Finland2Parti Demokratik Sosial Finland (SDP) muncul sebagai parti terbesar dengan perbezaan undi yang amat dekat dalam Parlimen Finland selepas pilihanraya parlimen yang diadakan pada 14 April 2019.

Tiada pemenang yang jelas dalam Pilihanraya Finland kali ini, dengan tiada satu parti pun mendapat undi melebihi 20% dalam pilihanraya umum untuk pertama kalinya dalam sejarah Finland! Namun, keputusan pilihanraya kali ini menunjukkan perpindahan sokongan pengundi yang beralih sedikit ke politik berhaluan kiri.

Ini merupakan kali pertama SDP menjadi parti terbesar dalam Parlimen Finland sejak tahun 1999, tetapi hanya meraih sebanyak 17.7% daripada jumlah undi. SDP menang 40 daripada 200 kerusi parlimen, hanya satu kerusi lebih banyak berbanding pesaing terdekatnya, Parti Finns, sebuah parti berhaluan kanan yang nasionalis dan euroskeptik, yang meraih sebanyak 17.5% undi. SDP yang dipimpin oleh Antti Rinne, seorang bekas pemimpin kesatuan sekerja yang pernah menjadi Menteri Kewangan pada tahun 2014-15 dalam kabinet kerajaan campuran kanan-tengah dengan kiri-tengah ketika itu.

Walaupun fahaman pelampau kanan yang rasis dan xenofobia telah merebak dengan hebatnya di benua Eropah beberapa tahun kebelakangan ini termasuk Finland, tetapi kemaraan politik pelampau kanan telah dihalang dalam pilihanraya parlimen terbaru di Finland dengan parti politik yang berhaluan kiri berjaya meraih lebih banyak undi.

SDP telah menumpukan kempennya dalam memperjuangkan sistem kebajikan Finland. SDP mencadangkan untuk meningkatkan cukai terhadap golongan kaya untuk membiayai sistem kebajikan yang lebih baik untuk rakyat. Rinne menyifatkan dasar yang dibawa oleh kerajaan campuran berhaluan kanan pimpinan Juha Sipilä sebelum ini adalah tidak adil untuk rakyat biasa dan cukai perlu dinaikkan untuk melawan ketidaksamarataan. Cadangan SDP untuk sistem kebajikan yang lebih baik membolehkannya meningkatkan sokongan sebanyak 1.2 titik peratusan berbanding pilihanraya parlimen yang lalu pada tahun 2015 (keputusan yang paling teruk untuk SDP dalam sejarah pilihanrayanya), menambahkan sebanyak 6 kerusi dan melompat dari kedudukan ke-4 kepada kedudukan teratas dalam penguasaan kerusi parlimen.

Parti Finns, parti berhaluan kanan yang muncul sebagai parti utama dalam Parlimen Finland sejak dua pilihanraya yang lalu pada tahun 2011, telah menambahkan satu kerusi berbanding pilihanraya yang lalu menjadikannya 39 kerusi, masih kekal sebagai parti kedua besar dalam parlimen, walaupun undi yang diperolehinya telah merosot sedikit, iaitu 0.15 titik peratusan.

Parti terbesar yang mengetuai kerajaan campuran berhaluan kanan sebelum ini, Parti Tengah Finland yang dipimpin oleh Juha Sipilä, iaitu pesaing utama kepada SDP sejak tahun 1920-an, telah mencatatkan keputusan yang paling teruk sejak tahun 1917. Parti Tengah Finland hanya memperoleh 13.8% undi, merosot sebanyak 7.3 titik peratusan, dengan jumlah kerusi yang dimenanginya kurang dari 49 kepada 31. Kekalahan teruk Parti Tengah ini merupakan tamparan hebat kepada dasar “penjimatan” (iaitu mengurangkan perbelanjaan sosial untuk kebajikan rakyat) yang dilaksanakannya di Finland untuk 4 tahun yang lalu. Kerajaan campuran pimpinan Sipilä sebelum ini telah melaksanakan langkah-langkah pengurangan perbelanjaan kebajikan seperti pembekuan pencen dan pemotongan sokongan sosial kepada rakyat, sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati yang meluas di kalangan rakyat dan membawa kepada keruntuhan sokongan terhadap Parti Tengah.

Kerajaan campuran pimpinan Sipilä sebelum ini, turut mengalami krisis pada tahun 2017, apabila salah satu parti yang menyertai kerajaan campuran, Parti Finns, telah memilih Jussi Halla-aho, seorang politikus pelampau kanan yang mengambil pendirian keras untuk tidak bertolak ansur dalam isu imigresen dan kepelbagaian budaya, sebagai pemimpinnya. Namun, 20 orang ahli parlimen daripada Parti Finns telah keluar daripada parti tersebut dan membentuk kumpulan baru yang menyokong Sipilä untuk meneruskan pentadbiran kerajaan. Parti baru yang dibentuk oleh ahli parlimen yang keluar dari Parti Finns, “Masa Depan Biru”, gagal menang apa-apa kerusi dalam pilihanraya kali ini.

Dua buah parti berhaluan kiri, Liga Hijau dan Pakatan Kiri, telah mendapat keputusan yang memberangsangkan dalam pilihanraya kali ini. Liga Hijau yang berasal daripada gerakan alam sekitar, berjaya meraih sebanyak 11.5% undi (peningkatan 2.97 titik peratusan), dengan kerusinya bertambah dari 15 kepada 20, menjadikannya parti kelima besar dalam parlimen. Ini merupakan pencapaian yang terbaik dalam pilihanraya untuk Liga Hijau.

Parliamentary Elections in Finland
Li Andersson, pemimpin Pakatan Kiri Finland

Pakatan Kiri yang dipimpin oleh Li Andersson, berjaya meraih sebanyak 8.2% undi (peningkatan 1.07 titik peratusan), dengan kerusinya bertambah dari 12 kepada 16. Pakatan Kiri merupakan lanjutan tradisi politik kiri radikal Liga Demokratik Rakyat Finland (SKDL) dan Parti Komunis Finland. Pakatan Kiri memperjuangkan kesamarataan ekonomi, di samping mengambil pendekatan feminis dan anti-rasis. Salah seorang calon pilihanraya daripada Pakatan Kiri, Suldaan Said Ahmed, telah diserang dan dicederakan oleh penyokong politik pelampau kanan yang anti-migran pada akhir bulan Mac 2019.

Dengan keputusan pilihanraya yang tidak menunjukkan pemenang yang jelas, parti terbesar SDP dijangka akan membentuk kerajaan campuran yang terdiri daripada parti-parti berhaluan kiri dan kanan. Kerajaan campuran baru yang diketuai SDP berkemungkinan besar akan termasuk Parti Koalisi Nasional, iaitu parti berhaluan kanan-tengah yang merupakan parti ketiga besar dalam parlimen (dengan 38 kerusi) dan pernah menyertai kerajaan campuran berhaluan kanan pimpinan Sipilä sebelum ini. Liga Hijiau, Parti Rakyat Sweden Finland (yang berhaluan tengah liberal dan mewakili kepentingan rakyat bertutur dalam bahasa Sweden) dan Pakatan Kiri, semuanya ada kemungkinan untuk menyertai kerajaan campuran. Semua parti telah menolak kemungkinan untuk membentuk kerajaan dengan Parti Finns, yang jelas mengambil pendirian anti-migran yang keras.

Pemimpin SDP Antti Rinne bercadang untuk membentuk kerajaan campuran baru selewat-lewatnya akhir bulan Mei 2019. Namun, kerajaan campuran baru akan menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan kestabilannya kerana parti-parti yang menyertainya mempunyai perbezaan yang amat besar dalam menentukan halatuju dasar kerajaan Finland, khususnya dalam perkara berkaitan dengan sistem kebajikan sosial di Finland yang dipuji di peringkat antarabangsa, di mana golongan kiri sedang berusaha untuk mempertahankan sistem negara kebajikan yang menjadi kebanggaan rakyat Finland dengan meningkatkan cukai terhadap golongan kaya, sementara golongan kanan pula cuba mengurangkan kos untuk menampung sistem kebajikan. SDP berkemungkinan besar akan berkompromi dengan golongan berhaluan kanan dan kepentingan korporat dengan menghadkan usahanya dalam memperbaiki sistem kebajikan sosial di negara itu.

Dalam pilihanraya Parlimen Finland terbaru ini, seramai 93 orang wanita telah dipilih ke dalam Parlimen baru (bersamaan dengan 46% dalam Parlimen dengan 200 kerusi), mencatatkan rekod perwakilan wanita yang paling tinggi. Sebelum ini, angka tertinggi untuk perwakilan wanita dalam Parlimen Finland ialah 85 orang pada tahun 2011. 85% daripada calon Liga Hijau ialah wanita, dan hanya 3 daripada 20 ahli parlimen Liga Hijau yang dipilih ialah lelaki. 22 daripada 40 kerusi yang dimenangi SDP dipegang oleh wanita.

Dengan pilihanraya Parlimen Eropah akan berlangsung pada bulan depan, keputusan pilihanraya Finland memberi sebanyak sedikit gambaran tentang kemungkinan keputusan pilihanraya Parlimen Eropah akan datang ini. Parti-parti pelampau kanan yang membawa agenda nasionalis sempit dan xenofobia, akan bergabung tenaga untuk memenangi lebih banyak kerusi supaya mempengaruhi dasar Kesatuan Eropah. Adalah menjadi cabaran kepada golongan kiri dan progresif di Eropah untuk menyekat kemaraan politik pelampau kanan ini.

One thought on “Pilihanraya Finland: Tiada pemenang jelas tapi beralih ke kiri sikit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *