75 tahun dahulu, pada 17 Ogos 1945, Sukarno yang diiringi oleh Mohammad Hatta mengisytihar kemerdekaan Indonesia, menandakan permulaan Revolusi Nasional Indonesia yang akhirnya membebaskan negara itu sepenuhnya daripada penjajahan kolonialis Belanda. 75 tahun kemudian, ketika negara Indonesia menyambut Hari Kemerdekaannya, dan pada masa yang sama sedang menghadapi ancaman pandemik COVID-19, Kerajaan Indonesia yang dipimpin oleh Presiden Joko Widodo (ataupun lebih dikenali sebagai Jokowi) sedang tergesa-gesa untuk meluluskan Rang Undang-undang Omnibus yang bakal menggadaikan kedaulatan negara Indonesia, hak pekerja dan alam sekitar kepada kepentingan kapitalis multinasional yang hendak melabur di negara itu demi mengaut keuntungan yang sebanyak mungkin.
Oleh itu, menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-75 dan ketika Presiden Jokowi menyampaikan pidatonya di Parlimen pada 14 Ogos 2020, gerakan masyarakat di Indonesia bermobilisasi untuk mengadakan aksi protes besar-besaran. Kelas pekerja Indonesia yang turun beraksi menyuarakan bantahan mereka terhadap cubaan Kerajaan Indonesia pimpinan Jokowi untuk melaksanakan Rang Undang-undang Omnibus mengenasi Penciptaan Pekerjaan yang sebenarnya berniat menggunakan kesempatan krisis pandemik COVID-19 untuk mengurangkan gaji dan menghakis hak pekerja di Indonesia. Golongan petani juga menyertai aksi protes kerana mereka turut mengalami ancaman hebat kehilangan tanah yang sedang diusahakan mereka sekiranya rang undang-undang yang membuka pintu luas kepada pelabur asing itu diluluskan.
Aksi demonstrasi membantah Rang Undang-undang Omnibus Cipta Kerja yang diadakan pada 14 Ogos 2020, merupakan mobilisasi kesatuan-kesatuan pekerja dan kumpulan-kumpulan masyarakat yang bergabung dalam Gerakan Buruh bersama Rakyat (GEBRAK). Selain demonstrasi di hadapan Kompleks Parlimen di Jakarta, aksi serentak juga diadakan di bandar-bandar lain seperti Yogyakarta, Semarang, Makassar, Medan, Bandung dan sebagainya. Sebelum ini, sudah terdapatnya banyak aksi massa yang mendesak untuk pembatalan Rang Undang-undang Omnibus, tetapi Kerajaan Indonesia pimpinan Jokowi tetap berdegil untuk meneruskan proses penggubalan undang-undang tersebut.
Undang-undang Omnibus (ataupun undang-undang sapu jagat) ialah sejenis undang-undang yang menghimpunkan pindaan terhadap perkara-perkara yang terkandung dalam beberapa undang-undang yang berbeza ke dalam satu rang undang-undang payung untuk diluluskan sekali gus. Jokowi mula melontarkan cadangan untuk mewujudkan satu Undang-undang Omnibus berkaitan dengan pekerjaan pada bulan Oktober 2019 dalam ucapannya semasa mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia untuk penggal kedua. Kerajaan Jokowi bercadang untuk meminda sebanyak 79 undang-undang (daripada peraturan buruh dan perlombongan, ke perlesesan perniagaan dan undang-undang alam sekitar) melalui Rang Undang-undang Omnibus ini untuk mengurangkan karenah birokrasi berkaitan kelulusan kepada pelaburan modal, menarik lebih banyak pelaburan asing, menyokong pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Indonesia. Namun, hakikatnya adalah Rang Undang-undang Omnibus ini hanyalah alat dasar ekonomi neoliberal yang cuba digunakan oleh Kerajaan Jokowi berjinak dengan golongan kapitalis dan korporat multinasional, tetapi mendatangkan kesan buruk yang mengancam golongan pekerja dan alam sekitar. Rang Undang-undang Omnibus ini akan memudahkan golongan kapitalis dan korporat multinasional untuk mengeksploitasi pekerja dan menggondol lebih banyak sumber alam di Indonesia.
Rang Undang-undang Omnibus yang diperkenalkan oleh Kerajaan Indonesia telah mendapat tentangan yang hebat daripada pelbagai pihak. Kesatuan-kesatuan pekerja menentang Undang-undang Omnibus ini kerana ia bakal membuka laluan lebih lanjut kepada penghakisan hak pekerja, fleksibilisasi buruh dan penyumberan luar, di samping menghilangkan perlindungan sosial pekerja seperti pencen warga emas.
Ahmad Taufan Damanik, Ketua Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM), menggesa supaya proses penggubalan Rang Undang-undang Omnibus dihentikan, di samping mengatakan bahawa perbahasan tentang Rang Undang-undang Omnibus ini adalah tergesa-gesa dan sangat kecil ruang untuk penglibatan daripada masyarakat umum. Dewi Kartika, Setiausaha Agung Konsorsium Pembaruan Agraria (KPA), mengecam Rang Undang-undang Omnibus Cipta Kerja lebih teruk daripada undang-undang penjajah, kerana ia memberikan hak pengelolaan tanah selama 90 tahun kepada pelabur besar, sedangkan zaman penjajah Belanda pun hanya memberikan konsesi 75 tahun kepada syarikat perladangan besar.
Malah, wakil daripada Bank Dunia yang menyokong Undang-undang Omnibus ini pun berkata bahawa walaupun Indonesia memerlukan rang undang-undang sebegini untuk menarik pelabur asing, tetapi ia akan mendatangkan kesan buruk kepada hak pekerja dan alam sekitar.
Aksi protes rakyat Indonesia untuk mempertahankan hak pekerja dan alam sekitar mereka daripada dihakis oleh undang-undang pro-kapitalis ini akan diteruskan selagi Kerajaan Indonesia masih berdegil untuk melaksanakannya.
Tandatangani petisyen atas talian membantah Rang Undang-undang Omnibus yang mengancam pekerja dan alam sekitar di sini.
2 thoughts on “Indonesia: Aksi massa tolak Omnibus Law yang ancam hak pekerja dan alam sekitar”