20190927 - 70946868_10157723781468713_7034550578466258944_n.jpg
Peguam Bawani KS (pertama dari kiri) bersama dengan petani dan pekerja Delscon Properties di Mahkamah Majistret Kampar.

KAMPAR, PERAK – 27 SEPTEMBER 2019: 7 orang petani dari Mambang Diawan dan 8 orang pekerja Delscon Properties Sdn Bhd yang dipanggil untuk pertuduhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (rusuhan) di hadapan Mahkamah Majistret Kampar pada hari ini, untuk kes yang berlaku hampir 3 tahun dahulu, telah dilepaskan dan dibebaskan setelah pengadu mengesahkan bahawa telah menarik balik aduan polis.

7 orang petani dari Mambang Diawan tersebut ditangkap pada 14 Oktober 2016, sehari selepas mereka terlibat dalam pergaduhan dengan pekerja yang diupah oleh pihak pemaju Delscon Properties Sdn Bhd yang hendak memusnahkan tanaman demi mengusir petani di situ. Pihak pemaju Delscon Properties Sdn Bhd menceroboh tanah yang masih diusahakan petani di Mambang Diawan pada 13 Oktober 2016, dan petani telah melawan balik dalam usaha menghalang perbuatan menghancurkan tanaman mereka. Dalam pertelingkahan tersebut, seorang petani wanita yang berusia 60-an ditolak hingga jatuh, sementara 3 orang lagi petani yang lain mengalami kecederaan. Petani-petani tersebut membuat aduan polis pada hari yang sama berkenaan dengan kejadian tersebut. Namun, semasa 7 orang petani dipanggil untuk hadir ke Ibupejabat Polis Daerah Kampar untuk memberi keterangan, secara tiba-tiba kesemua petani tersebut ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan rusuhan! Mereka yang ditahan telah dibebaskan setelah reman selama sehari. Pihak polis juga menahan 8 orang pekerja Delscon Properties Sdn Bhd yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan dengan petani-petani pada masa itu. Tiada apa-apa berlaku selepas itu dan kes pertikaian tanah yang melibatkan petani dengan pemaju juga diselesaikan di dalam mahkamah pada tahun 2018, tetapi secara tiba-tiba polis telah membuka semula fail dan pihak pendakwaraya membawa kes ini ke mahkamah untuk pendakwaan pada hari ini.

Kesemua petani dan pekerja Delscon Properties Sdn Bhd yang didakwa di Mahkamah Majistret Kampar pada hari ini diwakili oleh peguam Bawani KS yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Peguam Bawani telah memohon untuk pengguguran terhadap pendakwaan kerana pengadu utama kes ini, Seng Siew Peng, salah seorang petani yang terlibat dalam kejadian pada 13 Oktober 2016, telah menarik balik aduan polisnya. Seng telah memberi keterangan di kandang saksi di mahkamah untuk mengesahkan penarikan balik aduan polisnya. Mahkamah Majistret juga telah dimaklumkan bahawa isu pertikaian tanah antara petani dan pemaju yang melibatkan tindakan kes sivil telah selesai berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 25 Mei 2018.

Pihak pendakwaan memohon supaya semua orang yang kena tuduh (OKT) “dilepaskan tanpa dibebaskan” atas arahan Pengarah Unit Pendakwaan Pejabat Timbalan Pendakwaraya. Namun, permohonan tersebut dibantah oleh peguam Bawani. Selepas mendengar penghujahan daripada kedua-dua pihak, oleh sebab pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan alasan yang kukuh untuk semua orang kena tuduh hanya “dilepaskan tanpa dibebaskan”, maka Majistret memutuskan bahawa semua orang yang kena tuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pendakwaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *