42763892_468595670312648_4253467135847694336_n

oleh Wan Zamzahidi

Hari ini, sempena penamaan calon di Port Dickson, PSM mengadakan protes #bantah1050.

Apa itu #bantah1050? Ianya adalah satu protes terhadap kenaikan gaji minimum yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini dari RM 1000 ke RM 1050 yang kami anggap sebagai satu penghinaan kepada golongan pekerja.

Sebelum ini, pihak kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia telah mewujudkan satu mekanisme berbentuk Majlis Perundingan yang membincangkan tentang kadar baru gaji minimum. Dan dalam perundingan itu, semua pihak akur bahawa RM 1500 adalah di luar kemampuan pada masa ini, tetapi tidak mustahil dalam masa akan datang. Bagaimana pun, satu kadar minimum yang bersesuaian haruslah dicari agar kenaikan itu signifikan kepada kenaikan kos sara hidup pada masa sekarang. Akhirnya, cadangan dipersetujui bahawa kenaikan yang sesuai adalah di sekitar RM 170 menjadikan kadar gaji minimum sekitar RM 1170.

Bagaimanapun, pihak majikan telah mengusulkan kadar gaji minimum pada RM 1050 yang sebenarnya sangat rendah. Sangat rendah berbanding kajian-kajian yang telah dilakukan, termasuk oleh pihak Bank Negara sendiri. Malangnya, usul dari majikan ini diterima dan pengumuman telah dilakukan oleh Jabatan Perdana Menteri bahawa kadar baru gaji minimum adalah RM 1050. Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan pengumuman dilakukan bukan oleh Kementerian Sumber Manusia menunjukkan bahawa ada sesuatu yang lagi tidak kena.

Apabila PSM dan rakan gabungan membantah, banyak kedengaran suara mempertikaikan bantahan ini. Termasuk dari kalangan bekas pembangkang yang menjadi kerajaan hari ini. Sedangkan isu gaji minimum dipersetujui oleh semua pihak sebelum ini, tapi dengan kuasa, semua menjadi lupa pada apa yang dilaungkan selama ini. Ada yang mengatakan bahawa PSM tidak faham kenaikan berperingkat dan ada yang kata dengan kredibiliti yang dipersoalkan kerana calon hilang deposit dalam PRU-14, PSM jadi satu parti yang tak tau apa yang diminta.

Ingin dijelaskan bahawa PSM jelas dan faham tentang kenaikan berperingkat. Lebih faham daripada yang berkata-kata kerana ada wakil gerakan kiri yang berada dalam pertemuan dengan Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji. Kami juga tahu apa yang kami tuntut, bukan tak tahu nak minta apa. Kami bukan tuntut bulan dan bintang, kami bukan tuntut sesuatu untuk kepentingan parti, atau individu dalam parti, tapi kami menuntut apa yang telah dipersetujui bersama. Kami menuntut pada kerajaan untuk menjadi pembela rakyat seperti dijanjikan, bukannya menjadi ‘rubber stamp‘ kepada pihak kapitalis. Adakah kami tak faham atau tidak tahu apa yang diminta? Anda fikir sendiri.

Perjuangan PSM dan golongan kiri selama ini telah membawa banyak perubahan kepada golongan pekerja dan juga rakyat berpendapatan rendah. PSM memulakan kempen Tabung Pemberhentian Kerja yang akhirnya disambut kerajaan menjadi Skim Insurans Pekerjaan demi kebaikan pekerja yang kehilangan kerja akibat syarikat memberhentikan operasi tanpa pampasan kepada pekerja. PSM dan rakan gabungan membantah penswastaan dispensari di hospital kerajaan yang akan menyusahkan golongan berpendapatan rendah. Adakah PSM tidak tahu apa yang diminta?

Kalau kewujudan PSM tidak signifikan dalam politik negara, kenapa pendaftaran PSM ditangguhkan bertahun-tahun oleh pihak kerajaan sehingga PSM terpaksa bawa ke mahkamah sebelum diluluskan dalam tahun 2008? Fikirkan…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s