Bumi kita sedang menghadapi kecemasan kerana ancaman krisis iklim yang semakin hebat. Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia perlu menganggap ini sebagai satu keadaan darurat dan mengambil tindakan segera untuk menangani krisis iklim sebelum terlambat!
Gelombang aksi mogok iklim yang hebat melanda lagi seluruh dunia pada bulan September lalu dengan jumlah peserta yang lebih besar, untuk menyuarakan tuntutan rakyat sedunia supaya tindakan segera diambil untuk menangani krisis iklim global yang sedang mengancam ekologi bumi dan kehidupan manusia sejagat.
Siri mogok dan protes yang berlangsung dari 20 hingga 27 September lalu, diadakan bersempena dengan Persidangan Tindakan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York pada 23 September lalu. Aksi mogok iklim pada 20 September lalu, merupakan aksi mogok iklim serentak di seluruh dunia yang ketiga berikutan aksi mogok yang serupa pada 15 Mac dan 24 Mei 2019. Selain mogok pelajar, aksi protes juga disertai oleh ramai orang dewasa yang berdiri bersama dengan anak-anak muda untuk memperjuangkan masa hadapan dunia yang lebih hijau dan bebas daripada ancaman krisis iklim.
Aksi protes pada 20 September merupakan aksi mogok iklim yang terbesar setakat ini, dengan lebih 4 juta orang mengambil bahagian dalam pelbagai aksi di 150 buah negara seluruh dunia. Di negara Jerman sahaja, seramai 1.4 juta orang menyertai aksi mogok iklim. Lebih 2,000 orang ahli sains di 40 buah negara telah menyatakan sokongan padu mereka terhadap mogok ini.
Aksi protes untuk iklim juga diadakan di Malaysia, dengan ratusan orang berhimpun di Kuala Lumpur pada 21 September lalu, sementara satu perhimpunan yang lebih kecil turut diadakan di Pulau Pinang pada hari itu.
Aksi protes iklim #MyClimateStrike di Malaysia membawa 4 matlamat utama:
- Isytihar DARURAT IKLIM dengan memberi fokus kepada pembentukan polisi dan memobilisasi dana untuk membendung krisis iklim.
- Pecahkan dinding pasif politik dan media massa Malaysia mengenai krisis iklim.
- Tingkatkan kesedaran awam tentang krisis iklim.
- Tingkatkan visibiliti tentang isu krisis iklim di negara-negara ASEAN dan Malaysia secara khususnya.
Selain itu, memandangkan rakyat di rantau ini sentiasa menghadapi ancaman jerebu, Klima Action Malaysia (KAMY) juga mengemukakan petisyen “Malaysia Tolak Jerebu” yang mengandungi 7 tuntutan untuk diserahkan kepada kerajaan dan Parlimen untuk tindakan segera:
- Kerajaan harus menggubal akta jerebu trans sempadan.
- Tetapkan hukuman berat ke atas syarikat yang bertanggungjawab terhadap berlakunya pencemaran jerebu.
- Bentuk jawatankuasa bertindak khas untuk menyiasat syarikat punca jerebu.
- Larangan keras terhadap syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) daripada bekerjasama dengan syarikat punca jerebu.
- Syarikat-syarikat berasaskan sumber asli harus mengisytihar peta konsesi kepada masyarakat umum dan pihak berkuasa.
- Wujudkan sistem pemantauan titik panas nasional untuk memantau syarikat-syarikat berasaskan sumber asli.
- Pemimpin-pemimpin negara Asean perlu menjamin kerjasama efektif dan mengambil pendirian tegas berkaitan isu alam sekitar.
Gelombang aksi protes antarabangsa diteruskan pada 27 September lalu. Dilaporkan seramai 1 juta orang berprotes untuk iklim di Itali pada hari itu. Di Kanada, Suruhanjaya Sekolah Montréal membatalkan kelas di bandar Montréal yang melibatkan 114,000 orang pelajar.
Aksi mogok iklim yang mendapat sambutan hebat di seluruh dunia ini, mendapat inspirasi daripada Greta Thunberg, seorang aktivis pelajar Sweden yang baru berumur 16 tahun. Ketika beliau masih berusia 15 tahun, Greta Thunberg mengambil keputusan untuk tidak hadir ke sekolah dan berprotes di hadapan bangunan Riksdag (iaitu Parlimen Sweden) setiap hari pada waktu sekolah, dari 20 Ogos 2018 sehingga hari pengundian pilihanraya Sweden pada 9 September 2018, demi menuntut pada kerajaan Sweden supaya mengurangkan pembebasan karbon mengikut ketetapan Perjanjian Iklim Paris 2015. Selepas pilihanraya umum Sweden, Greta Thunberg meneruskan mogok sekolah dan aksi protes di hadapan bangunan Riksdag setiap hari Jumaat. Aksinya mendapat perhatian ramai sehingga mencetuskan gelombang aksi mogok pelajar di seluruh dunia.
“Jika pemimpin dunia memilih untuk hampakan kita, generasiku tidak akan maafkan mereka!”
Pada pertengahan bulan Ogos lalu, Greta Thunberg memulakan perjalanan jelajahnya merentasi Lautan Atlantik dengan kapal layar dari Britain ke Amerika Syarikat untuk menghadiri Persidangan Tindakan Iklim PBB di New York. Di dalam Perhimpunan Agung PBB, Thunberg memulakan ucapannya dengan berkata,
“Ini semuanya salah. Saya tidak sepatutnya berdiri di sini. Saya sepatutnya balik ke sekolah di seberang lautan sana. Tetapi engkau semua datang kepada saya untuk menagih harapan? Berani kau! Engkau telah mencuri impian saya dan zaman kanak-kanak saya dengan kata-kata kosong kamu. Namun, saya ialah salah seorang yang bertuah. Orang sedang menderita. Orang sedang mati. Seluruh ekosistem sedang runtuh. Kita sedang berada di permulaan kepupusan besar-besaran. Dan engkau semua hanya bercakap tentang wang dan cerita dongeng pertumbuhan ekonomi selama-lamanya. Berani kau!”
Greta Thunberg mengulas,
“Untuk mendapatkan peluang 67% supaya berada di bawah kenaikan suhu global 1.5°C – kemungkinan terbaik yang diberikan oleh Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) – dunia mempunyai sebanyak 420 gigatan karbon dioksida tinggal untuk dilepaskan pada 1 Januari 2018. Hari ini angka tersebut telah turun kepada kurang daripada 350 gigatan. Berani kau berpura-pura bahawa ini akan dapat diselesaikan dengan membuat bisnes seperti biasa dan sedikit penyelesaian secara teknikal. Dengan tahap pelepasan hari ini, baki karbon dioksida boleh dilepaskan yang tinggal itu akan hilang sepenuhnya dalam tempoh kurang daripada lapan tahun setengah.
Tidak akan adanya apa-apa penyelesaian atau rancangan yang dibentangkan seiring dengan angka-angka hari ini. Ini kerana angka-angka ini terlalu tidak selesa. Dan kamu masih tidak cukup matang untuk memberitahu kebenaran.
Engkau sedang mengkhianati kami. Namun orang muda sudah mula menyedari pengkhianatan kau. Mata semua generasi masa akan datang sedang memerhatikan kau. Dan jika kau memilih untuk hampakan kami, saya berkata kami tidak akan memaafkan kau. Kami tidak akan membiarkan kau melepaskan diri daripada ini. Di sini juga, pada ketika ini juga di mana kita melukiskan garisannya. Dunia sedang bangkit. Dan perubahan sedang datang, sama ada anda suka atau tidak.”
Ini merupakan tanggisan anak muda kita hari ini terhadap kegagalan pemimpin dunia yang tidak mempedulikan ekologi alam sekitar dan kesejahteraan rakyat yang sebenar, kerana elit pemerintah terlalu taksub dengan penjanaan keuntungan untuk korporat besar dalam sistem ekonomi kapitalis.
Krisis iklim sedang menghantui dunia
Corak iklim global mengalami perubahan yang membimbangkan akibat daripada aktiviti masyarakat manusia yang membebaskan karbon ke dalam atmosfera bumi. Perubahan iklim yang mendatangkan fenomena cuaca yang ekstrim sedang mengancam kehidupan masyarakat sedunia.
Glasier semakin berkurangan, ais laut semakin mencair, paras laut semakin meningkat, lautan semakin panas, cuaca semakin tidak menentu, flora dan fauna di merata tempat terkesan dengan pemanasan global. Penduduk dunia juga semakin kerap menghadapi bencana alam yang luar biasa dan dahsyat, seperti ribut, banjir, cuaca panas yang melampau dan kemarau yang berpanjangan.
Masalah pemanasan global timbul akibat daripada peningkatan gas rumah hijau yang mengandungi karbon dalam atmosfera bumi. Gas rumah hijau merangkumi karbon dioksida (CO2), metana (CH4), nitrus oksida (N2O), hidrofluorokarbon (HFC), perfluorokarbon (PFC) dan sulfur heksafluorida (SF6).
Kandungan karbon dioksida di dalam atmosfera telah meningkat sejak zaman revolusi industri dan sekarang berada pada paras tertingginya dalam tempoh 4 juta tahun kebelakangan ini. Kadar peningkatan karbon dioksida pada masa kini lebih menakutkan, iaitu masyarakat manusia sedang melepaskan karbon dioksida pada kadar 10 kali ganda lebih cepat berbanding mana-mana waktu dalam 66 juta tahun yang lepas. Ahli-ahli sains telah menyatakan bahawa kita sedang berada dalam “wilayah yang tidak dipetakan” untuk iklim sedunia, dengan kesannya terhadap kehidupan di atas darat dan di dalam lautan mungkin akan lebih teruk lagi berbanding mana-mana zaman sebelum ini sejak kepupusan dinosaur.
Salah satu penyumbang penting kepada peningkatan karbon dioksida dalam atmosfera bumi ialah pembakaran bahan api fosil. Pembakaran bahan api fosil dalam penjanaan tenaga dan penggunaan kenderaan berenjin motor, telah menyumbang jumlah pelepasan karbon di atmosfera yang terlalu banyak sehingga mengancam masyarakat manusia sendiri.
Berbilion tan karbon dioksida dilepaskan ke dalam atmosfera setiap tahun daripada pembakaran arang batu, minyak petroleum dan gas. Sehingga kini, masih tiada petanda bahawa kadar pelepasan karbon dioksida ini mula berkurang secara signifikan seperti yang diperlukan.
Satu lagi sebab kepada peningkatan pelepasan karbon ke dalam atmosfera, ialah penebangan hutan. Penebangan hutan untuk balak, penternakan lembu, penanaman soya dan perladangan kelapa sawit, merupakan penyumbang yang signifikan kepada pelepasan karbon. Penebangan hutan juga menyebabkan penghapusan hidupan liar di muka Bumi kita.
Peningkatan paras karbon dalam atmosfera menyebabkan suhu purata Bumi meningkat secara hebat untuk dua abad kebelakangan ini, dengan peningkatan yang mendadak sejak Perang Dunia II, kerana pertumbuhan ekonomi kapitalis yang pesat. Pemanasan global bermakna lebih tenaga wujud dalam atmosfera Bumi, menjadikan cuaca yang melampau semakin kerap dan lebih sengit.
Akibat daripada pemanasan global, Greenland telah kehilangan hampir 4 trilion tan ais sejak tahun 2002. Banjaran gunung dari Himalaya ke Andes dan Alps, turut kehilangan ais secara cepat kerana pengurangan glasier di situ. Satu pertiga daripada ais di Pergunungan Himalaya dan Hindu Kush sudahpun lebur.
Paras air laut sedunia telah naik lebih kurang 8 inci sejak tahun 1880, dan dijangkakan akan naik sebanyak 1 hingga 4 kaki pada tahun 2100. Kenaikan paras air laut ini terjadi akibat daripada peleburan ais di muka bumi dan pengembangan air laut apabila dipanaskan. Kenaikan paras air laut sedang menjejaskan petempatan manusia di pesisir pantai.
Gelombang haba yang melampau mengakibatkan kemarau yang berpanjangan dan menjejaskan bekalan air bersih kepada rakyat biasa. Aktiviti pertanian juga semakin terkesan kerana iklim yang tidak menentu dan ini menjejaskan jaminan bekalan makanan kepada manusia.
Atmosfera yang lebih panas turut menyebabkan pembentukan jerebu yang lebih kerap dan memburukkan lagi pencemaran udara yang memudaratkan kesihatan orang ramai.
Memang rakyat Malaysia tidak asing lagi dengan ancaman jerebu. Jerebu yang menghantui Malaysia baru-baru ini, bukannya sesuatu yang semulajadi, tetapi kebakaran tanah gambut dan hutan yang disebabkan oleh aktiviti pembukaan tanah untuk kawasan perladangan.
Perlukan tindakan yang lebih drastik untuk membendung malapetaka iklim sedunia
Perjanjian Iklim Paris 2015 yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin dunia, telah menetapkan sasaran untuk “menahan peningkatan suhu purata global rata-rata jauh di bawah 2°C melebihi tahap-tahap pra-industri serta mencari usaha-usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 1.5 °C melebihi tahap pra-industri”. Namun, pada masa kini, bumi kita sedang berada di landasan kenaikan suhu purata 4°C pada penghujung abad ke-21, iaitu satu keadaan yang bakal menimbulkan akibat yang jauh lebih teruk untuk kehidupan di bumi. Banyak negara masih menggunakan arang batu dan gas asli untuk penjanaan tenaga elektrik, dan ini akan mendorong peningkatan suhu purata kerana masih melepaskan karbon ke dalam atmosfera. Hakikatnya pada hari ini, dunia kita tidak mampu lagi menanggung kenaikan suhu.
Menurut Laporan Khas mengenai Pemanasan Global 1.5°C yang diterbitkan oleh IPCC pada 8 Oktober 2018, menghadkan peningkatan suhu purata dunia pada 1.5 °C adalah berkemungkinan tetapi memerlukan “pengurangan pelepasan yang mendalam” dan “perubahan yang cepat, meluas dan tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam semua aspek masyarakat”. Laporan tersebut juga mengatakan bahawa menghadkan pemanasan bumi dalam lingkungan 1.5°C berbanding 2°C akan mengurangkan kesan-kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan kesejahteraan masnusia, kerana peningkatan suhu ke 2 °C akan memburukkan lagi impak alam sekitar seperti cuaca yang ekstrim, peningkatan paras laut yang lebih cepat, pengurangan hebat ais laut di Artik, kepupusan terumbu karang dan kehilangan ekosistem yang sensitif pada perubahan suhu.
Pelepasan karbon ke dalam atmosfera pada masa kini sebenarnya sudah melepasi had yang sepatutnya untuk membendung krisis iklim sedunia. Sebarang tambahan pelepasan karbon ke dalam atmosfera tidak lagi selamat untuk manusia. Kita memerlukan perubahan secara dasar untuk mengurangkan pelepasan karbon, iaitu perubahan kepada sistem yang sedia ada.
Sistem kapitalis sedang membunuh Bumi kita – alternatif eko-sosialisme diperlukan segera
Sistem kapitalis yang berasaskan pemaksimuman keuntungan korporat dengan dipacukan oleh pembakaran bahan api fosil dan penggondolan sumber alam semula jadi yang tidak terkawal, sedang membunuh Bumi kita dan juga hidupan yang hidup di Bumi. Kita perlu menggantikan sistem kapitalis dengan alternatif yang mengutamakan kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat biasa.
Langkah-langkah radikal yang patut diambil untuk menangani krisis iklim termasuk:
- Bertindak segera dalam menggantikan bahan api fosil dan bio-fosil dengan sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui yang bersih dan selamat.
- Kenakan cukai lebih tinggi untuk golongan mahakaya dan korporat besar supaya memperoleh lebih banyak dana yang dapat dilaburkan dalam teknologi hijau yang mampu menjana lebih peluang pekerjaan hijau untuk pekerja biasa.
- Tingkatkan pengangkutan awam yang menjimatkan penggunaan tenaga dengan rangkaian yang menyeluruh dan efisien;
- Mendorong petani-petani mengubah pengeluaran kepada pertanian bersifat ekologi, mempertahankan pengeluaran dan pengagihan makan setempat.
- Menstruktur semula sistem pengekstrakan, pengeluaran dan pengagihan yang sedia ada untuk menghapuskan pengeluaran sisa-sia buangan, pencemaran dan pengiklanan yang bersifat manipulatif. Memberikan latihan semula yang sepenuhnya kepada pekerja-pekerja dan komuniti yang terkesan kerana penstrukturan semula ini.
- Memperbaiki rumah dan bangunan yang sedia ada untuk meningkatkan kecekapan tenaga.
- Hentikan semua operasi ketenteraan, mentransformasikan angkatan bersenjata kepada pasukan sukarelawan yang bertanggunghawab dalam memulihkan ekosistem dan membantu mangsa-mangsa bencana alam.
Kita sudah kesuntukan masa untuk bertindak dan perlu melakukan perubahan sebenar supaya mengelakkan Bumi kita daripada terus terjerumus dalam kemusnahan akibat krisis iklim.
Semua kerajaan, termasuk kerajaan Malaysia, perlu mengisytihar Darurat Iklim sekarang juga, supaya dapat mengambil tindakan segera secara serius untuk melaksanakan semua langkah yang perlu untuk menghadapi dan menangani krisis iklim sedunia.
2 thoughts on “Isytihar Darurat Iklim sekarang: Bertindak sebelum parah”