KUALA LUMPUR – 27 MAC 2021: Lebih 150 orang aktivis dan rakyat yang prihatin, kebanyakannya anak muda, telah berhimpun di hadapan Bangunan Parlimen pada hari ini untuk menyatakan bantahan mereka terhadap penangguhan pelaksanaan Undi 18.
Pengumuman oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik telah mencetuskan bantahan dan mengundang kecaman daripada pelbagai pihak. Pengumuman yang dibuat oleh SPR pada 25 Mac 2021 tersebut mengggunakan alasan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan pelaksanaan Undi 18, dan pembaharuan yang diluluskan dalam Parlimen sejak tahun 2019 itu hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.
Aksi protes di hadapan Bangunan Parlimen pada hari ini dianjurkan oleh Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18, sebuah jawatankuasa ad hoc yang ditubuhkan oleh gerakan anak muda sebagai reaksi segera untuk membantah keputusan SPR dan Kerajaan Persekutuan yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18. Aksi perhimpunan ini merupakan respon awal anak muda terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak serius dalam pelaksanaan Undi 18. Pelbagai kumpulan masyarakat sivil, organisasi anak muda dan parti politik telah menyokong inisiatif ini dan turun ke jalanan untuk bersolidariti.
“Penangguhan (pelaksanaan Undi 18) selama 15 bulan ini adalah mengarut dan tidak mencerminkan kesungguhan pihak berwajib untuk memberikan hak mengundi kepada anak muda yang mencapai umur 18 tahun,” begitu katanya Nurul Hidayah, wakil anak muda yang membacakan kenyataan Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 semasa aksi himpunan di hadapan Bangunan Parlimen pada hari ini. “Rakyat Malaysia, khususnya anak muda, membantah keputusan ini sekeras-kerasnya kerana hak setiap orang dewasa mengundi dalam pilihanraya adalah hak asasi dalam mana-mana negara demokrasi di dunia ini.”
Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 menuntut pada SPR dan Kerajaan Persekutuan supaya segera melaksanakan dua perkara, iaitu:
- Melaksanakan penurunan umur mengundi ke 18 tahun selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021 dan mewujudkan ketelusan dalam proses pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik;
- Menamatkan perintah darurat dan membenarkan Parlimen untuk bersidang semula.
Sekretariat Himpunan Tuntut Undi 18 juga menggesa pada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya menyatakan komitmennya terhadap pelaksanaan penurunan umur mengundi seperti yang telah dijanjikan sebelum ini.
Sememangnya Kerajaan Perikatan Nasional telah menggunakan alasan yang tidak masuk akal untuk menangguhkan pelaksanaan dasar yang telah dipersetujui oleh semua pihak dalam Parlimen. Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan umur layak mengundi ke 18 tahun telah diluluskan dalam kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada bulan Julai 2019 dengan sokongan undi majoriti lebih dua pertiga. Parlimen juga meluluskan rang undang-undang yang melakukan pendaftaran pengundi secara automatik. Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik ini bukannya sesuatu yang begitu sukar seperti melancarkan roket ke planet Marikh dan tidak memerlukan persiapan yang bertahun-tahun lamanya.
Negara Malaysia telah lama ketinggalan di dunia kerana kebanyakan negara hari ini sudah lama menetapkan umur 18 tahun sebagai umur minimum untuk layak mengundi. Malah, negara seperti Brazil, Kuba, Ecuador, Malta, Nicaragua dan Scotland telah menurunkan umur layak mengundi ke 16 tahun. Jika seseorang yang berumur 18 tahun perlu mengikut undang-undang yang terpakai ke atas seorang yang dewasa, maka dia juga patut mempunyai hak untuk melibatkan diri dalam menentukan undang-undang sedemikian. Menurunkan umur mengundi ke 18 tahun merupakan satu pendekatan untuk memperluaskan hak demokrasi rakyat dan membolehkan anak muda yang mencapai umur 18 tahun untuk terus melibatkan diri dalam proses politik yang akan menentukan masa hadapan mereka dan negara kita.
Anak muda telah bersuara dengan jelas dan lantang, iaitu laksanakan Undi 18 dan batalkan darurat yang menggantung proses demokrasi berparlimen di negara kita. Kerajaan Perikatan Nasional nampaknya semakin hari semakin terpisah daripada generasi anak muda sekiranya masih cuba menangguhkan pelaksanaan Undi 18 dan melambat-lambatkan pemulihan ruang demokrasi di negara kita.
One thought on “Anak muda tuntut Undi 18 sekarang juga”