IPOH, PERAK: 7 orang ibu yang juga merupakan pekerja pembersihan, telah membuat aduan polis di Balai Polis Ipoh, pada Hari Ibu ini, iaitu 12 Mei 2019.
Ketujuh-tujuh orang pekerja pembersihan ini bekerja di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. Mereka telah dianiayai dan dimangsakan oleh pihak majikan, serta diberitahu akan dibuang kerja pada 15 Mei 2019. Ancaman pembuangan kerja ini berlaku setelah mereka berprotes di Jabatan Tenaga Kerja untuk menuntut hak mereka pada 17 April lalu.
Para pekerja percaya bahawa terdapat unsur membalas dendam terhadap pekerja-pekerja yang membuat aduan, dan tindakan sebegini berniat jahat. Mereka telah membuat aduan terhadap syarikat Henry Butcher, ST Powerskills selaku kontraktor lama, Green & Clean Services Sdn. Bhd selaku kontraktor baru, Pengarah Politeknik Ungku Omar dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Turut hadir bersama semasa pekerja-pekerja membuat aduan polis ialah M. Sarasvathy, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Setelah aduan polis dibuat oleh pekerja-pekerja semalam, satu pertemuan telah diatur oleh pihak Kementerian Pendidikan telah berlangsung pada hari ini (13 Mei 2019) antara pekerja-pekerja dengan pihak Politeknik Ungku Omar dan kontraktor utama Konsortium Pae (Ipoh) Sdn Bhd. Perkhidmatan penyelenggaraan untuk Politeknik Ungku Omar telah disumberkan luar kepada Konsortium Pae, sementara kontraktor utama itu menyumberkan luar lagi kerja-kerja pembersihan kepada syarikat Henry Butcher yang kemudiannya memberikan kontrak kepada syarikat kontraktor kecil yang lain.
Setelah perbincangan pada hari ini, pihak syarikat kontraktor utama telah berjanji bahawa pekerja-pekerja pembersihan yang berkenaan tidak akan diberhentikan. Kerja untuk 7 orang ibu tersebut dapat diselamatkan pada ketika ini.
Sistem kontrak telah memangsakan pekerja-pekerja yang bergaji rendah, dengan tiada jaminan kerja dan lebih teruk lagi apabila terpaksa menghadapi syarikat kontraktor yang tidak mematuhi undang-undang buruh. Hanya apabila pekerja kontrak berorganisasi dan bersedia untuk menuntut hak mereka, baru dapat memastikan kerja terjamin dan hak mereka dilindungi.
2 thoughts on “Pekerja pembersihan Politeknik Ungku Omar dapat selamatkan kerja mereka”