52762311_350595978880558_5690076122323091456_n.jpg

 SEMENYIH, SELANGOR – 18 FEBRUARI 2019: Nik Aziz Afiq, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk Pilihanraya Kecil (PRK) kawasan DUN Semenyih, telah membentangkan Manifesto PSM untuk PRK Semenyih dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan pada hari ini.

Walaupun Mahathir pernah mengatakan manifesto itu bukan kitab suci, tetapi PSM amat memandang serius tentang manifesto, kerana ia merupakan janji atau komitmen yang diberikan oleh parti politik yang bertanding dalam pilihanraya untuk dinilai oleh pengundi-pengundi supaya dapat memilih tawaran politik yang dipersetujui mereka. Manifesto merupakan dokumen yang penting untuk calon atau parti politik yang ingin merayu undi supaya dipilih ke dalam dewan perundangan. Jadi, golongan politikus yang tidak memandang serius terhadap manifesto hanyalah sekadar memancing undi sokongan untuk dirinya sendiri ataupun sekutunya berkuasa.

PSM telah menggariskan 7 perkara penting yang akan diperjuangkan untuk pengundi Semenyih.

52262048_400254443874044_1078905830683705344_n.jpg

Perumahan Mampu Milik – Bukan Mampus Milik!

Generasi muda dan rakyat biasa Semenyih tidak mampu untuk membeli rumah-rumah mewah dengan harga mencecah tahap yang tidak masuk akal, iaitu RM 300,000 ke RM 600,000.

Oleh itu, PSM menggesa pihak berwajib untuk mengawal harga rumah dengan mengetatkan syarat kepada pemaju sebelum sesuatu projek dimulakan.

PSM juga menyarakan supaya diperkenalkan had kuota rumah mewah untuk satu kawasan.

PSM bertekad untuk menganjurkan satu kempen mendesak projek rumah kos rendah dikembalikan semula, setiap perumahan mesti memiliki satu fasa untuk rumah kos rendah dan sederhana.

Naiktaraf Klinik Kesihatan Semenyih ke status hospital 

Sehingga kini rakyat Semenyih tidak mempunyai hospital sendiri dan masih bergantung kepada Hospital Kajang, Hospital Serdang dan Hospital Seremban bagi mendapatkan rawatan. Namun, berlakunya kesesakan serius di Hospital Kajang, Serdang dan Seremban hingga mengambil masa begitu lama bagi mendapatkan rawatan.

Lokasi hospital sedia ada yang agak jauh menyukarkan bantuan kecemasan untuk diberikan segera. Oleh itu, PSM menuntut supaya mewujudkan pangkalan ambulans di kawasan Semenyih bagi mempercepatkan perjalanan kes kecemasan dan pengangkutan kereta percuma bagi warga emas untuk mendapatkan rawatan berkala.

Tambah pengangkutan awam – Tolak tol yang membebankan

Rata-rata penduduk Semenyih bekerja di luar kawasan Semenyih terutamanya di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Malangnya sebaik keluar dari Semenyih, mahu tak mahu terpaksa membayar tol demi tol. Oleh yang demikian, PSM mendesak untuk pemansuhan satu tol (Silk highway / Lekas Kajang Batu 3 / Plus Putra Mahkota).

PSM menyeru supaya memulihkan perkhidmatan bas dari Semenyih ke Seremban, Beranang ke Putrajaya, dan Bukit Mahkota/Sri Putra ke Kajang, di samping mendesak penyediaan bas perantara MRT supaya dapat dinikmati oleh penduduk Semenyih dan Beranang.

Oleh sebab mempunyai penduduk yang pesat, pengangkutan awam seperti komuter dan MRT patut dibina di Semenyih. Kerajaan juga perlu memastikan supaya perkhidmatan bas yang berkesan dan memuaskan dapat disediakan.

Pilihanraya majlis tempatan, kampung dan taman untuk tangani salahguna kuasa dan rasuah

PSM mendesak untuk mewujudkan pilihanraya di semua taman, pangsapuri dan kampung untuk melantik ketua masing-masing supaya meningkatkan penyertaan penduduk dalam pentadbiran DUN Semenyih, termasuk dalam isu menyelaras taman permainan masing-masing dan memantau kontrak pembersihan penduduk tempatan.

Setiap kawasan perumahan harus mempunyai kuota 30% pemilikan lesen perniagaan untuk orang tempatan.

Rumah pangsa kos rendah 

PSM akan menggerakkan satu kempen untuk membatalkan bayaran penyelenggaraan (maintenance) bulanan pangsapuri kos rendah dan digantikan dengan cukai pintu setahun sekali.

Isu pendidikan

PSM akan mendesak supaya kelas tingkatan 6 di sekolah-sekolah Semenyih dibuka kembali. PSM juga menyeru supaya kerajaan mengambil tindakan untuk mengawal kos-kos yuran yang tinggi di kolej swasta dan kerajaan, termasuk institusi pengajian milik Kerajaan Negeri Selangor.

Kehidupan yang hijau dan sihat

PSM mendesak kerajaan supaya melindungi Bukit Broga sebagai kawasan alam sekitar dan kawasan rekreasi dan mengawal pembangunan di sana. Mempromosi kawasan pelancongan dan melindungi kawasan rekreasi hijau dan sihat seperti aktiviti mendaki gunung dan kolam air panas.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *