Tuntutan rakyat Argentina untuk menyelesaikan masalah kelaparan dan kemiskinan di negara itu dilayan dengan pemukulan secara keras daripada pihak berkuasa.
Pada 11 September 2019, polis di bandar Buenos Aires menyerang secara ganas terhadap protes rakyat yang diadakan di hadapan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Sosial Argentina, dengan tuntutan kepada kerajaan supaya melaksanakan Akta Darurat Makanan dan meningkatkan Gaji Sosial Tambahan sebanyak 35%. Polis menyerang peserta aksi protes dengan kayu pemukul dan gas pemedih mata.
Horacio Larreta, Datuk Bandar Buenos Aires, telah mengerahkan polis untuk menyuraikan peserta aksi. Larreta juga mengarahkan untuk menggantungkan perkhidmatan salah satu laluan metro untuk menghalang para peserta aksi daripada sampai ke bangunan Kementerian.
Gerakan sosial di Argentina seperti Barrios de Pie, Polo Obrero dan Movimiento Teresa Rodriguez (MTR) mengadakan aksi berkhemah di luar bangunan Kementerian untuk menuntut pada kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan meluluskan rang undang-undang Darurat makanan demi menangani kemiskinan dan kelaparan yang sedang dihadapi majoriti rakyat di negara Argentina sekarang ini. Walaupun dihalang oleh kerajaan bandar Buenos Aires, peserta-peserta aksi masih dapat sampai ke bangunan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Sosial untuk mengadakan protes. Mereka mendirikan khemah dan dapur komuniti di situ untuk menyajikan makanan kepada ribuah rakyat yang memerlukannya.
Rakyat Argentina telah menghadapi penghakisan hak dan serangan sosio-ekonomi yang berterusan daripada kerajaan pimpinan Mauricio Macri yang berkuasa sejak tahun 2015. Macri dan parti berhaluan kanan yang diasaskannya, Propuesta Republicana (PRO), mendukung dasar cukai rendah (untuk golongan kaya) dan perdagangan bebas. Selepas Macri menjadi Presiden Argentina, dia telah menghapuskan kawalan pertukaran matawang asing, meliberalisasikan kawalan import, mengurangkan cukai pendapatan perseorangan dan memotong subsidi untuk utiliti.
Argentina terjebak dalam krisi kewagan pada tahun 2018 dengan penyusutan nilai matawang Peso Argentina yang hebat. Ekonomi Argentina mengalami inflasi yang tinggi. Untuk menghadapi krisis kewangan tersebut, Macri mengambil pinjaman daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Macri melaksanakan lebih banyak dasar neoliberal dalam usaha menyelamatkan ekonomi kapitalis Argentina dengan mengorbankan kehidupan rakyat bawahan. Bayaran untuk kemudahan awam yang kekal pada kadar tetap sejak tahun 2002 telah dinaikkan ke angka pasaran, dan ini sememangnya mendatangkan beban yang hebat kepada rakyat biasa.
Rakyat Argentina telah bermobilisasi secara berterusan sejak awal tahun ini untuk memprotes terhadap inflasi, pengangguran, kemiskinan, ketiadaan rumah dan ketidakjaminan makanan yang melanda negara itu. Mereka menentang penurunan nilai matawang Argentina dan dasar eonomi neoliberal yang dibawa oleh kerajaan berhaluan kanan yang dipimpin oleh Macri.
Laporan daripada Fundación Soberanía Sanitaria yang diterbitkan baru-baru ini mendedahkan data yang membimbangkan mengenai ketidakjaminan makanan, malnutrisi dan krisis sosial di Argentina. Laporan tersebut menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 5 juta orang mengalami masalah ketidakjaminan makanan yang terus, peningkatan sebanyak 100% jika membandingkan tahun 2014-2016 dengan 2016-2018. Laporan tersebut juga mendedahkan bahawa lebih 43% kanak-kanak yang hadir ke kantin komuniti menghadapi risiko malnutrisi. Laporan tersebut mengetengahkan isu peningkatan harga makanan sebanyak 100% di Argentina pada tahun lepas.
Sejak 15 Ogos 2019, gerakan sosial Argentina telah mengadakan aksi Hari Solidariti Nasional selama 5 minggu berturut-turut untuk menuntut penggubalan rang undang-undang Darurat Makanan bagi menangani situasi kelaparan di dalam negara Argentina. Aksi ini dianjurkan oleh gerakan dan organisasi sosial dari seluruh negara Argentina, termasuk Konfederasi Pekerja Ekonomi Popular (CTEP), Corriente Clasista y Combativa (CCC), Movimiento Barrios de Pie, Frente Popular Darío Santillán dan Fron Organisasi dalam Perjuangan (FOL).
Hasil daripada mobilisasi yang berterusan daripada gerakan sosial, Kongres Nasional Argentina meluluskan rang undang-undang Darurat Makanan untuk membolehkan peruntukan lebih banyak sumber kepada program sosial bagi menangani krisis ekonomi. Baru-baru ini, kerajaan Argentina juga membatalkan cukai jualan ke atas beberapa jenis makanan asas dan meningkatkan bonus sebagai usaha untuk menangani tekanan daripada protes rakyat. Namun demikian, gerakan sosial di Argentina akan terus bermobilisasi selagi kerajaan pimpinan Macri masih mengamalkan dasar ekonomi neoliberal yang menjahanamkan rakyat biasa.
2 thoughts on “Argentina: Gerakan sosial mobilisasi untuk Akta Darurat Makanan”