hospital-putrajaya-pengalaman-bersalin.jpg

oleh Sivaranjani Manickam

Semasa membuat kajian dan pemantauan pekerja kontrak di beberapa hospital kerajaan, aktivis PSM terkejut apabila mendapati bahawa pekerja-pekerja kawalan keselamatan di Hospital Putrajaya tidak dibayar gaji untuk tiga bulan!

Ini merupakan sesuatu yang memalukan kerana penindasan terhadap pekerja berlaku secara terang-terang di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.

Kini, hanya polis bantuan berdiri di depan pintu masuk untuk membantu tugasan kawalan keselamatan kerana para pekerja kawalan keselamatan tidak hadir kerja. Mereka tidak dibayar gaji sejak bulan September 2018.  Syarikat yang diberikan kontrak untuk menjaga keselamatan di situ, A.H.M Security, telah gagal membayar gaji pekerja. “Siapa akan kerja jika tak dibayar gaji dengan betul!” ujar seorang pengendali kedai di hospital apabila ditanyakan berkenaan kejadian tersebut. Kami difahamkan bahawa pekerja-pekerja keselamatan yang tidak dibayar gaji ini sudah membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja dan ibupejabat majikan mereka serta pihak Hospital, tetapi nampaknya semua tidak dapat menyelesaikan masalah mereka!

Putrajaya ialah pusat pentadbiran utama negara kita. Jika pekerja yang berada di Putrajaya pun tidak mendapat perlindungan, bagaimana pula dengan pekerja-pekerja kontrak kerajaan di seluruh negara yang setiap hari mengalami perkara sebegini? Ini bukan satu fenomena yang baru. Pada tahun ini juga, pekerja-pekerja kontrak pembersihan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur yang terletak Jalan Duta, dengan jumlah lebih 120 orang, tidak dibayar gaji lebih 4 bulan dan menyebabkan mereka tidak hadir kerja sehingga hakim dan kakitangan mahkamah terpaksa turun mencuci tandas mahkamah.

Bagaimana kontraktor-kontraktor yang teruk sebegini mendapat tender kerajaan? Mengapa isu ini tiada kesudahannya? Siapakah dalang yang memilih kontraktor yang teruk sebegini?

Persoalan pokok yang lebih penting adalah mengapa pekerja-pekerja di premis kerajaan harus dijadikan pekerja kontrak di bawah syarikat swasta? Siapakah kroni-kroni kerajaan yang mendapat keuntungan dengan sistem kontrak ini? Sistem kontrak adalah satu fenomena baru yang telah menggantikan pekerjaan tetap sebelum ini. Melalui sistem kontrak, pekerja hilang hak mereka – jaminan kerja, kenaikan gaji, bayaran kerja lebih masa, faedah lain seperti cuti tahunan, cuti sakit dan lain-lain lagi.

Kerajaan Pakatan Harapan harus memandang isu ini dengan lebih serius dan mengambil langkah segera untuk menyelamatkan pekerja kontrak yang ditindas ini, terutamanya perubahan itu harus mula dari kerajaan sendiri. Kita perlu kembali kepada zaman sebelum 1980-an di mana semua pekerja di premis kerajaan adalah pekerja kerajaan. Keadaan ini harus dikembalikan.

Kalau keadaan ini tidak diambil berat, satu hari nanti menteri-menteri dan ketua-ketua jabatan kena cuci tandas sendiri dan jadi pengawal keselamatan pula.

==========

Sivaranjani Manickam ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Penyalaras Biro Pekerja PSM.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s