20190507 - art021.jpg“Teater itu sendiri bukannya revolusioner; ianya raptai untuk revolusi.” – Augusto Boal

Dalam pemahaman biasa kita, teater ialah sejenis seni persembahan yang melibatkan lakonan secara langsung di atas pentas. Pelakon-pelakon membuat pertunjukan di atas pentas, sementara penonton-penonton menghayati persembahan di bawah pentas. Namun, ini bukannya satu-satu bentuk teater yang wujud. Pernahkah anda dengar tentang Teater Kaum Tertindas?

Teater Kaum Tertindas (Teatro do Oprimido) bukannya sekadar pertunjukan pentas, tetapi sejenis kaedah pendidikan komuniti yang menggunakan seni teater yang interaktif sebagai alat untuk mentransformasi masyarakat.  Teater Kaum Tertindas merupakan bentuk teater di mana penonton bukan lagi sekadar penonton, tetapi menjadi aktif dalam meneroka, menunjukkan, menganalisis dan mengubah realiti yang mereka hidup dalamnya.

Teater Kaum Tertindas ialah bentuk seni yang bersifat penyertaan, pemberdayaan dan pembebasan untuk memberi inspirasi kepada tranformasi masyarakat. Peserta dalam Teater Kaum Tertindas biasanya menjadi “spect-actor”, iaitu bukan memainkan peranan sebagai penonton (spectator) semata-mata, tetapi juga terlibat dalam proses lakonan sebagai pelakon (actor) yang beraksi dan memberi makna kepada persembahan itu.

Teater Kaum Tertindas dibangunkan pada tahun 1970-an oleh Augusto Boal, seorang pengamal teater berhaluan kiri dari Brazil.

20190507Augusto-Boal-001.jpg
Augusto Boal

Asal usul dan pengasas Teater Kaum Tertindas

Augusto Boal (1931-2009) didedahkan kepada teknik-teknik seni teater yang diperkenalkan oleh Konstantin Stanislavski (tokoh persembahan pentas yang terkenal dari Rusia) dan Bertolt Brecht (pengamal teater Marxis dari Jerman) semasa beliau belajar di New York pada tahun 1950-an. Selepas Boal pulang ke Brazil, beliau mula membuat eksperimen dengan bentuk teater yang tidak pernah dilihat di Brazil. Pada tahun 1960-an, khususnya selepas kudeta tentera pada tahun 1964, Boal mula terlibat dalam teater berkesedaran sosial yang mengambil pendirian politik yang sangat radikal.

Namun, jenis teater yang diamalkan oleh Boal pada masa itu masih dalam bentuk yang agak konvensional, di mana jarang atau langsung tiada “pemecahan dinding keempat” (iaitu watak dalam persembahan sedar akan kewujudannya dalam dunia rekaan dan dapat berinteraksi dengan penonton). Pelakon hanya pelakon yang membuat persembahan di atas pentas, dan penonton sekadar menonton secara pasif dengan sedikit atau langsung tiada interaksi sebenar.

Pada satu hari, kumpulan teater Boal membuat persembahan di hadapan petani-petani di kawasan luar bandar. Pelakon-pelakon menggesa penduduk-penduduk kampung yang menonton persembahan itu untuk bangkit melakukan revolusi. Selepas persembahan itu selesai, seorang penduduk kampung mendekati Boal dan berkata, “Kami suka pada apa yang kau katakan! Kami ada senjata… Kita boleh mulakan pemberontakan bila-bila masa!” Boal terasa agak bingung dan berkata, “Tapi anda tidak faham. Kami hanyalah pelakon, bukannya askar. Kami mempersembahkan drama tentang situasi rakyat yang dahsyat.” Orang kampung itu berkata, “Jadi anda sudi untuk menumpahkan darah orang lain, tapi bukan diri kamu sendiri?” Boal yang berasa malu dengan persoalan yang dilontarkan oleh orang kampung, telah pulang ke bandar dan memulakan proses penilaian semula yang berpanjangan serta mendalam.

Boal sedar bahawa orang yang menjadi sasarannya untuk menyampaikan ideanya sudahpun mempunyai pemahaman yang mendalam mengenai realiti kehidupan mereka, di mana beliau dan pelakon-pelakon dari latar belakang yang menikmati lebih keistimewaan berbanding orang-orang kampung tidak dapat memahami sepenuhnya. Dari insiden inilah, Boal mula menilai semula peranannya sebagai pengamal teater dan apa fungsi teater serta bagaimana teater itu patut dipersembahkan. Daripada diskusi dan refleksi yang mendalam, maka terbangunnya teknik baru yang dipanggil Teater Kaum Tertindas.

Boal telah membangunkan kaedah teater berasaskan inspirasi daripada idea-idea dalam buku “Pedagogi Kaum Tertindas” yang ditulis oleh Paulo Freire, kenalan rapat Boal yang merupakan seorang pendidik berhaluan kiri yang terkenal di Brazil.

Oleh sebab penglibatan Boal dalam komuniti setempat dengan teknik teater barunya yang bersifat pembebasan, beliau dianggap sebagai ancaman kepada rejim ketenteraan yang memerintah Brazil pada masa itu. Pada tahun 1971, Boal ditahan dan diseksa. Boal kemudiannya hidup dalam buangan untuk selama 14 tahun sebelum pulang semula ke Brazil pada tahun 1986. Boal menubuhkan Pusat untuk Teater Kaum Tertindas (Centro de Teatro do Oprimido, CTO) di Rio de Janeiro, sebagai satu tempat untuk mengkaji dan meneroka isu-isu sosial dengan menggunakan kaedah teater.

Pada tahun 1992, Boal bertanding dalam pilihanraya untuk ahli majlis bandar di Rio de Janeiro sebagai satu aksi teater, dan beliau dipilih menjadi ahli majlis. Boal telah menggunakan kesempatannya sebagai ahli majlis untuk memulakan proses “Teater Perundangan”, yang membolehkan pengundi-pengundi melibatkan diri dalam penggubalan undang-undang.

201905072344289_orig.jpg

Alat untuk perubahan masyarakat

“Tujuan Teater Kaum Tertindas adalah untuk memanusiakan semula kemanusiaan.” – Augusto Boal

Teater Kaum Tertindas telah berkembang menjadi satu kaedah pendidikan komuniti yang digunakan secara meluas di seluruh dunia untuk tujuan aktivisme sosial, penyelesaian konflik, pembinaan komuniti, terapi masyarakat dan proses menggubal undang-undang. Kaedah Teater Kaum Tertindas digunakan di peringkat akar umbi oleh aktivis sosial, pengelola komuniti, guru, pekerja sosial dan lain-lain lagi sebagai kaedah untuk mengkaji, membincangkan dan menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti akar umbi.

Teater Kaum Tertindas menggalakkan pemikiran kritis, di mana ia menganalisis bukannya menerima realiti, mempersoalkan bukannya hanya memberi jawapan, dan juga “melakonkan” atau beraksi bukannya sekadar bercakap. Dalam Teater Kaum Tertindas, penonton bukannya sekadar menonton secara pasif, tetapi juga merupakan pelakon dalam aksi teater. Teater Kaum Tertindas biasanya melibatkan permainan secara berkumpulan, dialog dan interaksi antara penonton dengan pelakon. Melalui bahasa teater yang membangkitkan perasaan, setiap orang dijemput untuk berkongsi pendapat tentang isu-isu yang dihadapi mereka. Teater Kaum Tertindas merupakan sejenis bentuk seni pendidikan yang bersifat pembebasan.

Dalam proses membangunkan Teater Kaum Tertindas, Boal pernah bekerjasama dengan banyak komuniti dan mencuba banyak teknik. Teknik-teknik ini kemudiannya bergabung menjadi gaya teater yang berbeza, di mana setiap cabang gaya teater menggunakan proses yang berbeza untuk mencapai hasil yang berbeza.

20190507 - TO-Tree.jpg

Boal biasanya menggambarkan sistem Teater Kaum Tertindas sebagai sebatang pokok, di mana:

  • Imej, bunyi dan perkataan sebagai akar pokok;
  • Permainan, Teater Imej dan Teater Forum sebagai batang pokok;
  • Teknik-teknik lain seperti Teater Suratkhabar, Teater Perundangan, Pelangi Keinginan bertumbuh sebagai cabang.

20190507 - 825597_orig.jpg

Teknik-Teknik Teater Kaum Tertindas

Teater Imej

Kata-kata hanyalah kekosongan yang mengisi vakum atau kekosongan yang wujud antara seorang manusia dengan manusia lain. Kata-kata adalah garisan yang kita ukir atas pasir, bunyi yang kita hasilkan dalam udara. Kita tahu tentang maksud kata yang kita sebutkan, kerana kita memenuhinya dengan keinginan, idea dan perasaan kita, tetapi kita tidak tahu bagaimana kata itu akan didengar oleh setiap orang yang mendengarnya. Teater Imej ialah siri teknik yang membolehkan orang berkomunikasi melalui imej dan ruang, bukannya sekadar melalui kata-kata.

Teater Imej ialah satu teknik persembahan yang melibatkan seorang berlakon sebagai pengarca, yang mengarahkan seorang atau beberapa orang yang lain sebagai patung, dengan menggunakan hanya sentuhan dan mengelakkan daripada penggunaan kata-kata atau pemodelan secara imej cermin (iaitu seseorang meniru sepenuhnya apa yang dilakukan oleh orang lain). Peserta dalam Teater Imej membentuk “patung manusia”, imej beku yang menunjukkan pengalaman, perasaan, idea atau harapan mereka.

Teknik ini mudah dilakukan dan berkeupayaan luar biasa dalam menggambarkan pemikiran dalam bentuk yang konkrit tanpa ungkapan bahasa. Setiap orang mempunyai penafsirannya yang tersendiri tentang sesuatu perkataan, misalnya “revolusi”, maka adalah lebih jelas memahami definisi sesuatu perkataan dengan menunjukkannya secara imej nyata berbanding sekadar memberitahu secara percakapan.

201905079691528_orig.jpg

Teater Forum

Teater Forum ialah satu teknik menyelesaikan masalah yang menggunakan kaedah lakonan teater. Teater Forum mempersembahkan satu senario penindasan yang belum selesai, di mana protagonis tidak dapat atau tidak tahu bagaimana mengatasinya. Penonton dijemput untuk menggantikan protagonis ini atau menambahkan watak dalam situasi ini, dan melakonkannya di atas pentas, semua penyelesaian, idea dan strategi yang berkemungkinan untuk mengatasi masalah yang dipersembahkan.

Persembahan Teater Forum biasanya melibatkan seorang yang berlakon sebagai “joker”, iaitu faksilitator yang memainkan peranan menanya soalan kepada penonton untuk menilai apa yang berlaku dan menyelaraskan penglibatan penonton dalam aksi lakonan.

Teknik ini boleh digunakan untuk meneroka keadaan yang lampau dan sekarang, ataupun sebagai “raptai untuk masa depan”.

Teater Suratkhabar

Sistem yang terdiri daripada 12 teknik ini memberikan penonton alat-alat pengeluaran seni dan bukannya produk seni yang sudah siap. Sistem teknik ini direka untuk memberikan penonton cara untuk mengubah tulisan berita dalam suratkhabar atau apa-apa tulisan yang bukan drama (seperti laporan kajian, teks dokumen penting, petikan daripada Perlembagaan sesebuah negara dan sebagainya) kepada adegan teater. 12 teknik dalam Teater Suratkhabar ialah:

  • Pembacaan secara mudah: Artikel berita dibaca tanpa ulasan atau komen, tetapi dipisahkan daripada konteks suratkhabar, supaya penonton tidak dipengaruhi oleh naratif yang berat sebelah kepada sesuatu pendirian. Teknik ini paling mudah dan juga langkah pertama untuk sebarang transformasi teks. Pemilihan dan pembacaan berita dalam satu kumpulan menjadikannya satu teater dan acara awam.
  • Pembacaan saling melengkapi: Artikel berita dibaca, tetapi maklumat yang biasannya ditinggalkan oleh akhbar atau kelas pemerintah ditambahkan ke dalam berita untuk menjadikannya lebih “lengkap”. Maklumat tambahan boleh dicari daripada sumber lain seperti berita, kajian atau pengetahuan yang ada pada anggota kumpulan.
  • Pembacaan bersilang: dua berita yang bercanggah atau berkaitan dibaca dalam bentuk bersilang, untuk melengkapkan atau membezakan sesama sendiri dalam dimensi baru.
  • Pembacaan secara berirama: Artikel berita dibaca (atau dinyanyikan) dengan mengikut irama, di mana berita “ditapis” oleh konotasi irama baru yang membolehkan komentar kritikal secara berirama atau mendedahkan kandungan sebenar yang pada asalnya tersembunyi dalam suratkhabar.
  • Aksi selari: Artikel berita dibaca, sementara pelakon meniru aksi secara selari, untuk menunjukkan sama ada dalam konteks peristiwa itu benar-benar berlaku atau melengkapi cerita yang dibacakan.
  • Penambahbaikan: Berita ditambahbaikkan atas pentas untuk meneroka semua kelainan dan kemungkinan. Ia terbuka kepada lakonan semula, cadangan dan penglibatan daripada penonton.
  • Pembacaan secara sejarah: Artikel berita dibaca, ditambah dengan fakta atau adegan yang menunjukkan peristiwa yang sama dalam babak sejarah yang lain atau di negara atau sistem sosial yang lain.
  • Pengukuhan: Artikel berita dibaca atau dinyanyikan dengan iringan bahan-bahan yang mengukuhkan penyampaian, seperti audio/visual, persembahan slaid, iklan atau bahan-bahan publisiti.
  • Pengkonkritan abstrak: Menunjukkan secara jelas dan konkrit di atas pentas kandungan berita yang abstrak atau terma-terma yang selalu digunakan, seperti penyeksaan, kelaparan dan pengangguran. Gambaran grafik, sama ada secara nyata atau simbolik, digunakan untuk menuntut semula kesan emosi terhadap konsep yang abstrak.
  • Teks di luar daripada konteks: Berita dipersembahkan di luar konteks di mana ia diterbitkan pada asalnya. Misalnya, seorang pelakon melakonkan Perdana Menteri yang sedang menyampaikan ucapan tentang pengurangan perbelanjaan kebajikan kepada rakyat ketika menikmati makanan yang mewah. Ini membongkarkan kebenaran di sebalik kata-kata.
  • Pemasukan ke dalam konteks sebenar: Membawa teks ke dalam konteks sebenar di mana masalah berlaku (misalnya membaca tulisan yang menggambarkan perang berlatarbelakangkan pentas medan perang).
  • Integrasi atau wawancara lapangan: Watak dalam berita ditemubual di atas pentas. Ini membolehkan siasatan secara dinamik dengan penonton.

Teater Tidak Dapat Dilihat

Menjadi warganegara untuk sesebuah masyarakat tidak bermaksud hanya hidup dalam masyarakat itu, tetapi mentransformasinya. Jika seseorang mengubah tanah liat kepada patung, orang itu menjadi pengarca; jika seseorang mengubah batu-bata kepada sebuah rumah, orang itu menjadi arkitek; jika seseorang mengubah masyarakat kita kepada sesuatu yang lebih baik untuk semua orang, orang itu menjadi warganegara. Ini adalah penglibatan secara langsung rakyat dalam masyarakat, berdasarkan kepentingan umum, untuk mencetuskan perbahasan dan memperjelaskan masalah yang perlu diselesaikan. Ia hendaklah tidak menggunakan keganasan kerana tujuannya adalah untuk mendedahkan keganasan yang wujud dalam masyarakat, bukannya menghasilkan semula keganasan.

Teater Tidak Dapat Dilihat ialah bentuk persembahan teater yang melakonkan isu-isu sosial di tempat awam, seperti jalanan, dataran pusat bandar, bas dan pusat beli-belah. Pelakon akan cuba menyembunyikan hakikat bahawa ianya satu persembahan daripada mereka yang menonton dan mereka yang mungkin memilih untuk mengambil bahagian dalamnya, menggalakkan penonton untuk melihatnya sebagai satu peristiwa yang benar-benar berlaku. Teknik ini pada asalnya digunakan dalam konteks suasana politik yang menyekat penganjuran dialog secara terbuka tentang isu-isu kontroversi.

Cop-in-the-head

Teknik Cop-in-the-head (polis dalam kepala) meneroka penindasan dalaman, termasuk suara dalam hati, mesej masyarakat yang terpendam dalam minda, rintangan minda, ketakutan dan sebagainya, yang menghalang seseorang daripada menjalani kehidupan secara sepenuhnya dan bebas daripada penindasan. Teknik ini lebih kepada mendedahkan “polis” dalam minda seseorang, berbanding hanya menfokus pada penindas luar.

20190507 - So-Many-Words-Boal-Ceasefire.jpg

Upacara dan Topeng

Teknik ini bertujuan untuk mendedahkan superstruktur ideologi masyarakat dalam bentuk upacara. Teknik menyusun semula kedudukan sosial peserta dalam upacara sosial, dengan menggunakan “topeng sosial” untuk mengkaitkan suatu watak dengan satu kelas atau pekerjaan. Watak-watak dipecahkan kepada topeng-topeng sosial mereka dan upacara-upacara masing-masing. Topeng atau simbol yang berbeza boleh digabungkan untuk menghasilkan keadaan dalam versi berlainan. Seorang polis memakai topi yang menjadi simbol kepada kapitalis, tetapi apa akan berlaku jika dia pakai helmet keselamatan yang menjadi simbol kepada pekerja? Apakah kesannya terhadap upacara dan struktur peranannya?

Pelangi Keinginan

Banyak penindasan yang konkrit mendatangkan kerosakan yang mendalam kepada perasaan, emosi dan minda kita. Terdapat 15 teknik yang digolongkan dalam “Pelangi Keinginan” yang digunakan untuk membantu kita dalam mevisualisasikan secara teater penindasan dalaman kita dan menanganinya.

Teknik ini berasal daripada Teater Imej dan lebih memfokus pada bentuk penindasan dalaman yang dilakonkan oleh protagonis berhubung dengan antagonis. Teknik ini mendekonstruksikan cerita ketegangan yang dihadapi seseorang dalam hubungan seperti majikan/pekerja, ibubapa/kanak-kanak, rakan sekerja, pasangan bercinta, kawan dan sebagainya. Teknik ini memainkan semula situasi dalam kehidupan harian kita dan mendedahkan unsur-unsur yang tidak kelihatan dalam hubungan sosial, emosi, halangan mental dan keinginan yang menyekat kita daripada menjadi diri sendiri yang sebenar. Dengan menggunakan Teater Imej, kita dapat mengenalpasti dan menghidupkan pelbagai emosi dan kuasa penggerak, seperti ketakutan, keinginan dan konflik dalaman yang mungkin berlaku dalam seorang atau kedua-dua watak. Proses ini akan melangkaui cerita individu dan menjadi penerokaan terhadap pengalaman kolektif dalam kumpulan. Pelangi Keinginan mewujudkan “wajah” kepada sistem pemikiran dan perasaan dalam diri kita. Teknik ini dapat digunakan sebagai terapi yang bersifat pembebasan dan mengubah kehidupan.

Teater Mitos

Teater Mitos menceritakan semula mitos atau naratif secara logik untuk mendedahkan kebenaran di sebaliknya. Ini boleh termasuk mendedahkan subteks dalam suatu mitos, misalnya raksasa mungkin boleh jadi kapitalis atau tuan tanah dalam realiti. Mitos dan lagenda urban boleh dianggap sebagai pemitosan sesuatu kebenaran tersembunyi yang boleh didedahkan. 

Teater Analitikal

Teater Analitikal melibatkan peserta menceritakan satu kisah dan pelakon akan memperbakinya. Selepas itu, setiap watak dipecahkan kepada peranan sosial mereka dan peserta akan memilih satu objek fizikal untuk menjadi simbol setiap peranan. Dengan menganalisis watak-watak dalam lakonan, cerita yang sama dilakonkan semula dengan cubaan baru, di mana sesetengah simbol untuk watak dialihkan, begitu juga peranan sosial yang berkaitan. Misalnya, dalam satu cerita berkaitan perompak, ia akan dilihat berbeza jika perompak itu memakai pakaian uniform polis atau berpakaian kot macam kapitalis.

Simbol-simbol ini disusun semula untuk menunjukkan bagaimana mereka mempengaruhi keadaan secara berbeza. Melalui kaedah ini, peserta akan menyedari bahawa tindakan manusia bukan secara eksklusifnya hasil daripada psikologi atau sifat manusia, tetapi bertindak atas kepentingan kelas juga.

20190507 - 8331126_orig.jpg

Memecahkan Penindasan

Teknik “Memecahkan Penindasan” melibatkan peserta dikenakan untuk mengingat semula satu detik tertentu di mana dia terasa ditindas, menerimanya dan menyerah kalah dengan bertindak secara bercanggah dengan keinginannya sendiri. Peserta menggambarkan insiden tersebut, kemudiannya menyusun semula dan melakonkan semula dengan peserta lain. Persembahan ini diulangi dengan orang yang ditindas disuruh untuk melawan balik mengikut keinginannya sementara yang lain masih kekalkan penindasan itu. Lakonan konflik ini membantu dalam menilai kemungkinan seseorang itu melawan balik dalam situasi di mana dia gagal melakukannya, di samping menilai kekuatan sebenar musuh. Melatih untuk melawan balik terhadap penindasan dapat mempersiapkan diri seseorang untuk melawan secara efektif dalam keadaan serupa yang mungkin akan dihadapinya pada masa depan.

Teater Perundangan

Sekadar teater tidak mencukupi untuk mengubah realiti. Teater Perundangan ialah penggunaan segala bentuk Teater Kaum Tertindas dengan tujuan mentransformasikan keinginan rakyat kepada undang-undang. Pendekatan ini dibangunkan oleh Augusto Boal ketika beliau dipilih menjadi ahli majlis di bandar Rio de Janeiro, untuk memberi peluang kepada pengundinya menyuarakan pandangan mereka. Teknik-teknik dalam Teater Kaum Tertindas digunakan untuk mengumpul pandangan secara langsung daripada rakyat dan mencadangkan undang-undang yang patut digubal.

Teater Perundangan membuka ruang untuk dialog antara rakyat biasa dengan badan-badan berkuasa. Boal menggelar proses perundangan sebegini sebagai “Demokrasi Transitif”, di mana ia terletak di antara demokrasi secara langsung dan demokrasi perwakilan.

“Saya percaya bahawa semua kumpulan teater yang benar-benar revolusioner patut memindahkan kepada rakyat alat-alat pengeluaran dalam teater supaya rakyat sendiri boleh menggunakaannya. Teater adalah senjata, dan rakyatlah yang patut menggunakannya.” – Augusto Boal

20190507 - TO1273079_orig.jpg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *