20191007.jpg

Organisasi-organisasi pelajar dan anak muda mengeluarkan kenyataan bersama pada hari ini (9 Oktober 2019) sebagai respon kepada penglibatan Naib Caselor daripada 4 buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam penganjuran Kongres Maruah Melayu yang penuh dengan kontroversi pada 6 Oktober 2019. Mereka menggesa perletakan jawatan Naib Canselor di 4 buah universiti yang telah menjejaskan reputasi universiti tempatan.

==========

Berikut ialah teks penuh kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh 8 buah organisasi:

Pada 6 Oktober yang lalu, Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan Kongres Maruah Melayu. Berdasarkan kenyataan para pemimpin politik, kongres ini diadakan atas landasan akademik. Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu, Prof Datuk Zainal Kling, pula mengatakan bahawa persoalan berkenaan orang Melayu akan dibincang dan kongres ini bermatlamat untuk memupuk perpaduan.

Namun, kami amat kesal atas tindakan pihak Kongres Maruah Melayu yang menunggang nama akademik untuk menyebarkan rasisme. Prof Datuk Zainal Kling di Kongres tersebut telah menuntut bahawa “Malaysia milik Melayu” dan mengkritik pihak yang melanggar “kontrak sosial”. Selaku seorang ahli akademik, beliau telah merobek fabrik perpaduan masyarakat Malaysia dan mengemukakan naratif “pelanggaran kontrak sosial” tanpa justifikasi. Pernyataan Prof Datuk Zainal Kling telah menghilangkan akauntabiliti beliau sebagai seorang ahli akademik.

Usul-usul yang lain juga telah menimbulkan ketidakselesaan dalam masyarakat Malaysia yang majmuk. Sebagai contohnya, pernyataan seperti “pelantikan orang Melayu dan Muslim sahaja di semua jawatan penting” dan “pemansuhan sekolah vernakular” tanpa justifikasi begitu jelasnya bersifat rasis, serta melanggar hak asasi dan kebebasan yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Hal ini juga melanggar nilai-nilai seperti perpaduan dan kesederhanaan yang dipegang kuat oleh masyarakat Malaysia selama ini.

Di samping itu, Naib Canselor (NC) UM, Dr Abdul Rahim Hashim, juga mengatakan bahawa orang Melayu telah kehilangan dominasi selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan hak-hak istimewa orang Melayu telah dipersoal. Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) yang berada di bawah pengurusan beliau juga telah dikecam kerana memaksa penglibatan mahasiswa UM dalam kongres ini. Selaku Naib Canselor bagi universiti yang terunggul di rantau ini, beliau bukan sahaja telah melanggar nilai teras UM, tetapi juga mencabuli kebebasan mahasiswa. Beliau harus bertanggungjawab atas kegagalan beliau dalam melindungi UM daripada ancaman agenda politik dengan mengundur diri sebagai NC UM.

Kami di sini mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk rasisme. Kami mendesak pihak penganjur Kongres Maruah Melayu meminta maaf kepada masyarakat atas hujahan dan ucapan yang bersifat rasisme. NC keempat-empat universiti tersebut juga perlu letak jawatan kerana menyokong ideologi rasisme dan agenda politik atas nama universiti-universiti tempatan, yang merupakan menara gading yang sepatutnya menggalakkan semangat perpaduan, inklusif, dan mempertahankan nilai-nilai majmuk.

Organisasi yang menyokong kenyataan bersama ini ialah:

  1. Gerakan Mahasiswa Maju UPM
  2. University of Malaya Association of New Youth (UMANY)
  3. Tunku Abdul Rahman University College Assocation of New Youth (TARANY)
  4. Student Unity Front UKM
  5. UTM-MJIIT Voices
  6. Ikatan Mahasiswa USM
  7. PEMUDA Parti Sosialis Malaysia
  8. Gerakan Pembebasan Akademik- Institusi Pendidikan Tinggi (GPA-IPT)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *