20190404 - pastor koh and amri che mat.jpg
Pastor Raymond Koh (kiri) dan Amri Che Mat (kanan)

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengumumkan laporan hasil siasatan awam terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat pada 3 April 2019. Dalam laporan tersebut, panel SUHAKAM mendapati bahawa pihak polis, khususnya Cawangan Khas Bukit Aman, terlibat dalam kehilangan kedua-dua orang individu tersebut. Ini merupakan satu dakwaan yang serius terhadap Polis Di-Raja Malaysia atas penglibatan anggotanya dalam penculikan atau kehilangan secara paksa.

Amri Che Mat, pengasas kepada sebuah NGO amal Perlis Hope, meninggalkan rumahnya di Kangar pada pukul 11.30 malam, 24 November 2016, dan tidak lagi kelihatan selepas itu. Raymond Koh, pengasas kepada NGO Harapan Komuniti, dipercayai telah diculik oleh sekumpulan lelaki di Petaling Jaya pada 13 Februari 2017 ketika dalam perjalanan ke rumah seorang kawannya. Penculikan atau penghilangan secara paksa kedua-dua orang ini dipercayai berkaitan dengan isu agama dan penglibatan pihak berkuasa.

SUHAKAM menubuhkan panel untuk membuat siasatan tentang kehilangan kedua-dua individu ini. Panel SUHAKAM yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya SUHAKAM Mah Weng Kwai, telah mengadakan inkuiri awam untuk mendengar fakta-fakta kes kehilangan dua orang individu tersebut. Seramai 16 orang telah dipanggil untuk memberi kenyataan di hadapan panel SUHAKAM, termasuk bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Dalam laporan siasatan awam yang dibentangkan semalam, SUHAKAM telah mengemukakan beberapa cadangan, termasuk pihak berkuasa perlu menghormati kebebasan agama sebagai hak asasi manusia, pembatasan yang lebih jelas antara polis dan jabatan agama, dan juga pembaharuan dalam prosedur operasi standard (SOP) polis. SUHAKAM juga menggesa supaya menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk membuka semula kes kehilangan kedua-dua individu ini sebagai kes penghilangan secara paksa, dengan pasukan petugas khas ini terdiri daripada penyiasat bebas yang dilantik oleh Ketua Peguam Negara.

SUHAKAM mencadangkan supaya membuat pindaan terhadap Kanun Keseksaan untuk menjadikan “penghilangan secara paksa” sebagai satu kesalahan jenayah, dan Kerajaan Malaysia perlu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa tentang Perlindungan terhadap Semua Orang daripada Penghilangan secara Paksa (ICPPED), demi memikul tanggungjawab antarabangsa untuk menghapuskan penghilangan secara paksa. SUHAKAM juga mengulangi seruan daripada pelbagai pihak selama ini untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dalam satu kenyataan akhbar sebagai reaksi terhadap pengumuman keputusan siasatan awam SUHAKAM terhadap penghilangan secara paksa Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan kesimpulan dan keputusan yang berani daripada pihak SUHAKAM.

“Hari ini terdapat banyak sebab kenapa pihak polis tidak boleh menyiasat mereka sendiri. Ini boleh dijejak kembali beberapa dekad kebelakangan ini, termasuk beberapa kes yang terkenal seperti kes liwat Anwar Ibrahim, kes pembunuhan Altantuya dan sebagainya. Kebanyakan kes ini melibatkan kepentingan politik dan bisnes,” begitu katanya S. Arutchelvan, Ahli Jawatankuasa PSM, dalam kenyataannya.

Arutchelvan mengulas, “Selama bertahun-tahun, kita telah melihat bagaimana Kerajaan Barisan Nasional (BN) telah cuba melakukan segalanya kecuali melaksanakan penubuhan IPCMC. Terdapatnya versi IPCMC yang dicairkan, seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), tetapi ianya tidak bebas dan tiada kuasa sebenar. Walaupun Pakatan Harapan (PH) telah menjanjikan penubuhan IPCMC dalam penggal pertama pentadbirannya seperti yang tertera dalam manifesto pilihanrayanya (Janji 20 Buku Harapan – Menjadikan Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan Polis Di-Raja Malaysia sebagai sebuah pasukan yang dihormati dan disegani), tetapi nampaknya tidak menunjukkan keseriusan dalam pelaksanaannya. Kerajaan PH masih cuba mendapat persetujuan daripada polis dalam proses melaksanakan IPCMC, walaupun menyedari bahawa polis akan menentang pelaksanaan IPCMC atas sebab yang jelas. ”

“Dengan hasil siasatan awam SUHAKAM ini, ia mendedahkan kelemahan penyiasatan polis dalam kes di mana pihak polis menpunyai kepentingan secara langsung atau dalam kes di mana polis sedang melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu,” tambah Arutchelvan.

PSM menyeru supaya menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) sekarang juga. “Tiada alasan lagi kenapa penubuhan IPCMC perlu ditangguhkan lagi!” tegas Arutchelvan.

One thought on “Polis terlibat dalam kes penghilangan paksa – Tubuhkan IPCMC sekarang juga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *