12 - imperialism1.jpg

Kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang mempunyai sifat perluasan paling hebat dalam sejarah. Kapitalisme menular dan menelan seluruh dunia tanpa halangan.

Perluasan ekonomi kapitalis berkaitan rapat dengan imperialisme.

Sejarah kapitalisme perindustrian boleh dibahagikan kepada dua peringkat utama:

  • Peringkat persaingan bebas – dari 1760-an (Revolusi Industri) hingga tahun 1880-an
  • Peringkat imperialis – dari tahun 1880-an hingga sekarang

Walaupun Karl Marx tidak dapat membuat kajian mendalam tentang imperialisme (kerana imperialisme belum lagi berkembang hebat seperti yang berlaku selepas kematian Marx), Marxis selepasnya seperti Lenin (1870-1924), Rosa Luxemburg (1871-1919), Rudolf Hilferding (1877-1941) dan Nikolai Bukharin (1888-1983) telah melakukan kajian yang intensif ke atas peringkat baru kapitalisme ini dengan menggunakan teori Marx.

Oleh sebab persaingan dan keinginan kelas kapitalis untuk mendapatkan bahan mentah, pasaran dan peluang pelaburan, imperialisme menjadi berleluasa pada penghujung abad ke-19.

Seperti bentuk sistem kapitalis yang lain, imperialisme mempunyai kuasa penggerak yang luar biasa, dan berubah dalam bentuk-bentuk yang berbeza.

Antara bentuk imperialisme yang wujud pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20:

  • Penjajahan: Demi menjamin penguasaan ke atas pasaran, bahan mentah dan peluang pelaburan, negara kapitalis yang lebih kuat telah menakluk, menjajah dan memerintah negara lain dengan kekerasan tentera.
  • Dasar “pintu terbuka”: Negara kapitalis yang lebih kuat walaupun “menghormati” kedaulatan sesebuah negara yang lain secara rasminya, tetapi memaksa negara tersebut melaksanakan dasar “pintu terbuka” supaya kapitalis dari kuasa besar dapat memasukinya tanpa apa-apa sekatan. Kadang-kadang ini dilakukan melalui “dasar belantan besar” (Big Stick diplomacy).

(Dasar Belantan Besar adalah taktik yang digunakan oleh kuasa-kuasa besar untuk memaksa negara-negara kecil tunduk pada kehendak mereka. Kuasa-kuasa besar menjalankan rundingan secara “damai dan mesra” dengan negara-negara kecil, tetapi pada masa yang sama mengancam dengan kekuatan tenteranya.)

Lenin telah menyifatkan imperialisme sebagai peringkat tertinggi dan terakhir untuk kapitalisme. Lenin menggambarkan imperialisme sebagai lanjutan semulajadi kapitalisme yang timbul akibat daripada keperluan ekonomi kapitalis untuk memperluaskan pelaburan, perolehan bahan mentah dan tenaga manusia dengan apa jua cara pun termasuklah melalui perluasan penjajahan. (Rujukan: Lenin, Imperialism, the Highest Stage of Capitalism)

Mengikut Lenin, imperialisme merupakan satu peringkat sejarah yang khusus untuk kaptalisme. Terdapatnya 3 aspek dalam ciri khusus ini:

  1. Imperialisme adalah kapitalisme monopoli.
  2. Imperialisme adalah kapitalisme yang parasitik atau mereput.
  • Imperialisme adalah kapitalisme yang hampir menemui ajal.

Monopoli menggantikan persaingan bebas, adalah ciri ekonomi asas imperialisme, dan ia merupakan intipati imperialisme. Monopoli ditonjolkan dalam 5 bentuk utama:

  1. Menubuhkan kartel, sindiket dan amanah – pemusatan pengeluaran telah mencapai tahap di mana wujudnya gabungan monopoli yang terdiri daripada kapitalis-kapitalis besar.
  2. Bank besar mencapai kedudukan yang monopolistik – tinggal beberapa buah bank gergasi sahaja yang mengawal seluruh kehidupan ekonomi di negara kapitalis yang maju.
  3. Oligarki kewangan menguasai sumber bahan mentah (modal kewangan merupakan modal industri yang monopoli bergabung dengan modal bank).
  4. Kartel-kartel antarabangsa sudah mula membahagikan dunia (secara ekonomi) antara sesama sendiri. Kartel-kartel ini menguasai pasaran dunia, dan membahagikannya secara “harmoni” (sehinggalah dunia dibahagikan semula melalui perang). Pengeksportan modal, yang berbeza daripada eksport komoditi di bawah kapitalisme bukan monopoli, merupakan fenomena yang sangat nyata dan berkaitan rapat dengan pembahagian dunia secara ekonomi dan wilayah-politik.
  5. Pembahagian wilayah dunia (iaitu pembahagian tanah-tanah jajahan) sudah selesai.

(Rujukan: Lenin, Imperialism and the Split in Socialism)

imp-big_gun.jpg

Bagi menjana keuntungan yang lebih besar daripada pasaran di negara asalnya, bank-bank dan kartel-kartel perindustrian bergabung untuk mewujudkan kapitalisme kewangan (finance capitalism). Modal milik kapitalis kewangan ini dieksport dan dilaburkan di negara yang kurang membangun dari segi ekonomi. Perbuatan pelaburan kewangan ini membawa kepada pembahagian dunia antara syarikat korporat yang monopolistik dan negara kuasa besar. Pembahagian dunia dilakukan dengan perluasan kuasa ketenteraan yang selalunya berakhir dengan penjajahan terus ataupun pemaksaan dasar “pintu terbuka” ke atas negara yang lain.

Dalam proses penjajahan ke atas negara-negara yang kurang membangun, kapitalis-kapitalis besar yang bersaing sesama sendiri dan juga kerajaan negara kapitalis yang mewakili kepentingan mereka terlibat dalam konflik persaingan untuk menguasai tanah-tanah jajahan supaya dapat memeras segala sumber asli dan tenaga kerja di jajahan itu.

Imperialisme memerlukan monopoli kapitalis ke atas pemerasan tenaga buruh dan sumber asli. Ia perlukan pengeksportan modal (bukannya pengeksportan barangan) untuk mengekalkan penjajahannya.

Di negara asal imperialis, keuntungan hebat yang diperoleh daripada pemerasan melalui penjajahan, membolehkan golongan kapitalis di negara itu untuk merasuah ahli politik dan pemimpin pekerja, supaya mereka ini dapat bersekongkol dalam usaha menggagalkan sebarang perlawanan pekerja di negara itu.

Di negara yang dijajah secara terus, negara imperialis akan menempatkan tenteranya untuk memukul sebarang penentangan terhadap penjajahannya dan memerintah melalui institusi pentadbiran yang terletak di bawah arahan terus daripada negara imperialis. Di negara yang separa dijajah, kawalan ke atas negara sebegini adalah secara tidak langsung, iaitu melalui kerajaan yang mesra pada negara imperialis, walaupun negara tersebut mengekalkan kemerdekaannya secara rasmi.

Apabila dunia melangkah ke dalam zaman imperialisme dan kapitalisme monopoli, peranan pasaran kapitalis sedunia tidak lagi mendorong perkembangan “normal” sistem kapitalis malah menghalangnya, khususnya menghalang usaha perindustrian negara-negara yang tidak membangun. Faktor utama terjadi keadaan sedemikian adalah wujudnya ketidakseimbangan dalam pembangunan:

  • Negara maju mengeluarkan komoditi secara besar-besaran kerana tahap produktiviti yang lebih tinggi dan menjual secara murah kepada negara tidak membangun. Ini bukan sahaja membankrapkan perusahaan kraf di negara tidak membangun yang tidak mampu bersaing dengan pengeluaran skala besar di negara maju, malah juga menghalang perkembangan perindustrian di negara tidak membangun.
  • Modal berlebihan yang tertumpu dalam tangan kapitalis monopoli di negara maju, telah dieksport secara besar-besaran ke negara tidak membangun, mendirikan zon pengeluaran industri di negara tidak membangun yang berfungsi sebagai tambahan atau sokongan kepada industri negara maju (bukannya untuk bersaing dengan industri di negara maju). Ini menyebabkan modal asing menguasai hampir sepenuhnya ekonomi negara tidak membangun. Jentera negara tidak membangun digunakan untuk melindungi pelaburan modal asing, malah perkembangan industri baru di negara sendiri juga disekat.
  • Kepentingan kelas pemerintah lama di negara tidak membangun telah diikat bersama kepentingan modal imperialis. Kuasa modal asing mendominasi masyarakat sebegini, dan kelas borjuasi tempatan tidak memegang kuasa pemerintahan. Ini amat berbeza dengan negara kapitalis seperti di Eropah Barat dan Amerika Syarikat yang melalui revolusi demokratik borjuis yang menghancurkan sepenuhnya kelas pemerintah lama.

Di negara-negara yang dijajah atau separa dijajah, wujudnya golong oligarki yang terdiri daripada borjuasi komprador dan tuan tanah, yang bersekongkol dengan kuasa-kuasa imperialis, dalam memeras dan menindas tenaga buruh di situ.

(Borjuasi komprador merupakan kelas kapitalis tempatan yang pada awalnya menjadi ejen untuk syarikat import-eksport asing, kemudiannya menjadi ahli perniagaan yang bebas. Perniagaan mereka tertumpu pada sektor komersial dan perkhidmatan, keuntungan mereka dilaburkan dalam perniagaan, pinjaman ceti haram, pembelian tanah dan spekulasi hartanah.)

Imperialism-supporters-400x410.jpg

Kemunduran ekonomi di negara yang tidak membangun bukannya disebabkan negara tersebut kekurangan modal atau kekurangan sumber. Sebaliknya, di negara yang “mundur”, nisbah barangan surplus sosial dalam pendapatan negaranya seringkali lebih tinggi daripada negara maju, dan negara sebegini biasanya kaya dengan pelbagai sumber (lombong, hutan dsb.). “Kemunduran” itu adalah hasil daripada struktur sosio-ekonomi yang terjadi akibat dominasi oleh kuasa imperialis ke atasnya. Modal matawang yang dikumpulkan di negara sebegini bukan digunakan secara utamanya untuk pelaburan dalam pembangunan perindustrian, malah juga bukan untuk pelaburan yang produktif di negara itu. Ini juga menyebabkan pekerjaan tidak mencukupi sehingga merendahkan gaji pekerja.

Pembahagian dunia antara kuasa-kuasa imperialis untuk menguasai tanah jajahan merupakan ciri khas zaman imperialis. Pada tahun 1880 hingga 1905, kuasa-kuasa imperialis telah membahagikan dunia mengikut imbangan kuasa antara mereka, di mana Britain sebagai kuasa terbesar dunia, diikuti dengan kuasa imperialis yang kuat seperti Perancis, Belanda dan Belgium. Sementara itu, negara imperialis “muda” seperti Jerman, Itali, Amerika Syarikat dan Jepun pula masih lagi tidak cukup kuat berbanding imperialis “tua”. Demi memperoleh keuntungan yang lebih daripada proses penjajahan, negara-negara imperialis “muda” cuba mengubah keadaan pembahagian dunia mengikut imbangan kuasa itu dengan melancarkan perang. Maka tercetusnya peperangan seperti Perang Amerika-Sepanyol (1898), Perang Jepun-Rusia (1904-1905), Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua (1939-1945).

Perang imperialis adalah peperangan untuk mengagihkan hasil rampasan, merebut tempat baru untuk pelaburan, berlumba-lumba untuk sumber bahan mentah dan bersaing untuk kawalan ke atas pasaran, bukannya untuk apa-apa “ideal” politik (sama ada untuk menyokong atau menentang demokrasi dan sebagainya). Perang antara kuasa-kuasa imperialis untuk menguasai dunia atau tanah jajahan telah mendatangkan malapetaka yang amat teruk kepada kemanusiaan.

Selepas Perang Dunia II, keseimbangan kuasa di peringkat dunia telah berubah. Kuasa imperialis barat dilemahkan dan sistem penjajahan imperialis yang lama juga berkecai. Gerakan pembebasan nasional merebak di negara-negara kurang membangun (di Asia dan Afrika) yang akhirnya membolehkan kebanyakan negara yang dijajah oleh kuasa-kuasa besar sebelum itu mencapai kemerdekaan. Namun wujudnya persaingan baru antara kuasa-kuasa besar (khususnya antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet semasa zaman Perang Dingin), dan juga bentuk penjajahan yang baru. Kesatuan Soviet walaupun bukan mengamalkan sistem kapitalis, tetapi juga menunjukkan sifat-sifat imperialis, manakala campurtangan secara politik dan ketenteraan oleh kuasa-kuasa barat (terutamanya Amerika Syarikat) juga semakin halus dari segi strategi dan taktiknya. Kontradiksi kapitalisme monopoli masih wujud.

Imperialisme berkaitan rapat dengan perluasan kekuatan tentera (militarisme). Kuasa imperialis memerlukan ketenteraan untuk melindungi kepentingan pelabur dari negara impeiralis. Perluasan ketenteraan juga membolehkan perkembangan ekonomi yang berasaskan pengeluaran senjata ketenteraan.

Penghapusan penjajahan yang terus selepas Perang Dunia II, tidak bermakna sistem imperialis dunia itu sudahpun hancur. Sistem ini masih wujud, hanya berubah rupa bentuknya. Banyak negara yang pernah dijajah (yang digelar “negara sedang membangun”) masih dihadkan peranannya sebagai pengeksport bahan mentah. Negara-negara miskin masih dibuli oleh negara-negara maju dengan sistem perdagangan yang tidak seimbang dan memeras. Jurang pembangunan antara negara-negara miskin dengan negara-negara maju semakin melebar bukannya semakin mengecil.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet pada penghujung abad ke-20, Amerika Syarikat yang mengamalkan dasar ekonomi neo-liberal muncul sebagai satu-satunya kuasa imperialis hebat di dunia dan cuba memaksa negara-negara di seluruh dunia menerima model ekonominya melalui institusi kewangan antarabangsa dan perjanjian perdagangan bebas.

Institusi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Bank Dunia dan sebagainya, memainkan peranan memaksa model ekonomi berbentuk neoliberal ke atas negara-negara di seluruh dunia. Di bawah hegemoni modal, kerajaan di negara yang meminjam daripada institusi kewangan antarabangsa dan membuka pintu kepada pemodal besar, dipaksa melakukan pengubahsuaian terhadap sistem ekonomi supaya mempermudahkan lagi pergerakan modal di negara berkenaan.

Dengan kemunculan kuasa-kuasa baru seperti China, Rusia dan India, imperialisme AS telah dilemahkan. Namun, persaingan antara kuasa-kuasa imperialis telah menggadaikan kepentingan rakyat bawahan dan mengundang lebih konflik yang membahayakan keamanan dunia.

==========

Baca lebih banyak tentang imperialisme di sini:

Imperialisme: Sejauh mana kapitalisme mengganas?

One thought on “Imperialisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *