Kerajaan Bolivar Venezuela melancarkan “Institut Simón Bolívar untuk Keamanan dan Solidariti antara Rakyat” pada 6 September 2020, sebagai usaha terbaru untuk membina dan memperkukuhkan hubungan solidariti antara perjuangan rakyat di Venezuela, benua Amerika Latin dan seluruh dunia. Acara pelancaran telah diadakan secara atas talian dan disiarkan secara langsung melalui saluran Youtube institut tersebut.
6 September 2020, menandakan ulangtahun ke-205 penerbitan “Surat Jamaica” (Carta de Jamaica), sebuah dokumen tulisan Simón Bolívar yang berkongsi pandangannya tentang tindakan masyarakat untuk membebaskan benua Amerika daripada penjajahan Empayar Sepanyol pada masa itu dan keperluan untuk penyatuan negara-negara Amerika. Oleh itu, adalah amat bermakna untuk pelancaran Institut Simón Bolívar diadakan pada hari yang bersejarah ini. Selepas dua abad Simón Bolívar menerajui perjuangan kemerdekaan rakyat Amerika Latin menentang kekuasaan imperialis yang mengeksploitasi rakyat dan sumber di benua Amerika, nama Bolívar kekal menjadi lambang kepada perjuangan pembebasan masyarakat Amerika Latin dan inspirasi kepada rakyat seluruh dunia untuk bekerjasama dalam memperdalamkan persahabatan, memperkukuhkan solidariti dan membina keamanan sejagat.
Lebih 100 orang pemimpin politik dan gerakan sosial di seluruh dunia telah menyertai persidangan video bersempena pelancaran Institut Simón Bolívar, antaranya Nicolás Maduro (Presiden Venezuela), Evo Morales (mantan Presiden Bolivia), João Pedro Stedile (pemimpin Gerakan Pekerja Luar Bandar Tanpa Tanah, MST, Brazil), Laura Capote (aktivis Colombia dan anggota Sekretariat Gerakan ALBA) dan Vijay Prashad (Pengarah Eksekutif “Tricontinental: Institute for Social Research”).
Objektif utama penubuhan institut ini adalah untuk memperkuatkan sokongan antarabangsa terhadap Revolusi Bolivar di Venezuela dalam menghadapi ancaman yang berterusan daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat. Institut ini akan memainkan peranan menggalakkan multilateralisme dalam hubungan antarabangsa, pendamaian dan penyelidikan saintifik di rantau Amerika Latin. Berlandaskan semangat perjuangan pembebasan Simón Bolívar, institut ini juga akan menawarkan ruang untuk latihan, penyelidikan, penyebaran maklumat, perbahasan, solidari dan pengukuhan hubungan antara masyarakat di peringkat antarabangsa.
Institut ini akan bertanggungjawab dalam menyelaraskan usaha solidariti global dengan Revolusi Bolivar dan Venezuela, di samping membina solidariti Venezuela dengan semua gerakan revolusi dan perjuangan sosial di seluruh dunia. Institut ini akan menjadi platform untuk menyebarkan maklumat tentang keadaan sebenar di Venezuela, sebagai usaha menangkis kempen kuasa imperialis yang cuba mengancam keamanan dan kestabilan di Venezuela.
Presiden Venezuela Maduro membuat seruan, “Saya memohon sokongan penuh daripada gerakan solidariti dalam menyebarkan maklumat benar tentang Venezuela, dan dengan kebenaran ini, memenangi kedamaian, kedaulatan, kemerdekaan dan penghormatan untuk rakyat kami.”
Jorge Arreaza, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Venezuela, berkata semasa pelancaran Institut Simón Bolívar, “Institut ini adalah kepunyaan anda. Ia dimiliki oleh rakyat sedunia. Kami mahukan semua orang menggunakannya seperti milik mereka sendiri, untuk tujuan bersolidariti. Perjuangan rakyat sedunia memerlukan solidariti, dari Venezuela kita berdiri bersolidariti dengan semua perjuangan ini, bersama dengan Julian Assange yang dikenakan hukuman penjara yang tidak adil, bersama rakyat Palestin, bersama dengan rakyat Sahrawi, bersama dengan semua orang yang ditindas, yang menghadapi perang yang tidak adil dan imperialisme.” Arreaza juga berkata bahawa pemikiran Simón Bolívar masih relevan pada abad ke-21, apabila pandemik COVID-19 telah mendedahkan kegagalan kerajaan fasis, imperialis dan neoliberal yang memerintah dari segi sosial, ekonomi dan politik di samping krisis alam sekitar yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Carlos Ron, Naib Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Venezuela untuk Hubungan dengan Amerika Utara yang sekarang ini juga menjadi Presiden Institut Simón Bolívar, berkata, “Ketika menghadapi keruntuhan sistem kapitalis, model baru harus muncul, model yang berasaskan solidariti dan keamanan global kerana keamanan bermakna hak yang terjamin, sebuah planet yang mampan, menjauhi daripada imperialisme dan rasisme. ” Ron menegaskan bahawa masa depan dunia multipolar bergantung pada perpaduan dan kesungguhan rakyat untuk mempertahankan diri kita daripada kolonialisme baru.