Belarus sedang berdepan dengan krisis politik yang paling serius dalam sejarah pasca Kesatuan Soviet di negara itu. Gelombang protes yang tercetus sebelum Pilihanraya Presiden telah memuncak sejurus selepas pilihanraya yang menyaksikan Alexander Lukashenko, yang digelar “Diktator Terakhir di Eropah”, menang untuk kali keenam dalam pilihanraya yang penuh dengan kontroversi dan mengekalkan jawatan Presiden Belarus yang dipegangnya sejak tahun 1994.

Demonstrasi besar-besaran telah berlaku di bandar Minsk, ibu negara Belarus, sementara protes jalanan turut diadakan di bandar-bandar lain seperti Brest, Homiel, Hrodna, Mahiliou, Viciebsk, Baranavichy, Maladzyechna, Navahrudak, Novopolotsk dan Zhodzina. Aksi demonstrasi jalanan yang terbaru ini merupakan respon secara langsung terhadap Pilihanraya Presiden Belarus diadakan pada 9 Ogos 2020. Suruhanjaya Pilihanraya Pusat Belarus telah mengumumkan bahawa Lukashenko menang dengan peratusan undi sebanyak 80.08%. Keputusan ini telah dipertikaikan oleh pihak pembangkang kerana pilihanraya di Belarus telah terkenal dengan pelbagai masalah penipuan dan penyelewengan yang bertujuan untuk memastikan kemenangan Lukashenko sejak dia berkuasa pada tahun 1994. Kerajaan Belarus telah bertindak secara keras terhadap demonstran, sementara calon utama pembangkang yang mencabar Lukashenko, Sviatlana Tsikhanouskaya, telah melarikan diri ke Lithuania kerana keselamatannya tidak lagi terjamin di Belarus. Namun, protes masih berterusan.

20200813 - Sergei Grits - AP Screenshot_2020-08-13 3613 jpg (WEBP Image, 880 × 706 pixels) - Scaled (92%)

Belarus, sebuah negara Eropah Timur dengan jumlah penduduk lebih kurang 9.5 juta orang, pernah merupakan salah satu daripada 15 buah republik sosialis soviet yang bergabung dalam Kesatuan Soviet, sebelum ia mencapai kemerdekaan dengan pembubaran Kesatuan Soviet pada tahun 1991. Alexander Lukashenko, seorang ahli politik yang pernah menjadi pengurus kebun kolektif ketika zaman Kesatuan Soviet, telah muncul sebagai pemenang dalam Pilihanraya Presiden Belarus yang pertama pasca Kesatuan Soviet, dengan platform politik populis dan anti-korupsi. Lukashenko memegang jawatan Presiden Belarus sejak itu dan menang dalam setiap pilihanraya. Lukashenko pada awalnya telah menolak dasar “terapi kejutan” (shock therapy) yang didukung oleh kuasa Barat semasa tempoh peralihan ekonomi pasca Kesatuan Soviet, membolehkan Belarus terselamat daripada kemelesetan ekonomi yang teruk pada tahun 1990-an, tidak seperti yang pernah dialami oleh negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain seperti Persekutuan Rusia. Lukashenko telah mengekalkan hubungan erat antara Belarus dengan Rusia, dan membentuk sebuah kesatuan supranasional antara kedua-dua negara sejak tahun 1999, di mana warganegara kedua-dua negara adalah bebas bergerak dan menghuni di negara yang satu lagi. Belarus juga menyertai Kesatuan Ekonomi Eurasia sejak pembentukannya pada tahun 2014. Namun, hubungan kerajaan Lukashenko dengan kerajaan Putin di Rusia semakin merosot beberapa tahun kebelakangan ini kerana cuba membuka ekonomi kepada kapitalis dunia Barat. Lukashenko merupakan pemimpin kerajaan yang berkuasa paling lama dalam kalangan negara bekas Kesatuan Soviet.

Gelombang protes terbaru di Belarus ini, berkaitan dengan ketidakpuasan hati rakyat dengan cara kerajaan Lukashenko menangani penularan wabak COVID-19 di negara itu, di mana Lukashenko sendiri menafikan wabak COVID-19 itu satu ancaman serius. Kerajaan Belarus telah mengadakan perarakan besar-besaran menyambut Hari Kemenangan Perang Dunia II pada 5 Mei 2020, walaupun negara itu sedang mengadapi ancaman pandemik COVID-19 pada ketika itu.

Protes mula berlaku pada penghujung bulan Mei 2020 untuk menyuarakan bantahan terhadap Lukashenko yang hendak bertanding dalam Pilihanraya Presiden untuk kali keenam. Lebih banyak kontroversi timbul apabila kerajaan Lukashenko menangkap dan melarang calon-calon pembangkang daripada bertanding dalam pilihanraya.

Sviatlana Tsikhanouskaya hanya muncul sebagai calon pembangkang yang utama, apabila suaminya Siarhei Tsikhanouski, seorang pemblog yang terkenal dengan saluran Youtubenya yang kuat mengkritik kerajaan, telah ditangkap sehari sebelum dia mengumumkan rancangannya untuk bertanding sebagai calon Presiden. Sviatlana Tsikhanouskaya menggantikan suaminya untuk bertanding dalam Pilihanraya Presiden dan menjadi calon yang mendapat sokongan daripada parti-parti pembangkang utama. Perhimpunan menyokong calon Presiden Sviatlana Tsikhanouskay yang diadakan pada 30 Julai 2020 di Minsk dihadiri oleh puluhan ribu orang, menjadikannya salah satu perhimpunan yang terbesar di Belarus sejak tahun 1991.

20200814 - Miting_Bangalor_2020

Demonstrasi juga berlaku pada minggu pertama bulan Ogos, menjelang Pilihanraya Presiden, dengan puluhan ribu rakyat Belarus turun ke jalanan untuk menuntut pilihanraya yang bebas dan adil, di samping menyuarakan bantahan terhadap rejim Lukashenko.

Pada hari mengundi, iaitu 9 Ogos 2020, internet di Belarus telah mengalami gangguan. Walaupun pihak kerajaan memberi alasan bahawa wujudnya serangan siber DDos, tetapi ramai percaya bahawa ia adalah angkara kerajaan untuk menyekat penyebaran maklumat di internet. Selepas stesen televisyen yang dikawal oleh kerajaan menyiarkan keputusan tinjauan pusat pengundi (exit poll) yang mengatakan bahawa Lukashenko menang besar dengan undi melebihi 80% sementara Tsikhanouskaya hanya mendapat lebih kurang 10% undi, ramai penyokong pembangkang yang tidak percaya pada keputusan tersebut mula berdemonstrasi di bandar-bandar utama di Belarus. Mereka yang berprotes menyuarakan kemarahan mereka dan menyeru untuk pengiraan undi yang adil. Pertempuran antara demonstran dengan pihak berkuasa berlaku di merata tempat di bandar Minsk.

Pada hari keesokannya, 10 Ogos 2020, Tsikhanouskaya memuat naik video yang menyatakan bahawa dia telah meninggalkan Belarus dan berada di Lithuania. Protes masih berterusan di jalanan. Pihak polis Belarus menggunakan meriam air dan cara yang keras untuk mematahkan demonstrasi jalanan.

Pada 13 Ogos 2020, pekerja-pekerja di sebilangan kilang milik negara melancarkan mogok. Penyertaan kelas pekerja dalam gelombang perjuangan menentang rejim Lukashenko ini adalah titik tolak yang signifikan.

Krisis politik yang sedang melanda Belarus kini tidak dapat dipisahkan dengan krisis sosio-ekonomi negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Sejak Lukashenko berkuasa pada tahun 1994, kerajaan Lukashenko memang telah menghentikan proses penswastaan dan mengekalkan banyak harta kerajaan serta perancangan indikatif dalam sektor-sektor ekonomi yang penting, membolehkan Belarus mengekalkan kestabilan ekonomi negara dan tidak mengalami kekecohan ekonomi seperti negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain. Namun begitu, seperti pengalaman negara-negara Stalinis pada abad ke-20, hanya mengekalkan pemilikan negara dalam keadaan ekonomi yang dikelilingi oleh pasaran bebas, daya pengeluaran adalah sukar untuk dibangunkan, kecuali melalui eksploitasi dan tekanan yang hebat terhadap kelas pekerja. Maka ini membawa kepada ancaman serangan ke atas hak kelas pekerja dan golongan kerja sendiri di negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Golongan kapitalis dalam negara itu yang pernah rapat dengan Lukashenko sekarang ini pula mendapati birokrasi pemerintahannya tidak membantu banyak dalam menggerakkan penswastaan dan integrasi sepenuh ekonomi Belarus ke dalam sistem imperialis dunia. Tambahan pula dengan pengaruh kuasa Barat yang tidak senang dengan hubungan rapat antara Belarus dan Rusia, golongan kapitalis Belarus yang ingin berdamping dengan sistem kapitalis global yang didominasi kuasa Barat sememangnya berniat untuk menjatuhkan rejim Lukashenko, dan membentuk sebuah kerajaan “baru” yang pro-Barat seperti yang pernah berlaku dalam “Revolusi Warna” di beberapa negara bekas Blok Timur sebelum ini.

Pada masa yang sama, Lukashenko juga semakin kehilangan sokongan daripada majoriti pekerja yang sebelum ini agak menyokongnya, kerana dasar penjimatan dan serangan kerajaan ke atas hak pekerja serta pertubuhan pekerja. Serangan ke atas kepentingan pekerja ini ditunjukkan dalam dasar kerajaan seperti penswastaan, peningkatan umur persaraan, penghapusan faedah sosial, pelaksanaan sistem pekerjaan kontrak dan sebagainya.

Gerakan komunis di Belarus adalah berpecah kepada dua puak yang utama. Salah satunya ialah Parti Komunis Belarus, dan satu lagi ialah Parti Kiri Belarus “Dunia Adil”. Parti Komunis Belarus (KPB) yang ditubuhkan pada tahun 1996, oleh mereka yang berpecah daripada Parti Golongan Komunis Belarus (PKB), merupakan salah sebuah parti politik yang menyokong Lukashenko dan mengambil pendirian yang pro-Rusia. Parti Komunis Belarus merupakan parti politik yang mempunyai paling banyak kerusi dalam Parlimen Belarus, namun kebanyakan kerusi dalam Parlimen Belarus dikuasai oleh ahli parlimen “bebas” yang menyokong Lukashenko. Parti Komunis Belarus menguasai 11 daripada 110 kerusi dalam Dewan Rakyat Belarus, sementara Lukashenko melantik 17 wakil rakyat daripada Parti Komunis Belarus untuk duduk dalam Majlis Republik Belarus (iaitu dewan atas) yang mempunyai 64 orang perwakilan kerana Parti Komunis Belarus menyokongnya. Parti Kiri Belarus “Dunia Adil” pula pada asalnya dikenali sebagai Parti Golongan Komunis Belarus (PKB), yang merupakan pengganti kepada Parti Komunis Belarusia yang memerintah Republik Sosialis Soviet Belarusia dari tahun 1920 hingga 1991. Parti yang mengambil pendirian melawan pemerintahan Lukashenko ini pernah menjadi parti yang terbesar dalam pilihanraya parlimen Belarus pada tahun 1995, dengan memenangi 43 kerusi pada masa itu, tetapi tidak lagi memenangi satu pun kerusi dalam pilihanraya-pilihanraya yang seterusnya, dengan salah satu faktornya adalah pilihanraya yang penuh dengan penipuan dan kepincangan di bawah pemerintahan Lukashenko.

Krisis yang dihadapi oleh rejim Lukashenko sekarang ini bukan sahaja akibat daripada sekatan terhadap kebebasan demokratik asas yang berpanjangan (termasuk sekatan terhadap kebebasan kesatuan sekerja dan organisasi politik pekerja), tetapi juga disebabkan oleh penurunan standard kehidupan rakyat beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya dalam kalangan pekerja bergaji. Sistem kontrak, pemotongan faedah dan sebagainya, menggambarkan krisis kapitalisme dunia yang berlaku di peringkat nasional Belarus. Mungkin masih adanya orang yang menganggap Belarus sebagai sebuah negara yang meneruskan ekonomi perancangan ala Kesatuan Soviet, tetapi hakikatnya adalah dasar penswastaan perusahaan yang anti-sosial dan penyahkawalseliaan harga barangan sudah lama cuba dilakukan oleh rejim Lukashenko atas nama “sosialisme pasaran”.

Keengganan rejim Lukashenko untuk membenarkan peralihan kuasa secara aman melalui pilihanraya dengan cara memanipulasi keputusan pilihanraya dan menggunakan kekerasan untuk mematahkan sebarang bantahan terhadapnya, mencetuskan pergolakan yang terbaru. Keinginan massa rakyat di Belarus untuk mewujudkan kebebasan demokratik yang sepenuh, dan khususnya mewujudkan suasana yang sesuai untuk kelas pekerja mempertahankan hak dan kepentingan mereka secara ekonomi atau politik. Namun begitu, kuasa politik borjuis-demokratik yang boleh menggantikan rejim Lukashenko pada masa kini, yang disokong oleh kuasa Barat, tidak akan memberi apa-apa jaminan dalam menghentikan serangan ke atas hak dan kesejahteraan kelas pekerja di negara itu. Malah, gerakan pembangkang yang diterajui oleh golongan elit politik Belarus yang mempunyai ilusi terhadap demokrasi borjuis juga tidak menawarkan alternatif yang sebenar, tetapi hanya akan meneruskan dasar anti-pekerja yang sudah pun dilaksanakan oleh rejim Lukashenko, mungkin akan cuba menampilkan wajah luaran yang berbeza sahaja.

Di samping itu, kuasa-kuasa besar dari luar juga sedang mempergunakan situasi krisis di Belarus untuk kepentingan geopolitik mereka, sama ada kuasa Barat ataupun Rusia. Kuasa-kuasa Barat seperti Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, memang ingin mewujudkan satu lagi negara pro-Barat di Eropah Timur yang mengamalkan dasar ekonomi yang selari dengan sistem pasaran kapitalis global; sementara Rusia di bawah kepimpinan Vladimir Putin pula cuba menggunakan krisis ini untuk memperluaskan lagi pengaruhnya dan memperkukuhkan cengkamannya terhadap Belarus.

Oleh yang demikian, rakyat Belarus menghadapi cabaran besar dalam perjuangan mereka, bukan sahaja dalam menjatuhkan rejim Lukashenko, tetapi membina alternatif yang sebenar untuk pembebasan masyarakat sekiranya mampu menjatuhkan Lukashenko.

One thought on “Belarus: Lukashenko dihantui krisis politik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *