Golongan idealis percaya bahawa perubahan masyarakat itu berlaku kerana adanya tokoh-tokoh hebat yang memimpin atau mengetuai sesuatu perubahan itu, ataupun sejarah itu dicipta hanya mengikut kehendak atau kesedaran manusia itu sahaja. Ada pula yang percaya bahawa sejarah dibentuk melalui konspirasi sekumpulan kecil orang. Malahan, golongan materialis pula berpandangan bahawa keadaan atau perubahan itu ditentukan oleh unsur-unsur objektif, iaitu persekitaran kita. Namun, Karl Marx menolak pandangan materialis yang mekanikal, yang menganggap perubahan masyarakat ditentukan semata-mata oleh keadaan persekitaran atau perkembangan ekonomi dalam bentuk sehala. Marx mengajukan satu teori sejarah yang berlandaskan materialisme dialektik yang menganalisa perkembangan sejarah dengan mengambilkira hubungan dialektikal antara asas ekonomi masyarakat dengan kesedaran manusia.
Teori Marxis tentang sejarah dipanggil Materialisme Sejarah atau Materialisme Historis (historical materialisme) .
Perubahan sejarah masyarakat dibentuk oleh faktor-faktor objektif berikut:
- Perkembangan ekonomi masyarakat
- Perkembangan teknologi dan kuasa produktiviti masyarakat
- Pertentangan, konflik dan perjuangan antara kelas-kelas sosio-ekonomi
“Segala sejarah masyarakat sehingga ke hari ini, adalah sejarah perjuangan kelas.” – Karl Marx & Friedrich Engel, Manifesto Komunis, 1848.
Manusia hidup secara kelompok, membentuk masyarakatnya. Sejarah masyarakat manusia dibentuk oleh aktiviti manusia, maka hukum sejarah masyarakat adalah hukum tindakan masyarakat manusia itu sendiri.
Perkembangan sejarah itu merupakan satu proses yang objektif, maka adanya hukum peredarannya yang tersendiri.
Beberapa konsep asas yang perlu kita tahu mengenai ekonomi (pengeluaran dan pengagihan sesuatu barangan):
- Sumber-sumber pengeluaran (means of production): Bahan mentah dan alatan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti pengeluaran (misalnya tanah, kilang, mesin, bahan mentah)
- Kuasa pengeluaran (kuasa produktif): terdiri daripada 3 faktor pengeluaran (tenaga buruh + bahan mentah + alat pengeluaran)
- Hubungan pengeluaran: Hubungan antara manusia yang wujud dalam proses pengeluaran.
Hubungan pengeluaran sosial itu termasuklah:
- Bentuk pemilikan ke atas sumber-sumber pengeluaran (siapa yang memiliki aset dan alat pengeluaran; bagaimana aset pengeluaran itu diuruskan dan sebagainya).
- Kedudukan setiap kumpulan masyarakat dalam proses pengeluaran, hubungan pertukaran hasil pengeluaran dan bentuk pengagihan barangan hasil pengeluaran.
- Hubungan kepenggunaan yang ditentukan secara terus oleh corak pengagihan barangan pengeluaran.
Sebarang barangan pengeluaran manusia adalah hasil penggabungan 3 faktor:
- Objek buruh – bahan mentah yang dihasilkan secara langsung atau tidak langsung oleh semulajadi (misalnya batu logam, pokok balak, sumber air dan sebagainya)
- Peralatan buruh – sejenis cara pengeluaran yang dihasilkan oleh manusia, sama ada peralatan yang ringkas seperti alatan kayu atau alatan batu yang digunakan oleh manusia zaman primitif ataupun mesin automatik yang digunakan pada hari ini.
- Subjek buruh – pengeluar itu sendiri, iaitu manusia yang melakukan kerja buruh.
Oleh sebab aktiviti pengeluaran ataupun aktiviti buruh itu adalah suatu aktiviti masyarakat, subjek buruh (manusia yang melakukan kerja) sudah pastinya tidak boleh dipisahkan daripada sesuatu hubungan pengeluaran sosial.
Walaupun objek buruh dan peralatan buruh adalah penting untuk segala pengeluaran, namun kita tidak patut membayangkan hubungan pengeluaran sosial itu sebagai sesuatu yang hubungan antara objek dengan objek, ataupun hubungan antara manusia dengan objek. Hubungan pengeluaran sosial melibatkan dan hanya melibatkan hubungan antara manusia dengan manusia. Ini termasuklah “keseluruhan” hubungan yang diwujudkan dalam kehidupan pengeluaran material manusia. “Keseluruhan hubungan” ini bukan sajaha hubungan “sewaktu pengeluaran”, malah termasuk pengagihan barangan masyarakat dan hubungan sesama manusia yang timbul dalam proses pengagihan itu.
Kuasa pengeluaran menentukan hubungan pengeluaran dalam sesuatu masyarakat; manakala hubungan pengeluaran itu boleh mempengaruhi bagaimana kuasa pengeluaran itu berfungsi. Hubungan antara kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran itu adalah secara dialektik (bertindakbalas sesama sendiri), bukannya secara mekanikal.
Setiap masyarakat manusia hanya boleh hidup dan berkembang melalui aktiviti pengeluaran (production). Pengeluaran keperluan untuk kehidupan (sama ada hanya untuk memenuhi keperluan nutrisi untuk seseorang itu hidup ataupun segala keperluan untuk suatu masyarakat) dan juga pembuatan alat pengeluaran serta perolehan bahan mentah untuk pengeluaran, merupakan syarat awalan untuk sebarang organisasi atau aktiviti masyarakat yang lebih kompleks.
Dalam teori Materialisme Sejarah, aktiviti atau cara sesuatu masyarakat manusia menjalankan pengeluaran material itu adalah asas kepada segala organisasi masyarakat itu. Dalam erti kata lain, ekonomi membentuk asas masyarakat.
Asas ekonomi ini menentukan aktiviti masyarakat yang lain, seperti pengurusan hubungan antara manusia dalam masyarakat itu (terutamanya kewujudan “negara” dan perkembangannya), produktiviti kerohanian, moral, undang-undang, agama, ideologi, sistem politik dan sebagainya. Aktiviti sebegini dipanggil superstruktur (struktur atasan), wujud di atas asas masyarakat itu.
Namun, kita tidak boleh salah anggap bahawa pengeluaran material atau faktor ekonomi itu akan menentukan secara langsung intipati dan bentuk aktiviti superstruktur. Pandangan seperti ini digelar determinisme ekonomi (economic determinism) atau “penentuan oleh ekonomi”, satu pemahaman yang mekanikal dan kaku tentang masyarakat manusia.
Asas manusia itu bukannya sekadar aktiviti pengeluaran (iaitu aktiviti ekonomi) sahaja. Kita juga tidak boleh memandang “pengeluaran material” masyarakat itu secara berasingan. Asas masyarakat adalah hubungan sosial yang terbentuk dalam pengeluaran kehidupan manusia.
Asas masyarakat itu membentuk (walaupun bukannya secara langsung) aktiviti superstruktur, sementara superstruktur itu dapat memberi tindakbalas atau mempengaruhi aktiviti ekonomi sebagai asas masyarakat itu. Hubungan antara asas dengan superstruktur adalah secara dialektikal.
Pemikiran manusia, konsep-konsep, nilai-nilai dan politik dalam sesuatu masyarakat biasanya dipengaruhi oleh sistem ekonomi dan hukum ekonomi masyarakat berkenaan.
Masyarakat awal manusia pada zaman primitif, hidup sebagai pengutip dan pemburu, kemudiannya menjalankan pertanian yang primitif. Dalam satu tempoh masa yang sangat panjang (sekurang-kurangnya untuk beratus ribu tahun ataupun hampir 90% jumlah masa kewujudan manusia di bumi), manusia hidup dalam bentuk ekonomi yang sebegini: manusia bekerja secara bersama, dan berkongsi hasil buruh secara bersama. Corak ekonomi sebegini dipanggil komunisme primitif.
Dengan peredaran masa, apabila manusia menemui cara untuk membuat alat yang lebih canggih ataupun teknik-teknik bercucuk tanam, bahan-bahan keperluan yang dihasilkan semakin banyak. Ini menjadikan barangan surplus (barangan lebihan) hasil aktiviti ekonomi itu bertambah. Kemunculan barangan surplus mewujudkan kemungkinan untuk sebahagian anggota dalam sesuatu masyarakat dapat hidup dan menikmati barangan surplus tanpa melakukan kerja. Pertambahan surplus daripada buruh manusia ini menyebabkan wujudkan pengagihan tugas dalam masyarakat.
Dalam proses pengagihan tugas masyarakat untuk mengendalikan surplus buruh manusia itu, segelintir kecil golongan masyarakat yang memiliki kuasa dalam proses itu telah menguasai surplus buruh dan hidup mewah melalui pemerintahannya ke atas golongan majoriti yang menyumbangkan tenaga buruh mereka. Pemisahan masyarakat ini telah mewujudkan kelas sosio-ekonomi. Ini merupakan asas kepada perkembangan ketidaksamarataan dan ketidakadilan dalam masyarakat manusia.
Dalam kajian Marx tentang perkembangan sejarah Eropah, beliau telah mendapati perubahan masyarakat kelas itu merupakan satu siri pertukaran model masyarakat yang berbeza peringkat, dengan setiap peringkat itu ditentukan oleh “model pengeluaran” atau “sistem ekonomi” yang berbeza.
Model pengeluaran yang digariskan oleh Marx untuk perkembangan masyarakat Eropah setelah wujudnya masyarakat kelas adalah:
Sistem Hamba Abdi >>> Sistem Feudal >>> Sistem Kapitalis
Peredaran daripada satu peringkat masyarakat (sistem sosio-ekonomi) ke satu lagi peringkat yang baru itu bukannya satu proses yang “semulajadi” atau berlaku sendiri secara licin. Proses ini terjadi kerana konflik yang wujud dalam masyarakat kelas itu, iaitu:
- Konflik antara kuasa produktif dengan hubungan pengeluaran (sistem ekonomi yang lama telah menjadi penghalang kepada perkembangan kuasa produktif)
- Konflik antara asas masyarakat dengan superstruktur (perkembangan kuasa produktif baru yang mencabar sistem politik lama, ataupun perkembangan idea-idea baru yang mencabar sistem ekonomi yang semakin layu)
- Konflik antara kelas yang memerintah dengan kelas yang diperintah (Kelas pemerintah menindas rakyat yang diperintahnya untuk mengekalkan penguasaannya ke atas masyarakat, sementara kelas yang diperintah melawan penindasan itu.)
Konflik dalam masyarakat itulah yang menjadi sumber dinamik kepada perubahan masyarakat.
Konflik dalam masyarakat kelas menghasilkan pelbagai krisis dan perjuangan antara kelas. Pertembungan dan perjuangan kelas itu amat memaksa perubahan berlaku pada masyarakat itu, sama ada berlakunya peralihan ke satu bentuk masyarakat yang baru, ataupun menyebabkan kemusnahan atau keruntuhan masyarakat itu di mana kelas-kelas yang saling bercanggah itu hancur secara bersama-sama dalam konflik itu.
Perkembangan masyarakat itu adalah satu proses organik saling berinteraksi antara manusia dengan manusia, dan proses itu sentiasa berubah secara berterusan.
Sejarah bukannya dicipta oleh kuasa-kuasa sosial, ekonomi dan politik yang tidak berkaitan dengan manusia. Segala kuasa dalam masyarakat, ekonomi dan politik diwujudkan oleh aktiviti dan kehidupan manusia. Sejarah dicipta oleh manusia. Namun, manusia tidak mencipta sejarah itu secara sesuka hati. Tindakan penciptaan manusia itu ditentukan ataupun dipengaruhi oleh struktur sosial, ekonomi, dan politik dalam masyarakat di mana wujudnya manusia itu sendiri.
Dalam teori Materialisme Sejarah, kesimpulan hujah asasnya adalah, kewujudan masyarakat menentukan kesedaran masyarakat. Sejarah masyarakat adalah sesuatu yang boleh diterangkan dan difahami. Proses ini bukannya sesuatu yang berlaku sewenang-wenangnya ataupun diputuskan sesuka hati oleh sesuatu kuasa. Perkembangan sejarah tidak ditentukan oleh perubahan secara mengejut yang tidak dapat diramal, bukannya oleh kuasa ajaib yang luar biasa, dan ia juga bukan ditentukan oleh “pemimpin agung” ataupun “orang besar” dalam masyarakat. Analisis tentang sejarah perlu berasaskan struktur asas masyarakat pada zaman tertentu, dan diterangkan melalui konflik utama dalam struktur tersebut. Selagi masyarakat kita masih dipisahkan mengikut kelas, maka kita perlu memperjelaskan perkembangan sejarah melalui pemahaman kita tentang perjuangan kelas.