihatan awam yang diwujudkan di UK sejak tahun 1948 oleh Kerajaan Parti Buruh pada masa itu sebagai salah satu pembaharuan sosial yang utama di UK selepas Perang Dunia II, di mana ia berpegang pada prinsip bahawa perkhidmatan kesihatan sepatutnya universal, komprehensif dan percuma untuk digunakan.

Dalam bidang pendidikan, Parti Buruh telah menegaskan komitmennya untuk menghapuskan yuran tuisyen di universiti, seperti yang dikemukakan dalam manifesto pilihanrayanya pada tahun 2017. Parti Buruh juga menjanjikan latihan dan pembelajaran dewasa yang percuma sehingga 6 tahun.

Dalam bidang perumahan, Parti Buruh menjanjikan untuk membina sebanyak 150,000 buah rumah majlis dan rumah sosial setiap tahun untuk penggal Parlimen yang akan datang.

Dalam bidang pekerjaan, Parti Buruh menjanjikan gaji minimum £10 sejam untuk semua pekerja, dan mengharamkan kontrak jam-sifar (zero-hours contract). Parti Buruh menyarankan pelaksanaan kerja 32 jam seminggu tanpa pengurangan gaji dalam tempoh satu dekad akan datang.

Dalam bidang dasar luar dan pertahanan, Parti Buruh mencadangkan penggubalan akta kuasa perang untuk membendung perdana menteri daripada mengheret negara Britain dalam peperangan tanpa melalui parlimen. Parti Buruh juga menjanjikan untuk menjalankan audit terhadap kesan warisan penjajahan Britain.

Janji-janji yang ditawarkan dalam Manifesto Parti Buruk UK ini bukannya kata-kata kosong yang dikeluarkan semata-mata memancing undi, seperti yang pernah dilakukan oleh banyak politik parti di seluruh dunia (termasuklah Malaysia jika anda masih ingat), tetapi diambilkira kos pelaksanaannya. Parti Buruh UK telah menerbitkan “buku kelabu” (Funding Real Change) secara bersama dengan manifestonya, untuk menunjukkan bagaimana janji-janji manifesto itu akan dibiayai. Anggarannya adalah Kerajaan Parti Buruh akan meningkatkan cukai sebanyak £82 bilion setahun, termasuk cukai £9 bilion setahun ke atas transaksi kewangan seperti pembelian dan penjualan saham. Kadar cukai “mahakaya” (super-rich) sebanyak 50% diperkenalkan. Semestinya golongan korporat dan kapitalis besar yang sedang menikmati keuntungan lumayan tidak akan berasa selesa dengan manifesto yang mengenakan lebih cukai ke atas mereka.

Parti Buruh UK juga mensasarkan syarikat minyak dan gas besar yang menjana keuntungan daripada pemanasan bumi, di mana mengenakan syarikat-syarikat ini untuk membayar cukai transisi yang adil”.

20191122 - 1426124

Parti Buruh yang dipimpin oleh Jeremy Corbyn telah memenangi 262 daripada 650 kerusi dalam Parlimen UK dalam pilihanraya umum pada tahun 2017. Corbyn yang mengambilalih tugas Pemimpin Parti Buruh pada tahun 2015, mengamalkan politik berhaluan kiri yang tidak disenangi oleh golongan berkuasa di UK, termasuk pendukung dasar “Third Way” berhaluan kanan yang diperkenalkan sejak zaman Tony Blair dalam Parti Buruh. Dalam tinjauan pendapat menjelang pilihanraya umum, Parti Buruh sekarang ini masih ketinggalan dari segi sokongan pengundi berbanding Parti Konservatif. Pilihanraya Umum UK kali ini akan menyaksikan satu persaingan sengit dengan keputusannya masih sukar diramalkan. Sama ada Parti Buruh dengan manifestonya yang paling radikal sejak beberapa dekad kebelakangan ini dapat menang atau tidak, adalah menjadi tumpuan dunia. Walau bagaimanapun, Manifesto Pilihanraya Parti Buruh ini sudahpun merangsang imaginasi dan harapan kita untuk alternatif yang berkemungkinan dalam mencabar kekuasaan politik-ekonomi neoliberal yang sedia ada. Tiba masanya untuk perubahan sebenar!

One thought on “UK: Parti Buruh lancar manifesto pilihanraya yang paling radikal

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *