20180805_183027-copy.jpg

Kerajaan harus sedar bahawa tanggungjawabnya adalah memastikan rakyat mendapat jaminan kehidupan sejahtera, bukannya menjadi jurujual untuk golongan kapitalis yang menjalankan perniagaan yang menggadaikan jaminan kehidupan sejahtera ini.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dilaporkan sedang meneliti cadangan menganjurkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah mewah di negara ini yang bernilai kira-kira RM100 bilion.

Walaupun Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin meminta semua pihak supaya tidak tersalah anggap mengenai cadangan tersebut, kerana KPKT masih meneliti cadangan itu, khususnya mekanisme pelaksanaannya, tetapi nampaknya Menteri yang sepatutnya menjaga hak perumahan rakyat ini sudah lupa tentang amanah yang paling pentingnya, iaitu memastikan semua rakyat Malaysia yang memerlukan rumah dapat memiliki atau menyewa rumah kediaman yang sesuai dengan kemampuan dan kemampanan kehidupan mereka.

Kerajaan yang dipilih dan diamanahkan oleh rakyat untuk menjaga kesejahteraan semua rakyat, bukannya menjadi sebuah syarikat ejen hartanah untuk mempromosi produk keluaran syarikat pemaju yang bertujuan untuk mengaut keuntungan lumayan. Begitu juga seorang Menteri itu bukan juga jurujual atau ejen hartanah yang berkhidmat untuk kepentingan pemaju hartanah. Kenapa seorang Menteri boleh tiba-tiba timbul pemikiran untuk mencadangkan kempen pemilikan rumah kepada warga China dan Hong Kong selepas lawatannya ke Hong Kong dan China baru-baru ini? Adakah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencadangkan kempen pemilikan rumah yang sama untuk menarik warga Amerika Syarikat selepas melawat Amerika Syarikat pula?

Tidakkah kerajaan sedar bahawa jika semakin ramai pembeli dari luar negara yang kaya raya membeli rumah di negara kita ini yang dijual pada harga tinggi, harga rumah keseluruhannya juga akan melambung naik lagi? Syarikat pemaju hartanah akan menjadi lebih cenderung lagi membina lebih banyak rumah mewah dan pembekalan rumah untuk rakyat biasa (seperti rumah mampu milik yang dijual pada kadar harga yang berpatutan) akan menghadapi lebih banyak halangan lagi. Jika adanya projek perumahan mampu milik pun, ia besar kemungkinan hanya dibina di lokasi yang tidak sesuai kerana semua lokasi strategik akan dijadikan sasaran pemaju hartanah untuk membina lebih banyak perumahan mewah bagi menarik pembeli kaya dari luar negara.

Isu lambakan rumah mewah itu masalah pemaju sendiri dan tidak perlu campurtangan kerajaan

Isu lambakan rumah mewah di negara kita bukannya lagi satu isu yang baru. Namun, bukannya tugas untuk kerajaan menyelesaikan masalah lambakan rumah mewah yang tidak terjual yang diwujudkan oleh syarikat hartanah yang membina sebanyak mungkin rumah mewah dan menjadikan harganya setinggi mungkin untuk mengaut keuntungan besar.

Rumah mewah yang tidak terjual adalah kesalahan syarikat pemaju hartanah yang membina rumah tanpa mengambil kira realiti pasaran perumahan. Banyak rumah tidak terjual bukannya kerana tidak cukup permintaan, tetapi harga rumah itu terlalu tinggi dan di luar kemampuan kebanyakan orang, sedangkan ramai orang memerlukan rumah untuk dijadikan kediaman mereka. Ini bukannya terjadi pada rumah mewah sahaja, malah rumah mampu milik itu sendiri pun ditetapkan pada harga yang tidak mampu dibiayai oleh ramai orang yang sepatutnya layak untuk membeli rumah mampu milik.

Syarikat pemaju hartanah membina rumah mewah sebanyak mungkin tetapi gagal menjual rumah itu kerana harganya di luar kemampuan ramai orang, adalah hasil daripada pemaju hartanah itu yang tidak pandai berurusniaga dan merancang untuk membina rumah. Memang padan muka untuk pemaju yang utamakan keuntungan semata-mata. Kenapa pula kerajaan menjadi penyibuk hendak menyelamatkan pemaju hartanah yang cuai atau tidak pandai berniaga dengan menganjurkan kempen jualan rumah yang akan menghakis selanjutnya hak perumahan rakyat biasa?

Kerajaan bukannya penyelamat bisnes pemaju hartanah. Jika sesebuah syarikat pemaju lingkup dan gulung tikar kerana tidak dapat menjual rumah mewahnya, tiada apa-apa yang patut kita berasa sedih, sebaliknya kerajaan patut mengambilalih semua rumah yang tidak terjual tanpa membayar mengikut harga pasaran, dan mengagihkannya semula kepada rakyat yang memerlukannya ataupun menyewa kepada rakyat dengan kadar sewa murah.

Pasaran bebas kapitalis menggadai hak perumahan

Isu yang paling asas berkaitan perumahan adalah pasaran bebas memang tidak dapat menjamin hak perumahan rakyat, malah lebih teruk lagi menyebabkan rakyat biasa semakin susah untuk menampung kos perumahan, sama ada memiliki atau menyewa rumah.

Fahaman ekonomi pasaran bebas yang menganggap rumah itu komoditi untuk mengaut keuntungan adalah punca kepada masalah perumahan di negara kita. Syarikat pemaju hartanah membina rumah bukannya dengan motif menyediakan tempat berteduh untuk rakyat biasa, tetapi hanya untuk mengaut keuntungan semata-mata. Perumahan ialah keperluan asas rakyat, tetapi ia telah dipergunakan oleh pemaju yang tamakkan keuntungan untuk memanipulasi harganya dan memaksa rakyat biasa memikul beban hutang untuk mendapatkan semula hak asasi ini.

Jika kerajaan serius dalam memastikan semua rakyat dijamin hak perumahan tanpa membebankan kehidupan rakyat, maka perlunya anjakan paradigma dalam dasar perumahan. Kerajaan perlu sedar bahawa rumah untuk rakyat, khususnya pembekalan rumah pertama untuk rakyat, tidak patut lagi diserahkan kepada sektor swasta atau pasaran bebas. Pembekalan rumah perlu dikeluarkan dari pasaran, dan menjadi tanggungjawab sepenuh kerajaan melalui perancangan yang menyeluruh dan melibatkan penyertaan rakyat secara demokratik.

Kerajaan juga perlu sedar bahawa rumah tidak boleh dianggap sebagai komoditi untuk spekulasi pemaju, pencari sewa dan pelabur (yang membeli rumah bukannya untuk diduduki sendiri). Langkah pertama untuk anjakan paradigma sedemikian adalah kerajaan perlu menghentikan segala niatnya untuk menjadi jurujual atau ejen promosi hartanah bagi syarikat pemaju.

2 thoughts on “Kerajaan bukan jurujual pemaju hartanah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *