672028_1.jpgKerajaan Pakatan Harapan (PH) telah membuat satu lagi U-turn dalam usaha pembaharuannya, dan kali ini dilakukan di mata seluruh dunia! Kerajaan Malaysia menarik diri daripada meratifikasi Statut Rom hanya sebulan selepas menandatangan untuk menjadi negara anggotanya.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah telah menandatangani Surat Cara Penerimaan Statut Rom untuk menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 4 Mac 2019. Namun, hanya selepas sebulan, Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pada 5 April 2019 bahawa Malaysia akan menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Dr. Mahathir memberi alasan bahawa keputusan itu dibuat berikutan “kekeliruan yang timbul dari segi politik dan dalam kalangan masyarakat”.

U-turn yang begitu besar dan dilakukan di depan mata dunia, adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Dr. Mahathir mengatakan bahawa Kerajaan mendapat maklumat tentang usaha pihak tertentu yang menghalang perkara ini, dan cuba melibatkan Raja-raja untuk menentang kerajaan terutama dirinya. “Ramai tidak faham isu ini. Kerajaan tarik balik bukan sebab kami takut, tapi mereka guna Statut Rom sebagai alat politik,” begitu katanya Dr. Mahathir semasa mengumumkan penarikan diri daripada meratifikasi Statut Rom.

Jika Kerajaan tidak takut, kenapa tidak boleh berusaha memberi penjelasan dan pendidikan politik kepada rakyat seluas mungkin, supaya memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Statut Rom itu tidak memudaratkan negara kita, bagi menangkis pihak-pihak yang cuba menggunakan isu Statut Rom untuk menyerang Kerajaan?

Jika Kerajaan berpandangan bahawa ratifikasi perjanjian antarabangsa seperti Statut Rom ini sesuatu yang penting dalam membawa pembaharuan, kenapa begitu mudahnya berputus asa dan menarik diri hanya sebulan bersetuju dengannya? Adakah kerajaan serius dalam usaha pembaharuan atau sekadar bersandiwara dengan skrip yang teruk?

Adakah Dr. Mahathir pernah cuba menyakinkan partinya, sekutunya dan rakyat seluruh negara bahawa ratifikasi perjanjian antarabangsa ini sesuatu yang penting untuk pembaharuan sebelum “mengaku kalah” dan menghentikan usaha ini begitu sahaja?

Mahkamah Jenayah Antarabangsa ditubuhkan pada tahun 2002 untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa yang serius seperti penghapusan kaum, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan tentera. Ia merupakan mekanisme untuk menjamin perlindungan hak asasi manusia dan membawa pelaku jenayah yang paling teruk di dunia ini ke muka pengadilan antarabangsa sekiranya sistem kehakiman sesebuah negara gagal berbuat demikian. Setakat ini, sebanyak 123 buah negara telah menjadi anggota kepada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

Dakwaan bahawa negara Malaysia akan hilang kedaulatan sekiranya meratifikasi Statut Rom itu adalah tidak berasas. Jikalau begitu, negara seperti Jerman, Belanda, Chile, Australia, Kanada, Jepun dan sebagainya sudah tergadai kedaulatan untuk dua dekad lamanya kerana menandatangani Statut Rom.

Negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa seperti Sweden, UK, Jepun, Denmark, Norway dan Belanda juga mengamalkan sistem raja berperlembagaan serupa dengan Malaysia. Kedudukan raja di negara-negara ini langsung tidak terjejas apabila menjadi negara anggota Mahkamah Jenayah Antarabangsa. Adalah tidak masuk akal mengatakan bahawa Statut Rom akan menjejaskan kedudukan Majlis Raja-raja, kecuali pihak yang berhujah demikian cuba memutar-belitkan fakta dan mengelirukan raja-raja di negara kita.

Ketakutan bahawa pemimpin negara kita akan didakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga tidak berasas kecuali orang yang berpandangan demikian menganggap bahawa memang ada di kalangan pemimpin negara kita akan melakukan jenayah terhadap kemanusiaan seperti penindasan terhadap orang Rohingya yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Dengan U-turn dalam bab ratifikasi Statut Rom ini, Kerajaan Malaysia telah kehilangan kuasa moralnya untuk mengecam sebarang jenayah terhadap kemanusiaan di peringkat antarabangsa, seperti kezaliman rejim zionis terhadap rakyat Palestin. Begitu juga dengan pihak-pihak yang membantah ratifikasi Statut Rom, adalah menjadi hipokrit jika mereka bersolidariti dengan rakyat Palestin atau Uyghur di China.

Kerajaan PH juga melakukan kesilapan dengan tidak berusaha menyakinkan rakyat terbanyak sebelum melulu untuk menandatangani Statut Rom dan akhirnya membuat U-turn apabila digertak oleh sesetengah pihak yang langsung tidak peduli tentang pembaharuan. Jika Kerajaan serius dalam ratifikasi intrumen hak asasi manusia antarabangsa yang penting, seharusnya mengadakan lebih banyak perbincangan dengan masyarakat sivil dan menyebarkan maklumat berbentuk penerangan untuk memberi kesedaran kepada rakyat terlebih dahulu. Kerajaan tidak patut bimbang tentang ancaman daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sekiranya ada sokongan rakyat yang dibekalkan dengan penerangan yang jelas dan kesedaran politik yang tinggi.

U-turn demi U-turn dalam usaha pembaharuan kerana ancaman daripada puak-puak reaksioner yang berkepentingan politik sendiri, hanya akan memperkukuhkan keyakinan puak-puak reaksioner ini untuk terus menggunakan taktik ugutan politik dalam menghalang usaha pembaharuan politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *