20191028 - 31a9ff8e9d014ccb9246799b7840801c_18.jpg

Penyandang jawatan Presiden Argentina yang mendukung kuat ekonomi neoliberal, Mauricio Macri, mendapat tamparan hebat akibat daripada dasar pemerintahannya selama 4 tahun kebelakangan ini yang anti-rakyat, apabila kalah dalam Pilihanraya Umum Argentina yang diadakan pada 27 Oktober 2019. Golongan Peronis kembali berkuasa dengan bekas Presiden Cristina Fernández de Kirchner akan memegang jawatan Timbalan Presiden untuk penggal baru.

Macri merupakan satu-satunya penyandang jawatan Presiden yang gagal mempertahankan jawatannya dalam sejarah pilihanraya Argentina. Kekalahan Macri merupakan tanda isyarat jelas bahawa rakyat Argentina menolak model ekonomi neoliberal, militarisasi dan dasar mesra imperialis yang dibawa oleh Macri. Kemenangan untuk kuasa progresif di Argentina memberi satu suntikan yang memberangsangkan untuk gerakan kiri di Amerika Latin.

Dengan lebih 95% undi sudah dikira, calon daripada Frente de Todos, Alberto Fernández, dengan Cristina Fernández de Kirchner sebagai calon Timbalan Presidennya, berjaya mendapat 48.0% undi, mengalahkan penyandang jawatan Presiden, Mauricio Macri, selaku calon gabungan politik Juntos por el Cambio, yang hanya memperoleh 40.5% undi.

Frente de Todos (Barisan Semua Orang), yang diterajui Partido Justicialista (PJ), merupakan gabungan pilihanraya yang dibentuk untuk menggabungkan semua golongan Peronis, progresif dan radikal untuk menghalang Macri daripada meneruskan kekuasaannya sebagai Presiden. Gabungan politik ini mendapat sokongan padu daripada Konfederasi Umum Buruh Argentina (CGT). Selain PJ, parti-parti lain yang bergabung dalam Frente de Todos termasuk Parti Komunis Argentina (PC), Fron Pembaharuan (FR), Partido Intransigente (PI), Partido Humanista, Parti Komunis Revolusioner (PCR) dan sebagainya.

[Nota: Peronisme atau Justicialismo, ialah gerakan politik di Argentina yang berasaskan ideologi dan warisan politik Juan Perón (pernah menjadi Presiden Argentina pada tahun 1946-1955 dan 1973-1974) dan isteri keduanya Eva Perón. Peronisme berpegang pada prinsip asas Keadilan Sosial, Kemerdekaan Ekonomi dan Kedaulatan Politik, di samping mengambil posisi menolak kedua-dua kapitalisme dan komunisme. Pemerintahan Perón di Argentina mengambil pendirian anti-imperialis dan berkecuali dalam Perang Dingin. Kerajaan Perón juga melaksanakan inisiatif yang progresif, seperti keselamatan sosial yang universal, pendidikan percuma, projek perumahan untuk golongan pendapatan rendah, cuti berbayar yang standard, semua pekerja dijamin perkhidmatan kesihatan, ibu mengandung menerima 3 bulan cuti berbayar sebelum bersalin, dan pusat hiburan pekerja dibina di seluruh negara. Gerakan Peronis merangkumi spektrum puak yang agak luas, dari kiri ke kanan.]

Bakal Presiden Argentina yang akan mengambilalih kuasa pada 10 Disember 2019, Alberto Fernández, ialah seorang Peronis moderat yang pernah menjadi Ketua Kabinet Menteri (satu jawatan yang sama seperti Perdana Menteri) pada tahun 2003 hingga 2008, iaitu sepanjang tempoh Néstor Kirchner menjadi Presiden Argentina dan pada awal era Cristina Fernández menjadi Presiden. Néstor Kirchner (1950-2010), yang menjadi Presiden Argentina untuk sepenggal pada tahun 2003-2007, merupakan golongan kiri dalam gerakan Peronis, dengan puak yang menyokongnya dikenali sebagai Kirchnerisme, mengambil pendirian yang menolak agenda imperialis neoliberal Amerika Syarikat yang dibawa dalam perjanjian-perjanjian perdagangan bebas. Kirchner tidak bertanding dalam Pilihanraya Presiden 2007, tetapi isterinya, Cristina Fernández, bertanding dan menang, meneruskan dasar Kirchnerisme.

(Nota: Pasangan calon yang menang, dua orang Fernández, Alberto Fernández dan Cristina Fernández de Kirchner, tiada kaitan dari segi pertalian saudara.)

Cristina Fernández memegang jawatan Presiden selama dua penggal, dari tahun 2007 hingga 2015, dan agak popular semasa beliau memimpin kerajaan. Semasa menjadi Presiden, Cristina Fernández meneruskan salah satu usaha penting yang dimulakan oleh Kirchner, iaitu perbicaraan terhadap pegawai tentera yang terlibat dalam Perang Kotor (keganasan negara yang diamalkan semasa pemerintahan diktator ketenteraan dari tahun 1967 hingga 1983, dengan sokongan Amerika Syarkat untuk memburu sesiapa yang dipercayai berkaitan dengan sosialis, Peronis berhaluan kiri atau kumpulan gerila bandar Montoneros). Namun, Cristina Fernández telah tersangkut dalam beberapa kes yang melibatkan pertuduhan rasuah walaupun beliau menafikan penglibatannya.

Kemenangan untuk Alberto Fernández dan Cristina Fernández, menandakan pengundi Argentina telah menekan brek terhadap dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Macri dalam 4 tahun yang lalu ini. Macri dengan dasar pro-bisnesnya, menjanjikan “kemiskinan sifar” dalam kempen pilihanrayanya pada tahun 2015, tetapi selepas 4 tahun pentadbirannya, negara Argentina dihantui dengan masalah matawang peso yang jatuh dengan hebatnya, kadar inflasi yang melambung tinggi dan kadar kemiskinan telah meningkat dari 29% kepada 35%.

Pilihanraya Umum Argentina kali ini menyaksikan pertembungan dua kecenderungan politik yang utama di Argentina dan rantau Amerika Latin, iaitu:

  1. Neoliberal berhaluan kanan yang tegar, pro-IMF, pro-AS dan anti-Venezuela, dengan Mauricio Macri sebagai wakilnya;
  2. Progresif yang pro-rakyat dan pro-integrasi Amerika Latin yang diwakili oleh gabungan politik Frente de Todos.

Isu utama yang menjadi tumpuan sepanjang Pilihanraya Umum di Argentina kali ini adalah krisis ekonomi yang melanda negara itu. Sejak Macri menjadi Presiden pada tahun 2015, matawang peso Argentina telah menyusut nilainya sebanyak 566%. Kerajaan pimpinan Macri telah melancarkan serangan yang hebat terhadap sektor awam, memotong perbelanjaan awam, memberhentikan ribuan pekerja dan mengurangkan perbelanjaan untuk program sosial penting yang bertujuan untuk menangani kemiskinan tegar. Dasar neoliberal yang diamalkan oleh Macri telah mengundang tekanan ekonomi dan kesengsaraan yang berleluasa untuk rakyat biasa. Namun, Kerajaan Argentina enggan menangani masalah rakyat bawahan, malahan cuba menutup kebenaran. Dalam laporan mengenai tinjauan terhadap situasi gelandangan di bandaraya Buenos Aires yang dijalankan oleh organisasi sosial Argentina pada bulan April tahun ini, mendedahkan bahawa terdapat lebih kurang 7,251 orang tinggal di jalanan Buenos Aires, sedangkan angka yang diumumkan oleh kerajaan hanya 1,141 orang. Laporan itu juga menunjukkan jumlah orang yang tinggal di jalanan Buenos Aires telah meningkat lebih 23% dalam dua tahun yang lepas. Dasar neoliberal Macri yang mengutamakan kepentingan sektor kewangan, telah membawa kepada kehancuran sektor perindustrian, dan menyebabkan setiap hari adanya kehilangan kerja. Pengangguran meningkat setiap hari secara berganding tangan dengan kemiskinan dan kelaparan rakyat bawahan. Gerakan sosial di Argentina telah memobilisasi untuk beberapa minggu berturut-turut sejak bulan Ogos 2019, sehingga berjaya memaksa Kongres Nasional Argentina untuk meluluskan rang undang-undang Darurat Makanan membolehkan peruntukan lebih banyak sumber kepada program sosial bagi menangani krisis ekonomi.

Sepanjang penggal Macri berkuasa, juga dapat diperhatikan peningkatan dalam militarisasi dan penindasan terhadap protes sosial. Pembunuhan terhadap Santiago Maldonado dan aktivis orang asal Rafael Nahuel, kedua-duanya pada tahun 2017, serta serangan ganas oleh polis terhadap demonstrasi massa, telah dikecam oleh ramai orang daripada sektor-sektor berlainan. Kezaliman pihak berkuasa mengingatkan ramai orang tentang sejarah zalim berdarah semasa zaman pemerintahan kediktatoran di negara itu.

Selain itu, Macri juga mengamalkan dasar luar yang menyokong kepentingan imperialis AS. Macri merupakan antara pemimpin negara Amerika Latin yang paling awal mengiktiraf Juan Guaidó sebagai “Presiden” Venezuela dalam usaha cubaan kudeta oleh puak berhaluan kanan di Venezuela untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Nicolás Maduro.

Kemenangan calon presiden daripada blok progresif merupakan satu petunjuk bahawa golongan kiri di Amerika Latin masih mampu melawan balik dalam arena pilihanraya. Ini juga menunjukkan bahawa rakyat di Amerika Latin semakin tegas dalam menolak politikus berhaluan kanan yang pro-imperialis, pro-neoliberal, patriarki, xenofobik dan homofobik, seperti Macri.

Walau bagaimanapun, cabaran masih hebat untuk rakyat Argentina dan Amerika Latin. Alberto Fernández yang merupakan seorang Peronis yang bersifat moderat, tidak begitu menunjukkan kesungguhannya dalam mencabar susunan sosio-ekonomi antarabangsa yang neoliberal. Malah, Kirchnerisme yang merupakan sayap kiri kepada gerakan Peronis pun hanya menonjolkan dirinya sebagai “kiri yang bersifat lembut”, yang jauh kurang radikal berbanding dengan “kiri yang bersifat keras” seperti yang ditunjukkan dalam Revolusi Bolivar di Venezuela yang diterajui mendiang Hugo Chávez. Fernández telah berjanji untuk “menghormati” pinjaman sebanyak USD57 bilion yang dipinjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) oleh Macri pada tahun lalu, sebagai usaha untuk merangsang semula ekonomi negara itu, pada masa yang sama cuba untuk meningkatkan gaji dan faedah untuk para pekerja dan pesara. Sudah pasti golongan oligarki tidak akan membenarkan pembaharuan yang mencabar susunan ekonomi kapitalis neoliberal dan menggugat kepentingan mereka. Hanya mobilisasi kuasa rakyat yang berterusan dapat memajukan usaha melawan sistem neoliberal yang memeras rakyat dan memperjuangkan masyarakat yang sejahtera untuk semua.

One thought on “Argentina: Progresif kalahkan Macri untuk kembali berkuasa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *