Syarikat Amazon, sebuah syarikat teknologi multinasional yang beribupejabat di Amerika Syarikat, merupakan salah sebuah syarikat korporat dengan nilai pasaran melebihi USD1 trilion, bersama-sama dengan syarikat Apple dan Microsoft, sementara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amazon, Jeff Bezos, orang yang terkaya di dunia pada masa kini, telah menjadi orang pertama di dunia yang memiliki kekayaan lebih USD200 bilion, walaupun dunia sedang dilanda dengan pandemik dan krisis ekonomi yang mendalam. Nilai pasaran syarikat Amazon telah berlipat ganda dan mencecah lebih USD1.5 trilion pada tahun ini, manakala keuntungannya pada suku ketiga tahun 2020 telah meningkat sebanyak 200% berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Akan tetapi, pekerja-pekerja yang diupah oleh Amazon di seluruh dunia menghadapi masalah pencabulan hak.
Ramai dalam kalangan pekerja penjagaan, pekerja pembersihan, pekerja pos, pembantu kedai, dan banyak lagi pekerja-pekerja, dibayar dengan gaji yang rendah dan tidak dihargai, walaupun mereka mempertaruhkan nyawa mereka di barisan hadapan untuk memastikan masyarakat kita terus berfungsi semasa pandemik. Syarikat Amazon pula memperoleh “kejayaan yang gemilang” dengan cara mengorbankan pekerja-pekerjanya, dengan keadaan kerja yang meletihkan, sasaran produktiviti yang tidak realistik, pengawasan yang ketat terhadap pekerja, pendekatan “kerja sendiri” yang penuh dengan penipuan dan keengganan mengiktiraf atau melayan kesatuan pekerja kecuali ia menerima tekanan hebat. Amazon juga semakin berkembang melalui cara mengelakkan diri daripada membayar cukai, memecat pekerja-pekerja yang menuntut tindakan menangani krisis iklim, dan memperkukuhkan penguasaannya terhadap pasaran.
Apabila empayar korporat Amazon memperluaskan kekuasaannya, jejak karbonya juga bertambah hebat, di mana ia adalah lebih besar berbanding dua pertiga daripada semua negara di dunia. Syarikat Amazon juga didakwa oleh pekerja-pekerjanya di seluruh dunia kerana menafikan bayaran yang sewajar kepada lebih 876,000 orang pekerjanya. Syarikat Amazon bukan sahaja enggan menyumbangkan semula kepada masyarakat yang telah membantu pertumbuhan kekayaannya, sebaliknya syarikat ini terus menindas pekerjanya dan mengelakkan diri daripada membayar cukai yang sepatutnya. Amazon hanya membayar cukai sebanyak 1.2% daripada keuntungannya di Amerika Syarikat di mana ibupejabatnya terletak.
Satu gabungan gerakan progresif dan kesatuan pekerja sedunia telah menganjurkan kempen boikot besar-besaran terhadap Amazon pada 27 November 2020. Kempen yang bertemakan #MakeAmazonPay (pastikan Amazon bayar) ini telah diadakan di lebih kurang 15 buah negara di mana mempunyai jumlah pelanggan Amazon yang besar.
Banyak kesatuan sekerja dan gabungan kesatuan sekerja mengambil bahagian dalam aksi kempen ini, termasuk Kesatuan GMB di Britain, Kesatuan Sekerja Perkhidmatan Bersatu (ver.di) di Jerman, Kesatuan Global IndustriAll, Konfederasi Kesatuan Sekerja Antarabangsa (ITUC), Kesatuan Global UNI, Amazon Workers International (AWI), Public Services International (PSI), dan sebagainya. Sesetengah organisasi dan sekutu mereka di peringkat kebangsaan dan serantau juga mengadakan aksi mogok pada 27 November 2020.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Christy Hoffman, Setiausaha Agung Kesatuan Global UNI, beliau berkata, “Kami bergabung tenaga untuk memastikan Amazon memberi perhatian kepada tuntutan-tuntutan pekerja, untuk memastikan Amazon membayar balik apa yang dihutangnya pada masyarakat kita; dan memastikan Amazon membayar hutangnya kepada planet kita.”
“Pekerja-pekerja, dari sektor kesihatan hingga peruncitan dan sektor-sektor ekonomi yang lain, sedang membayar harga tinggi untuk melawan virus. Ramai dalam kalangan mereka ini sebenarnya sedang bermati-matian untuk memastikan rakyat selamat, diberi makanan dan sihat. Persoalan untuk kita sebagai orang yang masih percaya pada martabat kerja dan politik kebaikan bersama sebagai asas untuk menjadikan ekonomi kita berjaya adalah: Apakah yang masyarakat kita menuntut daripada baron perompak pada zaman kita? Martin Luther King akan memberitahu kita untuk melawan bersungguh-sungguh supaya membengkokkan lengkungan panjang alam semesta menuju keadilan. Di sini dan sekarang ini bermakna mendesak untuk #MakeAmazonPay,” ujar Christy Hoffman.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Amazon Workers International (AWI) berkata, “Sebagai pekerja perkhidmatan penting, kami telah bekerja di lokasi gudang Amazon sepanjang pandemik. Kami bekerja, tanpa mengira kadar jangkitan di luar atau di dalam gudang. Di sesetengah tempat, gudang kami mengupah sebanyak 7,000 orang pekerja di satu-satu lokasi. Kekayaan syarikat telah bertumbuh apabila kami bekerja dalam keadaan bahaya yang hebat terhadap diri kami, keluarga kami, komuniti kami dan masyarakat secara umum.”
“Pekerja-pekerha gudang telah berorganisasi di dalam gudang walaupun menghadapi kesusahan akibat pandemik yang berbulan-bulan lamanya, ancaman virus yang membahayakan dan tindak balas daripada pihak pengurusan Amazon. Sepanjang beberapa bulan yang lepas, banyak aksi kolektif, mogok kerja dan bantahan secara meninggalkan tempat kerja telah berlaku di Amazon,” kata Amazon Workers International. “AWI sedang bergerak ke depan! Amazon mahu kembali kepada urusan seperti biasa. Kami menuntut waktu rehat tambahan, gaji yang lebih tinggi dan kurangkan tekanan (mampus kadar produktiviti). Krisis ini telah menunjukkan dengan jelas: kami (pekerja) yang membolehkan dunia terus berfungsi, jadi kami layak mendapat lebih banyak!”
Pesanan AWI kepada pekerja-pekerja Amazon, “Libatkan diri di gudang anda, bercakap dengan rakan sekerja anda, berorganisasi dan kekal berhubungan dengan gerakan global ini!”
Selain itu, kumpulan-kumpulan progresif seperti Progressive International, Gerakan Demokrasi di Eropah 2025 (DiEM25), Momentum dari Britain, Focus on the Global South dan Transnational Institute (TNI), juga terlibat dalam kempen ini.
Casper Gelderblom, anggota sekretariat Progressive International (PI) merangkap Penyelaras PI untuk kempen #MakeAmazonPay, berkata dalam kenyataannya, “Dalam beberapa tahun sahaja, Amazon telah menjadikan dirinya titik pertemuan rangkaian kapitalisme global. Setelah merevolusikan hubungan antara pengeluaran, pengagihan dan penggunaan di atas platform digitalnya terlebih dahulu, infrastruktur pengkomputeran awan dan e-dagang syarikat ini memberikan Amazon pengaruh yang berkuasa terhadap lingkungan besar kehidupan sosial dan ekonomi di seluruh planet ini. Jaringan kuasa korporat Amazon memperluas ke dalam tempat kerja kita dan kehidupan kita. Pengeluar-pengeluar dan pembekal-pembekal tiadanya pilihan selain bekerjasama dengan Amazon untuk mengekalkan atau mendapatkan akses terhadap pengguna-pengguna. Pengguna-pengguna pula berasa bahawa mereka sukar untuk mengelakkan diri daripada Amazon, kecuali mereka sanggup menunggu lebih lama dan mampu untuk membayar lebih banyak. Melalui teknologi pengawasan besar-besaran seperti Alexa, Echo dan Amazon Ring, syarikat ini telah menyusup masuk ke dalam jutaan isi rumah dan mengumpul data mereka yang paling intim… Dengan ketiadaan gerakan bersama untuk mencabarnya, Amazon berjaya memperluaskan empayarnya ke semua sudut ekonomi global. Namun, arus sudah mula berubah.”
Casper Gelderblom menggariskan strategi melawan kekuasaan Amazon yang melibatkan tiga perkara:
- Menyedari sifat antarabangsa dan interseksyenaliti perjuangan pekerja Amazon.
- Mengorganisasi merentasi sempadan negara dan sfera aktivisme yang sempit.
- Mempolitkkan perjuangan ini dengan membawanya terus ke arena perundangan di seluruh dunia.
“Misi kempen ini adalah begitu mudah dan juga radikal: untuk memenangi sebuah dunia yang berbeza. Sebuah dunia di mana syarikat korporat yang secara utamanya berkhidmat untuk kepentingan CEO mereka digantikan oleh koperasi yang berkhidmat untuk rakyat terbanyak. Sebuah dunia di mana aktiviti ekonomi tidak membawa kepada kemusnahan iklim, sebaliknya membolehkan pembinaan semula dan kemakmuran alam sekitar. Sebuah dunia di mana pasaran ditadbir oleh institusi demokratik, bukan sebaliknya. Solidariti ialah kenderaan yang membawa kepada dunia ini. Memastikan Amazon bayar adalah di mana kita bermula,” begitu katanya dalam kenyataan Progressive International.
One thought on “Kempen sedunia tuntut #MakeAmazonPay”