oleh Cecilia Anthonysamy
Hasbiah, umur 47 tahun, telah menjadi pekerja pembersihan di sekolah kerajaan di Batu Arang selama 11 tahun. Setiap 3 tahun, dia telah diberi kontrak bekerja untuk 3 tahun seterusnya. Walaupun setiap 3 tahun kontraktor bertukar, dia tidak pernah risau, kerana kontrak pekerjaannya akan tetap diteruskan, sebagai pekerja baru di bawah kontraktor baru.
Tahun ini, pilu menjelang Hari Raya, Hasbiah kehilangan kerja. Dia diberhentikan secara tiba-tiba pada 31 Mei 2019, 5 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Hasbiah amat terkejut. Dia tidak pernah menerima teguran bahawa kerjanya tidak sempurna. Tidak pernah menerima surat amaran. Majikan tidak memberi notis satu bulan, katanya. Tidak ada perbincangan. Tidak ada sebarang pertimbangan daripada pihak majikan tentang nasib pekerja yang diberhentikan.
Kira-kira 25 orang pekerja lain mengalami nasib yang sama di 4 buah sekolah di Batu Arang, Selangor. Malah ramai lagi di seluruh negara. Kira-kira 40,000 orang pekerja dilaporkan diberhentikan oleh kontraktor baru yang mendapat tender Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK ) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia.
Sungguh kejam dan tidak berhati perut sistem kontrak ini yang telah menindas pekerja-pekerja miskin. Ini terjadi selepas format tender baru dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, yang menentukan bilangan pekerja yang diperlukan di sesebuah sekolah. Dulu, bilangan pekerja adalah mengikut bilangan murid. Sekarang ia berdasarkan bilangan blok, dan bilangan aras di setiap blok dan bilangan tandas.
Contohnya, sekolah yang ada 7 blok, 22 aras dan 41 tandas hanya memerlukan 5 orang pekerja. Ini satu perkiraan yang tidak masuk akal.
Macam mana pula 5 orang pekerja akan bersihkan 110 tandas dalam satu hari, di samping menyapu dan membersihkan kawasan sekolah keseluruhannya?
Pekerja yang begitu kurang jumlahnya perlu membuat begitu banyak kerja. Kerja tetap sama. Tetapi ia dilakukan oleh bilangan orang yang berkurangan. Kos bayaran tenaga kerja kini dikurangkan bagi kerja yang sama berat dulu dan sekarang. Ini satu penindasan yang memerah tenaga orang miskin.
Kerja-kerja pembersihan di sekolah sebenarnya ialah satu kerja yang berterusan. Pada satu ketika dahulu, ia adalah kerja tetap di bawah kerajaan yang perlu diteruskan setiap tahun. Adalah tidak adil untuk menukar kerja tetap ini kepada kerja kontrak yang diswastakan kepada orang tengah. Yang untung hanya orang tengah yang menerima kontrak kerajaan. Yang rugi pula adalah pekerja.
Kenapa kerajaan mahu sistem kontrak yang merugikan pekerja?
Sistem kontrak yang digunakan untuk pekerja kebersihan bangunan sekolah dan kawasan (KBK) ialah sebahagian daripada sistem penswastaan yang dimulakan oleh Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Mahathir pada tahun 1983. Tun Mahathir dalam satu kenyataan pada 19 Mac 2019 menyatakan bahawa penswastaan telah mengurangkan beban kewangan, menambah kecekapan dan produktiviti, di samping telah memastikan sumber diagihkan dengan lebih cekap (efficient distribution of resources).
Beliau juga berkata, pengecilan saiz perkhidmatan awam juga tidak bermaksud berlakunya pengurangan peluang pekerjaan terutama apabila penswastaan dilaksanakan.
Tapi realitinya adalah, pekerja yang dulu bekerja dengan kerajaan sebagai pembersih yang tetap di sekolah kini kehilangan kerja tanpa alasan, dan dipecat dengan begitu mudah sekali di bawah penswastaan. Beban kewangan rakyat biasa bertambah. Keuntungan wang untuk kontraktor diutamakan. Jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin bertambah besar. Sumber tidak diagihkan dengan lebih saksama.
Wang gaji yang sepatutnya dibayar terus kepada pekerja pembersihan di sekolah oleh kerajaan, kini perlu dibayar kepada orang tengah (kontraktor) lagi. Perbelanjaan kerajaan sebenarnya bertambah dan ini bukan sistem yang efisien.
Perkhidmatan awam yang dulunya termasuk pekerja kebersihan sekolah telah pun dikecilkan dengan penswastaan, jelas mengurangkan peluang pekerjaan. Pekerja miskin amat kerugian.
Penswastaan kebersihan bangunan dan kawasan (KBK ) yang bermula pada tahun 1994 dilakukan dengan tujuan meningkatkan kualiti kebersihan di sekolah-sekolah. Dengan pengurangan pekerja kontrak yang akan membersihkan kawasan dan faksiliti yang sama besar serta bilangan tandas yang sama, kualiti kerja pasti akan menurun. Penswastaan tidak mengutamakan kualiti, tetapi mengutamakan keuntungan kontraktor, pihak kapitalis yang menjadi orang tengah.
Penganiayaan pekerja di bawah sistem kontrak adalah kepincangan sistem kapitalis yang berpihak pada orang kaya dan yang berkuasa sahaja. Pekerja menerima gaji kecil. Pekerja tidak ada jaminan kerja. Sistem kontrak menindas pekerja miskin.
Siapa akan membela pekerja-pekerja yang dibuang kerja ini?
Walaupun pekerja bekerja di bawah kontraktor swasta, kerajaan adanya tanggungjawab untuk memastikan pekerja tidak dibuang kerja sewenang-wenangnya. Kebajikan pekerja, yang juga rakyat Malaysia, harus dijaga oleh kerajaan yang memberi kontrak ini.
Kerajaan yang menerajui penswastaan yang membiakk sistem kontrak ini harus bertanggungjawab dalam mencari penyelesaian untuk pekerja-pekerja miskin yang tertindas di bawah sistem kontrak.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 31 Januari 2019, Kementerian berkata bahawa ia tidak terlibat dalam soal pengambilan dan penamatan pekerja kontrak pembersihan sekolah. Pembuangan kerja dibuat oleh syarikat kontraktor terlibat bukan kerajaan, katanya. Tetapi syarikat kontraktor hanya mengikut syarat yang ditetapkan oleh Kementerian sendiri yang mengurangkan bilangan pekerja.
Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan harus bertanggungjawab terhadap nasib pekerja-pekerja pembersihan sekolah yang kini kehilangan kerja. Tukar syarat-syarat bilangan pekerja yang diperlukan kepada terma lama supaya lebih setimpal dengan kerja-kerja yang perlu dilakukan.
Ubah sistem kontrak, dan kembali kepada sistem perkhidmatan awam di mana pekerja pembersihan diupah terus di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia. Kementerian tidak rugi apa-apa pun sekiranya pekerja bekerja terus di bawah Kementerian. Hapuskan sistem yang menggunakan orang tengah. Hapuskan sistem kontrak yang menindas pekerja.
==========
Cecilia Anthonysamy ialah aktivis Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Hadiah dr pakatan Harapan…tinggal harapan saja…lain kali minta maaf nak undi PH…
Mmg sistem yg menindas golongan pekerja2 kontrak.Tiada jaminan kje..boleh dibuang sesuka hati tanpa perlu membayar pampasan atau ganti rugi.Dalam keadaan ekonomi yg mencabar..taraf hidup makin tinggi..mencari satu pekerjaan baru amat lah sukar.Banyak cara lain lagi untuk kurangkan bajet negara…kenapa pekerja2 seperti kami yg menjadi mangsa.