Selepas perjuangan melawan pengusiran paksa yang berlarutan untuk 17 tahun, 24 keluarga bekas pekerja di Ladang Bangi akhirnya berjaya mempertahankan hak perumahan mereka dengan mendapat rumah gantian daripada pihak pemaju.

Pada 31 Mei 2017, para penduduk Ladang Bangi menandatangani perjanjian jual beli (S&P) dengan pemaju perumahan Trans Loyal Development Sdn Bhd untuk dapatkan rumah di Taman Kajang Impian yang terletak di Bangi, Selangor.

Sejumlah 24 unit rumah pangsa yang terletak di tingkat bawah dan tingkat satu telah diperuntukkan kepada bekas pekerja ladang ini. Setiap unit rumah berkeluasan 870 kaki persegi, almari dan penyaman udara juga akan disediakan oleh pemaju.

Menurut Arutchelvan, AJK Pusat PSM yang juga merupakan penasihat kepada Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Bangi, “Perjanjian S&P biasanya mengkehendaki pekerja mengosongkan rumah ladang dalam 60 hari, tetapi pemaju telah bersetuju untuk memanjangkan tempoh pengosongan rumah ke 31 Disember, supaya para pekerja dapat menyambut Hari Deepavali untuk kali terakhir di situ sebelum berpindah keluar.”

“Ladang Bangi dikatakan berusia lebih 117 tahun. Perjuangan menuntut sebuah rumah mengambil masa 17 tahun. Dalam 17 tahun ini, terdapat 137 hari yang istimewa di mana berlaku peristiwa utama.” Arutchelvan telah menyenaraikan 30 hari yang paling penting dalam diari perjuangan Ladang Bangi, seperti di bawah:

17 Mei 2000:
Syarikat Golden Hope Sdn Bhd, iaitu syarikat besar yang memiliki Ladang Bangi memberi notis 8 minggu untuk menamatkan pekerjaan pekerja dan para penduduk ladang mesti mengosongkan rumah mereka dari tarikh pampasan notis diterima.

12 Julai 2000:
Tarikh notis tamat tetapi penduduk tidak keluar dari ladang, kerana mereka masih tidak mendapat rumah ganti.

18 Januari 2002:
Pekerja tidak keluar untuk 2 tahun dan akhirnya Kesatuan Sekerja mengambil kes untuk menuntut supaya mereka harus dibayar faedah berhenti kerja. Majikan berkata bahawa faedah berhenti kerja hanya dibayar jika mereka mengosongkan rumah. Keputusan kes buruh KBS/57/2001 berpihak kepada para pekerja. Jabatan Buruh Selangor telah mengarahkan Golden Hope supaya membuat bayaran berjumlah RM371,227.62.

2006:
Majikan membuat rayuan, tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam berpihak pada para pekerja – menolak permohonan pihak majikan dan mengatakan bahawa isu perumahan dan isu faedah berhenti kerja tiada kaitan.

29 Ogos 2006:
Satu mesyuarat penting diadakan di Pejabat Daerah Kajang. Mesyuarat yang dihadiri oleh Pegawai Daerah, wakil syarikat ladang dan para pekerja, berjanji membina rumah dan sebuah kuil di kawasan Ladang Bangi.

17 Mac 2010:
Tanpa memberitahu Exco Kerajaan Negeri, pihak Pemaju Trans Loyal Development Sdn. Bhd. telah memohon kebenaran merancang (No fail MPKj PB/KM 1/68-2002, No fail OSC MPKJ OSC/KM/1/33-2010) untuk membangunkan tanah Ladang Bangi.

16 Mac 2011:
Para penduduk memacak papan tanda amaran supaya orang luar tidak menceroboh 100 meter di sekitar ladang.

8Mei 2011:
Penduduk Ladang Bangi telah menaikkan papan tuntutan mereka di sekitar ladang mereka – menuntut rumah, pampasan dan kuil.

2012:
Pemaju memulakan kerja-kerja menolak pokok dan penduduk menghentikan kerja-kerja ini 100 meter dari kawasan pokok.

24 Mei 2012:
Pemimpim MIC membawa ADUN Semenyih Johan Abdul Aziz dan bersama peguam pemaju dan pengarah syarikat pemaju Trans Loyal datang mendesak bekas pekerja supaya menerima duit pampasan RM 18 ribu, tetapi tidak mahu membina rumah. Penduduk tolak tawaran ini dalam keadaan tegang.

Julai 2012:
Exco minta Transloyal untuk menghentikan kerja tetapi ia masih diteruskan.

24 Julai 2012:
Pemaju ladang Trans Loyal Development Sdn Bhd telah menggunakan gangster untuk meneruskan kerja-kerja penolakan pokok di Ladang Bangi. Penduduk lawan balik.

24 Julai 2012:
Surat dari Ahli Exco Negeri, Xavier Jayakumar, kepada YDP Majalis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk “arahan berhenti kerja”, tetapi MPKj tidak mahu laksanakan. Konflik menjadi semakin runcing.

25 Julai 2012:
Satu konfrontasi besar antara pihak pemaju dan penduduk berlaku, mendesak satu persetujuan dibuat oleh MPKj secara bertulis dengan Trans Loyal dan para penduduk. Ramai penduduk dengan beraninya bersemuka menghadapi gangster. Polis juga hadir tetapi seolah-olah berpihak kepada pemaju.

15 Ogos 2012:
Lebih kurang 80 gangster/pekerja upahan pemaju telah menceroboh Ladang Bangi dan telah memecahkan rumah kosong. Pintu, papan, tingkap dan bumbung asbestos rumah-rumah tersebut dipecahkan dan dibiarkan begitu sahaja. Satu perlawanan berlaku antara mereka dan penduduk. Ini telah menyebabkan ada orang cedera. Ramai kaum wanita terlibat dalam pergaduhan ini.

27 Oktober 2012:
Notis mahkamah daripada pihak Trans Loyal Development Sdn Bhd, termasuk saman pemula (24-1299-10/2012) diletak di ladang dan dipacak atas tanah.

20 Februari 2013:
Setelah rundingan dalam satu mesyuarat penyelesaian di Pejabat Trans Loyal. Pemaju setuju memberikan satu rumah pangsapuri secara percuma. Selain itu, subsidi sewa dan tempat rumah ibadah juga dikekalkan.

22 April 2013:
Penduduk Ladang Bangi diputuskan kalah secara mengejut dalam kes di Makamah Tinggi pada hari sebutan kes (bukan bicara).

29 Mei 2013:
Pemaju cuba buat “pemagaran” tetapi dihalang oleh penduduk. Mereka mahu penduduk keluar, manakala penduduk mahu S&P ditandatangani dulu baru keluar.

1 Julai 2013
Penduduk dapat perintahan penangguhan pelaksanaan keputusan (stay) di Makamah Tinggi.

09 Julai 2013:
Pemaju memulakan kerja penolakan pokok dalam kawasan zon penampan tanpa sebarang perintah makamah dan penduduk Ladang Bangi menahan kerja tersebut.

10 Julai 2013:
2 orang pemimpim utama Ladang Bangi, iaitu Ketua JK Ladang dan Ketua JK Kuil, ditahan polis ekoran arahan daripada IPK kerana atas desakan pemaju. Satu perhimpunan besar di luar balai akhirnya membebaskan mereka

11 Julai 2013:
Pemaju sekali lagi memulakan kerja penolakan pokok dalam kawasan zon penampan tanpa sebarang perintah makamah dan penduduk Ladang Bangi menahan kerja tersebut.

17 Julai 2013
Penduduk Ladang Bangi telah menyerahkan Memorandum mengadu tentang salahguna kuasa Polis kepada Ketua Polis Negara, kerana Polis berpihak kepada pemaju .

Ogos 2013:
Pekerja mula desak kepada MB dan Exco Negeri Ganapathi Roa untuk mendapatkan kelulusan Lembaga Tanah Ladang (ELB) yang langsung tidak dapat diberikan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian.

22 Ogos 2014:
Menerima surat daripada peguam Trans Loyal (Peter Yip & Yong) yang menyatakan perundingan gagal dan akan minta mahkamah untuk tetapkan tarikh pendengaran kes.

26 Mei 2015:
Penduduk menang kes di Makamah Rayuan Putrajaya. Pihak pemaju terpaksa pergi untuk perbicaraan penuh kes ini. Pihak penduduk diwakili oleh Ambiga Sreenevasan.

16 Januari 2016:
Setelah beberapa rundingan, akhirnya satu penyelesaian dicapai. Perjanjian penyelesaian ditandatangani antara Trans Loyal dengan 24 keluarga bekas pekerja Ladang Bangi. Isi kandungan perjanjian adalah:
– Rumah percuma (pangsapuri kos rendah), yang berada di tingkat bawah dan tingkat satu
– Perlu pindah 2 bulan selepas S&P ditandatangani.
– Sewa RM 625 setiap bulan.
– Tapak tanah untuk kuil dan subsidi membina kuil

28 Disember 2016:
Proses cabutan undi untuk mendapatkan lot unit bagi setiap rumah telah diadakan di Dewan Ladang Bangi, di mana proses ini dikendalikan PSM.

31 Mei 2017
Upacara menandatangani perjanjian jual beli (S&P) yang diadakan di Pejabat Trans Loyal Development di Taman Kajang Impian. Saiz rumah 870 kaki persegi.

27 Ogos 2017
Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Bangi menganjurkan satu majlis sambutan kemenangan perjuangan perumahan mereka.

Atas kegigihan dan kesungguhan penduduk Ladang Bangi yang amat menakjubkan dalam perjuangan mempertahankan hak perumahan mereka, akhirnya mereka berjaya juga.

One thought on “17 tahun berjuang akhirnya menang: Penduduk Ladang Bangi dapat rumah percuma

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *