1,000 orang yang terkaya di dunia pulih daripada kerugian mereka kerana pandemik COVID-19 dalam tempoh hanya 9 bulan, tetapi berbilion-bilion orang yang termiskin di dunia pula perlu mengambil masa lebih 10 tahun untuk pulih daripada impak ekonomi pandemik yang melanda setahun yang lepas. Inilah fakta yang didedahkan dalam laporan Oxfam yang terbaru.
Oxfam ialah sebuah badan bukan kerajaan bantuan kebajikan antarabangsa yang memfokus pada usaha membasmi kemiskinan dunia. Oxfam menerbitkan laporan tentang keadaan ketidaksamarataan ekonomi dunia setiap tahun bersempena dengan persidangan tahunan Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland. Oxfam menerbitkan laporan terbarunya yang bertajuk “Virus Ketidaksamarataan” (The Inequality Virus) pada 25 Januari 2021, iaitu hari pertama persidangan “Agenda Davos” Forum Ekonomi Dunia yang diadakan secara atas talian.
Laporan Oxfam menyatakan, “Sejarah akan memperingati bahawa pandemik COVID-19 yang meragut lebih dua juta nyawa seluruh dunia. Ia akan memperingati bahawa ratusan juta orang ditolak ke dalam kemelaratan dan kemiskinan. Sejarah juga akan mungkin memperingati tentang pandemik ini bahawa ketidaksamarataan meningkat di hampir setiap negara di bumi pada masa yang sama untuk kali pertamanya sejak wujudnya rekod… Bagaimana sejarah akan memperingati apa yang kerajaan-kerajaan buat sebagai respon kepada pandemik, merupakan bab yang belum lagi ditulis. Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia mempunyai jendela peluang yang kecil dan sedang mengecil untuk mewujudkan sebuah ekonomi yang adil selepas COVID-19. Sesuatu yang lebih samarata, infklusif, yang melindungi planet, dan menamatkan kemiskinan. Mereka boleh melakukan ini dengan mentransformasi segera sistem ekonomi sekarang, yang telah mengeksploitasi dan memburukkan lagi patriarki, ketuanan orang putih dan prinsip neoliberal. Ia suatu sistem yang telah menjana ketidaksamataan, kemiskinan dan ketidakadilan yang melampau; suata sistem yang membiarkan dunia kita langsung tidak bersedia apabila krisis melanda. Lebih daripada sebelum ini, kerajaan-kerajaan harus menggunakan idea-idea yang realistik dan berakal untuk membentuk sebuah masa hadapan yang lebih baik. Mereka harus merebut peluang ini.”
Laporan ini menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 berpotensi meningkatkan ketidaksamarataan ekonomi di hampir setiap negara pada masa yang sama. Ini merupakan keadaan yang pertama kali berlaku di peringkat dunia sejak seabad yang lalu. Peningkatan ketidaksamarataan bermakna ia boleh mengambil sekurang-kurangnya 14 kali ganda lama masanya untuk kebanyakan orang yang hidup dalam kemiskinan memulihkan keadaan hidup mereka ke tahap pra-pandemik berbanding tempoh masa yang diambil oleh 1,000 orang terkaya di dunia (kebanyakannya golongan lekaki yang berkulit putih) untuk mengembalikan kekayaan mereka yang hilang semasa pandemik.
Satu tinjauan global ke atas 259 orang ahli ekonomi dari 79 negara, yang ditugaskan oleh Oxfam, mendedahkan bahawa 87% daripada responden, termasuk Jeffrey Sachs, Jayati Ghosh dan Gabriel Zucman, menjangkakan “peningkatan” atau “peningkatan besar” dalam ketidaksamarataan pendapatan di dalam negara mereka kerana pandemik COVID-19.
Laporan Oxfam ini menunjukkan sejauh mana sistem ekonomi dunia yang penuh dengan kepincangan sekarang ini sedang membolehkan golongan elit mahakaya untuk membolot kekayaan dalam kemelesetan ekonomi yang paling teruk sejak Zaman Meleset tahun 1930-an, sementara berbilion-bilion orang terpaksa bersusah payah untuk memenuhi keperluan asas mereka. Ia juga menunjukkan bahawa pandemik COVID-19 sedang memburukkan lagi jurang ketidaksamarataan ekonomi, kaum dan gender yang sudah lama wujud.
Bagi golongan yang terkaya di dunia, kemelesetan sudah pun berakhir, tetapi ini bukan yang dialami oleh golongan miskin di dunia. Jumlah kekayaan 10 orang yang terkaya di dunia (semuanya lelaki) telah meningkat sebanyak USD 500 bilion sejak bermulanya pandemik. Peningkatan kekayaan ini adalah mencukupi untuk membayar kos vaksin COVID-19 bagi setiap orang di dunia dan memastikan tiada seorang pun terjerat dalam kemiskinan kerana pandemik. Pada masa yang sama, pandemik COVID-19 mendatangkan krisis pekerjaan yang paling teruk dalam tempoh 90 tahun kebelakangan ini dengan ratusan juta orang menganggur atau tiada kerja sepenuh masa sekarang.
Golongan wanita merupakan golongan yang paling terkesan. Kebanyakan pekerjaan yang bergaji rendah dan tidak tetap di dunia dilakukan oleh wanita, di mana sektor-sektor ini paling teruk terkesan kerana pandemik COVID-19. Lebih kurang 70% daripada tenaga kerja kesihatan dan penjagaan sosial dilakukan oleh wanita – ini merupakan sektor yang penting di mana pekerja-pekerja ini menanggung risiko jangkitan COVID-19 yang lebih besar tetapi selalunya dibayar dengan gaji yang kurang.
Laporan Oxfam menyatakan bahawa ketidaksamarataan sedang meragut nyawa rakyat. Warga keturunan Afrika di Brazil mempunyai kebarangkalian 40% lebih tinggi untuk mati kerana COVID-19 berbanding orang berkulit putih di negara itu, sementara hampir 22,000 orang warga keturunan Afrika dan Hispanik di Amerika Syarikat masih akan hidup sekiranya kadar kematian COVID-19 dalam kalangan mereka adalah sama dengan warga kulit putih di negara itu. Kadar jangkitan dan kematian adalah lebih tinggi di kawasan-kawasan yang lebih miskin di negara-negara seperti Perancis, India dan Sepanyol, sementara wilayah-wilayah yang paling miskin di England mempunyai kadar kematian dua kali ganda berbanding kawasan-kawasan yang paling kaya.
Menurut Oxfam, ekonomi yang lebih adil merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi yang cepat daripada COVID-19. Cukai sementara terhadap keuntungan berlebihan yang diperoleh 32 buah syarikat korporat global yang mengaut keuntungan paling banyak semasa pandemik boleh mengumpul sebanyak USD104 bilion pada tahun 2020, yang mencukupi untuk membayar bantuan pengangguran kepada semua pekerja dan bantuan kewangan kepada semua kanak-kanak serta warga emas di negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Gabriela Bucher, Pengarah Eksekutif Oxfam International, berkata, “Kita sedang menyaksikan peningkatan yang paling hebat dalam ketidaksamarataan sejak adanya rekod. Jurang yang mendalam antara golongan kaya dan golongan miskin terbukti berbahaya seperti virus.”
“Ekonomi yang pincang sedang menyalurkan kekayaan kepada golongan elit yang kaya yang menikmati kemewahan melalui pandemik, sementara mereka yang berada di barisan hadapan pandemik – pembantu-pembantu kedai, pekerja-pekerja kesihatan dan penjaja-penjaja – sedang bersusah payah untuk membayar bil dan mendapatkan makanan. Golongan wanita dan kumpulan etnik yang terpinggir sedang menanggung beban krisis ini. Mereka lebih cenderung ditolak ke dalam kemiskinan, lebih cenderung kelaparan, dan lebih cenderung dinafikan perkhidmatan kesihatan,” kata Bucher.
Kekayaan yang dimiliki oleh golongan hartawan terkaya telah meningkat semula apabila pasaran saham pulih walaupun ekonomi yang sebenar terus berada dalam kemelesetan. Golongan hartawan yang memiliki kakayaan lebih sebilion di dunia, telah menambahkan kekayaan mereka sebanyak USD 3.9 trilion dalam tempoh dari 18 Mac hingga 31 Disember 2020. Jumlah kekayaan mereka mencecah USD 11.95 trilion pada bulan Disember 2020, bersamaan dengan jumlah perbelanjaan pemulihan COVID-19 yang diperuntukkan oleh kerajaan negara G20. Jalan pemulihan adalah jauh lebih panjang untuk mereka yang sudahpun hidup dalam kesusahan sebelum pandemik COVID-19 melanda. Apabila wabak virus menyerang, sudah adanya lebih separuh pekerja di negara-negara miskin yang hidup dalam kemiskinan, sementara tiga perempat pekerja di dunia tidak mempunyai akses kepada perlindungan sosial seperti cuti sakit berbayar atau bantuan pengangguran.
Gabriela Bucher juga berkata, “Ketidaksamarataan yang melampau bukannya tidak dapat dielakkan, sebaliknya ia merupakan pilihan dasar. Kerajaan di seluruh dunia harus mengambil kesempatan ini untuk membina ekonomi yang lebih samarata dan lebih inklusif yang menamatkan kemiskinan dan melindungi planet ini.”
“Perjuangan melawan ketidaksamarataan harus berada di tengah-tengah usaha penyelamatan dan pemulihan ekonomi. Kerajaan harus memastikan setiap orang mempunyai akses kepada vaksin COVID-19 dan bantuan kewangan sekiranya mereka hilang kerja. Kerajaan harus melabur dalam perkhidmatan awam dan sektor karbon rendah untuk mencipta jutaan pekerjaan baharu dan memastikan setiap orang mempunyai akses kepada pendidikan, kesihatan dan jagaan sosial yang sesuai. Mereka harus memastikan individu-individu dan korporat-korporat yang terkaya menyumbang bahagian cukai mereka yang sepatutnya untuk membiayainya. Langkah-langkah ini harus bukannya solusi sementara untuk masa-masa yang terdesak, tetapi ‘normal baharu’ dalam ekonomi yang berfungsi untuk manfaat semua rakyat, bukannya hanya untuk beberapa orang yang berkeistimewaan,” kata Bucher.
Bacaan lanjut:
Laporan Oxfam: “The Inequality Virus”
2 thoughts on “Virus ketidaksamarataan terus menular di dunia”