GEORGETOWN, PULAU PINANG: Parti Sosialis Malaysia (PSM) Pulau Pinang telah berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yew pada 14 Disember 2018 untuk membincangkan isu-isu dasar negeri Pulau Pinang.
Satu memorandum daripada PSM Pulau Pinang yang menyenaraikan 6 isu penting berkenaan dengan halatuju pembangunan Pulau Pinang telah diserahkan kepada Ketua Menteri.
Walaupun PSM Pulau Pinang merakamkan ucapan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk penggal baru ini kerana telah melaksanakan beberapa pembaharuan, seperti menghadkan tempoh penggal untuk jawatan Ketua Menteri; namun terdapat beberapa lagi isu penting yang mempengaruhi masa depan negeri Pulau Pinang yang masih perlukan perhatian daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya pembaharuan secara menyeluruh dapat direalisasikan.
Berikut ialah isu-isu dibangkitkan dan cadangan daripada PSM Pulau Pinang dalam memorandum yang diserahkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang:
1. Pelan Induk Pengangkutan
1.1 Pelan Induk Pengangkutan merupakan satu pelan yang amat penting, bukan sahaja dalam menaiktarafkan sistem pengangkutan untuk mobiliti rakyat, tetapi mencorak kehidupan rakyat Pulau Pinang yang lebih berkualiti, sihat dan sejahtera untuk masa depan.
1.2 Namun, pengamatan PSM Pulau Pinang terhadap Pelan Induk Pengangkutan sekarang ini yang membawa cadangan daripada SRS Consortium, mendapati bahawa ia masih terperangkap dalam paradigma lama yang menumpukan pada kereta dan pembinaan lebuhraya yang hanya akan menggalakkan lebih banyak penggunaan kenderaan persendirian (seperti Lebuhraya PIL 1).
1.3 Pelan Induk Pengangkutan sekarang ini cenderung kepada kepentingan pihak korporat dan pemaju hartanah besar, tetapi kesejahteraan hidup rakyat biasa diancam dengan projek mega yang bakal menjejaskan kualiti hidup dan alam sekitar.
1.4 Wujudnya ketidaktelusan dalam keseluruhan projek berkaitan dengan Pelan Induk Pengangkutan dan maklumat yang disampaikan adalah berat sebelah.
1.5 PSM Pulau Pinang juga amat bimbang tentang beban kewangan yang besar yang akan ditanggung oleh kerajaan dan rakyat Pulau Pinang dengan pelaksanaan projek yang memakan berbilion-bilion ringgit ini. Model pembiayaan yang melibatkan penjualan tanah kepada pemaju hartanah melalui penambakan laut adalah sesuatu yang berisiko tinggi, di mana tiada jaminan boleh mendapatkan dana yang mencukupi sementara membawa impak yang besar kepada masyarakat dan ekologi alam, khususnya di bahagian selatan Pulau Pinang yang akan terjejas kerana penambakan laut.
1.6 Membina lebih banyak jalan dan lebuhraya tidak akan mengurangkan penggunaan kereta dan kesesakan lalulintas. Cara efektik untuk mengurangkan kesesakan trafik dan memudahkan pergerakan rakyat adalah mengurangkan penggunaan kereta di jalanraya dengan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam. Penaiktarafan dalam sistem bas, termasuk rangkaian laluan bas yang lebih meluas dan berintegrasi, merupakan cara penyelesaian yang murah, cepat dan efektif. Adalah tidak munasabah untuk pembuat dasar tidak mengambilkira alternatif yang lebih murah, cepat dan efektif ini.
1.7 Oleh yang demikian, PSM Pulau Pinang menyeru pada Kerajaan Pulau Pinang supaya mengkaji semula Pelan Induk Pengangkutan yang sedia ada.
1.8 PSM Pulau Pinang mencadangkan pelaksanaan sistem pengangkutan awam yang berasaskan bas (bus-based), yang mengutamakan dan menekankan perkara seperti:
– Pengwujudan rangkaian laluan bas yang lebih luas dan menyeluruh;
– Pertambahan bilangan bas untuk memastikan frekuensi dan ketepatan masa;
– Laluan khas untuk bas di jalan-jalan utama;
– Penambahbaikan rekaan dalaman bas untuk menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna bas;
– Penambahbaikan perhentian dan terminal bas.
1.9 PSM Pulau Pinang juga menyeru pada Kerajaan Pulau Pinang supaya merombak semula Majlis Pengangkutan Negeri Pulau Pinang (PTC), supaya ia bersifat lebih demokratik dengan penglibatan yang lebih daripada wakil masyarakat sivil di samping memainkan peranan utama dalam mengawalselia isu-isu berkaitan dengan pengangkutan dalam negeri. Patut wujudkan pemilihan umum untuk ahli-ahli PTC, memberi lebih kuasa kepada PTC, dan mesyuarat PTC patut diadakan dengan lebih kerap dan terbuka untuk orang awam hadir sebagai pemerhati. Semakan semula dan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan patut dikawalselia sepenuhnya oleh PTC.
2. Pilihanraya Tempatan
2.1 PSM Pulau Pinang telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Pulau Pinang sebelum ini kerana telah membawa dan meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012. Namun, pilihanraya untuk kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak dapat diadakan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihanraya. Keputusan Mahkamah Persekutuan pada bulan Ogos 2014 juga menolak permohonan untuk mengadakan pilihanraya tempatan di Pulau Pinang.
2.2 Walau bagaimanapun, dengan perubahan di peringkat Persekutuan selepas PRU-14, PSM Pulau Pinang melihat bahawa peluang untuk memulihkan pilihanraya tempatan kembali cerah, apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menyatakan hasrat untuk melaksanakan pilihanraya tempatan.
2.3 Dari segi undang-undang, Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dipinda untuk membolehkan pilihanraya tempatan dapat dilaksanakan. Pindaan termasuk pemansuhan Seksyen 15 Akta tersebut (peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan), dan pengubahsuaian terhadap Seksyen 9 dan 10, berkenaan dengan kuasa kerajaan negeri memberi arahan kepada kerajaan tempatan dan juga perlantikan ahli majlis. Dengan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Negeri sekarang ini dikuasai Pakatan Harapan, pindaan terhadap undang-undang ini memang boleh dibuat dengan mudah.
2.4 Pilihanraya Kerajaan Tempatan merupakan satu komponen penting dalam demokrasi. PSM berharap Kerajaan Pakatan Harapan dapat menunjukkan komitmen yang kukuh dalam menegakkan demokrasi di negara kita dengan memulihkan pilihanraya tempatan.
2.5 Kerajaan juga patut mengambil kesempatan pemulihan pilihanraya tempatan untuk mengkaji dan memperkenalkan sistem pengundian baru yang lebih adil dan inklusif untuk membolehkan perwakilan dalam majlis mencerminkan pilihan sebenar rakyat.
2.6 Wujudkan juga pemilihan demokratik untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Kampung.
2.7 Kita perlu diingatkan bahawa negeri Pulau Pinang merupakan perintis dalam pilihanraya tempatan pada abad ke-20, maka negeri Pulau Pinang tidak boleh ketinggalan dalam memulihkan pilihanraya tempatan pada abad ke-21.
2.8 Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mengambil inisiatif baru untuk mengembalikan pilihanraya tempatan. PSM Pulau Pinang berharap pilihanraya tempatan di Pulau Pinang dapat dikembalikan dan diadakan selewat-lewatnya pada tahun 2020.
3. Isu Perumahan
3.1 Harga rumah yang melambung tinggi menyebabkan kebanyakan keluarga baru tidak mampu memiliki rumah ataupun terperangkap dengan hutang yang bertimbunan akibat pinjaman bank untuk pembelian rumah. “Rumah mampu milik” hanya sekadar nama yang sedap didengar oleh banyak keluarga berpendapatan sederhana dan rendah. Rakyat biasa yang tidak dapat membayar balik hutang perumahan mengikut jadual akan menghadapi masalah rumah dilelong.
3.2 Selain itu, isu penyelenggaraan rumah pangsa, kekurangan rumah sewa murah untuk golongan berpendapatan rendah dan sebagainya, juga merupakan isu-isu perumahan yang dihadapi rakyat kita hari ini.
3.3 Corak pemikiran yang ada pada kerajaan kita juga bermasalah. Kerajaan Negeri Pulau Pinang nampaknya masih berpegang pada kepercayaan bahawa sektor swasta dapat menyediakan semua perkhidmatan asas dengan baik, termasuk perumahan. Namun, pada hakikatnya, komodifikasi rumah dan spekulasi untuk keuntungan besar yang berikutan daripadanya telah menyumbang kepada harga rumah yang melambung tinggi pada hari ini. Komodifikasi ini juga berlaku ke atas pembekalan “rumah mampu milik”.
3.4 Isu pokoknya bukan bank yang tidak melonggarkan syarat untuk pinjaman kepada pembeli rumah mampu milik, tetapi cara pembekalan rumah mampu milik itu sendiri sudah bermasalah. Jangan salahkan bank kerana enggan melonggarkan syarat pinjaman, memang harga rumah terlalu tinggi sehingga di luar kemampuan sebenar rakyat biasa untuk membelinya.
3.5 Syarat yang ditetapkan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang sekarang ini juga amat bermasalah.
3.5.1 Syarat yang menyatakan pendapatan pemohon / suami / isteri tidak melebihi RM750.00 atau pendapatan seisi sekeluarga kurang daripada RM1,500.00, adalah sesuatu yang ketinggalan zaman. Gaji minimum sekarang ialah RM1,000 sebulan dan akan dinaikkan kepada RM1,1000 pada 1 Januari 2019. Ini bermakna seorang atau keluarga berpendapatan terbawah dengan kedua-dua ahli keluarganya bekerja dengan gaji minimum langsung TIDAK LAYAK untuk menduduki rumah PPR. Pendapatan isi rumah bulanan penengah untuk Pulau Pinang pada tahun 2016 ialah RM5,406, maka pendapatan garis kemiskinan relatif (60% daripada pendapatan isi rumah penengah) ialah RM3,245, atau bersamaan RM1,622 seorang jika suami isteri bekerja.
3.5.2 Tinjauan PSM Pulau Pinang di PPR Padang Tembak dan Pangsapuri Ampang Jajar juga mendapati adanya penghuni kehilangan kelayakan untuk tinggal di sana atas penetapan syarat yang bermasalah dan kegagalan pihak Bahagian Perumahan memahami masalah mereka secara mendalam serta mencari penyelesaian yang sewajar.
3.5.3 Terdapat juga ketetapan dalam dasar perumahan PPR yang tidak mesra wanita, seperti:
– Balu untuk penduduk PPR perlu melalui proses permohonan semula.
– Ibu tunggal menghadapi masalah mengambil masa terlalu lama untuk permohonan dan karenah birokrasi dari segi dokumentasi.
– Masalah warganegara yang berkahwin dengan warga asing hilang kelayakan untuk permohonan PPR.
– Wanita yang menjadi mangsa poligami menghadapi masalah dari segi kelayakan untuk menduduki unit PPR.
– Kekurangan pusat penjagaan kanak-kanak komuniti di kawasan perumahan PPR.
3.6 Kita perlukan anjakan paradigma dalam menyelesaikan kemelut perumahan yang dihadapi rakyat biasa di Pulau Pinang, iaitu kita perlu mengeluarkan pembekalan rumah kediaman (khususnya rumah pertama) daripada pasaran bebas yang dikuasai golongan pemaju korporat yang bermotifkan keuntungan semata-mata.
3.7 Oleh yang demikian, PSM Pulau Pinang mencadangkan langkah-langkah berikut untuk menyelesaikan kemelut perumahan:
3.7.1 Menubuhkan Lembaga Perumahan Rakyat yang tidak bermotifkan keuntungan untuk membina rumah pertama bagi rakyat yang memerlukannya (atau belum memiliki apa-apa rumah). Rumah-rumah yang dibina oleh Lembaga ini akan dijual kepada pembeli rumah pertama pada harga yang sedikit lebih tinggi daripada kos pembinaan, dengan syarat bahawa pemilik hanya boleh menjual rumah ini kembali kepada Lembaga Perumahan Rakyat (dengan harga belian asal tambah faktor inflasi). Lembaga Perumahan Rakyat boleh menjual semula rumah tersebut kepada keluarga lain yang layak. Ini bermaksud bahawa pembekalan rumah di bawah Lembaga Perumahan Rakyat ini dipisahkan sepenuhnya daripada pasaran perumahan.
3.7.2 Majlis Bandaraya mengambilalih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.
3.7.3 Tambah pembinaan unit rumah sewa murah atau Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk golongan berpendapatan terbawah.
3.7.4 Pinda syarat permohonan untuk PPR dengan menaikkan pendapatan maksimum pemohon kepada RM 1,500 sebulan atau pendapatan seisi sekeluarga kurang daripada RM 3,000 sebulan. Kaji semula syarat ini secara berkala bersesuaian dengan peningkatan pendapatan purata rakyat negeri Pulau Pinang.
3.7.5 Kenakan cukai hartanah yang progresif dan strategik, terutamanya terhadap pemilik rumah mahal, rumah kedua dan ke atas. Wang yang dikumpul hasil daripada cukai ini boleh disalurkan untuk membina perumahan mampu milik.
3.7.6 Cukai ke atas hartanah mahal yang tidak berpenghuni atau sebahagiannya tidak dihuni (under-occupancy tax). Cukai ini akan mengurangkan spekulasi harga rumah, dan mengurangkan kelonjakan permintaan dalam pasaran perumahan.
3.7.7 Gubal enakmen yang membolehkan Kerajaan Negeri mengambilalih unit rumah yang tidak dijual untuk satu tempoh, dengan bayaran pampasan mengikut kos pembinaan kepada pemaju, supaya dapat dipindahkan kepada Lembaga Perumahan Rakyat untuk pengagihan semula kepada rakyat yang memerlukan rumah dengan harga yang lebih berpatutan, ataupun menjadikan rumah sewa murah kepada mereka yang memerlukannya.
3.7.8 Gubal enakmen yang melindungi hak ekuiti penduduk di atas tanah bukan milik sendiri (sama ada tanah kerajaan atau tanah persendirian) yang telah menghuni secara berterusan untuk sekurang-kurangnya 10 tahun. Hentikan semua pengusiran paksa.
4. Keterlibatan rakyat dalam proses politik dalam negeri
4.1 Keterlibatan rakyat adalah unsur yang penting untuk menentukan halatuju dan dasar yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.
4.2 Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu menginstitusikan amalan proses penyertaan rakyat dalam semua aspek penggubalan dasar atau perancangan.
4.3 PSM Pulau Pinang menyeru pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya melaksanakan penyertaan rakyat dalam belanjawan negeri, di mana rakyat setempat dapat melibatkan diri dalam proses merangka belanjawan negeri, khususnya menentukan bagaimana dana kerajaan dapat dibelanjakan dalam pembangunan setempat.
5. Masalah dengan pelancongan kesihatan
5.1 Sebarang usaha menggalakkan atau memperkasakan pelancongan kesihatan yang digerakkan oleh korporat swasta yang bermotifkan keuntungan hanya akan menggadaikan hak asasi rakyat dan memudaratkan sistem kesihatan awam negara kita yang sudahpun dihakis teruk oleh perkembangan sektor kesihatan swasta.
5.2 Pada takat ini, negara kita sedang menghadapi masalah serius penghijrahan pakar dari hospital kerajaan ke hospital swasta, di mana hanya tinggal 25% doktor pakar yang masih berkhidmat di hospital kerajaan sedangkan terdapatnya 70% pesakit dalam (in-patient) yang mendapat rawatan di hospital kerajaan. Trend ini wujud kerana kesan daripada perkembangan pesat sektor kesihatan swasta di negara kita untuk beberapa dekad kebelakangan ini, di samping kegagalan kerajaan dalam menyalurkan dana dan sumber yang mencukupi kepada peningkatan taraf perkhidmatan kesihatan awam. Pengwujudan hospital swasta baru ataupun perluasan hospital swasta yang sedia ada (untuk memenuhi “keperluan” pelancongan kesihatan) sudah tentunya akan mempercepatkan lagi penghijrahan doktor pakar dari hospital kerajaan ke sektor swasta. Dasar kerajaan yang menggalakkan/memperkasakan pelancongan kesihatan akan memburukkan lagi trend ini, dan menjejaskan sistem kesihatan negara kita secara keseluruhannya.
5.3 Penyediaan penjagaan kesihatan merupakan hak asasi manusia yang tidak patut diperniagakan untuk keuntungan korporat. Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan ataupun Kerajaan Negeri, tidak patut terlibat dalam usaha menggalakkan pelancongan kesihatan yang menjadikan penjagaan kesihatan itu sebagai sejenis komoditi yang boleh dijual beli dalam pasaran bebas.
5.4 Oleh yang demikian, PSM Pulau Pinang menyeru pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya:
5.4.1 Keluarkan pelancongan kesihatan daripada Deraf Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (DRSNPP 2030);
5.4.2 Hentikan usaha mempromosi pelancongan kesihatan di negeri Pulau Pinang;
5.4.3 Bekukan semua rancangan untuk pembinaan hospital swasta yang baru atau perluasan hospital swasta;
5.4.4 Masukkan rancangan membina hospital kerajaan baru di kawasan padat penduduk seperti Bayan Baru, dengan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
6. Alam sekitar dan pembangunan lestari
6.1 Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) dan Rancangan Tempatan Daerah perlu diwartakan sebelum meluluskan atau melaksanakan mana-mana projek pembangunan mega.
6.2 DRSNPP 2030 mempunyai banyak kelemahan dan gagal mengemukakan visi pembangunan yang benar-benar lestari untuk negeri Pulau Pinang yang menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan. Oleh itu, DRSNPP 2030 perlu disemak semula dengan lebih terperinci dan teliti lagi.
6.3 Pembangunan di lereng bukit (sama ada tanah kerajaan atau swasta) mesti dikawal dengan lebih ketat lagi, terutamanya tanah berketinggian 250 kaki/ 76 meter di atas paras laut atau tanah lereng bukit berkecerunan 25 darjah dan ke atas.
6.4 Batalkan projek penambakan laut dan pembangunan tanah di kawasan perairan selatan Pulau Pinang, yang bakal mendatangkan kemusnahan ekologi dan menjejaskan kehidupan nelayan setempat serta keselamatan bekalan makanan dari hasil laut negeri.
6.5 Wartakan kawasan rumput laut (sea grass bed) yang terletak berdekatan dengan Middle Bank dan Pulau Gazumbo, sebagai kawasan khas eko-laut Pulau Pinang.
6.6 Bekukan projek pembangunan baru di Bukit Bendera untuk memastikan kawasan tadahan air dapat dipelihara, supaya negeri Pulau Pinang dapat menghadapi ancaman kekurangan bekalan air pada masa depan akibat daripada kesan perubahan iklim dan sebagainya.
6.7 Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mempunyai dasar berjangka masa panjang untuk Tenaga Boleh Diperbaharui dan pelan strategi mitigasi perubahan iklim.
One thought on “PSM Pulau Pinang bangkit 6 isu utama dalam pertemuan dengan Ketua Menteri”