“Segala revolusi adalah perubahan secara mendadak dalam kehidupan sejumlah besar rakyat. Selagi belum matang untuk perubahan sebegini, revolusi yang sebenar tidak akan berlaku. Seperti apa-apa perubahan dalam kehidupan seseorang yang membolehkannya mempelajari banyak perkara dan membawa pengalaman yang kaya dan perasaan yang hebat, revolusi akan membolehkan seluruh rakyat mendapat pengajaran yang paling bernas dan bernilai dalam masa yang singkat.
Semasa revolusi, perkara yang dipelajari jutaan rakyat dalam tempoh seminggu, jauh lebih banyak daripada apa yang yang dipelajari dalam setahun kehidupan yang biasa dan membosankan. Ini sebab apabila perubahan mendadak berlaku dalam kehidupan seluruh rakyat, ia menjadi agak jelas tentang apakah matlamat yang dikejar oleh kelas-kelas rakyat yang berbeza, apakah kekuatan yang dimiliki mereka dan apakah kaedah yang digunakan mereka. ” – Lenin, Pengajaran Revolusi (1917)
Dalam beberapa bulan yang lepas, kita telah menyaksikan satu kebangkitan gelombang protes yang hebat di Hong Kong. Gerakan perjuangan ini tercetus daripada rancangan Kerajaan Hong Kong untuk meminda undang-undang ekstradisi. Kita juga menyaksikan keganasan polis Hong Kong yang serius. Situasi di Hong Kong telah berubah menjadi satu pemberontakan rakyat yang hebat, dengan rakyat Hong Kong menggunakan pelbagai cara untuk melawan kerajaan, dari cara yang lebih aman seperti aksi perarakan, “Dinding Lennon” dan mogok, kepada cara yang lebih drastik seperti mengepung balai polis, melumpuhkan trafik dan taktik protes “black bloc”.
Ketua Eksekutif Carrie Lam Cheng Yuet-ngor telah mengumumkan pada 4 September 2019 bahawa Kerajaan Hong Kong akan menarik balik sepenuhnya pindaan undang-undang ekstradisi yang kontroversi itu, tetapi masih tidak dapat meredakan gelombang protes. Ini kerana Kerajaan Hong Kong masih enggan melaksanakan 4 lagi tuntutan yang terkandung dalam 5 tuntutan utama, iaitu menubuhkan suruhanjaya penyiasatan bebas untuk menyiasat keganasan polis, membebaskan semua demonstran yang ditahan, menarik balik pengecapan “rusuhan” terhadap protes, dan yang paling penting, pelaksanaan pengundian sejagat untuk pilihanraya dewan perundangan dan ketua eksekutif.
Untuk membolehkan para pembaca lebih memahami krisis politik dan kebangkitan rakyat Hong Kong dari sudut yang berlainan di luar media arus perdana, Sosialis.net menemuramah salah seorang aktivis Hong Kong, dengan nama samarannya D.
====================
S – Sosialis.net
D – Nama samaran seorang aktivis sosial Hong Kong yang terlibat dalam aksi protes.
**********
S: Apakah impak gerakan protes terbaru ini terhadap politik Hong Kong?
D: Saya percaya gerakan ini merupakan titik perubahan untuk politik Hong Kong dalam beberapa aspek. Antaranya:
i. Skala mobilisasi sumber masyarakat yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Demi menang dalam perjuangan ini, rakyat daripada lapisan umur dan pekerjaan yang berlainan telah menyumbangkan segala yang ada pada mereka. Trend pempolitikan di kalangan orang ramai ini agak memberangsangkan untuk semua komuniti, dan ini mungkin menjadi asas kepada tindakan dan organisasi selanjutnya pada masa akan datang.
ii. Rombakan sepenuhnya terhadap landskap politik. Tiadanya mana-mana parti politik atau organisasi politik yang wujud sekarang ini dapat memimpin gerakan ini. Juga tiadanya mana-mana ideologi yang mendominasi (politik kiri tidak didengari langsung, sementara xenofobia dan pemisahan sepenuhnya dari China juga bukannya naratif utama).
iii. Pendekatan yang bersifat berperwakilan, boleh berunding dan aman telah ditinggalkan. Sebahagian sebabnya adalah kerajaan menunjukkan dirinya langsung tidak dapat berunding, sebahagian sebab pula adalah kami telah dikhianati oleh parti pembangkang utama (Parti Demokratik) pada tahun 2010 dalam isu pengundian sejagat. Ia juga kerana pengajaran daripada kegagalan Revolusi Payung pada tahun 2014, di mana organisasi pelajar dan penganjur aksi Occupy Central membuktikan diri mereka tidak mampu memimpin gerakan yang begitu besar. Maka, kenapa tidak boleh menyahpusatkan proses membuat keputusan dalam gerakan?
iv. Pembentukan sebenar Nasionalisme Hong Kong. Semasa melawan polis, ramai orang membangunkan perasaan mempertahankan kampung halaman kami daripada penceroboh. Sentimen ini semakin mendalam apabila penduduk di dalam komuniti tertentu agak bangga dengan hidup dan membesar di situ kerana mereka dengan beraninya menghalau keluar polis dari komuniti mereka.
v. Ketakutan terhadap Peristiwa 4 Jun tidak lagi mempengaruhi generasi muda hari ini. Semakin jelas bahawa Parti Komunis China akan menghadapi akibat yang hebat jika ia menghantar tentera dalam jumlah yang besar ke Hong Kong dan membunuh ramai antara kami.
**********
S: Apakah impak gerakan terbaru ini terhadap rakyat biasa di Hong Kong?
D: Kehidupan harian ramai orang mengalami perubahan yang besar. Antaranya:
- Banyak gangguan dalam sistem pengangkutan awam kerana pertempuran secara mengejut mungkin berlaku di setiap daerah.
- Tiada keinginan untuk bekerja, dan motivasi yang rendah untuk membeli-belah dan berhibur. Malah, ada orang meletak jawatan di tempat kerjanya untuk melibatkan diri dalam perjuangan.
- Perubahan dalam tabiat kehidupan harian: Menguruskan “Dinding Lennon” (menggunakan dinding di tempat awam untuk menulis pandangan masing-masing dan mempamerkan poster untuk mobilisasi aksi) setiap hari; waktu slogan setiap hari, di mana pada pukul 10 malam setiap hari akan melaungkan slogan di jalanan ataupun membuka tingkap rumah untuk menjeritkan slogan; aksi perarakan setiap minggu; melompat melepasi pintu pagar MTR untuk mengelakkan diri daripada membayar tambang MTR, dan sebagainya.
- Hubungan dengan kawan dan keluarga menjadi teruk kerana tidak bersetuju sesama diri dalam isu-isu politik.
**********
S: Bolehkah saudara memberitahu kita tentang komposisi kelas dalam gerakan massa yang hebat ini? Selain pelajar, sejauh manakah penyertaan rakyat daripada kelas pekerja?
D: Pada bulan Ogos lalu, Centre for Communication and Public Opinion Survey dari Chinese University of Hong Kong (CUHK) telah mengumumkan hasil kajian satu tinjauan pendapat. Mereka mengadakan tinjauan sampel secara rawak semasa perarakan hujung minggu dari 9 Jun hingga 4 Ogos lalu. Kajian mendapati nisbah peserta lelaki dan perempuan adalah 3:2 hingga 1:1; 70% hingga 90% daripada mereka mempunyai sekurang-kurangnya kelayakan pendidikan tertiari; separuh daripada mereka berumur 10 hingga 30 tahun; separuh daripada mereka menganggap diri mereka sebagai “kelas menengah”.
Saya berpendapat bahawa dapatan data ini ini agak menarik, ia menunjukkan bahawa golongan pekerja muda ialah penggerak utama yang menyertai perjuangan ini. Namun, kajian ini hanya mengkaji data demografik asas untuk peserta aksi, tetapi tidak menyoal dari segi cara penyertaan (aksi bersifat aman dan bukan keganasan / militan / menderma wang / memberi pertolongan cemas / menyebar maklumat / membuat kerja propaganda / mogok / …) dan frekuensi penyertaan. Oleh itu, masih tidak dapat memberi jawapan yang lebih menyeluruh pada takat ini.
Pemerhatian peribadi saya adalah, sebenarnya terdapat pelbagai jenis orang dalam setiap posisi dalam aksi perjuangan ini. Namun demikian, pelajar dan pekerja muda, khususnya penganggur, pekerja kasual dan peniaga kecil, ialah penggerak utama dalam aksi. Ini kerana mereka mempunyai kefleksibelan untuk mengubahsuai penyertaan mengikut perubahan situasi, misalnya mempunyai paling banyak masa untuk melibatkan diri dalam perbincangan secara online, mempunyai paling banyak masa untuk membuat kerja propaganda di jalanan, dan mempunyai paling banyak masa untuk menyertai aksi yang mengejut.
Dari segi sokongan logistik, sememangnya golongan kelas menengah memberikan banyak sokongan material. Tabung 12 Jun yang ditubuhkan untuk menyokong perbelanjaan undang-undang, perubatan dan elaun sara hidup pejuang telah mengutip sebanyak HKD 80 juta (lebih kurang RM 43 juta). Netizen dua kali mengutip dana untuk bayaran pengiklanan di seluruh dunia yang memerlukan jutaan Hong Kong dollar, dan berjaya mencapai sasaran kutipan dalam tempoh masa tidak sampai 12 jam. Tambahan pula dengan peralatan perlindungan yang diperlukan setiap kali aksi, bekalan perubatan, makanan dan minuman, pengangkutan sekarelawan untuk menghantar balik demonstran, serta penginapan percuma, semuanya melibatkan sumber yang sangat besar.
Perlu sebut tentang mogok kerja! Pada 28 September 2014 semasa berlakunya aksi pendudukan di Admiralty, Konfederasi Kesatuan Sekerja Hong Kong (HKCTU) dan Persekutuan Pelajar Hong Kong (HKFS) menyeru untuk mogok bertiga (mogok pekerja, mogok pelajar dan mogok perniagaan), tetapi mogok tidak berlaku pada masa itu. Kali ini selepas sejuta orang berarak pada 9 Jun lalu, terdapat banyak seruan di dalam internet untuk mengadakan mogok bertiga pada 12 Jun (hari Rabu), iaitu hari di mana rang undang-undang ekstradisi dibahaskan dalam Dewan Perundangan. Orang ramai diseru untuk mengepung Dewan Perundangan demi menghalang kelulusan rang undang-undang tersebut. Walaupun tiadanya statistik yang khusus, tetapi memang ramai pekerja pergi berhimpun di Admiralty dengan mengambil cuti atau dipersetujui syarikat (banyak bank dan firma perakaunan mengeluarkan memo dalaman yang membenarkan pekerja “bekerja di rumah” memandangkan “mungkin timbul gangguan lalu lintas atau bahaya” pada hari itu). Statistik tentang mogok perniagaan lebih jelas, dengan lebih seribu buah syarikat mengumumkan mogok perniagaan, namun kebanyakannya merupakan perniagaan kecil yang hanya mengupah kurang daripada 10 orang pekerja.
Mogok bertiga seluruh Hong Kong pada 5 Ogos mempunyai perancangan yang lebih lengkap dan publisiti yang lebih meluas. Pada sebelah pagi ketika waktu pergi bekerja, demonstran membuat sekatan secara strategik di 4 buah stesen MTR, sehingga melumpuhkan hampir seluruh laluan MTR. Pada sebelah petang, terdapat perhimpunan di 7 tempat, menjadikannya hari beraksi seluruh Hong Kong. Antaranya 6 tempat berlakunya sekatan jalanraya dan aksi mengepung balai polis. Seperti 12 Jun, ramai orang mengambil cuti sebagai cara untuk tidak bekerja, bukannya terus mengisytihar mogok.
Dari segi pencapaian mogok, HKCTU mengatakan bahawa terdapat 350,000 orang terlibat dalam mogok. Saya berpendapat bahawa anggaran ini terlalu konservatif. Saya menganggarkan pekerja-pekerja yang bermogok dan mereka yang “terpaksa mogok” kerana kelumpuhan sistem pengangkutan mencecah 1 juta orang jika digabungkan. Antaranya pelumpuhan yang paling berjaya berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong. Satu pertiga daripada pekerja di menara kawalan mengambil cuti pada hari itu, sementara orang yang lain “bekerja ikut peraturan”, menyebabkan lapangan terbang yang mempunyai dua landasan itu hanya tinggal satu landasan yang boleh digunakan, lebih 100 penerbangan dibatalkan.
Lebih kurang sebulan selepas mogok 5 Ogos, berlaku lagi mogok pada 2 hingga 3 September. Kali ini tiadanya aksi sekatan lalu lintas. Pasaran nampaknya tiada banyak kesan, tetapi masih ada puluhan ribu orang menyertai perhimpunan. Namun, tekanan yang menghalang pekerja untuk menyertai mogok kali ini jauh lebih besar. Oleh sebab lapangan terbang paling terkesan kerana mogok 5 Ogos, industri penerbangan menghadapi tindakan pembersihan yang ketat. Jabatan Penerbangan Awam China menggunakan ancaman menghalang penerbangan melalui udaranya untuk memaksa syarikat penerbangan Cathay Pacific supaya menyerahkan senarai nama pekerja yang terlibat dalam “aktiviti haram”. Cathay Pacific kemudiannya memecat ramai orang, termasuk seorang pemimpin kesatuan. Syarikat penerbangan juga menggalakkan pekerjanya untuk melaporkan rakan sekerja yang melanggar peraturan. Situasi keganasan putih sangat serius. Juga wujudnya penindasan yang serupa di syarikat MTR.
Mogok politik akhirnya muncul semula di Hong Kong, selepas Mogok Pelaut 1922, Mogok Canton-Hong Kong 1925-26 dan Rusuhan 1967. Namun, mogok politik kali ini langsung tidak dapat dibandingkan dengan mogok yang sebelum ini, kerana kebanyakan pekerja yang bermogok tiada kaitan dengan mana-mana organisasi, malah ada yang menganggap mogok ini tidak berbeza banyak dengan perjuangan hujung minggu yang lain.
**********
S: Apakah bezanya gerakan terbaru ini dengan gerakan demokratik di Hong Kong sebelum ini?
D: Seperti yang saya sebut semasa menjawab soalan pertama, ramai demonstran telah meninggalkan model protes politik yang aman, boleh berunding dan berperwakilan. Slogan “Kau yang ajar kami perarakan aman itu tidak berguna langsung” amat jelaskan menggambarkan perubahan ini. Kegagalan Revolusi Payung dan pembatalan kelayakan waki rakyat yang dipilih melalui pilihanraya, tambahan pula dengan sikap sombong Kerajaan Hong Kong terhadap mereka yang membantah undang-undang ekstradisi (misalnya pada 9 Jun sebelum perarakan sejuta orang habis, kerajaan terus mengeluarkan kenyataan yang mengatakan ia tidak akan menarik balik rang undang-undang ekstradisi), semakin ramai orang sedar bahawa tidak mungkin melakukan apa-apa perubahan di bawah peraturan politik yang sedia ada. Pemahaman sebegini membentuk perasaan simpati terhadap tindakan vandalisme dan serangan ganas terhadap polis, serta kebencian yang mendalam terhadap polis. Semasa Revolusi Payung, sangat sedikit orang membencikan polis, tetapi amat berbeza pada kali ini. Saya percaya ini adalah kerana anggapan asal tentang protes politik, iaitu mengiktiraf susunan sosial yang sedia ada dan merundingkan di antara “pendapat” yang berbeza untuk mengimbangi kepentingan pihak-pihak berlainan, tidak lagi sah. Sebaliknya, logik untuk rusuhan muncul, walaupun demonstran tidak menyedari bahawa vandalisme dan keganasan secara mensasar adalah apa yang berlaku dalam “rusuhan” di dunia Barat.
**********
S: Kita boleh lihat terdapatnya simbol yang melambangkan politik berhaluan kanan dalam gerakan ini, misalnya ada demonstran yang memegang bendera Hong Kong zaman penjajahan British, bendera Britain atau bendera Amerika Syarikat, malah ada orang memaperkan slogan yang mengundang campurtangan Amerika Syarikat. Kita juga boleh melihat penggunaan kartun “Pepe the Frog”, satu simbol meme yang digunakan oleh golongan pelampau kanan Amerika Syarikat untuk menyebarkan fahaman nasionalis orang kulit putih. Simbol-simbol ini agak menonjol, sekurang-kurangnya di dalam kanta mata media atau pemerhati luar. Mungkin adanya orang tidak tahu tentang makna di sebalik simbol ini ataupun menganggapnya tidak penting, tetapi simbol-simbol ini memang menggambarkan ideologi tertentu di sebaliknya. Bagaimana anda melihatnya? Adakah kecenderungan ideologi pelampau kanan wujud dalam kalangan peserta aksi di Hong Kong? Jika ada, sejauh manakah pengaruh kuasa ini? Apakah reaksi daripada golongan kiri atau progresif untuk menanganinya?
D: Kebanyakan peserta aksi tidak tahu tentang makna di sebalik Pepe the Frog dalam dunia bahasa Inggeris (walaupun saya berpendapat bahawa jika mereka tahu pun juga tidak akan mengambil kisah). Ia hanya dianggap sebagai meme yang tidak berbahaya di dalam forum online.
Bendera Hong Kong zaman penjajah British telah pun muncul dalam aksi demonstrasi sejak lebih kurang 8 tahun dahulu. Memang adanya segelintir kecil orang mahu Hong Kong diperintah semula oleh Britain, sementara ada kumpulan yang lebih besar berpandangan bahawa zaman penjajah British lebih baik berbanding Hong Kong sekarang.
Bendera Amerika Syarikat adalah sesuatu yang baru dalam protes di sini. Saya tidak pasti pemikiran yang berbeza di sebaliknya. Adanya segelintir orang (walaupun saya berpendapat hanya sekumpulan yang kecil) memang percaya bahawa Kerajaan Amerika Syarikat akan mengambil tindakan campurtangan ketenteraan. Lebih ramai pula orang hanya mahu Kerajaan Amerika Syarikat menimbulkan lebih banyak masalah kepada Kerajaan China (seperti menggunakan isu Hong Kong untuk mempengaruhi rundingan tarif, ataupun mengenakan sekatan terhadap pegawai tinggi Kerajaan Hong Kong) sebagai cara untuk kemusnahan bersama, seperti slogan “saya mahu goreng bersama” (if we burn, you burn with us).
Golongan pelampau kanan jauh bukan kuasa yang memimpin gerakan kali ini, dan retorik yang xenofobik sudah berkurangan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Saya percaya ada dua sebab di sebalik ini. Yang pertamanya, adalah keputusan strategik golongan kanan untuk tidak mengungkitkan ini, bagi mengelakkan konflik dalaman. Yang kedua, ramai peserta aksi protes kali pertama “mencairkan” semua konflik politik yang sedia wujud, dan saya pernah bercakap dengan beberapa orang ini yang tidak setuju dengan kebencian terhadap orang China biasa.
Sikap saya terhadap bendera ini adalah saya lebih mementingkan mesej solidariti daripada rakyat dari seluruh dunia, bukannya sokongan daripada mana-mana kerajaan.
Berasaskan pemerhatian saya dalam golongan kiri tempatan dan sebahagian perbincangan online dalam dunia bercakap Bahasa Inggeris, saya rasa adanya sesuatu yang sangat bermasalah dalam cara sesetengah orang berhaluan kiri memahami gerakan ini. Khususnya saya amat marah apabila melihat sesetengah komentar daripada aktivis tempatan yang mengatakan bahawa ini hanyalah satu lagi gerakan liberal yang melindungi sistem undang-undang borjuasi, dan oleh itu bukannya dalam agenda kiri. Apa yang saya geram bukan sahaja pemudahan berketerlaluan (oversimplification) yang cuai ini, tetapi lebih penting lagi adalah pemudahan berketerlaluan yang cuai ini adalah penonjolan keangkuhan yang mengabaikan hakikat bahawa rakyat daripada pelbagai lapisan umur telah dimobilisasikan, sementara enggan mencari jawapan dalam massa rakyat. Oleh itu, saya sangat gembira bahawa adanya ramai kawan dari seluruh dunia sama ada bertanya pada kami atau datang ke Hong Kong sendiri untuk mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
**********
S: Selepas 3 bulan demonstrasi dan kebangkitan massa yang hebat, Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam sudahpun mengumumkan secara rasminya untuk menarik balik pindaan terhadap undang-undang ekstradisi yang kontroversi. Namun, ini nampaknya tidak membantu dalam meredakan situasi di Hong Kong, kerana adanya tuntutan lain yang penting belum lagi direalisasikan, khususnya tuntutan untuk pengundian sejagat dalam pilihanraya Dewan Perundangan dan Ketua Eksekutif. Pada pandangan saudara, apakah keadaan gerakan sekarang ini? Bagaimana gerakan ini akan berkembang selepas ini?
D: Keadaan sedang berubah dengan cepat. Namun pada takat ini (7 September 2019), keadaan lebih kurang sedang mengalami kebuntuan. Pertempuran dan demonstrasi menjadi semakin kerap, dengan kemarahan masih terus meningkat, tetapi ramai peserta aksi protes sedang mengalami keletihan dan angka demonstran yang menyertai aksi sedang berkurangan. Saya tiada idea yang khusus bagaimana perkara ini akan berkembang.
**********
S: Apakah harapan anda tentang gerakan ini pada masa akan datang?
D: Saya berharap para peserta aksi protes dapat membina hubungan yang lebih rapat dalam gerakan ini. Sementara membincang tentang aksi-aksi pada masa terdekat dan strategi-strategi yang praktikal, saya berharap kami dapat melakukan perbincangan yang lebih meluas, seperti halatuju gerakan ini, bagaimana membantu sesama diri kami dengan lebih efektif (termasuk menyokong komuniti kejiranan kami, berkongsi sumber masyarakat, jaringan antara perorangan dan sebagainya). Hanya dengan ini sebagai asas, kami dapat berjuang dengan lebih lama lagi.
**********
S: Bolehkah saudara berkongsi sedikit tentang pengalaman penyertaan saudara dalam gerakan ini?
D: Saya melibatkan diri melalui dua cara. Yang pertama, saya bekerja dengan sebuah pertubuhan masyarakat yang kecil yang dipanggil “WorkerCom”. Anggota pertubuhan ini ialah pekerja-pekerja daripada sektor yang berlainan, dan kami menggalakkan pekerja berkonfrontasi secara langsung dengan majikan semasa berlakunya pertikaian buruh. Pada peringkat awal gerakan ini, saya memberikan latihan ringkas kepada anggota-anggota kami tentang keselamatan komunikasi dan hak di sisi undang-undang semasa penahanan. Saya juga mewujudkan sistem komunikasi semasa aksi untuk melindungi sesama sendiri, supaya setiap orang bersedia untuk menyertai aksi. Untuk penyertaan selanjutnya, oleh sebab kami hanyalah satu pertubuhan yang kecil, kami memilih beberapa aspek untuk bekerja berasaskan kekuatan kami. Kami memberikan bantuan kepada pekerja-pekerja yang dilayan secara tidak adil oleh majikan mereka kerana pendirian politik mereka. Kemudiannya apabila situasi bertambah sengit, kami mengadakan pameran jalanan di kawasan kejiranan yang berbeza, menayangkan video tentang keganasan polis dan mengedarkan risalah untuk memberikan informasi tentang perjuangan kepada rakyat akar umbi di mana mereka kebanyakannya menerima informasi daripada media arus perdana yang pro-kerajaan (seperti TVB dan Oriental Daily) atau terus dari tanah besar China (melalui WeChat). Kami juga melawat pekerja-pekerja bawahan, khususnya pekerja pembersihan jalanan dan penjaga kedai untuk bercakap tentang ancaman kesihatan daripada gas pemedih mata dan hak untuk berhenti bekerja dalam keadaan bahaya.
Cara penyertaan saya yang kedua adalah mengemaskini maklumat untuk kawan-kawan dari seluruh dunia tentang apa yang sedang berlaku di Hong Kong. Dalam bulan-bulan sebelum ini, saya berbincang dengan ramai aktivis tentang isu terkini. Saya fikir ini ialah kerja yang sangat penting kerana kami boleh berkongsi banyak butiran yang tidak dilaporkan oleh media bukan bahasa cina, dan mesej ini boleh disampaikan kepada mereka yang benar-benar mengambil berat tentang gerakan sosial. Selain itu, bagi saya adanya tiga sebab yang khusus saya fikir perkongsian sebegini adalah penting:
- Ini adalah kali pertama berlakunya konfrontasi secara langsung terhadap imperialisme China daripada rakyat.
- Cara gerakan ini berkembang adalah sangat baru dalam banyak aspek, di mana ia amat bernilai untuk berkongsi dengan aktivis di seluruh dunia. Lebih penting lagi, gerakan ini mempunyai persamaan yang menakjubkan dengan Gerakan Jaket Kuning di Perancis, di mana bagi saya ini mungkin menunjukkan trend gerakan massa pada masa akan datang, yang digerakkan oleh rakyat yang hilang harapan.
- Secara peribadi, saya telah membaca banyak tentang gerakan sosial dari seluruh dunia untuk beberapa tahun, dan saya benar-benar gembira bahawa akhirnya sampai giliran kami untuk berkongsi pengalaman perjuangan kami dengan dunia.
2 thoughts on “Kebangkitan rakyat yang terbesar dalam sejarah Hong Kong (Temubual khas tentang krisis politik dan gerakan perjuangan rakyat Hong Kong)”