Logo KWSp (2).jpg

oleh Rani Rasiah

1. Menurut Seksyen 48(4)(b) Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), majikan yang gagal memotong caruman daripada gaji pekerja untuk sesuatu bulan, dibenarkan membuat potongan caruman tersebut daripada gaji mana-mana enam bulan berikutan sahaja, dan bukan selepas itu.

2. Tetapi dua buah syarikat pengangkutan – Hong Heng Transport & Trading Sdn Bhd di Keramat Pulai, dan Teik Joo Chan Sdn Bhd di Kampar – telah melanggar undang-undang ini.

3. Pada awal tahun 2017, aduan telah dibuat di ibupejabat KWSP terhadap dua buah syarikat ini kerana gagal membuat caruman yang sepatutnya untuk para pemandu lori yang diupah mereka. KWSP telah menyiasat aduan tersebut dan mendapati bahawa dua syarikat ini adalah bersalah dan boleh didenda. Maka, KWSP telah mengarahkan syarikat-syarikat ini untuk menjelaskan jumlah caruman yang tidak dibayar. Setiap syarikat ini dikehendaki membayar caruman kedua-dua pihak pekerja dan majikan untuk tempoh 6 tahun sehingga tarikh aduan.

4. Dua syarikat ini enggan mematuhi arahan KWSP untuk membuat bayaran, maka KWSP telah mulakan kes sivil terhadap mereka.

5. Tetapi yang mengejutkan adalah, kedua-dua syarikat ini juga telah menyaman pemandu lori mereka ke mahkamah untuk menuntut bahagian caruman pekerja bagi tempoh 6 tahun.

6. Tindakan mahkamah oleh majikan ini amat membebankan pemandu lori yang terlibat sebab ia melibatkan kos untuk membayar peguam, dan perbelajaan masa. Ramai pemandu lori menyesal membuat aduan terhadap majikan sebab ia memangsakan pengadu.

7. Tindakan menyaman pekerja untuk menuntut bahagian caruman pekerja oleh kedua-dua syarikat Hong Heng dan Teik Joo Chan adalah tindakan yang mencabar Akta KWSP. Ia merupakan satu pelanggaran terhadap undang-undang KWSP. Ia juga tidak menggalakkan pekerja untuk membuat aduan sekiranya caruman tidak dibuat dengan betul.

8. Undang-undang KWSP melindungi hak dan kebajikan pekerja, maka Lembaga KWSP tidak harus membiarkan pekerja dimangsakan dan dibuli oleh majikan yang melanggar undang-undang tersebut. Lembaga KWSP harus mengambil tindakan tegas untuk menghentikan amalan ini, dan kami mencadangkan pada pihak KWSP supaya:

  • Mewakili pekerja yang disaman ke mahkamah oleh majikan;
  • Hadir ke mahkamah untuk memberi penjelasan;
  • Mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pendirian KWSP dalam hal ini.

==========

Rani Rasiah ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *