20190706 - dcx_doc75rrhvysgk315o9lj4sp - Copyoleh Arveent Srirangan Kathirtchelvan

Pemuda PSM amat bimbang tentang kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia bahawa mereka akan mengambil tindakan terhadap sebuah sekolah antarabangsa atas sebab menyebar “propaganda anti-minyak sawit”. Kami ingin menegur pada Kerajaan Malaysia yang melakukan intimidasi ini dan melihatnya sebagai taktik untuk mengalih perhatian warga Malaysia daripada langkah-langkah membetulkan impak negatif perladangan kelapa sawit.

Berkenaan dengan hal ini, Pemuda PSM ingin menekankan 2 isu.

  1. Kemampanan Minyak Sawit

Yang pertama, adakah minyak sawit hasil Malaysia bersifat mampan? Menurut Menteri Industri Utama, Teresa Kok, sehingga 31 Mei 2019, hanya 36% daripada ladang kelapa sawit Malaysia telah mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dibanding dengan bulan Oktober 2018 dengan peratusan hanya 21.7%, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3%. Akan tetapi, sasaran kerajaan mencapai 100% pensijilan MSPO menjelang akhir 2019 nampaknya tidak akan tercapai. Purata kadar penambahan keluasan ladang kelapa sawit yang mendapat pensijilan MSPO setakat ini, hanya lebih kurang 2% sebulan. Dengan tinggalnya hanya 7 bulan dari Mei 2019 hingga Disember 2019, anggaran jumlah keluasan ladang kelapa sawit dengan pensijilan MSPO pada akhir tahun ini hanya 50%.

Persoalan yang patut dijawab oleh Menteri Teresa Kok adalah, bagaimana beliau akan melipatgandakan kadar pensijilan ini supaya sasarannya dicapai? Dalam konteks ini, purata kadar penambahan tersebut harus lebih sedikit daripada 9% supaya mencapai 100% keluasan ladang kelapa sawit di Malaysia dipersijilkan MSPO menjelang akhir 2019. Ini merupakan 450% daripada purata kadar penambahan sekarang. Bagaimanakah Menteri Teresa Kok akan mencapainya? Adakah beliau akan mengurangkan syarat yang diperlukan oleh sesebuah ladang itu untuk dipersijilkan? Kita patut ingat bahawa pensijilan MSPO lebih longgar syaratnya berbanding pensijilan Rundingan Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Mampan (RSPO) yang diiktiraf antarabangsa. Ataupun adakah beliau akan menyemak semula tarikh akhir untuk mencapai 100% pensijilan MSPO? Jika purata sekarang berterusan, sasaran ini dapat dicapai pada akhir bulan Januari 2022.

  1. Kebebasan Bersuara

Yang kedua, mengapakah suatu persembahan sekolah mengenai impak negatif perladangan kelapa sawit tidak mampan kini menjadi sangat serius sampai kerajaan Malaysia ingin mengambil tindakan terhadap sekolah tersebut? Kerajaan Pakatan Harapan ini dianggap ramai bahawa ia berbeza daripada pemerintahan rejim Barisan Nasional sebelum ini yang bersifat kuku besi. Ramai percaya bahawa politik autoritarian telah dihapuskan dan wujudnya kelonggaran berekspresi serta kebebasan sivil, termasuk perlindungan untuk kebebasan bersuara. Namun sekarang, suatu persembahan sekolah telah dituduh menggugat keselamatan negara sehingga kerajaan ini merasakan ianya patut membendung pandangan selain daripada apa yang disukainya? Adakah ini rejim fasis?

Menurut Great Apes Survival Partnership (GRASP) daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), impak kepada kelangsungan spesies kera besar seperti orang utan akibat perladangan kelapa sawit tidak mampan memang wujud dan nyata. Mengapakah penekanan isu ini melalui mana-mana persembahan dianggap sebagai satu penderhakaan dan diterma sebagai propaganda? Adakah Teresa Kok berkata bahawa UNEP sendiri menyebarkan propaganda anti-Malaysia juga?

Untuk Malaysia, tidak boleh dinafikan bahawa minyak sawit merupakan komoditi yang penting untuk perdagangan, pelaburan dan kestabilan ekonomi. Malangnya, kemerdekaan 60 tahun masih tidak membebaskan negara kita lagi daripada kebergantungan yang berketerlaluan terhadap komoditi utama akibat diversifikasi ekonomi yang tidak mencukupi. Akan tetapi, mengugut pengkritik-pengkritik yang menunjukkan impak negatif minyak sawit tidak akan menyelesaikan masalah nyata dan wujud dalam industri ini.

Apa yang patut dilakukan?

Oleh itu, adalah lebih baik jika Kerajaan Pakatan Harapan memfokus dalam meningkatkan usaha untuk mencapai sehampir mungkin 100% ladang kelapa sawit bersijil MSPO sebelum akhir tahun 2019. Ini bermakna lebih banyak sumber diperlukan oleh Kementerian Industri Utama, dari segi dana, sumber manusia dan teknologi, untuk menangani situasi ini secara proaktif daripada membiarkan ladang-ladang kelapa sawit mendapat sijil tersebut sendiri. Menurut Menteri Teresa Kok, masalah yang timbul ialah mengesan pemilik ladang-ladang bersaiz sederhana kerana mereka telah membiarkan pengurusan ladang tersebut kepada kontraktor. Pemuda PSM menghargai bahawa masalah utama telah dikenalpasti dan ingin meminta Kementerian Industri Utama menumpu perhatian terhadapnya.

Jikalau kerajaan berasa bahawa perlunya inisiatif tertentu untuk mendidik orang ramai tentang industri minyak sawit serta kemampannya, Pemuda PSM percaya bahawa lebih banyak usaha perlu diambil oleh pihak kerajaan untuk mengedarkan maklumat secara jujur tentang langkah-langkah mereka menuju kemampanan minyak sawit. Antaranya, langkah-langkah seperti perbincangan “townhall”, penyiaran iklan-iklan, persembahan maklumat di sekolah serta universiti, pengedaran risalah dan lawatan ke ladang kelapa sawit yang diurus secara mampan patut diambil, bukannya mengugut para pengkritik minyak sawit.

Kritikan terhadap sektor dan aktiviti tertentu akan wujud sampai bila-bila. Kematangan sesebuah kerajaan terserlah dengan cara mereka menangani kritikan tersebut. Dalam isu ini, amat jelas bahawa Kerajaan Malaysia kurang matang dan terlalu cepat melenting, jelas mempamerkan ciri-ciri yang patut dibendung. Kritikan amat penting untuk kebebasan bersuara. Kebebasan bersuara amat penting untuk sesebuah negara demokrasi. Moga-moga kita tidak akan sesekali melupakannya.

Pemuda PSM faham akan kepentingan ekonomi industri minyak sawit, tetapi kami ingin menekan bahawa ekonomi bukan segala-galanya. Dalam dunia hari ini, kita tidak boleh hanya mengutamakan pembangunan ekonomi semata-mata sampai merosakkan alam sekeliling. Malaysia bertuah kerana adanya liputan hutan primer yang sarat penuh dengan biodiversiti yang menawan. Ini adalah warisan alam kita, dan kita patut menghargainya. Jikalau adanya ruang di Malaysia untuk membangunkan industri minyak sawit, mesti ada bersamanya pemeliharaan alam sekeliling yang mencukupi. Jikalau ada kritikan terhadap minyak sawit tentang impak negatifnya, kerajaan kita perlu menanganinya secara matang dan berbekal fakta yang bernas. Intimidasi bukannya cara menangani isu ini.

==========

Arveent Srirangan Kathirtchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *