20190412 - assange5caf132fcf22db183a72d944-750-375.jpgJulian Assange, pengasas Wikileaks, telah ditangkap pada 11 April 2019 di London, setelah Kerajaan Ecuador menarik balik perlindungan politik yang diberikan kepadanya sejak tahun 2012. Penahanan Assange ini berkaitan dengan kehendak Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mendakwanya dengan pertuduhan pengintipan.

Polis London telah memasuki Kedutaan Eduador di London, dan menggunakan kekerasan untuk mengheret keluar Assange dari Kedutaan Ecuador. Walaupun polis mengatakan bahawa Assange ditangkap kerana kegagalan menyerahkan diri di mahkamah, tetapi mereka kemudian mengesahkan bahawa penangkapan dibuat atas permintaan Kerajaan AS untuk menyerahkannya kepada negara AS.

Pada bulan November 2018, dilaporkan bahawa Assange telah didakwa secara rahsia di AS atas pertuduhan pengintipan. Pada hari yang sama dengan penahanan Assange di London, juri besar Mahkamah Daerah Timur Virginia mengeluarkan dakwaan terhadap Assange bahawa beliau terlibat dalam konspirasi menggodam computer kerajaan, satu pertuduhan jenayah yang agak kecil dengan hukuman penjara maksimum 5 tahun sekiranya didapati bersalah.

Assange telah hidup dalam perlindungan di Kedutaan Ecuador di London sejak tahun 2012, apabila Presiden Ecuador ketika itu Rafael Correa memberikan suaka politik kepadanya. Assange pada masa itu disiasat atas pertuduhan serangan seksual di Sweden, tetapi waran tangkap berkaitan dengan siasatan itu telah tamat tempohnya. Namun, sejak awal lagi, Assange dikehendaki oleh Kerajaan AS atas perbuatannya yang mendedahkan bukti jenayah perang AS di Afghanistan dan Iraq.

20190412 - assangeSN7NHMZRQFD5LHXWGFQ7LIFDJE

Julian Assange, seorang aktivis internet yang berasal dari Australia, telah menubuhkan Wikileaks pada tahun 2006 dan menjadi pengarahnya. Wikileaks ialah sebuah organisasi yang menerbitkan maklumat rahsia dan pembocoran berita yang dibekalkan oleh sumber yang tidak dinamakan. Pada bulan April 2010, Wikileaks menerbitkan rakaman video berkenaan dengan serangan udara oleh tentera AS di Baghdad yang membunuh 2 orang wartawan Iraq. Wikileaks juga menerbitkan dokuman rahsia berkaitan dengan Perang Afghanistan dan Perang Iraq yang mendedahkan kekejaman yang dilakukan oleh tentera AS semasa perang. Dokumen yang didedahkan oleh Wikileaks juga menunjukkan sejauh mana berlakunya penyeksaan terhadap tahanan di penjara Abu Gharib di Iraq. Pada tahun 2011, Wikileaks mendedahkan dokumen berkaitan dengan kem tahanan AS di Teluk Guantanamo.

Salah seorang yang mendedahkan maklumat kepada Wikileaks, Chelsea Manning, bekas askar dalam tentera AS, telah didakwa di mahkamah tentera AS atas pertuduhan pengintipan dan dipenjarakan dari tahun 2010 hingga 2017. Manning dimasukkan semula ke dalam penjara baru-baru ini sejak 8 Mac 2019 kerana beliau enggan memberi keterangan di hadapan juri besar yang sedang menyiasat Wikileaks di mana beliau membantah ketidaktelusan proses siasatan tersebut.

Assange telah mencari suaka di Kedutaan Ecuador pada tahun 2012 dan diberikan perlindungan politik oleh Kerajaan pimpinan Presiden Rafeal Correa pada masa itu. Namun, pengganti Correa, Lenin Moreno, yang menang dalam Pilihanraya Presiden pada tahun 2017, telah mengambil pendekatan yang berputus dengan pendirian politik Correa dan semakin mendekati imperialis AS. Kerajaan Ecuador pimpinan Moreno semakin rapat dengan Kerajaan AS pimpinan Donald Trump sejak tahun 2018. Moreno juga mencapai persetujuan dengan Kerajaan AS untuk menyerahkan Assange kepada polis UK sebagai pertukaran untuk pelepasan hutang daripada AS. Sejak setahun yang lalu, Kerajaan Moreno telah merampas kebebasan Assange yang hidup di Kedutaan Ecuador, menjadikannya seolah-olah tahanan di dalam Kedutaan. Baru-baru ini, pendedahan oleh Wikileaks tentang dokumen berkenaan dengan penggelapan wang yang dikaitkan dengan Moreno sehingga Kongres Ecuador mengadakan siasatan terhadap Moreno, telah mempercepatkan reaksi Kerajaan Moreno untuk mengambil tindakan terhadap Assange. Kedutaan Ecuador telah “menjemput” polis London untuk memasuki premisnya dan menangkap Assange.

Edward Snowden, seorang pemberi maklumat yang pernah mendedahkan program pengawasan global AS dan sedang berlindung di Rusia, mengatakan bahawa “imej Duta Ecuador menjemput polis rahsia UK masuk ke dalam kedutaan untuk mengheret seorang penerbit yang pernah memenangi anugerah kewartawanan keluar dari bangunan akan dicatatkan dalam buku sejarah. Pengkritik terhadap Assange mungkin bersorak, tetapi ini adalah detik kegelapan untuk kebebasan akhbar.”

Bekas Presiden Ecuador Rafael Correa, Presiden Bolivia Evo Morales, Ketua Pembangkang UK Jeremy Corbyn dan ramai lagi telah mengecam tindakan menangkap Assange. Penangkapan Assange ini adalah tindakan Kerajaan imperialis AS untuk menghukum sesiapa yang mendedahkan jenayah kekejamannya di mata dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *