oleh Cecilia Antonysamy
“Anak saya 3 orang – umur 15 tahun, 12 tahun, dan 2 tahun”, kata seorang bekas pekerja pembersihan sekolah yang diberhentikan kerja tempoh hari 31 Mei 2019 lalu.
“Duit lampin bayi, duit beli susu dah berapa dah sebulan? Anak saya yang berumur 15 tahun akan menduduki PMR akhir tahun ini, terpaksa saya hentikan tuisyennya sementara, bayaran RM150 sebulan. Anak 12 tahun akan duduki UPSR, tuisyen RM 120 juga saya berhentikan. Hujung tahun ini, ujian penting dua orang anak saya mungkin terjejas. Saya tak tahu nak buat macam mana sekarang sebab diberhentikan kerja secara tiba-tiba,” ujar bekas pekerja pembersihan dari salah sebuah sekolah di Batu Arang itu.
Pekerja juga manusia biasa seperti majikan, yang ada keperluan asas untuk makan, rumah, pendidikan dan kesihatan. Apa-apa pun keperluan pekerja, adakah ia berbeza dengan keperluan majikan? Tidak! Semua pun manusia, semua pun ada keperluan asas manusia yang sama.
Tetapi, kenapa jumlah wang yang sampai ke dalam tangan pekerja begitu berbeza dengan jumlah wang yang sampai ke dalam tangan majikan? Ini disebabkan sistem ekonomi yang wujud di negara kita dan kebanyakan negara di dunia hari ini. Sistem di mana pekerja yang mengeluarkan hasil untuk dijual dibayar begitu sedikit, tetapi majikan yang duduk di pejabat dan hanya melaburkan modalnya dibayar begitu banyak. Pekerja yang bersusah payah membuat kerja keras seperti membersih, menoreh, bercucuk tanam dan mengeluarkan hasil, dibayar begitu sedikit. Kontraktor mendapat keuntungan beribu-ribu.
Ini adalah ketidakadilan yang wujud dalam sistem ekonomi kapitalis yang memihak kepada kelas majikan dan menindas kelas pekerja. Undang-undang sistem kapitalis berat sebelah kepada majikan. Oleh sebab itu, kerja kontrak dibenarkan. Kontraktor dibayar sejumlah wang yang banyak. Pekerja hanya dibayar gaji minimum sahaja. RM1,100. Gaji yang begitu sedikit mana cukup untuk menampung kos sara hidup? Tengoklah gaya hidup kontraktor, rumah mewah, kereta besar, anak nak tuisyen tak ada masalah sikit pun. Tetapi pekerja hidup terhimpit.
Sistem yang adil adalah sistem sosialis. Sistem sosialis menghormati pekerja. Ekonomi sosialis menetapkan supaya setiap orang mendapat nafkah hidup yang setimpal dengan keperluan hidup setiap orang. Inilah sistem yang membawa kesejahteraan kepada semua orang. Keuntungan negara akan dibahagikan secara adil.
Di Malaysia ini, kita kaya dengan berbagai sumber. Minyak petroleum, kelapa sawit, getah dan sebagainya, semua membawa keuntungan yang begitu banyak kepada negara ini. Tetapi wang keuntungan ini dikaut oleh kelas majikan. Pekerja diberi ciput.
Untuk menumpaskan sistem kapitalis yang tidak adil ini, pekerja harus bersatu dan berjuang, menuntut keadilan daripada kerajaan. Pekerja harus bersuara, mendesak kerajaan supaya menghormati keperluan kelas pekerja. Pekerjaan tetap adalah hak asasi yang dijamin dalam perlembagaan negara ini, namun di manakah jaminan kerja untuk kelas pekerja?
Ayuh! Kita sertai Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)!
Bersatu kita teguh, bercerai kita runtuh!
Hidup Pekerja! Hidup Perjuangan Pekerja!
==========
Cecilia Antonysamy ialah aktivis Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).
One thought on “Nasib kelas pekerja dalam sistem kapitalis dan jalan keluarnya”