oleh Soh Sook Hwa
Patriarki berkongsi banyak persamaan dengan perkauman. Ia seakan-akan jangkitan yang tersebar luas dalam kehidupan masyarakat kita dan ramai yang terpengaruh dengan idea-idea sebegini secara sedar atau tidak sedar. Ia wujud dalam semua lapisan masyarakat, dan selalunya ditopengkan dengan adat dan budaya.
Patriarki menyediakan kotak tertentu kepada identiti gender dan memberi tekanan kepada individu atau komuniti supaya menunduk kepadanya.
Bukan sahaja lelaki yang akan terpengaruh oleh idea patriarki, tetapi adakalanya yang lain juga akan terikut-ikut. Ia memandu minda kita menjurus kepada prejudis dan diskriminasi terhadap orang yang kurang berkuasa.
Apakah ekspesi dan impak patriarki dalam masyarakat kita?
Berikut adalah beberapa contoh:
- Wanita dilarang untuk menyertai sesetengah upacara agama dengan alasan wanita tidak “bersih” ketika kedatangan haid.
- Wanita dilihat sebagai harta pemilikan persendirian di mana hak miliknya akan diturunkan daripada ayah kepada suaminya, daripada suaminya kepada anaknya.
- Setiap RM 100 diperoleh oleh pekerja lelaki, pekerja wanita hanya dapat RM 79 untuk kerja yang sama. (Kajian Jabatan Perangkaan Negara Malaysia 2016)
- Wanita dan lelaki yang tidak tunduk kepada kepercayaan idea patriarki dilihat sebagai melencong atau sesat.
- Setiap 1.5 jam, satu kes keganasan rumahtangga terhadap wanita dilaporkan kepada PDRM. (Statistik PDRM 2016)
- Mangsa rogol diberikan simpati, pada masa yang sama dipersoalkan cara pemakaian dan kebebasan pergerakannya.
- 2,124 kes rogol dilaporkan kepada PDRM pada tahun 2015. 20% daripada kes tersebut dibawa ke mahkamah dan 10% daripada yang dibawa ke mahkamah dijatuh hukuman. (Maksudnya hanya 2% suspek kes rogol dijatuhkan hukuman)
- Dan senarai ini panjang lagi…
Inilah realiti masyarakat yang masih dicengkam oleh fahaman patriarki.
Memerangi patriarki bukan bertujuan untuk mengagung-agungkan kewanitaan, bukan untuk menggantikan dominasi lelaki dengan dominasi wanita. Memerangi patriarki adalah untuk membebaskan wanita dan mereka yang ditindas oleh struktur masyarakat yang bercirikan patriarki.
==========
Soh Sook Hwa ialah Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
One thought on “Patriarki masih bertapak dalam masyarakat kita”