20190826 - JPP.jpegoleh M. Sivaranjani

Pada 22 Ogos 2019, satu sesi taklimat telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Selangor untuk membentangkan cadangan pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyambut baik cadangan pindaan tersebut kerana pindaan-pindaan ini akan membantu pekerja dalam menubuhkan kesatuan sekerja di tempat kerja mereka dan menghalang pemangsaan ahli-ahli kesatuan. Pada masa sekarang, dengan hanya 6% pekerja menganggotai kesatuan, warga pekerja mempunyai kuasa tawar-menawar yang sangat rendah, dan ini menyebabkan mereka kekal dengan gaJi yang rendah, faedah pekerjaan yang minimum dan terus kehilangan hak-hak asas seorang pekerja.

Dalam situasi sekarang, kebanyakan pekerja, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan informal, sukar diorganisasikan untuk membentuk kesatuan kerana terma kerja, kontrak tempoh tetap, bilangan pekerja yang kecil, lokasi kerja , penyumberan luar (outsourcing) kerja dan sebagainya . Dengan pindaan ini, sesebuah kesatuan kerja umum boleh ditubuhkan untuk mewakili pekerja dari pelbagai sektor dan tred (pekerjaan). Apabila mereka diwakili oleh kesatuan, maka kejadian eksploitasi oleh majikan dapat dicabar dan hak mereka akan terpelihara.

Pindaan yang dicadangkan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959, iaitu mengurangkan kuasa Menteri dan Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) dalam isu-isu penubuhan kesatuan dan penolakan pendaftaran kesatuan, akan menggalakkan lebih ramai pekerja datang ke hadapan untuk menubuhkan kesatuan. Birokrasi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja atau kuasa budi bicara KPKS dan Menteri dicadangkan untuk dimansuhkan.

Pindaan juga dilakukan supaya lebih dari satu kesatuan boleh ditubuhkan di suatu tempat pekerjaan. Maka, cadangan pindaan untuk membenarkan penubuhan lebih daripada satu kesatuan akan menggalakkan pekerja menolak kesatuan yang tidak berjuang untuk mereka dan menubuhkan kesatuan yang baru. Dalam suasana persaingan yang sihat ini, kesatuan yang betul-betul berjuang untuk kepentingan pekerja akan mendapat sokongan. Selaras dengan standard Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pihak Kementerian Sumber Manusia membawa pindaan-pindaan tersebut selaras dengan prinsip hak kebebasan untuk menganjurkan dan menyertai kesatuan.

Cadangan pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang lain adalah seperti berikut:

  • Syarat untuk melancarkan mogok dan tutup pintu (lock down) dilonggarkan dan hukuman untuk pelanggarannya dipinda. Dalam Akta Kesatuan Sekerja sekarang, jika didapati tidak mengikut syarat, maka pekerja boleh dihukum penjara dan perkara ini memang menghalang pekerja untuk mengorganisasi mogok atau tutup pintu apabila majikan bertindak tidak adil di tempat kerja. Dalam cadangan pindaan terbaru, hukuman penjara dimansuhkan. Hanya denda akan dikenakan.
  • Keanggotaan kesatuan sekerja diperluaskan kepada mereka yang telah bersara, digantung kerja dan berhentikan kerja. Ini akan membolehkan ahli kesatuan bergiat aktif dalam aktiviti sehingga mereka dapat keadilan daripada pemangsaan majikan.
  • Pekerja yang menganggotai mana-mana parti politik dibenarkan untuk menjadi pegawai kesatuan sekerja. Cadangan ini baik untuk menghindari diskriminasi pekerja yang merupakan ahli parti politik daripada menjadi pegawai kesatuan sepertimana wujud sekarang.
  • Kesatuan sekerja dibenarkan untuk bergabung dengan mana-mana kesatuan sekerja lain tanpa tertakluk pada sekatan keserupaan (similarity).
  • Kesatuan sekerja dibenarkan memindahkan perjanjian-perjanjian (transfer of engagements) kepada mana-mana kesatuan lain tanpa tertakluk pada sekatan keserupaan.
  • Syarat pindaan peraturan yang melibatkan kenaikan yuran bulanan dan mengurangkan faedah anggota kesatuan dilonggarkan kepada lebih daripada separuh undi yang dipulangkan bersetuju terhadap pindaan.
  • Penubuhan persekutuan kesatuan sekerja tidak lagi tertakluk kepada prinsip keserupaan tred, pekerjaan atau industri.

Seterusnya, beberapa cadangan pindaan untuk Akta Perhububungan Perusahaan 1967 juga dibentang. Salah satunya adalah mewujudkan Mahkamah Rayuan Pekerjaan (EAC). Apabila pekerja kalah di Mahkamah Perusahaan, keputusan tersebut boleh dicabar di Mahkamah Rayuan Pekerjaan. Sekarang, pekerja harus melalui proses Mahkamah Sivil yang memakan kos yang tinggi. Bagi membantu pekerja dalam hal berkaitan kos dan mempercepatkan penyelesaian, Mahkamah Rayuan Pekerjaan dicadangkan. PSM berpendapat ini adalah satu langkah yang akan memanfaatkan pekerja yang sentiasa dimangsakan dan kebanyakan masa mereka berputus asa kerana tidak dapat menampung kos atau sanggup mengharungi tempoh masa yang lama sehingga kes selesai.

Cadangan pindaan seterusnya adalah mewujudkan satu peruntukan baru di bawah Seksyen 12A, iaitu “preference ballot” (undi pilihan). Dalam keadaan wujud lebih daripada satu kesatuan sekerja di suatu tempat pekerjaan, hanya satu kesatuan sekerja dibenarkan membuat perjanjian bersama (CA) dengan majikan. Bagi memilih satu kesatuan yang layak untuk membuat CA, sistem “preference ballot” akan digunakan. Ini bermaksud kesatuan yang mendapat sokongan undi tertinggi akan berhak mewakili pekerja dalam perundingan kolektif.

Selain itu, terdapat cadangan pindaan terdapat Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dalam Seksyen 13(3), di mana kesatuan sekerja dibenarkan untuk berbincang dengan majikan semasa perundingan kolektif secara umum tentang hal kenaikan pangkat, pertukaran, pengambilan pekerja, penamatan perkhidmatan akibat lebihan tenaga kerja, pembuangan kerja dan pemulihan kerja serta agihan tugas. Kesatuan sekerja sekarang ini tiada hak untuk merundingkan hal-hal ini yang sebelum ini dianggap sebagai budi bicara dan kuasa mutlak majikan.

Berikut adalah pindaan-pindaan lain yang dicadangkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967:

  1. Kuasa budi bicara Menteri untuk merujuk atau tidak merujuk sesuatu kes pembuangan akan dipindahkan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan (KPPP). Kuasa Menteri untuk memutuskan isu pengiktirafan kesatuan sekerja akan dipindahkan kepada KPPP.
  1. Kes pertikaian perusahaan mengenai keengganan majikan memulakan perjanjian kolektif hanya boleh dirujuk ke Mahkamah Perusahaan atas persetujuan bersama pihak yang terlibat kecuali dalam 4 keadaan, iaitu:
  • Kes yang melibatkan perjanjian kolektif yang pertama;
  • Kes yang melibatkan perkhidmatan perlu (Jaduan Pertama);
  • Kes yang menyebabkan “acute crisis” jika tidak diselesaikan segera;
  • Pihak yang terlibat tidak bertindak secara “good faith” dalam menyelesaikan pertikaian yang perlu.
  1. Memberi kuasa kepada Mahkamah Perusahaan
  • Untuk mendengar dan memutuskan tarikh pembuangan kerja sebenar sekiranya tarikh pembuangan kerja yang dirujuk oleh KPPP kepada Mahkamah dipertikaikan oleh pihak yang terlibat di bawah Seksyen 29.
  • Mengenakan faedah ke atas award yang melibatkan kewangan (maksimum 8% setahun) – Seksyen 30 (1A)
  • Mahkamah Perusahaan tidak terikat kepada Jadual Kedua sekiranya sesuatu kes pembuangan kerja melibatkan perlanggaran terhadap Seksyen 4, 5 atau 7 – Seksyen 30 (6A)
  • Memansuhkan peruntukan di bawah subseksyen 30(7) bagi memberi kuasa budi bicara kepada Mahkamah Perusahaan untuk menetapkan tarikh ke belakang sesuatu award tanpa terikat lagi kepada tempoh maksimum 6 bulan – Seksyen 30(7).
  1. Membenarkan pekerja-pekerja Badan Berkanun Persekutuan (BBP) mengemukakan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20. Cadangan pindaan ini akan membenarkan pekerja-pekerja dalam 7 buah agensi Badan Berkanun Persekutuan berikut untuk mengemukakan tuntutan di bawah Seksyen 20:
  • Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  • Lembaga Hasil Dalam Negeri
  • Lembaga Tabung Angkatan Tentera
  • Lembaga Tabung Haji
  • Pertubuhan Keselamatan Sosial
  • Bank Simpanan Nasional
  • Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT)
  1. Waris terdekat boleh menikmati bayaran pampasan yang diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan. Memberi kuasa kepada Mahkamah untuk memerintahkan gaji ke belakang atau pampasan sebagai ganti kepada pemulihan kerja dibayar kepada waris terdekat apabila pekerja meninggal dunia – Seksyen 30(6B).

Secara keseluruhannya, PSM mengucapkan tahniah kepada pihak Kementerian Sumber Manusia yang berani membawa cadangan pindaan undang-undang ini yang akan membuka ruang kepada lebih ramai pekerja menubuhkan kesatuan dan secara bersama mereka boleh bersuara dengan berani apabila berlaku penindasan di tempat kerja. Kami amat berharap pindaan-pindaan ini akan dibawa ke Parlimen secepat mungkin dan dilaksanakan secepat mungkin.

==========

M. Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Pekerja PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *