20190912 - 19400092_1384947588261297_3968796948596966977_n.jpg

oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Baru-baru ini, kenyataan daripada penjawat awam berpangkat tertinggi, Datuk Seri Borhan Dolah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, dan juga Datuk Seri Dr. Ismail Hj Bakar, Ketua Setiausaha Negara, mengatakan bahawa Kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius tentang cadangan untuk menghentikan skim pencen bagi penjawat awam. Tun Dr. Mahatir melibatkan dirinya dalam kontroversi ini pada 7 September 2019 dengan mengatakan bahawa jumlah belanja untuk pencen setahun sekarang ini adalah RM28 billion (bersamaan dengan 10% daripada belanjawan persekutuan) dan pembayaran pencen menjadi satu beban kepada negara. Walau bagaimanapun, beliau berkata bahawa belum lagi ada keputusan diambil berkenaan isu pencen ini.

Kasualisasi buruh (peralihan daripada pekerjaan tetap kepada pekerjaan bersifat kontrak sementara dan tidak tetap) ialah trend global yang mempunyai banyak kesan negatif. Ia meningkatkan ketiadajaminan dan membawa kepada pengangguran serta kemiskinan. Ia juga menjadikan rakyat berasa cemas tentang masa hadapan mereka, maka lebih memfokus pada melindungi diri sendiri dan mengurangkan sebarang kecenderungan untuk membantu orang lain. Apabila diaplikasikan dalam perkhidmatan awam, ia akan membawa kepada pengurangan dalam komitmen dan kebanggaan kakitangan awam untuk berkhidmat pada negara, dan mungkin mengalihkan fokus mereka untuk mengambil hati pegawai atasan mereka (supaya kontrak mereka boleh diperbaharui) ataupun mula bersedia untuk kerjaya alternatif semasa masih berada dalam perkhidmatan kerajaan. Pembatalan skim pencen adalah sebahagian daripada agenda neoliberal untuk memangkas dan mengecutkan jentera kerajaan yang menjadikannya tidak cekap, maka menjustifikasi penswastaan selanjutnya terhadap perkhidmatan asas untuk rakyat.

PSM membantah sebarang dasar yang akan menjejaskan keselamatan sosial dan menjadikan kehidupan rakyat kita lebih tidak menentu. Kami menentang secara sekeras-kerasnya penghapusan sistem pencen kerajaan. Kami percaya bahawa cara untuk Malaysia maju ke hadapan adalah memperkenalkan Skim Pencen Universal untuk warga emas kita.

Ini adalah masa yang penting untuk pemimpin Pakatan Harapan (PH) berfikir secara serius – Kenapa kita perlukan Kerajaan pada asalnya? Memang betul bahawa salah satu fungsi utamanya adalah untuk menjaga undang-undang dan peraturan. Ia juga untuk memastikan ekonomi kita berfungsi dengan baik, supaya kemudahan dan perkhidmatan sentiasa dibekalkan kepada rakyat, serta peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat. Tetapi, sekarang objektif dasar utama Kerajaan PH nampaknya adalah menjadikan Malaysia “mesra perniagaan” dan mengurangkan defisit belanjawan demi mengambil hati Agensi Penarafan Kredit Antarabangsa.

Kerajaan PH nampaknya sudah terlupa bahawa salah satu tanggungjawab terpenting kerajaan adalah untuk memastikan tiada orang yang ketinggalan, supaya masyarakat kita tidak menjadi terlalu tidak samarata dan tidak adil. Pastinya PH menyedari bahawa dalam banyak keadaan pasaran bebas tidak akan dapat memenuhi keperluan asas sesetengah sektor – khususnya sektor yang tidak mempunyai banyak kuasa beli. Dalam erti kata lain, mekanisme pasaran gagal menyediakan keperluan asas yang mencukupi kepada golongan 40% terbawah (B40) dalam masyarakat. Pemimpin PH mungkin juga sedar bahawa syarikat-syarikat korporat menambahkan keuntungan mereka dengan mengekalkan gaji rendah. Dalam keadaan ini, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab harus mencampurtangan untuk memastikan golongan B40 ini tidak ditolak lebih mendalam lagi ke dalam kemiskinan, dengan: 1) menetapkan gaji minimum yang cukup sara hidup, dan; 2) membina jaring keselamatan yang mantap untuk semua rakyat di Malaysia. Kerajaan PH telah gagal dalam kedua-dua perkara yang penting ini.   

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kepada Kerajaan baru-baru ini supaya umur persaraan dinaikkan dari 60 tahun ke 65 tahun (Star Online 1/9/2019) untuk membantu pekerja. Ini patut dilihat sebagai jeritan untuk pertolongan daripada sebahagian rakyat pekerja. Menurut statistik rasmi, 68% daripada penyumbang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 54 tahun hanya mempunyai simpanan KWSP kurang daripada RM50,000 dalam akaun KWSP mereka dan kebanyakan pesara menghabiskan jumlah wang ini dalam tempoh beberapa tahun selepas persaraan (Star Online 25/10/17). Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai sebarang simpanan untuk usia tua mereka dan apabila mereka mencapai umur lebih 70 tahun, mereka bergantung secara penuh pada ahli keluarga mereka yang juga mungkin sedang bersusah payah memenuhi keperluan asas mereka sendiri. Ini adalah latar belakang kepada cadangan MTUC untuk meningkatkan umur persaraan.

Oleh sebab inilah PSM telah lama menuntut supaya melaksanakan skim pencen untuk semua warganegara Malaysia berumur 70 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai pencen kerajaan atau pencen dari PERKESO. Cadangan kami adalah memulakan skim pencen ini dengan amaun RM300 sebulan. Pada masa sekarang, lebih kurang 800,000 orang berada dalam kategori ini yang tidak menerima pencen lain, dan jumlah wang yang diperlukan adalah RM2.9 billion setahun. Jumlah ini yang hampir sama dengan peruntukan bagi program Bantuan Sara Hidup (BSH) dan adalah kurang daripada 1% jumlah belanjawan negara. Walaupun RM300 bukan satu amaun yang besar bagi seseorang warga emas untuk menampung kehidupan, tetapi pasti ini akan mengurangkan beban keluarga yang menjaga warga emas tersebut dan wang ini juga akan memberi sedikit maruah kepada kehidupan seseorang warga emas tersebut.

Mereka yang tidak bersetuju akan berhujah bahawa belanjawan persekutuan kita sudahpun terbatas dan adalah kurang bijak untuk memulakan satu skim yang akan meningkatkan perbelanjaan pada masa akan datang kerana jumlah golongan berumur 70 tahun ke atas akan meningkat. PSM akan berhujah bahawa salah satu tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk memastikan kekayaan negara dikongsi secara samarata. Negara kita sudahpun mengamalkan dasar gaji murah untuk bersaing demi mendapatkan pelaburan asing dan supaya eksport negara kita dapat bersaing dalam pasaran antarabangsa. Dalam erti kata lain, kita terus meminta rakyat pekerja kita untuk menerima gaji rendah demi kebaikan negara. Ini adalah sebab utama kenapa pekerja kita tiada simpanan secukupnya pada masa hari tua. Bukankah adil untuk kita menggunakan sebahagian kekayaan yang dijana daripada usaha dan pengorbanan pekerja untuk memperkukuhkan jaring perlindungan sosial yang menjamin kehidupan bermaruah dan membekalkan sedikit bantuan kepada mereka apabila mencecah umur 70 tahun ke atas?

Adakah mereka yang tidak bersetuju dengan ini sedar bahawa perbelanjaan kerajaan kita telah jatuh dari 43.8% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tahun 1983 kepada 21.6% pada tahun 2019. Pengurangan ini disebabkan beberapa faktor, termasuk perlumbaan untuk mengurangkan kadar cukai di kalangan negara-negara ASEAN yang timbul daripada desakan untuk menarik pelaburan asing – kadar cukai korporat negara kita ialah 40% daripada keuntungan korporat, tetapi sekarang hanya 24% daripada keuntungan dan masih mahu dikurangkan lagi! Satu lagi faktor adalah liberalisasi kewangan yang dibawah oleh peraturan-peraturan WTO dan Perjanjian-perjanjian Perdagangan Bebas yang membenarkan syarikat-syarikat korporat besar menyalurkan keluar keuntungan besar mereka melalui Perhargaan Pindahan, maka menggelakkan diri daripada membayar cukai di Malaysia. Cukai korporat yang rendah dan pengelakan pembayaran cukai bukannya kurniaan Tuhan!

Ini adalah hasil daripada kuasa luar biasa yang dipegang oleh syarikat-syarikat korporat terkaya dalam menetapkan peraturan-peraturan perdagangan dan kewangan. Ini adalah buatan manusia, dan boleh juga tidak buat perkara ini! Pengurangan dalam pendapatan kerajaan adalah sebab utama kerajaan PH sekarang ini sedang bercakap tentang menghapuskan skim pencen bagi kakitangan kerajaan.

PSM berpendirian bahawa adalah menjadi tugas untuk kerajaan menangani isu pengelakan cukai dan perlumbaan ke bawah di kalangan negara-negara ASEAN untuk mengurangkan cukai korporat.  Barulah Kerajaan akan mempunyai dana kewangan untuk memperluaskan perbelanjaan sosial ke atas pencen, memperbaiki sistem kesihatan, meningkatkan belanjawan untuk jabatan kebajikan, memperbaiki pengangkutan awam, membiayai sumber tenaga yang lebih bersifat hijau dan lain-lain lagi. Sememangnya ini akan memerlukan usaha multi-nasional dan tidak boleh dicapai semalaman. Namun, adakah adakah Kerajaan PH sudah mula mengambil sebarang tindakan untuk ini? Adakah Kerajaan PH pernah berfikir tentang perkara ini?

Pada masa kini, respon sentak lutut PH kepada apa-apa cadangan untuk meningkatkan perbelanjaan sosial adalah berkata, “Maaf, tiada dana. Defisit kami sudah pun terlalu besar.” Respon sentak lutut sebegini langsung tidak dapat diterima. Kerajaan harus memikul tanggungjawab untuk mengekalkan bahagian kekayaan yang lebih besar yang disumbangkan oleh Malaysia kepada ekonomi dunia dan menggunakan dana ini untuk menjadikan Malaysia sebuah masyarakat yang lebih saksama. Ini adalah tanggungjawab Kerajaan. Sila tunaikannya!

===========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Hentikan skim pencen penjawat awam? Adakah Kerajaan Pakatan Harapan kehilangan akal?

  1. Kita menghadapi beban bukan dari pencen penjawatan awam tetapi pencen YB dan ADUN akan dpt pencen dlm masa yg singkat.Bayangkan setiap kali 555 ADUN dan 222 AP termasuk dlm kategori pencen berapa besar tanggungan Negara utk mereka.Pejawatan awam hanya pencen selepas 60 thn.Fikirkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *