20190924 - MOF.jpg

oleh Jeyakumar Devaraj

Kebanyakan perbincangan berkenaan dengan pembangunan perkhidmatan kesihatan di Malaysia adalah dalam kerangka yang menerima peningkatan dari 3% ke 6% dalam peruntukan Belanjawan Kesihatan setiap tahun sebagai norma untuk masa hadapan yang boleh dijangka. Para perancang dalam Kementerian Kesihatan dan juga ramai aktivis masyarakat sivil bersetuju bahawa adalah tidak munasabah untuk meminta peruntukan yang lebih besar untuk kesihatan kerana kerajaan perlu membiayai banyak perkhidmatan yang lain. Kesepakatan untuk meningkatkan belanjawan kesihatan peringkat Persekutuan pada kadar yang sangat minimum ini menyebabkan para perancang mempertimbangkan secara serius sumber pendanaan yang lain, maka mula bermain-main dengan idea seperti “kerjasama” dengan sektor swasta untuk cuba memenuhi keperluan kesihatan negara (Kerjasama Awam-Swasta), penswastaan sesetengah perkhidmatan sama sekali, Tabung Kesihatan Kebangsaan yang berasaskan cukai tambahan ke atas rakyat pekerja, dan sebagainya.

Namun, adakah peningkatan dalam belanjawan kesihatan pada kadar yang rendah ini sesuatu yang tidak boleh berubah? Adakah ia sesuatu yang akan menjadi berterusan? Mari kita pertimbangkan gambarajah di bawah.

20190924 - Budget 01.jpg

Gambarajah ini jelasnya menunjukkan bahawa kadar perbelanjaan kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) telah semakin berkurangan sejak tahun 1980-an. Dan perkara yang serupa sedang berlaku di seluruh dunia, membawa kepada defisit belanjawan dan hutang negara yang melambung tinggi di seluruh dunia. Adalah mustahak untuk kita menyedari bahawa ini bukannya pembangunan yang “semulajadi”. Ini ialah hasil daripada pertumbuhan kuasa golongan 1% teratas dalam masyarakat berbanding golongan 90% di bawah. Ini ialah fenomena masyarakat, dan seperti kebanyakan fenomena masyarakat, ia dapat ditangani dengan tindakan politik dan perundangan yang sesuai.

Terdapat dua sebab utama untuk pengurangan dalam pendapatan kerajaan Malaysia sebagai peratusan KDNK. Yang pertama adalah cukai korporat negara kita telah dikurangkan secara beransur-ansur dari 40% daripada keuntungan korporat pada tahun 1988 kepada 24% sekarang ini. Ini kerana negara kita terlibat dalam perlumbaan ke bawah dengan Singapura dan Thailand untuk menarik pelaburan asing (FDI) secara terdesak! Kurungan cukai tertinggi untuk cukai pendapatan perorangan juga dikurangkan secara berterusan untuk sebab yang sama.

Sebab yang kedua untuk penurunan pendapatan kerajaan berbanding dengan KNDK adalah kerana liberalisasi kewangan yang sedang berlaku – yang digalakkan tanpa rasa malu oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan dituliskan dalam “Perjanjian Perdagangan” – telah menjadikan lebih sedang untuk syarikat korporat besar dan individu mahakaya untuk mengelakkan diri daripada membayar cukai. Syarikat korporat sekarang boleh melakukan pindah-harga keuntungan mereka ke tempat berlindung cukai, dengan itu mengelakkan cukai di negara di mana nilai dihasilkan (Malaysia) dan juga negara asal mereka (Amerika Syarikat atau Eropah) di mana nilai itu direalisasikan melalui penjualan komoditi. Keuntungan diisytihar di tempat berlindung cukai. (Lihat Gambarajah 2 untuk keterangan mengenai perkara ini.) Liberalisasi persekitaran kewangan antarabangsa ini mencerminkan peningkatan dominasi modal besar dalam era di mana parti politik berasaskan kesatuan sekerja di Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat telah dikeluarkan isi perutnya oleh penyumberan luar pengeluaran ke negara-negara Asia, khususnya China.

Gambarajah 2: Perhargaan pindahan dan pengelakan cukai

20190924 - Budget 02

Negara-negara seperti Malaysia adalah disekat daripada mengambil langkah-langkah yang drastik dalam jangkamasa pendek untuk menangani masalah pengelakan cukai, dengan mereka takut pada pelarian modal dan penurunan dalam pelaburan kerana 0.1% yang terkaya akan beralih ke “padang rumput yang lebih hijau”. Namun, menganggap sistem kewangan antarabangsa yang sedia wujud sebagai sesuatu yang tidak dapat diubah dan kita perlu merancang di bawahnya (sehingga selama-lamanya) adalah pemikiran yang salah dan politik yang malas! Ya, kita perlu berusaha dalam forum antarabangsa dan melobi negara-negara yang lain di dalam dunia sedang membangun. Ia akan mengambil masa untuk mengatasi kecenderungan neoliberal yang dibuang ke dalam minda ramai ahli ekonomi kerajaan oleh Bank Dunia dan IMF. Namun, inilah perjuangan yang perlu kita lakukan jika kita berhasrat untuk memberikan makna kepada slogan “Merdeka!” yang begitu bangga kita laungkan 31 Ogos setiap tahun!

Apa yang perlu dilakukan oleh usaha antarabangsa secara kolektif ini adalah menggubal undang-undang yang:

  1. Mengenakan penalti ke atas negara-negara yang mengurangkan lagi kadar cukai korporat mereka. Perjanjian-perjanjian perdagangan bebas boleh diubahsuai untuk mencapai matlamat ini.
  2. Mengharamkan pengubahan laluan eksport dari negara-negara sedang membangun melalui tempat berlindung cukai sebelum sampai ke negara-negara penerima barangan, yang dengan niat bukan untuk peningkatan produk tetapi pengelakan cukai melalui perhargaan pindahan.
  3. Mengenakan pengisytiharan yang nilai tambah yang tepat di negara-negara sedang membangun yang mengeluarkan produk-produk supaya cukai boleh dikenakan ke atas nilai tambah yang sebenar. Kita perlu mendapatkan bahagian yang adil untuk nilai yang kita tambahkan ke dalam pengeluaran rantaian global ini!

Tiada satupun daripada ini semua akan dapat dicapai dengan mudahnya. Namun, adalah tidak mustahil untuk mencapai semua ini. Yang pertama, kita perlu membebaskan diri dari ruang kotak neoliberal di mana Institusi Bretton Woods meletakkan kita ke dalamnya!

========== 

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *