20191022 - oku-car-sticker-malaysia-jpj-approved-standard-ltbusiness-1612-28-LTBusiness@1

oleh A. Sivarajan

Antara peruntukan yang diumumkan untuk warga OKU dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada 11 Oktober 2019 yang lepas adalah:

  1. RM23 juta untuk memastikan sekolah kebangsaan mempunyai kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
  2. Semua warga OKU berumur 18 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan layak menerima bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH). Pada masa kini, Bantuan Sara Hidup adalah sebanyak RM1000 setahun.
  3. Individu bujang berumur 40 tahun ke atas dan OKU layak menerima RM300 dan secara automatik menjadi penerima Skim Takaful MySalam secara percuma.

Keprihatinan pihak Kerajaan dialu-alukan, tetapi pada masa yang sama, perlu dianalisis jika ianya benar-benar menaiktaraf kehidupan warga OKU. Antara cadangan yang dikemukakan oleh warga OKU veteran dalam memorandum yang diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 30 Mei 2019 yang lalu, ialah memperkenalkan skim bayaran bulanan sebanyak RM500 kepada semua OKU terutamanya mereka yang berpendapatan RM2,000 dan kebawah. Tuntutan yang sama disambut oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam pembentangan syor-syor untuk Belanjawan 2020 pada 9 Oktober 2019 yang lalu. Bayaran sekaligus RM1,000 BSH untuk satu tahun, iaitu hanya sebanyak RM83 sebulan tidak memberikan bantuan yang signifikan kepada warga OKU.

Warga OKU perlu menanggung pelbagai kos yang tersembunyi untuk mengharungi cabaran hidup setiap hari. Jika kita lihat pada mereka yang berkerusi roda, mereka memerlukan rawatan luka di punggung akibat berada dalam posisi duduk sepanjang hari. Rawatan oleh jururawat yang datang ke rumah melibatkan kos lebih daripada RM50 walaupun dari Hospital Kerajaan. Mereka juga memerlukan tilam duduk khas yang mahal.

Selain daripada peralatan, warga OKU juga terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk pengangkutan ke hospital dan sebagainya, kerana terpaksa menempah kenderaan khas ataupun Grab, memandangkan perkhidmatan pengangkutan awam kurang sempurna dan menyukarkan. Justeru dicadangkan suatu bayaran tetap setiap bulan untuk membantu mereka dalam mengurus diri dengan baik.

Pendaftaraan warga OKU juga harus diambil perhatian. Ini disebabkan mobiliti mereka yang terhad untuk hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). JKM harus berhenti mengutuk ibubapa dan keluarga OKU yang gagal mendaftarkan ahli keluarga mereka sebagai OKU. Jika lebih banyak kemudahan dan keistimewaan disediakan, maka lebih banyak lagi komuniti OKU akan dapat mendaftarkan diri mereka.

Tidak mencukupi untuk Kerajaan dengan hanya menyalurkan bantuan kepada organisasi-organisasi komuniti OKU, kerana ada ramai lagi warga OKU masih belum mengakses organisasi-organisasi ini. Maka, perlu ada kempen yang agresif dis eluruh negara untuk menggalakan lebih ramai yang belum mendaftarkan diri untuk mendaftar. Belanjawan diperlukan untuk mengambil kerja para graduan dan anak muda menganggur supaya menjadi pekerja-pekerja sosial yang membuat lawatan rumah-ke-rumah bagi mengesan dan mendaftar OKU.

Malangnya apabila meneliti Belanjawan 2020 untuk KPWKM, kami risau mengenai pemotongan belanjawan dalam beberapa kategori. Contohnya, perkara kod 030400, iaitu Program Pemulihan OKU dalam komuniti, dikurangkan peruntukan dari RM91 juta (2019) kepada hanya RM85 juta (2020). Aapakah implikasi pegurangan ini, pada masa pemulihan di peringkat komuniti adalah amat penting? Begitu juga dengan perkara kod 01800, peruntukan untuk Pusat Khidmat Setempat OKU dikurangkan dari RM500,000 ( 2019) kepada RM482,000 (2020).

Dalam era telekomunikasi ini, bbelanjawan ini juga gagal menawarkan apajua pakej perkhidmatan khas kepada warga OKU. Warga OKU terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah atau tidak bekerja, harus diberikan pakej telefon dengan caj tetap yang rendah dan kemudahan-kemudahan aplikasi penting, terutamanya untuk mereka tanpa penglihatan.

PSM menyeru pada Kerajaan supaya mengambil berat juga tentang penyediaan akses bagi warga OKU untuk memiliki rumah. Mereka berhak menjalani kehidupan seperti rakyat Malaysia yang lain, tetapi di manakah bantuan spesifik kepada mereka untuk memiliki rumah yang mampu dan mempunyai kemudahan aksesibilti yang diperlukan? Bolehkah pemaju perumahan menyediakan kuota khas untuk unit-unit tingkat bawah dengan aksesibiliti pada harga yang istimewa kepada warga OKU? Apakah dasar Kerajaan ke arah ini?

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyalurkan bantuan secara tersasar, maka pendekatan yang diambil sebelum ini dalam menyampaikan perkhidmatan harus dikaji semula. Jika kita benar-benar memahami keperluan dan cabaran hidup warga OKU pada peringkat akarumbi, maka keperluan untuk melakukan rombakan holistik dalam tatacara penyampaian bantuan akan difahami.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s