20190828 - AATC02.jpgPUTRAJAYA – 28 OGOS 2019: Setelah berlaku penangkapan polis terhadap pelajar-pelajar pusat latihan penerbangan Allied Aeronautics Training Centre (AATC) pada dua hari yang lalu, isu yang dibangkitkan oleh pelajar-pelajar AATC telah mendapat penyelesaian dalam satu pertemuan yang diadakan di pejabat Kementerian Sumber Manusia pada hari ini.

Mesyuarat rundingan antara pelajar-pelajar AATC dengan pihak pengurusan AATC hari ini dipengerusikan oleh Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran. Mesyuarat dihadiri oleh 22 orang wakil daripada Kesatuan Pelajar AATC dan 4 orang wakil pihak ibubapa.

Hasil rundingan tersebut adalah:

  • Pihak pengurusan AATC menarik balik surat pembuangan pelajar terhadap Pengerusi dan Setiausaha Kesatuan Pelajar AATC;
  • Pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan diusahakan dalam masa terdekat untuk pelajar-pelajar AATC.

Kesatuan Pelajar AATC turut meminta pada Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan bekas pelajar AATC yang “keciciran” kerana tidak mampu bayar yuran dapat menyambung semula pengajian mereka di AATC.

20190828 - AATC04
Wakil Kesatuan Pelajar AATC dalam rundingan di Kementerian Sumber Manusia

Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan hari ini, Kesatuan Pelajar AATC merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Sumber Manusia kerana sudi terlibat untuk menyelesaikan masalah ini.

Pelajar-pelajar AATC telah berprotes dan menduduki Pejabat AATC di Ara Damansara pada 26 Ogos lalu, untuk membantah pemangsaan terhadap ahli-ahli kesatuan pelajar yang cuba menyuarakan masalah mereka kepada pihak pengurusan. Seramai 7 orang pelajar dan seorang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan apabila pihak pengurusan memanggil polis untuk menyuraikan pelajar yang berprotes. Kelapan-lapan anak muda yang ditahan itu dibebaskan beberapa jam selepas itu.

Pelajar-pelajar AATC telah menghadapi beberapa masalah, yang terutamanya adalah mereka tidak mendapat pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) seperti yang dijanjikan oleh pihak pengurusan AATC pada awalnya untuk membiayai kos pengajian, sebaliknya dipaksa untuk mengambil pinjaman peribadi daripada bank. Oleh yang demikian, pelajar-pelajar AATC telah menubuhkan Kesatuan Pelajar AATC untuk membawa masalah mereka kepada perhatian pihak pengurusan AATC. Namun, dua orang pemimpin utama kesatuan, iaitu Yagesh A/L Ravishangar selaku Pengerusi dan Ho Joe Yee selaku Setiausaha, telah dipecat daripada menjadi pelajar AATC selepas mereka menyerahkan surat tuntutan pelajar kepada pihak pengurusan AATC. Tindakan pemangsaan terhadap pemimpin Kesatuan Pelajar inilah yang mencetuskan aksi protes pada 26 Ogos lalu.

Kejadian penangkapan terhadap pelajar-pelajar AATC yang berprotes telah mendapat perhatian ramai, termasuk pihak Kementerian Sumber Manusia yang memanggil untuk rundingan pada hari ini.

Hasil daripada kegigihan pelajar dalam memperjuangkan hak mereka, akhirnya tuntutan pelajar-pelajar AATC telah diterima. Ini merupakan satu kemenangan yang bermakna buat pelajar-pelajar AATC.

20190828 - AATC01

Kesatuan Pelajar AATC juga mengucapkan penghargaan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang telah membantu mereka dalam perjuangan ini, termasuk Sharan Raj (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM) yang ditahan bersama pelajar-pelajar AATC pada 26 Ogos lalu. Kesatuan Pelajar AATC juga berterima kasih kepada gerakan mahasiswa-mahasiswi dan rakyat Malaysia yang bersolidariti dengan perjuangan mereka.

SYABAS kepada pelajar-pelajar AATC kerana menang dalam perjuangan!

2 thoughts on “Isu pelajar AATC selesai: Pemecatan pemimpin kesatuan pelajar dibatalkan, pelajar akan dapat pinjaman PTPK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *