ptb celebrate electoral results.jpg

oleh Hadri A Rahman

Dalam pilihanraya tempatan yang diadakan di Belgium pada 14 Oktober lalu, Parti Pekerja Belgium (PDVAPTB) telah menunjukkan kemajuan yang menggalakkan di Flanders (wilayah Belgium yang berbahasa Belanda), Wallonia (wilayah Belgium yang berbahasa Perancis) dan juga Brussels (ibu negara Belgium).

Di Brussels, Parti Pekerja telah mendapat sebanyak 11.6% daripada undian yang dibuang. Parti Pekerja juga telah memperoleh 8.7% undi di Antwerp. Mereka juga telah memperoleh 16.3% daripada jumlah undi di Liege dan 15.7 % undi di Charleroi, dua bandar terpenting di Wallonia, dan juga sebanyak 7.1% undi di Ghent, bandar kedua paling penting di Flanders.

Menurut Peter Mertens, Presiden Parti Pekerja, keputusan pilihanraya tempatan kali ini telah menunjukkan bahawa mereka telah berupaya mencapai objektif mereka di seluruh negara. Menurutnya, “Untuk kali pertama, kita telah bergerak daripada sebuah fenomena bandaraya yang tertumpu di Antwerp dan Ghent untuk mendapat kejayaan di bandar saiz besar dan sederhana di Wallonia, wilayah Brussels dan Flanders. Bilangan ahli majlis tempatan kita bertambah dari 50 ke 157 orang.”

Di Antwerp, 8.7% undi yang diperolehi bermaksud parti tersebut telah berjaya mendapat 4 kerusi di majlis tempatan (communal council) dan 19 kerusi di majlis daerah (district council, Bandar Antwerp terbahagi kepada 9 daerah).

Menurut Peter Mertens lagi, pemilihan di bandar Antwerp merupakan pertempuran yang paling sukar bagi mereka kerana Parti N-VA, parti nasionalis Flemish yang diketuai oleh Datuk Bandar Bart De Wever, telah mengetuai kempen yang paling mahal dan berjaya mengekalkan kedudukan mereka dengan baik sekali. Dalam keadaan sedemikian, katanya, mereka berpuas hati dengan keputusan yang diperolehi.

Dalampilihanraya kali ini, Parti Pekerja telah berjaya menyertai majlis perbandaran di bandar Ghent (3 kerusi), Leuven (1 kerusi) dan Hasslet (2 kerusi), dan telah memperoleh kerusi pertama di 6 bandar bersaiz sederhana.

Di wilayah Brussels, Parti Pekerja telah memperolehi 10% hingga 15% daripada undi yang dibuang di majlis perbandaran terbesar, lantas menaikkan jumlah pegawai yang dipilih daripada 2 orang di dua majlis perbandaran kepada 36 orang di 7 majlis perbandaran. Ini telah memberikan parti tersebut asas yang kuat di bandar Brussels, Anderlecht, Molenbeek, Schaerbeek, Saint-Gilles, Hutan dan Ixelles.

Di wilayah Wallonia, mereka telah memperolehi 15% daripada undi di Liege (parti ketiga terbanyak), Charleroi (parti kedua terbanyak) dan La Louvière (parti kedua terbanyak), dan juga di kawasan “tali pinggan merah” (red belt) sekitar Liege, di mana mereka telah memperolehi 25% undi di Herstal dan Seraing. Parti Pekerja juga telah memperoleh 3 kerusi di ibu kota wilayah Namur dan Mons, dan untuk pertama kalinya, wakil daripada Parti Pekerja telah dipilih di Huy, Tournai dan Verviers. Di Wallonia secara keseluruhan, Parti Pekerja telah menunjukkan peningkatan daripada 14 ke 78 kerusi.

Menurut Peter Mertens lagi, ini telah menunjukkan mereka kini berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat mereka untuk memperoleh wakil rakyat untuk mewakili Parti Pekerja di parlimen persekutuan dan parlimen Flemish untuk pertama kali dalam sejarah parti tersebut dalam pilihanraya persekutuan dan wilayah yang dijadualkan akan berlangsung pada tahun 2019.

Menurut jurucakap nasional Parti Pekerja Raoul Hedebouw, sepanjang tempoh kempen pilihanraya, parti-parti tradisional lebih memberikan perhatian kepada kerusi dan gabungan politk, manakala Parti Pekerja telah mengemukakan isu-isu penting seperti perumahan sosial yang berkualiti, pengangkutan awam percuma dan kepentingannya dalam ekologi, dan untuk mengurangkan gaji Datuk Bandar di bandar-bandar penting, kerana menurut mereka, pegawai yang dipilih harus hidup bersama dengan rakyat, bukan di dunia lain.

Pada keseluruhannya, Parti Hijau juga telah memperoleh keputusan yang baik, manakala nasib parti demokrat sosial, yang diwakili oleh Parti Sosialis semakin merosot. Parti Sosialis (PS) telah menunjukkan penurunan sokongannya di Flanders, sementara di Brussels dan Wallonia, meskipun prestasi PS telah menunjukkan penurunan, PS telah berjaya mengekalkan kedudukan mereka sebagai parti pertama meskipun majoriti mereka diganggu oleh kebangkitan Parti Pekerja di kebanyakan majlis bandar-bandar tempatan.

Namun begitu, politik di wilayah di Flanders masih didominasi oleh unsur-unsur berhaluan kanan, dengan parti N-VA sebagai parti nasionalis berhaluan kanan yang kuat dan Parti Vlaams Belang, sebuah parti extrimis kanan yang semakin membesar.  Parti-parti berhaluan kanan ini telah memenangi 45% undi di perbandaran Antwerp.

Sumber:

https://www.greenleft.org.au/content/radical-left-makes-breakthrough-belgium

https://ptb.be/articles/local-elections-belgium-ptb-realizes-breakthrough-all-major-cities

https://www.rtbf.be/info/regions/detail_le-ptb-ferait-une-belle-percee-a-charleroi-et-la-louviere?id=10045887

https://www.euractiv.com/section/elections/news/traditional-parties-hammered-in-belgian-local-election/

One thought on “Belgium: Parti kiri radikal mendapat kejayaan dalam pilihanraya tempatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *