20180805_182729.jpgoleh Tinagaran Subramaniam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendesak Kerajaan Negeri Sembilan dan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di peringkat Kerajaan Pusat KPKT agar meningkatkan bekalan rumah yang benar-benar mampu milik, iaitu rumah berharga di bawah RM100,000.

Mengikut Dasar Perumahan Negeri Sembilan (2015), adalah ditetapkan bahawa Rumah Mampu Milik (RMM) di sesuatu kawasan harus memenuhi sasaran 50%. Namun, harga rumah yang dibina dipecahkan kepada kategori seperti berikut:

–          15% Rumah Mampu Milik Jenis A – harga maksimum RM80,000

–          15% Rumah Mampu Milik Jenis B – harga maksimum RM250,000

–          20% Rumah Mampu Milik Jenis C – harga maksimum RM400,00

Rakyat biasa majoritinya hanya mampu membeli RMM Jenis A sahaja, tetapi hanya 15% daripada keseluruhan bilangan rumah dalam sesuatu projek pembangunan itu tergolong dalam kategori ini.

PSM berpandangan bahawa harga rumah perlu berdasarkan kemampuan rakyat mengikut standard yang digunakan oleh Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) dan Bank Dunia yang menyatakan bahawa nisbah harga rumah kepada pendapatan keluarga haruslah tidak melebihi 3 kali ganda pendapatan tahunan median. Rujukan ini juga digunakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah dalam laporan “Menjadikan Perumahan itu Mampu Milik” (Making Housing Affordable) pada tahun 2015. Kenyataan Bank Negara pada bulan Ogos tahun lalu juga menyatakan bahawa harga rumah sepatutnya tidak melebihi tiga kali ganda purata pendapatan tahunan.

Merujuk pada data Jabatan Perangkaan, pendapatan isi rumah median di Negeri Sembilan pada tahun 2016 ialah RM4,579, maksudnya harga rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat Negeri Sembilan ialah RM4,579 x 12 x 3 = RM164,844.  Golongan berpendapatan rendah, iaitu B40 pula dianggarkan berpendapatan 60% daripada median tersebut. Justeru, pendapatan isu rumah B40 dianggarkan sebanyak RM2,747. Maka kemampuan membeli rumah B40 ialah RM2,747 x 12 x 3 = RM 98,892.

Persoalannya ialah berapakah bilangan unit rumah RMM Jenis A (harga RM80,000) yang  dibina? Jika Dasar Perumahan Negeri Sembilan hanya mensyaratkan 15% sahaja dibina, sudah pasti ianya tidak mencukupi?

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong menyatakan bahawa sebanyak 1,384 unit perumahan RMM Jenis A akan dibangunkan oleh  pemaju swasta mengikut Dasar Perumahan Negeri Sembilan . “Kita telah memilih seramai 34 pemohon pertama daripada 1,384 orang yang berjaya untuk memiliki rumah mampu milik ‘Jenis A’ dalam sesi pertama pengundian dan kita ada tujuh lagi projek dan sesi pengundian bakal dilaksanakan di beberapa daerah lain dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Sesi Pengundian Perumahan Mampu Milik Jenis A. (Bernama, 25/1/2019, Kuala Pilah)

Negeri Sembilan mempunyai populasi sebanyak 1.14 juta orang, dan bilangan keluarga B40 sekitar 108,000. Jika dianggarkan 30% daripada mereka tidak memiliki rumah, maka stok rumah RMM Jenis A yang diperlukan ialah lebih 32,000 unit!

Dengan mensyaratkan hanya 15% perumahan RMM Jenis A dalam lingkungan harga RM80,000, bilakah Kerajaan Negeri akan menepati permintaan rakyat? Apakah rasionalnya membina rumah harga RM400,000 sebanyak 20% jika rakyat memerlukan rumah pada harga sekitar RM80,000!

Justeru, PSM melancarkan kempen perumahan peringkat Negeri Sembilan semasa PRK Rantau, kerana kami berpendapat bahawa bakal ADUN Rantau dan Kerajaan Negeri Sembilan harus membina rumah mengikut permintaan rakyat bukannya mengikut hasrat pemaju yang ingin memaksimumkan keuntungan. Tidak guna lagi mendengar kepada rasional pemaju yang asyik merungut bahawa harga rumah tidak boleh dikurangkan.

Kami menuntut agar:

  1. Bilangan rumah RMM Jenis A harus ditingkatkan untuk memenuhi permintaan sebenar rakyat setempat.
  2. Perlu laksanakan kajian permintaan perumahan Negeri Sembilan, supaya Kerajaan Negeri mendapat gambaran sebenar keperluan rakyat dan tidak dikaburi oleh spekulasi harga oleh mereka yang membeli rumah untuk keuntungan bukannya untuk didiami.
  3. Hentikan penjualan tanah-tanah strategik yang dimiliki oleh Kerajaan supaya ianya boleh diserahkan kepada KPKT untuk pembinaan rumah RMM Jenis A.
  4. Tingkatkan syarat pembinaan RMM Jenis A kepada 30% dari jumlah pembinaan rumah oleh pemaju swasta.

==========

Tinagaran Subramaniam ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *