53020148_819337301751223_6098873244155117568_n.jpg

SEMENYIH, SELANGOR – 27 FEBRUARI 2019: Aktivis-aktivis masyarakat sivil daripada pelbagai latar belakang telah menyeru pada pengundi di kawasan DUN Semenyih untuk mengundi calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Nik Aziz Afiq dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih yang akan datang ini, sebagai satu langkah yang penting untuk membina kuasa progresif yang baru dalam politik Malaysia.

Seruan ini dibuat oleh wakil-wakil masyarakat dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di Semenyih pada hari ini. Mereka yang hadir dalam sidang akhbar pagi tadi termasuk Dr. Kua Kia Soong (Penasihat SUARAM), Haris Ibrahim (aktivis sosial), M. Visvanathan (peguam hak asasi manusia), Chang Teck Peng (pensyarah kajian media).

“Setelah melalui ‘Sistem Dua Barisan’, kita mendapati autokrat yang sama cuba untuk melaksanakan dasar yang sama yang diperkenalkan pada tahun 1981,” ulas Dr. Kua Kia Soong, “Sudah tiba masanya untuk semua orang yang mengharapkan pembaharuan sebenar di Malaysia untuk membina ‘Kuasa Progresif Ketiga’ demi masa depan yang benar-benar adil, demokratik dan mampan yang gagal disampaikan oleh BN dan PH.”

Dr. Kua berkata, “Nik Aziz telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai keberanian sebagai seorang calon kerana sudi menerima jemputan untuk berdebat. Nik Aziz telah menunjukkan bahawa beliau mempunyai platform untuk isu yang diperjuangkannya. Nik Aziz mempunyai manifesto. ”

“Kami sokong Nik Aziz kerana kami percaya bahawa Nik Aziz ialah seorang yang berani, jujur dan lantang bersuara untuk kepentingan rakyat… Nik Aziz telah mengangkat sumpah untuk mengisytihar hartanya demi amalan ketelusan. Inilah orang yang kita perlukan dalam Dewan Undangan Negeri.,” kata peguam hak asasi Visvanathan. “Saya tanpa was-was seru pada pengundi untuk mengundi Nk Aziz.”

Dalam satu kenyataan bersama yang telah mendapat sokongan daripada 52 orang aktivis atau pemimpin masyarakat sivil setakat ini, dinyatakan bahawa Pakatan Harapan telah seolah-olah menjadi Barisan Nasional 2.0 selepas beberapa bulan menumbangkan rejim Barisan Nasional, di samping memperlihatkan komitmen lemah oleh kerajaan baru dalam pelaksanaan beberapa janji manifesto yang penting seperti pemansuhan akta yang zalim.

“PSM boleh menerajui ‘Kuasa Progresif Ketiga’ yang telah lama diperlukan untuk menawarkan pilihan yang bersifat bukan-perkauman, progresif dan mampan yang berbeza daripada BN 1.0 dan BN 2.0 untuk generasi masa depan rakyat Malaysia,” begitu bunyinya kenyataan bersama tersebut.

Menurut kenyataan bersama tersebut, antara agenda politik progresif yang boleh diperjuangkan oleh Kuasa Progresif Ketiga, termasuk penghapusan politik perkauman; pengagihan semula kekayaan untuk 99%; perumahan awam, kesihatan, pengangkutan dan pendidikan dengan harga berpatutan.

Calon PSM untuk PRK Semenyih, Nik Aziz Afiq, turut hadir dalam sidang akhbar hari ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh masyarakat sivil. Ketika menjawab soalah daripada wartawan suasana di Semenyih semakin hangat apabila mendekati hari mengundi dengan parti-parti besar seperti Pakatan Harapan dan Barisan Nasional membawa masuk tokoh-tokoh politik terkenal untuk berceramah, Nik Aziz menjawab, “Menteri-menteri boleh datang dan pergi, pimpinan-pimpinan parti boleh datang dan pergi. Setiap kali datang masa pilihanraya boleh dapat jalanraya baru, pokok ditebang dan sebagainya untuk menyambut mereka. Tetapi bagaimanapun, selepas 2 haribulan (hari mengundi), menteri-menteri akan balik ke pejabat masing-masing, pimpinan-pimpinan parti akan balik ke kawasan masing-masing. Baik atau buruk di Semenyih, rakyat di Semenyih yang akan rasa sendiri. Yang akan merasakan kesesakan di Semenyih adalah kita, yang merasakan jalan berlubang kita juga, yang cari rezeki di sini kita, yang akan berkeluarga di sini kita, yang akan membeli rumah di sini kita. Inilah yang dibawa dalam slogan kempen PSM, Somonyih Tompek Kito. Rakyat Semenyih akan faham dan pandai memilih.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *