20190410-padang meha.jpg

oleh Karthiges Rajamanickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan MBf Holdings dan anak syarikatnya Vintage Developers Sdn Bhd yang memotong bekalan air untuk bekas pekerja Ladang Padang Meha, Kedah. Tindakan berniat jahat ini diambil berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 April 2019 lalu yang memerintahkan supaya pihak MBF dan Vintage Developers Sdb Bhd membayar wang pampasan sebanyak RM 3.5 juta kepada bekas pekerja Ladang Padang Meha berdasarkan perjanjian yang dibuat pada tahun 1995.

Secara ringkasnya, seramai 212 orang pekerja Ladang Padang Meha telah diberhentikan kerja pada 12 Mac 1995 tanpa sebarang pampasan apabila ladang ini dijual oleh bekas majikan, The East Asiatic CO (M) kepada MBF Country Homes & Resort Sdn Bhd (kemudiannya dikenali sebagai Syarikat Alamanda Development Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh MBf Holdings). Oleh kerana MBf dan Alamanda tidak menunaikan janji membina rumah alternatif dan membayar pampasan pemberhentian kerja, 207 orang bekas pekerja telah menarik pihak ladang ke mahkamah pada tahun 2004 untuk menuntut pampasan dan skim perumahan. Perjuangan untuk tuntutan pampasan akhirnya berjaya di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada tahun 2011, di mana mereka telah mendapat keputusan untuk pampasan serta bayaran tambahan sebanyak RM 22,500 setiap pekerja untuk tujuan ganti rumah.

Namun, bekas pekerja tidak menerima wang tersebut kerana syarikat Alamanda, iaitu anak syarikat MBf, telah mengisytiharkan dirinya muflis. Bekas pekerja telah banyak kali berbincang untuk mendapatkan pampasan tersebut daripada pihak pelikuidasi tetapi gagal. Yang menghairankan adalah banyak tanah milik ladang EAC telah berjaya dijual selepas itu oleh satu lagi anak syarikat MBf Holdings, iaitu Vintage Developers Sdn Bhd. Walaupun MBf dan Vintage Developers Sdn Bhd mengaut keuntungan yang lumayan daripada jualan tanah Ladang Padang Meha, mereka terus tidak mahu membayar satu sen pun kepada bekas pekerja yang telah kehilangan kerja dan tempat kediaman mereka. Akhirnya sebahagian daripada bekas pekerja menarik pihak Alamanda, pelikuidasi, MBf dan Vintage ke mahkamah untuk menunaikan keputusan mahkamah tahun 2011.

Dalam pendengaran kes ini, bekas pekerja terkejut mendengar bahawa majikan asal mereka, East Asiatic Company, telah memindahkan sebanyak RM 3.5 juta kepada MBf untuk menyelesaikan isu pampasan bekas pekerja pada tahun 1995. Perkara ini telah dirahsiakan oleh MBf selama 20 tahun. Apabila perkara ini dibongkar dalam Mahkamah, MBf cuba mengelak daripada membayar dengan mengatakan bahawa wang RM 3.5 juta itu telah dibayar kepada Alamanda dan hilang apabila Alamanda diiystihar muflis. Tetapi keterangan pelikuidasi membuktikan bahawa wang itu tidak pernah dipindah kepada Alamanda.

Maka, pada 4 April 2019 yang lalu, Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa MBf Holdings harus memberi pampasan kepada bekas pekerja dalam masa tiga bulan sepertimana dalam perjanjian tahun 1995 (tetapi MBf masih beruntung kerana tidak dikenakan syarat membayar faedah untuk 20 tahun ke atas jumlah ini).

Sebuah syarikat gergasi yang kaya raya yang telah melayan bekas pekerja ladangnya secara tidak berperikemanusiaan selama 20 tahun. Ia seharusnya memulakan proses membayar pampasan yang diputuskan oleh Mahkamah sambil mengadakan perbincangan dengan bekas pekerja Ladang East Asiatic yang masih menduduki rumah kuarters yang lama dan memberi mereka satu tempoh masa yang munasabah untuk mengosongkan rumah mereka. Tetapi tindakan pihak MBf jauh berbeza. Secara tiba-tiba, pada hari Isnin lalu, iaitu 8 April 2019, bekalan air kepada rumah kuarters Ladang Padang Meha dipotong. Ini adalah satu tindakan berniat jahat oleh pihak MBF dan Vintage Developers Sdn Bhd untuk menghalau keluar penduduk di situ yang memperjuangkan hak mereka sejak tahun 1995 lagi, iaitu hampir 24 tahun berlalu. Tindakan ini jelas membuktikan bahawa pihak MBf langsung tidak menghormati kepentingan dan hak golongan pekerja yang telah rugi banyak dalam proses pembangunan di situ.

PSM menggesa pihak MBf dan Vintage Developers Sdn Bhd supaya memasang semula bekalan air kepada bekas pekerja DENGAN SEGERA dan tidak melakukan perkaran yang membahayakan kesihatan serta keselamatan bekas pekerja Ladang Padang Meha.

==========

Karthiges Rajamanickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *