Kelas yang dimaksudkan di sini bukannya bilik darjah/dewan kuliah dengan guru/pensyarah yang mengajar anak murid/pelajar, tetapi kelompok masyarakat yang dibezakan mengikut status sosio-ekonomi mereka, ataupun kedudukan mereka dalam hubungan pengeluaran-pengagihan kekayaan sesuatu masyarakat.
Dalam masyarakat primitif, di mana manusia yang hidup secara kelompok itu tiadanya hasil buruh lebihan (surplus), maka tidak perlu wujudnya pemisahan kerja yang mendatangkan kewujudan kelas masyarakat. Masyarakat pada masa itu hidup di bawah hubungan ekonomi di mana semua anggota dalam sesuatu kelompok masyarakat itu bekerja bersama dan menikmati hasil buruh bersama-sama. Maka corak masyarakat sebegini digelar komunisme primitif.
Namun, kita tidak perlu terlalu meromantikkan masyarakat komunisme primitif, kerana walaupun masyarakat sebegitu hidup secara samarata dan tanpa pemerasan oleh seorang ke atas seorang yang lain, namun masyarakat primitif itu hidup dalam keadaan yang serba berkurangan disebabkan perkembangan cara pengeluaran (seperti alatan untuk memburu ataupun bercucuk tanam) pada masa itu masih agak mundur. Anggota-anggota dalam sesebuah masyarakat puak semasa zaman primitif menyokong sesama diri sebagai satu suku kaum yang samarata, untuk memastikan survival keseluruhan puaknya.
Apabila adanya surplus masyarakat berikutan perkembangan cara pengeluaran yang lebih canggih, dengan penemuan cara bercucuk tanam ataupun penciptaan alatan yang lebih canggih, pemisahan kerja telah berlaku. Dalam kebanyakan keadaan, ada wujudnya segolongan kecil orang dalam masyarakat itu yang menikmati surplus pengeluaran masyarakat tanpa perlunya bekerja, manakala majoriti orang dalam masyarakat itu terpaksa bekerja dengan menggunakan tenaga buruh mereka, bukan sahaja menghasilkan keperluan untuk kehidupan mereka sendiri sahaja, tetapi juga menghasilkan surplus untuk dinikmati oleh segelintir kecil golongan atasan dalam masyarakat itu. Beginilah masyarakat kelas bermula!
Marx telah melakarkan perkembangan masyarakat kelas di Eropah mengikut corak berikut:
Masyarakat Hamba >>> Masyarakat Feudal >>> Masyarakat Kapitalis
Setiap masyarakat kelas itu dibahagikan oleh kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah.
- Kelas yang memerintah: Golongan masyarakat yang memiliki atau menguasai sumber-sumber pengeluaran (misalnya tanah, kilang dan modal), dan mereka menikmati hampir kesemua surplus pengeluaran tanpa perlunya menaburkan tenaga buruh mereka untuk melakukan pengeluaran. Mereka menindas rakyat daripada kelas-kelas yang lain untuk memastikan kepentingan mereka dalam menguasai pengagihan surplus itu tidak dicabar. Oleh itu, kelas ini juga adalah kelas penindas.
- Kelas yang diperintah: Gologan masyarakat yang menaburkan tenaga buruh mereka dalam pengeluaran untuk menghasilkan keperluan bagi diri mereka dan juga surplus pengeluaran masyarakat. Namun, kelas yang diperintah biasanya tidak menguasai apa-apa sumber pengeluaran, dan surplus yang dihasilkan oleh mereka diambil secara paksa oleh kelas pemerintah. Mereka sentiasa ditindas, khususnya apabila mereka cuba menyoal ketidakadilan yang timbul daripada kewujudan kelas. Oleh itu, kelas ini adalah kelas yang tertindas.
Hampir kesemua “tamadun” masyarakat bermula dengan kewujudan kelas. Misalnya, tamadun purba seperti di Mesir, Greece dan Rom, corak masyarakatnya adalah berbentuk masyarakat hamba.
Dalam masyarakat hamba itu, wujudnya kelas tuan hamba, sebagai kelas yang memerintah; dan kelas hamba abdi, sebagai kelas yang diperintah. Hamba abdi bekerja sebagai buruh paksaan yang langsung tiada apa-apa kebebasan, untuk memenuhi segala keperluan dan kehendak tuan hambanya.
Kalau kita ambil masyarakat Republik Rom (509-27 SM) sebagai contoh, wujudnya kelas-kelas seperti:
- Bangsawan (patrician): Kelas yang memerintah. Terdiri daripada mereka yang berasal daripada keluarga yang kaya dan berpengaruh, pemiliki tanah yang kaya. Mereka merupakan tuan hamba yang utama. Mereka biasanya memegang jawatan Senator, Konsul (jawatan pentadbiran yang tertinggi dalam kerajaan) dan hakim.
- Orang biasa (plebeian): Warga biasa yang tidak dapat memegang jawatan awam dalam pentadbiran. Mereka biasanya bekerja sebagai tukang, pekedai, dan sebagainya. Ada juga antara mereka pemilik ladang kecil. Sebelum tahun 471 SM, golongan ini tiada hak untuk mengundi; selepas tahun 471 SM, mereka diberi hak mengundi untuk memilih wakil mereka dalam “Dewan Rakyat” (Concilium Plebis).
- Orang bebas (freeman): Bekas hamba abdi. Bekerja sebagai tukang, bidan atau peniaga kecil. Walaupun mereka mempunyai hak warga Rom, tetapi dilarang untuk menjadi penjawat awam. Mereka langsung tiada hak mengundi, maka tiada perwakilan dalam badan perundangan.
- Hamba abdi (slave): Kelas yang diperintah yang berada di peringkat terbawah. Biasanya merupakan warga asing yang ditangkap (misalnya tahanan perang) dan mereka boleh dijualbeli untuk pertukaran emas. Mereka langsung tiada apa-apa hak. Mereka dilayan secara teruk oleh tuan hamba, disebat dan ditinggalkan tanda bakar atas badan mereka sebagai cop hamba. Mereka boleh dibunuh tanpa apa-apa sebab. Mereka bekerja di rumah bangsawan, ladang, lombong dan sebagainya.
Masyarakat feudal berkembang di Eropah pada Zaman Pertengahan (wujud antara abad ke-5 hingga abad ke-15) menggantikan sistem hamba, khususnya selepas kejatuhan Empayar Rom. Dalam masyarakat feudal, wujudnya kelas tuan tanah yang memiliki tanah, dan kelas petani yang bekerja untuknya (atau bekerja di atas tanah kepunyaan tuan tanah).
Struktur masyarakat feudal di Eropah biasanya wujud dalam hirarki berikut:
- Raja: Tuan tanah terbesar. Memiliki kuasa mutlak dalam sesebuah negara feudal.
- Bangsawan: Terdiri daripada tuan tanah besar. Orang suruhan yang setia kepada raja. Memberi perlindungan ketenteraan kepada raja.
- Kesatria: Orang suruhan kepada bangsawan. Biasanya juga tuan tanah kecil. Memberi khidmat tentera kepada bangsawan.
- Saudagar, tukang, petani bebas
- Petani kecil / petani hamba: Kelas yang paling bawah. Bercucuk tanam bukan sahaja untuk menghasilkan keperluan untuk diri mereka sendiri, tetapi perlu menghasilkan surplus untuk diserahkan kepada golongan atasan (dari kesatria ke bangsawan dan raja).
Cara pemerasan oleh kelas tuan tanah ke atas kelas petani berbagai-bagai, misalnya:
- Petani bercucuk tanam di atas tanah kepunyaan tuan tanah. Petani itu menghasilkan makanan untuk dirinya dan keluarganya, hasil yang selebihnya diserahkan kepada tuan tanah.
- Petani dibenarkan untuk bercucuk tanam di atas sebidang tanah yang kecil oleh tuan tanah. Petani itu akan bekerja 2-3 hari di tanahnya sendiri, untuk menghasilkan makanan yang mencukupi untuknya. Selepas itu, petani perlu bekerja untuk 2-3 hari di tanah kepunyaan tuan tanah, untuk menghasilkan surplus yang akan diambil sepenuhnya oleh tuan tanah.
- Petani “menyewa” tanah daripada tuan tanah dan perlu membayar sewa dalam bentuk hasil tanaman ataupun matawang. Sewa yang dibayar itu adalah surplus tanaman yang dihasilkan oleh petani.
Ada juga bentuk hubungan antara tuan tanah dan petani yang berlainan lagi. Dalam apa jua hubungan itu, tuan tanah pastinya akan mati kebuluran jika petani tidak mengeluarkan hasil.
Masyarakat kapitalis mula berkembang menggantikan masyarakat feudal pada sekitar abad ke-16. Masyarakat kapitalis berkembang pesat dengan wujudnya mesin yang lebih canggih dengan penemuan teknologi yang baru (seperti enjin wap industri pada abad ke-18 dan teknologi elektrik pada abad ke-19). Dalam masyarakat kapitalis, wujudnya kelas kapitalis dan kelas pekerja. Kelas kapitalis merupakan golongan yang memiliki modal yang dilaburkan dalam cara pengeluaran (kilang, mesin, bahan mentah dan sebagainya); manakala kelas pekerja yang juga dikenali sebagai kelas proletariat, merupakan golongan yang tidak memiliki apa-apa cara pengeluaran pun kecuali tenaga buruhnya yang boleh dibeli oleh kapitalis. (Kita akan membincangkan dengan lebih teliti berkenaan dengan analisa Marxis terhadap sistem kapitalis dalam bab-bab yang akan datang).
Selain daripada jenis masyarakat kelas yang digariskan oleh Marx berkenaan dengan perkembangan sejarah Eropah, wujudnya satu lagi jenis masyarakat kelas pra-kapitalis yang digelar sebagai “Mod Pengeluaran Asia” (Asiatic mode of production). Model pengeluaran ekonomi ini wujud di negara seperti India dan China purba. Ia merupakan satu bentuk masyarakat di mana wujudnya satu pemerintahan pusat yang kuat dengan tanah dimiliki oleh negara (bukannya tuan tanah yang berbeza-beza statusnya). Banyak masyarakat Asia berada dalam keadaan ekonomi di mana wujudnya perusahaan bandar yang pesat di samping pertanian yang meluas di kawasan luar bandar, tetapi masih belum dapat mencapai tahap pengeluaran di bawah sistem kapitalis. Masyarakat yang mengamalkan “Mod Pengeluaran Asia” biasanya berada dalam keadaan yang stabil untuk satu tempoh masa yang panjang.
Oleh sebab wujudnya kelas-kelas sosio-ekonomi yang berbeza dalam sesebuah masyarakat kelas, di mana adanya kelas yang menindas dan kelas yang ditindas, semestinya akan wujudnya kontradiksi atau percanggahan antara kelas. Percanggahan antara kelas akan sentiasa menimbulkan konflik antara kelas dan mencetuskan pertembungan antara kelas. Percanggahan kelas berkemungkinan mencetuskan perjuangan kelas.
Perjuangan kelas merupakan kuasa penggerak yang penting dalam perkembangan sejarah.
Perjuangan kelas sentiasa wujud dalam masyarakat kelas.
Adakalanya perjuangan kelas itu tersembunyi dan penentangan oleh kelas yang tertindas itu berbentuk pasif, misalnya hamba melarikan diri daripada tuan hambanya, ataupun petani membunuh diri kerana tidak mampu membayar sewa tanah, ataupun pekerja yang berpura-pura sakit untuk tidak pergi bekerja.
Adakalanya perjuangan kelas itu berlaku secara terbuka, dan penentangan oleh kelas yang tertindas itu amat jelas, misalnya pekerja mengadakan aksi piket ataupun mogok kerja.
Adakala juga perjuangan kelas itu memuncak sehingga tercetusnya REVOLUSI.
Pada zaman Rom Purba, pernah berlakunya beberapa kali pemberontakan bersenjata oleh golongan hamba abdi. Salah satu pemberontakan hamba yang terkemuka adalah kebangkitan hamba pada tahun 73-71 SM, yang dipimpin oleh Spartacus (111-71 SM). Spartacus merupakan seorang gladiator yang memulakan pemberontakan menentang tuan hambanya bersama lebih 70 orang hamba di Capua. Kumpulan hamba yang memberontak itu pada awalnya menewaskan tenteta Rom dan berkembang keanggotaannya sehingga mencecah 120,000 orang. Tentera pemberontak hamba telah menembusi hampir seluruh Semenanjung Itali, sehingga menggugat kuasa pemerintah Rom. Namun, kebangkitan hamba yang hebat ini telah dimatikan oleh tentera Rom yang berkelengkapan jauh lebih canggih. Walau bagaimanapun, pemberontakan Spartacus menunjukkan percanggahan kelas yang serius akhirnya akan menjurus kepada perjuangan kelas yang hebat.
Masyarakat feudal di Eropah juga tidak bebas daripada perjuangan kelas yang berterusan. Pemberontakan petani berlaku di sana sini akibat daripada keadaan sosio-ekonomi yang menyusahkan petani, cukai dikenakan oleh tuan tanah yang terlalu tinggi dan juga ketidakadilan sosial yang teruk. Antara pemberontakan petani yang pernah berlaku pada Zaman Pertengahan Eropah adalah:
- Pemberontakan Ivaylo (1277-1280), dipimpin oleh Ivaylo yang menjatuhkan Tsar Bulgaria Constantine I.
- Kebangkitan petani di Flanders (1322-1328), dipimpin oleh Nicolaas Zannekin yang merupakan seorang petani kaya, dalam pemberontakan menentang dasar cukai yang menindas.
- Kebangkitan Jacquerie di utara Perancis (1356-1358)
- Kebangkitan Hebat (Great Rising) oleh petani Englad pada tahun 1381, yang dipimpin oleh Wat Tyler.
- Pemberontakan Budai Nagy Antal di Transylvania pada tahun 1437 yang di bawah pemerintahan Kerajaan Hungary.
- Pemberontakan yang dipimpin oleh Jack Cade di Kent, tenggara England, pada tahun 1450.
- Pemberontakan di Cornwall, barat daya England, pada tahun 1497.
- Perang Petani Hebat di Hungary pada tahun 1514, dipimpin oleh György Dózsa.
- Pemberontakan petani Slovenia pada tahun 1515.
- Perang Petani Jerman (1524-1525), dipimpin oleh Thomas Müntzer, melibatkan 2/3 daripada keseluruhan petani Jerman.
- Pemberontakan di England yang dipimpin oleh Thomas Wyatt pada tahun 1544.
- Pemberontakan petani di Croatia pada tahun 1573.
- Perang Petani Swiss (1653).
Pada zaman kapitalis, perjuangan kelas berlaku akibat daripada penindasan kelas pemodal terhadap kelas pekerja. Gerakan pekerja dan sosialis berkembang hasil daripada perjuangan kelas pekerja menentang penindasan kelas.
Masyarakat kelas wujud kerana adanya ketidakadilan sosial, adanya pengagihan kekayaan masyarakat (ataupun surplus buruh) yang tidak adil, adanya sistem sosio-ekonomi di mana segelintir orang atasan masyarakat itu hidup secara mewah melalui pemerasan ke atas majoriti rakyat yang menaburkan tenaga buruh.
Di mana ada penindasan, di situ ada penentangan. Perjuangan kelas tetap akan berlaku selagi masyarakat kelas itu wujud.
One thought on “Kelas”