oleh Arveent Srirangan Kathirtchelvan

Beberapa hari yang lepas, kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan peningkatan gaji minimum dari RM 1,000 sebulan untuk Semenanjung Malaysia dan RM 920 untuk Sabah dan Sarawak ke RM 1,050 sebulan untuk seluruh Malaysia. Walaupun adanya peningkatan gaji minimum, tetapi jumlah yang ditingkatkan itu terlalu kecil. Malah setelah diumumkan, pelbagai organisasi serta warga Malaysia sendiri telah mengecam tindakan kerajaan yang dikatakan menghina pekerja-pekerja tempatan. Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J. Solomon menyifatkan tindakan kerajaan ini sebagai satu pengkhianatan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Sebenarnya, sebelum penentuan gaji minimum baru, beberapa cadangan telah dikemukakan oleh beberapa pihak. MTUC sendiri menuntut gaji minimum sebanyak RM 1,800 sebulan. Parti Sosialis Malaysia (PSM) dari dulu lagi telah mencadangkan bahawa gaji minimum patut ditetapkan sebagai RM 1,500 sebulan. Kerajaan Pakatan Harapan berkata bahawa mereka memang hendak akur dengan cadangan gaji minimum RM 1,500 ini tetapi peningkatan harus dilakukan secara berperingkat dalam lima tahun ini. Oleh itu, Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) memberi cadangan untuk menetapkan gaji minimum pada kadar RM 1,250 sebulan untuk Semenanjung Malaysia. Jumlah ini dikurangkan ke RM 1,170 sebulan apabila keperluan untuk menyamaratakan gaji di seluruh negara diambilkira.

Jika kita ingin menghitung gaji sebenar yang diperolehi para pekerja, kita patut mengambilkira kadar inflasi di Malaysia yang meningkat dari setahun ke tahun seterusnya. Pada tahun 2013, gaji minimum sebanyak RM 900 diperkenalkan. Kita boleh menjadikannya sebagai asas kepada penghitungan kita. Seterusnya, kita boleh melihat betapa banyaknya gaji minimum sebenar dari setahun ke tahun lain dengan membandingkan nilai jumlah wang yang didapati itu kepada nilai RM 900 pada tahun 2013. Gaji minimum dinaikkan ke RM 1,000 pada tahun 2016. Walaupun dinaikkan, tetapi jelas kelihatan bahawa nilai wang merosot ke bawah paras nilai RM 900 pada tahun 2013.

Kenaikan RM 100 ke RM 1,000 itu sebenarnya hanya bernilai RM 929 jika dibanding dengan nilai wang pada tahun 2013. Ini adalah kerana nilai matawang tersebut menurun apabila diambilkira inflasi.

Maka dengan cara yang sama, apabila diambil kira kadar inflasi sebenarnya, peningkatan yang dicadangkan, iaitu RM 1,050, hanyalah bernilai RM 928 jika dibandingkan dengan nilai wang pada tahun 2013.

Jadi sebenarnya, kenaikan gaji minimum daripada RM 900 pada tahun 2013 sehingga RM 1,050 pada tahun 2018 (iaitu sebanyak RM 150), hanya merupakan peningkatan sebanyak RM 28 dalam nilai matawang pada tahun 2013. Maknanya, peningkatan gaji minimum dalam 5 tahun ini adalah diibaratkan peningkatan hanya RM 28 dalam nilai matawang tahun 2013? Adilkah keadaan ini? Kesemua ini ditunjukkan dalam graf di bawah.

image(1)

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia pada tahun 2017, kadar gaji cukup sara hidup yang wajar untuk seorang warga Malaysia bujang adalah RM 2700 (1). Gaji ini membolehkan pekerja untuk berinteraksi dengan masyarakat, membangunkan diri dan keluarga serta mempunyai kebebasan daripada masalah kewangan yang teruk. Gaji median pada tahun ini pula berjumlah RM 2,160 sebulan. Ini bermakna jauh lebih daripada separuh pekerja-pekerja di Malaysia yang tidak mendapat gaji kehidupan wajar. Kita perlu bertanya, apakah kualiti hidup mereka?

Jelas kelihatan bahawa gaji kebanyakan pekerja di Malaysia terlalu kecil. Ini, jika dibandingkan dengan gaji serta bonus yang berjumlah puluhan ribu ringgit yang diperoleh para CEO dan golongan atasan, menunjukkan bahawa ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia amat tinggi. Bukan itu sahaja, harga barangan yang melambung tinggi menyebabkan gaji yang diperolehi itu habis dibelanja dengan cepat. Pekerja yang bergaji rendah hidup terpaksa hidup dalam keadaan “kais pagi makan lagi, kais petang makan petang”. Tiada wang ditabungkan, tiada lebihan untuk diguna pada masa sakit atau untuk kegunaan lain. Bagaimanakah perasaan mereka?

Selalunya keluhan pekerja tidak diendahkan, tetapi golongan majikan pula diberi keutamaan apabila polisi kebangsaan digubal. Kerajaan Malaysia kekal dalam ideologi neoliberal yang keras menindas golongan pekerja. Apa yang penting untuk mereka adalah margin keuntungan majikan tersebut. Dikatakan jika majikan dijaga, keuntungan yang diperoleh akan disalurkan terus ke bawah. Inilah ideologi di sebalik teori ‘Trickle-down Economics’ (ekonomi meleleh ke bawah) yang dibawa oleh Ronald Reagan dan seringkali diguna oleh golongan kapitalis. Jika teori itu betul, adakah kita akan menyaksikan ketidaksamarataan begini? Ataupun logikkah lebih separuh daripada golongan pekerja di Malaysia tidak mendapat gaji cukup sara hidup yang sewajarnya?

Ya betul, peningkatan gaji minimum ini membawa kesan yang negatif terhadap keuntungan sesuatu syarikat atau perusahaan. Perusahaan Kecil dan Sederhana pula perlu dibantu dalam membayar gaji ini melalui skim yang berpatutan. Takkan hendak menekan pekerja terus walaupun mereka tertindas dan tak mampu hidup dalam kedaifan! Kini, Malaysia berada dalam cengkaman golongan kapitalis yang kuat melobi ahli-ahli politik dengan sogokan dan insentif berbentuk dana yang besar supaya agenda mereka diutamakan. Kerajaan kita pula terlalu “mesra bisnes” kerana takut Malaysia akan menjadi negara yang tidak dapat bersaing dengan negara-negara lain di rantau ASEAN.

Logik ini memang ada kebenarannya, tetapi syarikat-syarikat besar di serata dunia suka menggunakan tenaga kerja yang murah di sini untuk menghasilkan produk murah yang dijual pada harga yang mahal pula. Akibat realiti ini, pekerja-pekerja rantau ASEAN kesemuanya ditindas dan tidak dapat memperoleh gaji yang lebih besar. Syarikat-syarikat ini pula mengamuk dan mengugut kerajaan-kerajaan negara ASEAN bahawa mereka akan terus keluar dan beroperasi di negara lain jika gaji minimum atau cukai-cukai terhadap bisnes ditingkatkan. Mana perginya maruah negara-negara sebegini? Mereka sepatutnya bersepakat untuk meningkatkan gaji minimum masing-masing supaya golongan pekerja dibela dan syarikat-syarikat ini tidak akan berhijrah.

Lantaran itu, kesatuan-kesatuan pekerja patut diperkuatkan supaya dapat menjadi kuasa yang signifikan dalam menuntut hak-hak pekerja dengan efektif. Sekarang ini, apabila tanggungjawab itu disandang oleh pihak kerajaan, golongan korporat telah melobi kuat untuk mendapatkan kuasa yang terlalu besar sehingga para pekerja terus ditindas. Selain itu, tanpa kesatuan pekerja, sesetengah pekerja rela ditindas dan bersyukur kerana mendapat gaji walaupun kecil. Kata mereka, lebih baik mereka membuat pelbagai kerja sampingan daripada menentang majikan yang rakus. Maka lebih banyak masa mereka telah digunakan untuk mendapat gaji yang lebih memuaskan. Manakah masa rehat mereka? Atau masa untuk dihabiskan bersama keluarga?

Hakikat yang dihadapi oleh para pekerja di negara ini amat menyedihkan. Golongan majikan telah terlalu biasa dengan tuntutan pekerja yang tidak seberapa. Ini tidak patut diteruskan. Kerajaan pusat harus lebih serius dalam menangani masalah golongan ini dan berusaha meningkatkan gaji minimum ke paras yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya, jumlah RM 1,250 sebulan harus dicapai pada tahun ini. Seterusnya ditingkatkan ke RM 1,350 dan kemudian RM 1,500. Pelan ini baru dapat menunaikan janji manifesto Pakatan Harapan. Kerajaan Malaysia tidakk patut menggunakan kekurangan dana dalam negara sebagai alasan untuk tidak mencapai sasaran ini. Ketirisan patut dihapuskan dan penjimatan harus dilakukan, tetapi kerajaan tidak patut terus mengkhianati golongan pekerja.

Rujukan:

  1. [Online] http://www.bnm.gov.my/files/publication/ar/bm/2017/ar2017_buku.pdf
  2. [Online] http://www.joebm.com/papers/167-W00058.pdf
  3. [Online] http://www.theborneopost.com/2018/09/05/projects-not-issued-with-award-letters-suspended-for-review-minister/
  4. [Online] https://tradingeconomics.com/malaysia/consumer-price-index-cpi

==========

Arveent Srirangan Kathirtchelvan ialah graduan Kejuruteraan Kimia dari University of Manchester di UK, Kini bekerja sebagai intern dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau juga merupakan Ketua Penyelaras #Liberasi, satu organisasi yang ingin menukar pemikiran warga Malaysia tentang masalah sosial daripada pendekatan kuno kepada yang lebih relevan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *