umnopas4_1551697777.jpg

UMNO dan PAS telah mengumumkan kerjasama secara rasmi baru-baru ini. Timbalan Presiden UMNO Mohamad Hasan berkata bahawa kerjasama antara UMNO dan PAS akan memfokuskan aspek penyatuan ummah. Menurutnya, kerjasama dua parti ini bukannya penggabungan menjadi sebuah parti baru tetapi atas dasar kebersamaan terhadap isu-isu yang mempunyai asas kepada kedua-dua parti.

Ada orang menyifatkan kerjasama UMNO dengan PAS ini sebagai “perkahwinan”. PAS Abdul Hadi Awang pula mengatakan bahawa PAS dan UMNO tidak boleh “berkahwin” memandangkan kedua-dua parti itu sebenarnya adalah adik-beradik.

Kerjasama antara UMNO dan PAS sudah bermula ketika Najib Razak masih menjadi Presiden UMNO dan memegang jawatan Perdana Menteri sebelum PRU-14. Ketika itu PAS baru berpisah dengan Pakatan Rakyat dan parti tersebut turut mengalami perpecahan sehingga sebahagian bekas pemimpin PAS akhirnya menubuhkan Parti AMANAH yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan. Namun, hubungan kerjasama antara UMNO dan PAS pada masa itu samar-samar dan tidak rasmi. Percaturan UMNO bekerjasama dengan PAS sebelum PRU-14 adalah undi kepada pembangkang akan berpecah jika PAS turut serta untuk mewujudkan pertandingan tiga, tetapi hakikatnya undi kepada UMNO-BN telah merosot banyak sehingga mengalami kekalahan yang melibatkan kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan pertama kali dalam sejarah UMNO.

Selepas kekalahan dalam PRU-14, UMNO telah dilanda krisis dalaman apabila ramai pemimpin UMNO melompat parti untuk masuk ke Pakatan Harapan yang memegang kuasa pemerintahan. UMNO pada asalnya menguasai 54 kerusi dalam Dewan Rakyat sejurus selepas PRU-14, tetapi kerusinya semakin berkurang sehingga menjadi 37 pada takat ini. PAS pula mempunyai 18 kerusi perwakilan dalam Dewan Rakyat.

Kerjasama atau pembentukan gabungan antara parti politik memang sesuatu yang biasa dalam mana-mana sistem demokrasi. UMNO yang pernah menjadi pemerintah di peringkat Persekutuan untuk lebih 6 dekad akhirnya menjadi pembangkang setelah kekalahannya dalam PRU-14. Sesetengah pemimpin UMNO yang tidak dapat menyesuaikan dirinya sebagai pembangkang telah memilih untuk melompat parti dan menyertai parti pemerintah yang baru. Walaupun kehilangan kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan, UMNO sebenarnya masih merupakan sebuah parti politik besar yang tersusun dan mempunyai sumber dana serta jentera parti yang lengkap. Lagipun, UMNO masih memerintah di negeri Perlis dan Pahang.

Sekutu UMNO dalam Barisan Nasional (BN), hanya tinggal MCA dan MIC yang semakin hilang pengaruh politik mereka. Dalam usahanya mencari kemungkinan mendapatkan semula kuasa melalui pilihanraya, UMNO pastinya akan mencari sekutu baru untuk membentuk gabungan parti yang mampu meraih undi dan kerusi yang mencukupi bagi membentuk majoriti dalam dewan. Parti PAS yang mempunyai organisasi tersusun dan pengaruh kuat di banyak tempat, khususnya Pantai Timur dan Kedah, sudah pastinya menjadi calon yang paling sesuai untuk “dikahwinkan” secara politik.

Kerjasama UMNO dan PAS pasca PRU-14 semakin menonjol dengan kemenangan calon BN dalam dua pilihanraya kecil yang terbaru dengan sokongan daripada PAS. Dengan hasil yang menggalakkan dalam pilihanraya kecil, kedua-dua parti ini pastinya semakin berkeyakinan untuk meneruskan hubungan kerjasama ini.

Namun, persoalan utama berkenaan kerjasama UMNO dan PAS ini, adalah “perkahwinan” antara dua parti akan membawa politik Malaysia ke arah mana. Walaupun pemimpin UMNO dan PAS telah menyatakan bahawa kerjasama kedua-dua parti politik beretnik Melayu ini tidak akan meminggirkan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya, tetapi kerisauan politik yang semakin menjurus kepada perkauman tetap tidak boleh dinafikan.

Sudah pun kita dapat saksikan selepas PRU-14, sesetengah pemimpin UMNO masih menggunakan sentimen perkauman Melayu untuk meraih sokongan dan menyerang pihak lawan. Parti pemerintah yang didominasi etnik bukan Melayu, khususnya DAP, menjadi sasaran mudah untuk ahli politik UMNO yang berhaluan kanan untuk melancarkan serangan demi serangan berasaskan hujah perkauman. Politik yang tepu dengan sentimen perkauman tidak akan membantu dalam membina budaya politik demokrasi yang matang, sebaliknya mengakibatkan polarisasi masyarakat berasaskan kaum yang akhirnya hanya menguntungkan segelintir elit politik tetapi memecah-belahkan rakyat sehingga isu-isu penting rakyat (seperti kos sara hidup, jaminan kerja, kesejahteraan hidup dan sebagainya) tidak dapat ditangani dengan sewajarnya.

umnopas1

Kerjasama UMNO dan PAS yang berpanjikan “penyatuan ummah”, besar kemungkinan akan mengundang fokus yang lebih banyak kepada politik keagamaan yang boleh mengasingkan rakyat yang bukan seagama dengan pemimpin parti-parti ini. Sekiranya UMNO dan PAS menganggap kerjasama ini bertujuan untuk “menyatukan” undi Melayu (dan juga pengundi yang beragama Islam), sudah pastinya tindakan seterusnya akan membangkitkan sentimen yang berkisar pada kaum dan agama, sehingga pengundi bukan Melayu atau bukan Islam akan diasingkan dalam proses ini. Reaksi daripada parti pemerintah, sekiranya tidak menawarkan alternatif baru dari segi sosio-ekonomi yang melangkaui politik perkauman, sebaliknya terjerumus dalam persaingan untuk menunjukkan siapa jaguh kaum sendiri, pasti akan memburukkan lagi keadaan politik perkauman yang berkecamuk.

Jika kerjasama UMNO dan PAS berasaskan niat untuk meraih sokongan pengundi Melayu, barangkali hubungan kerjasama ini sukar dimantapkan kerana kedua-dua parti akan bersaing untuk kerusi-kerusi yang bertindih dalam Pilihanraya Umum akan datang. UMNO dan PAS akan menghadapi masalah rundingan kerusi seperti yang pernah berlaku pada gabungan parti-parti pembangkang sebelum ini. Adakah PAS bersedia untuk melepaskan kawasan selamatnya di Pantai Timur kepada UMNO? Ataupun adakah UMNO bersedia memberi laluan kepada calon PAS bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu di Pantai Barat?

Walau bagaimanapun, adalah kebebasan untuk kedua-dua UMNO dan PAS untuk menentukan halatuju kerjasama dua parti ini. Bagi rakyat yang inginkan perubahan sebenar yang membebaskan diri kita daripada cengkaman politik perkauman dan dasar ekonomi yang terlalu mesra kapitalis, kita perlu membina alternatif progresif yang baru. Alternatif progresif hanya dapat dibina melalui gerakan rakyat dari bawah.

Sudah terbukti di depan mata kita dalam tempoh setahun yang lepas, sekadar perubahan rejim pemerintahan ataupun pertukaran pucuk kepimpinan dari satu puak kepada satu puak yang lain, adalah tidak mencukupi. Kita perlu memperdalamkan lagi proses perubahan dan pembaharuan, dengan mewujudkan tekanan politik yang cukup kuat untuk mendesak perubahan sebenar.  Golongan berhaluan kanan pasti akan memobilisasi sokongan dengan retorik dan perluasan pengaruh sentimen perkauman, yang mengancam usaha pembaharuan masyarakat. Parti pembangkang aliran utama di negara kita pada hari ini bukannya kuasa politik yang boleh membawa perubahan yang bermakna sebaliknya hanya mengembalikan negara kita kepada dominasi politik perkauman yang langsung tidak memanfaatkan rakyat biasa. Oleh itu, kita perlu memulakan usaha membina kuasa politik alternatif yang progresif, iaitu politik yang berasaskan demokrasi keterlibatan, keserataan pengagihan kekayaan masyarakat dan keadilan sosial yang menjamin kesejahteraan rakyat terbanyak, dari sekarang juga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *