Rasisme berkait rapat dengan kapitalisme, malah rasisme itu produk yang dihasilkan daripada kapitalisme dan berfungsi untuk memperkukuhkan sistem kapitalis.
Rasisme ialah sejenis fahaman atau ideologi yang mendiskriminasi segolongan manusia berdasarkan ciri-ciri perkaumannya. Rasisme ditunjukkan dalam prejudis terhadap sesuatu kaum yang lain dan tindakan yang bersifat diskriminasi atau pilih kasih berasaskan kaum. Kapitalisme pula merupakan sistem sosio-ekonomi yang melibatkan pengeluaran komoditi secara besar-besaran melalui eksploitasi terhadap tenaga buruh untuk menjana keuntungan yang maksimum kepada kelas kapitalis.
Memahami punca wujudnya suatu ideologi
Semua idea yang wujud dalam masyarakat, termasuk rasisme, adalah gambaran terhadap keadaan masyarakat dan hubungan pengeluaran sosial pada masa tertentu. Idea-idea yang wujud dalam masyarakat perlu dikaji sebagai hasil perkembangan sejarah melalui pendekatan materialis. Memahami sebarang idea tanpa pendekatan materialis adalah seperti memeriksa bayang-bayang tanpa mengkaji objek yang menghasilkannya. Untuk memahami rasisme, adalah perlu untuk mengkaji keadaan sejarah spesifik yang menghasilkannya, mengekalkannya dan mengubahsuainya.
Hubungan antara kelas yang wujud bergantung pada bagaimana masyarakat itu menyusun pengeluaran kekayaan dan pengagihan kekayaan, menjadi asas kepada keadaan masyarakat dalam sesuatu masa tertentu. Terdapat pelbagai bentuk masyarakat kelas yang wujud sepanjang sejarah tamadun manusia, dengan ciri am masyarakat kelas sebegini adalah: kelas pemerintah yang minoriti memeras surplus/kekayaan yang yang dijana oleh rakyat majoriti yang menaburkan tenaga buruh mereka. Ini adalah pembahagian asas dalam masyarakat kelas.
Sistem kepercayaan ataupun ideologi yang berbeza muncul untuk “mewajarkan” posisi kelas pemerintah dan memujuk atau mengindoktrinasikan massa rakyat untuk menerima eksploitasi terhadap mereka. Bentuk masyarakat kelas yang berlainan memerlukan ideologi yang berlainan untuk memberi alasan kepada kewujudannya. Namun, proses “pembodohan” minda rakyat melalui penyebaran ideologi sebegini tidak semestinya berkesan setiap masa kerana sejarah menunjukkan bahawa pernah berlaku pelbagai kebangkitan rakyat bawahan yang mencabar kekuasaan kelas pemerintahan dari semasa ke semasa apabila konflik antara kelas memuncak.
Selain pertentangan antara kelas, puak-puak yang saling bersaing dalam kelas pemerintah turut memainkan peranan penting dalam menentukan perkembangan masyarakat dan ideologi yang muncul daripadanya. Misalnya, persaingan antara kelas kapitalis di negara imperialis yang berbeza, ataupun konflik yang wujud antara kelas kapitalis yang baru muncul dengan kelas pemerintah feudal yang semakin merosot pada peringkat awal perkembangan sistem kapitalis, telah mencorak perkembangan sejarah moden dan melahirkan ideologi baru mengikut keadaan.
Kepentingan yang bercanggah antara kelas-kelas sosial yang berlainan mewujudkan asas sosial yang sebenar kepada pembentukan prejudis kaum, diskriminasi dan penindasan berdasarkan kaum. Dalam perjuangan antara kelas sosial, perbezaan dalam kaum, gender, orientasi seksual dan agama sering digunakan untuk mewujudkan bentuk pertentangan yang berkaitan dengan ideologi seperti rasisme, seksisme, homofobia dan prejudis agama. Kewujudan ideologi yang memecah-belahkan masyarakat menambahkan lapisan yang kompleks kepada keadaan sosial yang sedia ada.
“Pecah dan perintah” dalam masyarakat kapitalis
Rasisme telah menjamin kepentingan kelas pemerintah. Kewujudan rasisme mencerminkan hubungan kuasa dalam masyarakat kelas, yang sering ditunjukkan dari segi penguasaan terhadap sesuatu wilayah ataupun akses kepada sumber kekayaan. Dalam masyarakat pra-kapitalis, konflik yang melibatkan identiti kaum yang berbeza berlaku biasanya pada ketika untuk merebut sumber alam di sesuatu kawasan antara kelompok masyarakat yang berlainan. Namun, di bawah sistem kapitalis, rasisme menjelma dalam bentuk yang berterusan dan bersifat institusi.
Pertentangan kelas merupakan percanggahan asas dalam masyarakat kapitalis. Namun, kita juga tidak boleh mengabaikan percanggahan atau konflik dari aspek lain (seperti kaum, agama, wilayah dan gender) yang saling berkait dengan perkembangan percanggahan kelas dalam sistem kapitalis.
Kapitalisme ialah sebuah sistem sosio-ekonomi yang berasaskan eksploitasi terhadap majoriti rakyat yang merupakan tenaga buruh oleh segolongan kecil kapitalis. Oleh sebab sistem ini didirikan atas dasar ketidaksamarataan yang hebat, maka ia perlu menggunakan pelbagai kaedah untuk memecah-belahkan rakyat majoriti, termasuk mempermainkan sentimen perkauman yang melagakan rakyat yang berbilang kaum, demi mengekalkan keseinambungan masyarakat yang penuh dengan penindasan dan ketidakadilan ini.
Kapitalisme bergantung pada rasisme sebagai salah satu sumber untuk menjana keuntungan, dan lebih penting lagi sebagai cara untuk “pecah dan perintah” dalam masyarakat kapitalis. Rasisme atau perkauman diperlukan untuk mewujudkan benteng di kalangan pekerja yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya, supaya mengelakkan pekerja-pekerja dan rakyat bawahan yang terdiri daripada berbilang kaum itu bergabung dalam usaha menuntut kesejahteraan bersama yang menggugat kekuasaan kelas pemerintah. Oleh itu, melawan perkauman tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan menentang kapitalis.
Rasisme dan kapitalisme berpisah tiada
Rasisme berpunca daripada perkembangan sejarah kapitalisme sebagai sistem dunia. Rasisme mendorong peperangan, penaklukan dan pembersihan kaum yang menjadi sebahagian penting dalam proses membentuk empayar-empayar penjajah Eropah.
Penindasan kelas yang wujud dalam sistem kapitalis kerana hubungan yang tidak samarata dalam masyarakat kelas moden yang mengkayakan golongan mahakaya yang minoriti melalui eksploitasi buruh golongan majoriti. Rasisme turut dibangunkan pada awalnya untuk “mewajarkan” penghambaan terhadap orang Afrika ketika perluasan kuasa imperialis melalui penjajahan di benua Afrika.
Sejarah rasisme tidak dapat dipisahkan daripada sejarah kapitalisme. Ketika awal perkembangan kapitalisme di Eropah, masyarakat orang asal di benua Amerika dibunuh secara beramai-ramai dan penduduk di Afrika dijadikan hamba, berasaskan fahaman kuasa imperialis yang menganggap orang yang hidup dalam masyarakat pra-kapitalis itu bertaraf lebih rendah dan tiada hak untuk kebebasan seperti yang dinikmati oleh orang berkulit putih di Eropah. Kuasa penjajah memerlukan ideologi rasisme untuk “menurunkan taraf” orang Afrika sebagai manusia dan memberi alasan kepada perluasan penjajahan di tanah yang diduduki oleh orang yang tidak lagi dianggap sebagai manusia. Penghambaan terhadap orang berkulit hitam dari Afrika yang berasaskan fahaman rasis menjadi salah satu sumber penting kepada pembangunan ekonomi kapitalis di Eropah dan Amerika Syarikat pada zaman Revolusi Industri.
Dalam konteks negara kita, masyarakat di Nusantara hanya terdedah kepada sistem kapitalis selepas kedatangan imperialis Eropah. Kuasa penjajah Eropah ingin membolot kekayaan alam di Tanah Melayu untuk dijadikan bahan mentah bagi membangunkan ekonomi kapitalis di negara Eropah. Kuasa penjajah menggunakan keganasan untuk melenyapkan segala penentangan rakyat tempatan terhadap eksploitasi sumber kekayaan tempatan, sementara itu menyokong segelintir kecil golongan bangsawan tempatan untuk terus berkuasa supaya dijadikan “orang tengah” bagi kuasa penjajah untuk meneutralkan penentangan rakyat tempatan. Kuasa penjajah kemudiannya membawa masuk buruh migran dari negara lain untuk bekerja di ladang dan lombong yang mengeluarkan bahan mentah. Buruh migran yang dibawa masuk dari negara lain ini tidak berbeza banyaknya daripada hamba, kerana mereka dilayan sebagai orang yang bertaraf lebih rendah daripada golongan penjajah Eropah.
Walaupun sama-sama datang dari negara “asing”, penjajah Eropah yang datang untuk membolot kekayaan tempatan dilayan sebagai golongan berkeistimewaan, dijadikan “penasihat” atau “penaung” kepada golongan bangsawan tempatan; manakala buruh migran yang datang dalam jumlah yang besar untuk menghasilkan kekayaan kepada penjajah melalui pemerasan berterusan terhadap titik peluh mereka, dilayan sebagai hamba atau barangan yang boleh pakai buang bila-bila masa, dan langsung tiada hak sebagai warganegara.
Warisan perhambaan, imperialisme dan ideologi yang dibawa oleh kuasa imperialis telah tertanam dengan begitu kuat dalam minda rakyat, psikologi sosial dan amalan institusi dalam masyarakat hari ini. Rasisme bukan sekadar diskriminasi, tetapi menjadi sesuatu yang begitu utama kepada kapitalisme. Ia bukan sahaja merangsang penjanaan keuntungan, tetapi juga berfungsi untuk menyokong hubungan pengeluaran kapitalis, dengan memecah-belahkan kelas pekerja sama ada di pusat-pusat metropolitan yang tertumpunya modal besar ataupun di negara-negara sedang membangun yang berada di bawah kekuasaan neo-kolonial.
Namun, di mana adanya penindasan, di situ adanya penentangan. Eksploitasi terhadap hamba dari Afrika di benua Amerika ataupun buruh migran yang dibawa masuk dari India dan China ke Tanah Melayu, telah membawa kepada perjuangan kelas yang berterusan, dari perjuangan menuntut gaji yang lebih tinggi dan layanan yang lebih baik, kepada perjuangan menentang kuasa penjajah yang turut melibatkan rakyat miskin tempatan. Pemberontakan hamba berkulit hitam di Saint-Domingue pada tahun 1791 akhirnya membawa kepada pembentukan negara Haiti yang merdeka. Banyak perjuangan pekerja di Dunia Barat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 digerakkan oleh pekerja-pekerja imigran, sama ada mereka yang dipaksa berhijrah dari kawasan luar bandar yang mundur ke bandar yang maju ataupun mereka yang dipaksa berhijrah dari negara kurang maju ke negara perindustrian yang maju. Perjuangan buruh di Tanah Melayu pula menjadi penggerak awal kepada usaha perjuangan anti-penjajah di tanahair kita.
Rasisme mengekalkan kekuasaan kapitalis
Tujuan utama rasisme diwujudkan adalah untuk memecah-belahkan rakyat kelas bawahan berasaskan kaum. Rakyat bawahan yang terdiri daripada pekerja, petani, penjaja jalanan, peniaga kecil dan sebagainya dipecah-belahkan dan dilagakan sesama sendiri sehingga tidak dapat bersatu dalam menghadapi kelas pemerintah, iaitu golongan pemodal yang juga biasanya turut terdiri daripada berbilang kaum.
Golongan pemodal melaburkan modal untuk menjana keuntungan yang membolehkan mereka mengumpul lebih banyak modal. Ini adalah logik penggerak ekonomi kapitalis. Untuk menjana keuntungan yang lebih tinggi, pemodal akan mengurangkan kos pengeluarannya. Kos buruh, iaitu upah yang dibayar kepada pekerja, merupakan kos yang utama bagi kapitalis. Jadi, gaji yang lebih rendah, mendatangkan keuntungan yang lebih tinggi untuk kapitalis. Fungsi utama rasisme adalah mengekalkan perpecahan antara pekerja secara ekonomi dan politik. Apabila pekerja yang dipecahkan secara ekonomi (kadar gaji yang berbeza untuk pekerja mengikut kaum, gender, tempatan/migran dan sebagainya) dan politik (pengwujudan sentimen perkauman di kalangan pekerja), keupayaan mereka untuk bergabung demi kepentingan bersama akan dilemahkan. Jika keupayaan pekerja untuk membentuk atau menyertai kesatuan sekerja dikurangkan, maka keupayaan pekerja untuk mendesak peningkatan gaji akan turut merosot, dan keuntungan kapitalis dapat dimaksimumkan lagi. Rasisme memanfaatkan kapitalis, tetapi menjahanamkan pekerja-pekerja yang terdiri daripada berbilang kaum.
Jika pekerja yang terdiri daripada berbilang kaum mempunyai syak wasangka sesama sendiri berdasarkan sentimen perkauman, maka sukar untuk mereka berpakat dan membentuk kesatuan sekerja yang kuat. Tanpa kesatuan sekerja yang kuat, kuasa rundingan pekerja turut menjadi lemah, dan tidak dapat memperjuangkan kepentingan kelas pekerja secara berkesan. Pada hari ini, apabila majikan mengupah ramai pekerja migran dari luar negara, pekerja tempatan akan terasa jaminan kerjanya tergugat, dan menaruh perasaan tidak senang hati terhadap rakan sekerjanya yang datang dari luar negara. Pekerja tempatan menganggap pekerja migran yang datang dari negara lain telah merampas peluang pekerjaan mereka ataupun pekerja migran itu adalah punca kepada kesusahan hidup mereka. Pekerja tempatan takut atau ragu-ragu untuk menuntut hak pekerja kerana majikan akan mengugut untuk menggantikan pekerja tempatan dengan pekerja migran; pekerja migran pula tidak dapat menuntut layanan yang lebih baik secara berkesan kerana tidak mendapat sokongan daripada pekerja tempatan yang mengambil sikap bermusuhan terhadapnya.
Mencabar rasisme dengan solidariti rakyat
Diskriminasi boleh wujud dalam bentuk yang berbeza pada masa yang berlainan. Kita perlu sentiasa mencabar diskriminasi, tetapi hanya sekadar berusaha untuk penghapusan diskriminasi tidak mencukupi untuk mencabar kapitalisme yang membiak rasisme.
Penindasan adalah sesuatu yang intrinsik kepada kapitalisme, walaupun ia juga menjelma dalam pelbagai bentuk. Asas kepada penindasan dalam sistem kapitalis adalah eksploitasi kelas. Penindasan ialah fungsi untuk masyarakat kelas dan ia juga produk daripada masyarakat kelas. Kelas kapitalis pada hari ini sering menekankan bahawa perlu untuk bersikap “inklusif” untuk melawan diskriminasi (tetapi mengabaikan penindasan yang wujud), sebagai usaha mewujudkan wajah keharmonian dalam masyarakat kapitalis. Sering kita lihat iklan yang menampilkan kepelbagaian kaum ataupun pemimpin politik berucap tentang “perpaduan nasional”.
Melawan rasisme bukannya hanya beretorik tentang “inklusif” atau membuat iklan yang menampilkan kepelbagaian kaum. Perlu adanya perspektif kelas dalam menganalisis rasisme. Diskriminasi kaum dan penindasan harus ditentang secara bersama dengan kesedaran kelas yang jelas. Perjuangan berasaskan kelas adalah cara yang terbaik untuk melawan rasisme. Kita perlu memobilisasi rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk menentang eksploitasi demi kepentingan bersama dalam membina sebuah masyarakat yang lebih adil.
Perjuangan menentang kapitalisme yang menggabungkan kelas pekerja dan rakyat terbanyak yang bersifat multi-etnik, bukan sahaja strategi yang paling berkesan untuk melawan sistem kapitalis yang mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat biasa, malah juga cara yang terbaik untuk membasmi politik perkauman dalam masyarakat kita.