oleh M. Sivaranjani
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat pengambilan terus pengawal keselamatan di sekolah kerajaan adalah langkah terbaik dalam jangkamasa panjang dari segi jaminan kerja, faedah pekerjaan, penjimatan kos dan mutu perkhidmatan.
Kami tidak bersetuju dengan pandangan yang dikeluarkan oleh Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), di mana kenyataan tersebut dari pandangan kami sekadar meraih simpati oleh golongan syarikat kawalan keselamatan semata-mata untuk mewujudkan rasa ketakutan kepada pekerja kawalan keselamatan di premis sekolah-sekolah kerajaan. (Merujuk pada laporan berita bertajuk “50,000 pengawal keselamatan bakal hilang kerja” di akhbar Kosmo pada 29 Julai 2019.)
Sebaliknya, kami berpendapat bahawa langkah kerajaan dalam hal ini adalah lebih kepada pembentukan satu polisi yang bermanfaat kepada pegawal keselamatan supaya pengawal keselamatan digaji secara terus oleh Kementerian Pendidikan tanpa penglibatan pihak tengah seperti syarikat kawalan keselamatan swasta. Ini adalah satu langkah yang harus dialu-alukan demi kepentingan jaminan kerja kepada golongan pekerja ini.
Kami berpendirian bahawa langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya adalah baik kerana:
- Ia akan menghentikan eksploitasi terhadap pengawal keselamatan di sekolah kerajaan kerana sistem kontrak hanya mengkayakan segelintir kecil orang tengah berbanding dengan majoriti pekerja kontrak.
- Langkah ini akan memastikan pengawal keselamatan mendapat jaminan kerja yang lebih stabil dan penyeliaan yang langsung daripada pihak sekolah sendiri. Penyeliaan dan pengawasan langsung boleh memastikan kualiti dan taraf kerja meningkat.
- Selain itu, pekerja kontrak sendiri tidak akan berasa terasing dan mereka akan dilihat sebagai sebahagian daripada pekerja tetap dan kakitangan sekolah. Ini akan meningkatkan motivasi mereka untuk bekerja.
- Kerajaan dapat menjimatkan wang kerana dengan cara ini kerajaan tidak perlu membayar kontraktor yang kebanyakannya hanyalah kroni dan individu yang sebenarnya tidak memberikan nilai tambahan, malah mereka sekadar menghisap kewangan negara. Wang ini lebih baik disalurkan terus kepada pengawal keselamatan dengan memberikan gaji yang lebih tinggi dan faedah kerja yang lebih baik.
Jaringan Pekerja Kontrak kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) melihat perkembangan ini sesuatu yang positif setelah lama mengetengahkan masalah penindasan yang dihadapi oleh pekerja kontrak, khususnya pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di premis kerajaan, termasuk di sekolah-sekolah kerajaan di bawah sistem penyumberan luar atau sistem kontrak.
Sejak tahun 1980-an, Kerajaan telahpun menyumberkan luar (outsource) kerja-kerja pembersihan dan kawalan keselamatan di premis kerajaan kepada syarikat swasta dalam bentuk kontrak tempoh tetap selama dua atau tiga tahun. Setiap dua atau tiga tahun, pekerja-pekerja ini akan diupah kontraktor baru dan menjadi pekerja baru di tempat kerja yang sama. Syarikat kontraktor pula mengeksploitasi secara maksimum pekerja-pekerja ini, dengan wujudnya masalah ketara seperti tiada kenaikan gaji, tidak siberi faedah-faedah asas (misalnya KWSP, PERKESO, Skim Insurans Pekerjaan, cuti tahunan, cuti rehat dan cuti sakit) dan pekerja dibuang kerja sewenang-wenang oleh syarikat kontraktor. Masalah yang paling utama ialah tiada jaminan kerja kerana sistem kontrak ini.
JPKK dan PSM telah berjumpa dengan Dr. Maszlee Malik selaku Menteri Pendidikan pada 27 Mac 2019 dan membincangkan penderitaan golongan pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan di sekolah-sekolah kerajaan. Kami menyarankan beberapa langkah untuk mengakhiri kesengsaraan golongan ini. Salah satu saranan penting kami pada masa itu adalah Kementerian harus mengembalikan keadaan dahulu di mana pekerja digaji terus oleh Kerajaan tanpa penglibatan orang tengah di premis kerajaan. Apabila kami membaca berita ini, kami melihat ada harapan untuk menuju ke arah tersebut.
Kami, JPKK dan PSM, bergembira dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk menghentikan penindasan terhadap pekerja-pekerja kawalan keselamatan di premis kerajaan. Kami juga berharap Menteri Pendidikan akan melaksanakan saranan ini seperti yang dilaporkan dan tidak akan U-turn disebabkan kepentingan segelintir kecil kontraktor.
Dahulukan rakyat sebelum keuntungan!
===========
M. Sivaranjani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan aktivis Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK).