20190822 - BSH.jpg
PSM Perak bersama dengan ibu tunggal yang terlibat berprotes di hadapan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri Perak di Ipoh pada 22 Ogos 2019, dan menyerahkan satu memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kewangan.

oleh Dr Jeyakumar Devaraj

Kami di Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat mengalu-alukan pelaksanaan Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana ia merupakan satu cara yang berkesan untuk menangani realiti di mana negara Malaysia sedang terperangkap dalam sistem ekonomi antarabangsa yang menekankan gaji pekerja biasa kita ke paras yang terlalu rendah. Pekerja-pekerja kita hanya dibayar gaji sebanyak satu perlima gaji pekerja untuk jawatan yang sama di kilang-kilang yang serupa di Amerika Syarikat dan Eropah. Negara kita terperangkap kerana, jika kita meningkatkan kadar gaji di Malaysia secara mendadak, FDI (pelaburan asing) akan menurun dan berkemungkinan besar korporat besar yang sedang beroperasi di negara kita juga akan cuba memindahkan operasi mereka ke negara jiran yang mempunyai paras gaji yang rendah. Persaingan antara negara-negara ASEAN telah mewujudkan kekangan terhadap usaha kerajaan untuk meningkatkan gaji pekerja demi membantu golongan B40.

Bukan sahaja pekerja biasa kita di kilang, di ladang dan di sektor lain yang jadi mangsa sistem ekonomi antarabangsa yang mesra korporat ini. Sektor-sektor yang bergantung pada pasaran tempatan – petani dan pekebun kecil, dan peniaga di pasar malam dan gerai-gerai di tepi jalan juga memperoleh pendapatan yang rendah kerana kapasiti membeli di kalangan pelanggan mereka disekat oleh regim gaji rendah.

Satu kaedah untuk mengendalikan ketiakadilan ini adalah secara “cash transfer” ataupun pemindahan wang yang dikutip daripada golongan terkaya melalui cukai individu dan korporat ke tangan golongan termiskin di sesebuah negara. Itulah asasnya program BR1M yang dilancarkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Program BR1M ini merupakan satu antara inisiatif Barisan Nasional yang baik untuk rakyat dan adalah berpatutan program ini disambung sebagai Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) oleh Kerajaan Pakatan Harapan.

Namun, kami di PSM sedang menerima aduan daripada beberapa orang, bahawa walaupun mereka telah menerima bantuan BR1M tahun lalu, mereka telah digugurkan daripada Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) tahun ini. Kami difahamkan bahawa Kementerian Kewangan ingin menggugurkan mereka yang bukan miskin daripada senarai penerima BSH untuk menjimatkan dana kerajaan. Oleh itu, kami tidak membantah keputusan Kementerian Kewangan untuk menggugurkan mereka yang memiliki kereta 2000cc ke atas, menjual hartanah melebihi RM 500,000 atau memiliki motosikal 500cc ke atas. Tetapi keputusan untuk menggugurkan balu berumur di bawah 60 tahun yang tidak mempunyai anak di bawah umur 18 tahun adalah tidak munasabah. Ramai daripada balu seperti ini hanya dapat gaji minimum sekira mereka cukup sihat untuk bekerja. Dan untuk ramai antara mereka, anak-anak mereka pun tiada kerja tetap dan pendapatan mereka berada pada paras gaji minimum, iaitu RM1100 sebulan sahaja. Ibu-ibu tunggal ini merupakan antara yang termiskin di masyarakat kita dan amat memerlukan BSH.

Peniaga kecil juga merupakan satu lagi golongan yang telah digugurkan dari skim BSH oleh Kementerian Kewangan dengan alasan mereka ada pendaftaran perniagaan “enterprise” dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Pemilikan sebuah enterprise merupakan satu keperluan untuk menjalani peniagaan kecil seperti gerai di tepi jalan, atau di pasar dan sebagainya. Tetapi sekarang keperluan ini diguna oleh Kementerian Kewangan untuk menafikan permohonan peniaga-peniaga kecil ini untuk menjadi penerima faedah skim BSH seolah-olah mereka ini tauke yang kaya. Kami berharap pihak Menteri boleh mengkaji status kedua-dua golongan ini dan mengubahsuai prodedur operasi standard (SOP) Kementerian Kewangan supaya kedua-dua golongan ini pun dapat menikmati manfaat daripada skim BSH.

Kami juga harap Kerajaan Pakatan Harapan akan mengekalkan Skim Bantuan Sara Hidup dan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk meningkatkan manfaat yang boleh dinikmati melaluinya dalam Belanjawan 2020. Kami sedar bahawa terdapat beberapa pemimpin Pakatan Harapan yang pandang rendah terhadap skim BSH, dan menggelarnya sebagai “dedak”. Mereka berpendapat bahawa skim BSH adalah serupa sedekah dan akan menjadikan penerimanya malas serta memupuk kebergantungan terhadap kerajaan dan mengurangkan daya saing ekonomi Malaysia. Tanggapan mereka ini adalah salah!

Skim BSH ialah satu kaedah baik untuk bermula menangani kegagalan kerajaan Malaysia bagi memastikan pekerja dan petani di negara kita menerima ganjaran yang bersesuaian dengan pengorbanan masa dan tenaga mereka. Walaupun negara kita sudah merdeka untuk selama 62 tahun, negara kita (dan juga negara-negara sedang membangun yang lain) terus dibuli oleh syarikat-syarikat gergasi yang menggunakan kuasa pasaran mereka dan pemilikan teknologi canggih untuk merampas kekayaan yang dijana di negara kita melalui sistem harga yang songsang.

Kami harap Menteri Kewangan akan mempertahankan Skim Bantuan Sarah Hidup jika ada pihak-pihak yang mencuba mengurangkan peruntukan untuk BSH dalam Belanjawan 2020.

==========

Dr Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *