PUTRAJAYA – 31 JANUARI 2019: Pekerja-pekerja dan aktivis-aktivis yang bergabung dalam Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan mengadakan aksi protes dan penyerahan memorandum pada hari ini di Kementerian Pendidikan, berkaitan dengan isu pemberhentian kerja kontrak secara tergempar di sekolah-sekolah kerajaan baru-baru ini.
Memorandum yang ditujukan kepada Menteri Pendidikan telah diterima oleh Ainul Ridzwan Zainudin, Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan (Perkhidmatan Faksiliti) di bawah Kementerian Pendidikan. Satu perbincangan telah diadakan untuk membangkitkan isu-isu berkaitan kepada pihak Kementerian Pendidikan. Turut bersama semasa penyerahan memorandum ialah M. Sivaranjani selaku Penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan dan S. Arutchelvan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang ditubuhkan oleh Biro Pekerja PSM, telah menerima banyak aduan menjelang tahun baru 2019 daripada pekerja-pekerja kontrak di sekolah kerajaan, iaitu pekerja pembersih dan pengawal keselamatan.
Ramai pekerja mengadu bahawa apabila kontraktor baru mengambilalih perkhidmatan pembersihan di sekolah, kontraktor berkenaan mula mengurangkan jumlah pekerja pembersihan dengan alasan Kementerian Pendidikan telah mengurangkan peruntukan kepada mereka. Oleh itu, ramai pekerja pembersihan sekolah di seluruh negara dibuang kerja secara tiba-tiba. Kebanyakan pekerja ini telah lama berkhidmat di sekolah tetapi dibuang kerja tanpa notis dan sebarang pampasan.
Sementara untuk pengawal keselamatan di sekolah kerajaan, mereka menghadapi situasi yang berlainan mulai tahun ini. Waktu kerja mereka telah dikurangkan. Sebelum ini pengawal keselamatan sekolah melakukan kerja secara 2 syif, syif waktu pagi dan syif malam. Setiap syif adanya dua orang pengawal keselamatan bertugas. Namun, mulai tahun ini, kontraktor baru memperkenalkan amalan 3 syif, iaitu waktu pagi 2 pengawal keselamatan, petang seorang dan malam seorang lagi. Tiada pengawal keselamatan diberhentikan kerja, masa kerja telah dipendekkan daripada 12 jam kepada 8 jam, tetapi jumlah gaji yang diterima pengawal keselamatan telah menurun dengan hebat.
Arahan Kementerian Pendidikan menjejaskan hidup pekerja
Pengurangan peruntukan daripada Kementerian Pendidikan telah mendatangkan kesan negatif yang serius kepada pekerja-pekerja kontrak yang berkhidmat sebagai pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah kerajaan. Pekerja-pekerja kontrak ini merupakan golongan B40 dan kini hilang punca pendapatan mereka kerana hilang kerja secara tiba-tiba akibat arahan Kementerian Pendidikan.
Ramai daripada pekerja-pekerja pembersihan di sekolah merupakan golongan berumur 40 tahun lebih. Mereka menghadapi masalah mencari pekerjaan baru selepas diberhentikan kerja.
Pengawal keselamatan yang secara tiba-tiba mengalami perubahan dalam penetapan syif waktu kerja pula terpaksa berdepan dengan impak besar terhadap pendapatan mereka. Sebelum ini, seseorang pengawal keselamatan yang bekerja selama 12 jam sehari mendapat gaji lebih kurang RM 2,100 sebulan (gaji pokok yang masih berada pada paras gaji minimum, dan selebihnya adalah bayaran kerja lebih masa atau OT), tetapi sekarang mereka hilang hampir separuh daripada pendapatan sebelum ini kerana masa kerja dikurangka kepada 8 jam.
Penurunan pendapatan secara mendadak tanpa dijangka ini juga membawa masalah dalam mengendali perbelanjaan rutin bulanan, seperti pemakanan, pengangkutan, perbelanjaan sekolah anak-anak dan sebagainya.
Selain isu pengurangan gaji, pembahagian pengawal keselamatan untuk 3 syif juga mewujudkan isu keselamatan pekerja. Semasa syif petang dan syif malam, hanya seorang pengawal keselamatan sahaja akan berada di premis sekolah. Jika apa-apa berlaku secara tiba-tiba yang menjejaskan keselamatan kepada pengawal keselamatan yang bersendirian itu, siapa boleh bantu dan siapa akan bertanggungjawab? Jika pengawal keselamatan sendiri tiada keselamatan, bagaimana dia boleh memastikan keselamatan untuk orang lain?
Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) yang sepatutnya membantu pekerja-pekerja yang hilang kerja secara tiba-tiba juga tidak membantu golongan ini kerana mereka adalah pekerja kontrak.
Pekerja menuntut jaminan kerja
Kementerian Pendidikan telah membuat beberapa perubahan dalam pengendalian sistem kontrak, atas alasan mengurangkan kos. Perubahan dasar secara unilateral ini telah menjejaskan sebilangan besar pekerja yang tiba-tiba hilang kerja atau mengalami penurunan pendapatan. Pemberhentian kerja dan pengurangan pendapatan bukanlah hal-hal teknikal sahaja, tetapi ia ada implikasi besar terhadap keluarga-keluarga B40 yang terbabit. Ia menjejaskan kemampuan pekerja-pekerja untuk membelanja bagi mendapatkan keperluan asas seperti makanan, pembayaran sewa, dan kos-kos persekolahan. Kaedah pengurangan kos oleh kerajaan ini, telah menyebabkan pekerja-pekerja bawahan terpaksa menanggung kos sosial yang tinggi.
Kementerian Pendidikan tidak harus mengelakkan diri daripada tanggungjawabnya terhadap pekerja-pekerja yang terjejas dengan alasan mereka ialah pekerja kontrak. Adalah jelas bahawa terma kontrak disalahgunakan dalam konteks kerja perkhidmatan yang dilakukan di sekolah kerajaan, seperti kawalan keselamatan dan pembersihan, kerana kerja-kerja sebegini bukannya kerja bermusim atau untuk tempoh sementara sahaja. Sesebuah sekolah memerlukan pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan sepanjang masa selagi ia wujud. Oleh itu, pekerja-pekerja yang melakukan kerja-kerja sebegini perlu diberi jaminan kerja dan pendapatan bermaruah sepanjang masa.
Tuntutan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan
Dalam memorandum kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan mengemukakan tuntutan seperti berikut:
- Membayar pampasan pemberhentian kerja
Kementerian Pendidikan harus membayar pampasan pemberhentian kerja berasaskan tempoh masa seseorang pekerja itu berkhidmat di premis Kementerian Pendidikan. Pampasan ini juga harus merangkumi bayaran ganti notis. Ini hanyalah bayaran minimum yang terdapat dalam undang-undang untuk membantu pekerja yang dibuang kerja secara tiba-tiba.
- Kembalikan system 2 syif untuk pengawal keselamatan
Sistem 3 syif dengan tempoh kerja 8 jam seorang telah mengurangkan pendapatan pengawal keselamatan. Pengurangan besar dalam pendapatan ini amat menyusahkan pekerja-pekerja ini memandangkan mereka sudah biasa dengan pendapatan yang hampir dua kali ganda. Tambahan pula, ramai pekerja telah membuat komitmen dalam pelbagai pembayaran berasaskan pendapatan itu.
Para pengawal keselamatan memilih untuk kerja 2 syif dan 12 jam sehari oleh sebab gaji minimum sangat rendah, dan kerja OT memberi mereka peluang untuk mendapatkan gaji yang lebih. Oleh itum selagi gaji minimum masih berada pada paras yang rendah, Kementerian Pendidikan harus mengekalkan sistem 2 syif untuk sementara ini.
- Hapuskan sistem kontrak di premis sekolah dan wujudkan jaminan kerja kepada semua pekerja kontrak dengan menyerapkan mereka terus sebagai pekerja kerajaan
Masalah yang paling besar di sini adalah sistem kontrak untuk bekalan perkhidmatan seperti pembersihan dan kawalan keselamatan di sekolah kerajaan memiskinkan lagi pekerja berpendapatan rendah. Terdapat lebih kurang 10,000 buah sekolah di seluruh negara dan dianggarkan pekerja kontrak mencecah jumlah lebih kurang 150,000 orang. Semua pekerja kontrak ini walaupun bekerja di sekolah yang merupakan premis kerajaan, tetapi majikan mereka ialah kontraktor swasta yang mendapat tender daripada Kerajaan. Kontraktor-kontraktor ini mewujudkan pelbagai masalah kepada pekerja seperti bayaran gaji yang rendah; penipuan dalam pengiraan bayaran OT; tiada kenaikan gaji; tiada potongan wajib untuk caruman KWSP, PERKESO dan SIP; tiada jaminan kerja kerana setiap 3 tahun sekali kontraktor bertukar, pekerja hilang tempoh perkhidmatan mereka apabila kontraktor baru masuk dan dijadikan sebagai pekerja baru semula; ancaman pemberhentian kerja yang berterusan; dan sebagainya.
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan pernah membuat kajian dan mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pekerja-pekerja kontrak. Satu memorandum yang menghuraikan masalah ini pernah diserahkan kepada Bahagian Perolehan dan Pengurusan Aset Kementerian Pendidikan pada 7 Januari 2010, namun masalah ini masih berterusan sehingga hari ini.
Kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja pembersihan, pekebun dan pengawal keselamatan merupakan kerja tetap yang perlu dilakukan sepanjang masa selagi sesebuah sekolah itu berfungsi, maka ia bercanggah dengan konsep kerja kontrak yang harus dipakai hanya untuk kerja sementara. Kerajaan tidak harus mengamalkan sistem kontrak bagi kerja-kerja sebegini. Sistem kontrak ini menjadikan pekerja miskin lebih miskin.
Oleh yang demikian penyelesaian yang menyeluruh untuk masalah ini adalah menghapuskan sistem kontrak di premis sekolah kerajaan.
Kerajaan harus membawa semula sistem sebelum 1980-an di mana semua pekerja pembersihan, pengawal keselamatan dan pekebun menjadi pekerja tetap Kerajaan. Ini bermaksud Kerajaan mengupah secara terus pekerja-pekerja ini tanpa orang tengah. Orang tengah seperti kontraktor sebenarnya hanya meninggikan kos kepada Kerajaan. Kos itu boleh disalurkan terus kepada pekerja demi meningkatkan kuasa beli pekerja dan ini adalah baik untuk ekonomi.
Mengikut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Majlis Perundingan Gaji harus meliputi peningkatan gaji tahunan dan bonus. Sistem kontrak yang tiada peningkatan gaji bagai pekerja-pekerja kontrak yang bekerja bertahun-tahun di tempat yang sama, adalah bercanggah dengan konsep peningkatan gaji yang dibawa oleh ILO.
Jaminan kerja adalah hak asasi pekerja. Namun, sistem kontrak yang diamalkan di sektor awam di negara kita telah melanggar hak asasi seseorang pekerja, di mana penukaran kontraktor setiap 3 tahun menjadikan pekerja sering hilang kerja. Maka, satu-satunya cara untuk mengembalikan jaminan kerja kepada pekerja golongan ini adalah menyerapkan semula pekerja-pekerja ini sebagai pekerja tetap yang diupah terus oleh kerajaan.
Memamg teruk klau menteri langsung tk berfikir tntang nasib pengawal keselamatan yg slama ni mnjaga hrta bnda,nyawa….cuba kerja ditmpt kmi bru tau ape yg kmi rsa skrg…..tlong berfikir dgn bernas bkn hnya memandang cma sebelah mata……
Kerajaan tlong dgn diam….tlong ambil tindakan atas nsib smua pengawal sekolah…..menteri cukup selesa dgn gaji nya tpi mcm mna dgn kmi gologan bawahan ni…..
Gaji menteri2 yg patut di kurangkan….sijil palsu pn gji ratus ribu sebulan..mmg xde hati perut krajaan skang
Says sokong 100% ini kerajaan terdahulu terlapas pandang,kerajaan PH apa tungguh lagi ini lah masa nya mengambil hati rakyat
Ya serapkan terus pekerja kontrak ke dalam kerajaan akan meminimumkan kos ketirisan wang kerajaan dan dapat menyelesaikan masalah berulang seperti gaji pembuangan pekerja penipuan kontrak dll yg memburukan KPM.