KUALA LUMPUR – 27 DISEMBER 2019: Setelah bertahan untuk menangguhkan perobohan rumah kampung pada 24 Disember 2019, penduduk-penduduk Kampung Segambut Permai telah berprotes di hadapan hadapan Bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada hari ini untuk menuntut penyelesaian yang sewajar untuk masalah perumahan mereka.
Satu memorandum telah diserahkan kepada wakil Menteri Wilayah Persekutuan Nik Razak. Dalam memorandum tersebut, peneroka Kampung Segambut Permai menyampaikan hasrat mereka untuk mendapat perumahan alternatif yang kekal, bukannya rumah transit yang sementara.
Mereka menyeru supaya rumah sewa Program Perumahan Rakyat (PPR) ditawarkan kepada mereka adalah rumah sewa tetap dan mereka berpeluang untuk memiliki rumah tersebut pada masa depan.
Para penduduk Kampung Segambut Permai juga menuntut supaya mereka ditempatkan secara berkelompok di PPR yang berdekatan dengan kampung asal untuk mengelakkan masalah persekolahan budak-budak dan tempat kerja orang kampung.
Antara 33 keluarga yang terjejas kerana pengusiran yang berlaku baru-baru ini, masih ada keluarga yang tidak diberikan apa-apa tawaran. Penduduk-penduduk kampung menuntut supaya 8 lagi keluarga yang memerlukan rumah alternatif diberikan tawaran.
Dalam perjumpaan bersama wakil penduduk kampung, wakil Kementerian Wilayah Persekutuan Nik Razak berjanji akan membuat semakan sama ada kekosongan unit di PPR berdekatan, iaitu PPR Batu, PPR Beringin dan Desa Rejang. Namun, memandangkan bahawa penambahan tawaran dan penukaran rumah transit ke rumah sewa tetap hanya boleh diputuskan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, penduduk diberitahu untuk menunggu jawapan Menteri dan Datuk Bandar sehingga hari Selasa depan (31 Disember 2019).
Penduduk-penduduk Kampung Segambut Permai akan mengunjungi lagi Menara DBKL pada hari Selasa akan datang untuk penyelesaian rumah alternatif.
Kampung Segambut Permai diteroka oleh penduduk di situ sejak tahun 1960-an. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang mendapat pemilikan pajakan untuk tanah Kampung Segambut Permai pada tahun 1981 telah memindahmilik kepada Kemasekutu Sdn Bhd pada tahun 2002.
Penduduk-penduduk Kampung Segambut Permai menghadapi pengusiran paksa sejak tahun 2012. Satu penghakiman persetujuan pada 17 Oktober 2013 dibuat tanpa pengetahuan penduduk di situ. Perobohan rumah pada 9 Disember 2019 ditangguhkan selepas pihak Kementerian Wilayah Persekutuan bercampurtangan dan menawarkan rumah alternatif untuk penduduk. Namun, rumah altenatif yang ditawarkan hanya bersifat sementara untuk 6 bulan sahaja dan tidak dipersetujui oleh para penduduk. Satu lagi perobohan rumah berlaku pada 24 Disember 2019 dengan rumah kosong di kampung itu dirobohkan tetapi perobohan untuk rumah yang masih berpenghuni dapat ditangguhkan untuk 2 minggu lagi.
😊