20190621 - iran.jpg

oleh S. Arutchelvan

Amerika Syarikat (AS), sebuah negara yang mempunyai rekod paling buruk di dunia dari segi mencabul dan menceroboh kedaulatan negara lain, kini sekali lagi membuat persediaan untuk menyerang Iran ekoran sebuah dron milik tentera AS ditembak jatuh oleh pihak Iran. Iran, sebuah negara yang tidak pernah pergi berperang atau menyerang negara lain, pula mendakwa bahawa mereka menembak dron kerana dron AS itu menceroboh ruang udara Iran.

Provokasi AS terhadap Iran dan keamanan di rantau Timur Tengah bukannya sesuatu yang baru. Amerika Syarikat mempunyai pengkalan tentera di hampir semua negara di Timur Tengah termasuk Iraq, Kuwait, Bahrain, Qatar, UAE, Oman dan Jordan. Sejak Amerika Syarikat kehilangan pengaruhnya di Iran ekoran Revolusi Iran 1979 yang menyaksikan pemerintahan Shah selaku boneka AS digulingkan oleh kebangkitan rakyat Iran yang diketuai oleh Ayatollah Khomeini. Sebelum tahun 1979, Iran ialah antara sekutu paling kuat AS di Timur Tengah.

Sejak AS kehilangan penguasaan terhadap sumber minyak di Iran, ia terlibat dalam pelbagai perang proksi yang mensasarkan Iran, termasuk perang Iran-Iraq di mana AS bersekutu dengan Saddam Hussain di Iraq pada masa itu.

Sejak tahun 1995, Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ekonomi terhadap Iran. Sekatan tersebut dikenakan ke atas Iran dengan alasan kononnya Iran hendak membina kapasiti senjata nuklear. Namun, hakikatnya adalah program nuklear Iran telah dimulakan dengan bantuan Amerika Syarikat pada tahun 1957 untuk membina reaktor nuklear pertama dan selepas itu pada 1967 untuk membantu dalam meningkatkan uranium untuk tujuan senjata. AS dan negara Barat hanya menghentikan program nuklear ini selepas Revolusi Iran. AS yang mempunyai senjata nuklear paling banyak di dunia sebenarnya tidak seharusnya berbicara mengenai hak negara lain memiliki senjata seumpama itu walaupun Iran dari dulu lagi sudah menafikannya.

Pada tahun 2015, satu perjanjian bersama yang dipanggil Joint Comprehensive Plan of Action telah dicapai antara AS dan sekutu Baratnya dengan Iran. Iran bersetuju dengan perjanjian ini dan sekatan terhadap negara Iran telah ditarik balik pada tahun 2016. Namun, pentadbiran Trump mengembalikan sekatan ini pada tahun 2018 walaupun ia tidak dipersetujui oleh negara-negara Barat yang lain. Maka siapakah sebenarnya membuat provokasi terhadap iran?

Oleh itu, amat jelasnya agenda AS dan Trump adalah sekadar mewujudkan huru-hara di Timur Tengah untuk kepentingan politiknya dan sekutu-sekutunya terutamanya Arab Saudi dan Israel. Amerika Syarikat juga mempunyai pengkalan tentera di sekeliling Iran. Maka, Iran sebagai sebuah negara berdaulat semestinya akan melakukan segala-galanya untuk mempertahankan sempadan mereka.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa AS untuk tidak mencetuskan satu lagi konflik ketenteraan di Timur Tengah kerana segala konflik ketenteraan di Iraq, Afghanistan, Libya dan Syria sebelum ini tidak pernah mewujudkan keamanan dunia mahupun menjadikan rantau tersebut lebih aman, malah pencerobohan dan campurtangan Amerika Syarikat hanya menyebabkan lebih kesengsaraan di rantau tersebut, menimbulkan krisis pelarian dunia dan mewujudkan tapak pembiakan untuk kumpulan-kumpulan pengganas militan.

Penyelesaian untuk konflik di Timur Tengah hanya akan tercapai apabila kuasa-kuasa Barat tidak lagi mencampurtangan, sementara membenarkan proses demokrasi berlangsung dengan rakyat di negara-negara tersebut menentukan nasib secara sendiri dan mentadbir negara mereka masing-masing tanpa ancaman imperialis. Selain itu, segala sekatan terhadap Iran mesti ditarik balik dan sebarang bentuk masalah harus diselesaikan melalui proses rundingan di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

==========

S. Arutchelvan ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *